#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Kasih anak berpisah nyawa

Oleh Hadzlan Hassan

am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 hari ini, menerima ‘hadiah’ paling menyedihkan dan tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat apabila kehilangan seorang daripada enam anaknya yang ditemui lemas di Sungai Jeram, Manir, dekat sini, semalam.

Lebih menyedihkan Noraini Nasir, 40, anak kelimanya, Muhammad Uzeir Norman, 11, bersungguh-sungguh mengingatkan kakaknya, Nor Ain, 17, yang meminta supaya bapa saudaranya membelikan kek hari jadi untuk ibu mereka.Noraini yang bersedih dengan kejadian itu berkata, dia menerima pemergian anak paling rajin dalam keluarganya itu dengan reda dan menganggapnya sebagai takdir.

Mangsa, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong juga anak saudara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang dikhuatiri lemas selepas tenggelam ketika mandi bersama dua abang dan seorang lagi rakan.

Nor Ain ketika ditemui pula berkata, arwah adiknya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik kecuali mengambil tuala bapa mereka untuk dijadikan selimut ketika tidur di pondok depan rumah mereka semalam dan tidak menegur ibunya seperti kebiasaan.

“Namun, sebelum turun ke sungai, arwah sempat menjerit kepada bapa saudara supaya tidak lupa membelikan kek untuk ibu kerana esok (hari ini) hari jadi ibu kami,” katanya.

Difahamkan, mangsa mandi bersama dua abangnya, Ahmad Tajuddin, 14, dan Ahmad Nazim, 12, serta dua rakan, Mohd Hasbullah Othman, 14, dan Mohd Faizal Seman, 14, selepas menunggang kuda berhampiran rumahnya di Kampung Jeram, Manir kira-kira jam 12 tengah hari.

Mangsa berpaut pada leher Mohd Hasbullah sebelum rakannya itu tenggelam dan mangsa tergelincir sebelum dihanyutkan arus menyebabkan mereka meminta bantuan beberapa individu yang berada di tempat kejadian.

Ahmad Tajuddin berkata, arwah adiknya sebelum ini tidak suka mandi sungai kerana tidak pandai berenang, tetapi menyertainya bermain di sungai kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

“Pada mulanya, saya cuba menyelamatkan arwah, tetapi gagal kerana arus deras berikutan hujan lebat malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Faudzi Muhammad yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di bawah timbunan kayu kira-kira tiga meter dari tempat kejadian.

Mayat mangsa ditemui penyelam Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Elias Mamat, yang dikerahkan menyertai pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk pengebumian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan