#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Suami isteri jual dadah diberkas

CHANGLUN: Akibat permintaan tinggi terhadap dadah, sepasang suami isteri di sini sanggup menjual dan mengedar dadah semata-mata untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah walaupun menyedari risiko bakal dihadapi boleh membawa hukuman mati jika didapati bersalah.

Bagaimanapun, kegiatan pasangan yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu mengedar dadah secara kecil-kecilan di sini dan Jitra terbongkar apabila mereka ditahan di sebuah rumah di pekan Changlun di sini, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata serbuan dilakukan anggotanya diketuai Sub Inspektor Muslim Alias sejurus menerima maklumat berhubung kegiatan pasangan terbabit.

Beliau berkata, selepas membuat pemeriksaan dalam rumah terbabit, pihaknya menemui beg telefon bimbit di atas katil dalam bilik tidur pasangan itu dan mendapati ia mengandungi 10 bungkusan dadah jenis heroin seberat 22 gram.

“Suspek lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pengumpul besi buruk manakala isterinya yang berusia 24 tahun itu pula bekerja di sebuah agensi pelancongan di Changlun terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut dan dipercayai sudah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Difahamkan, pasangan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun dikatakan terpaksa mengambil risiko menjual dadah akibat pendapatan mereka tidak menentu manakala hasil jualan dadah lebih lumayan daripada pekerjaan lain.

Pasangan itu kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki heroin.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut sama ada wanita itu turut terbabit dalam pengedaran dadah bersama suaminya dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ini adalah tangkapan ketiga membabitkan pasangan suami isteri mengedar dadah yang berjaya diberkas polis sepanjang bulan ini.

Pada 8 Julai lalu, Jabatan Narkotik IPK Kedah menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Kampung Hutan Palas, Kodiang kerana memiliki 13 peket disyaki heroin manakala pada 9 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 19 tahun dan rakan mereka berusia 24 tahun, selepas Perodua Viva yang dinaiki terbabas di Kampung Padang Tui, Air Hitam, Jitra ketika dikejar polis.

Berikutan kejadian itu, polis menemui tujuh peket heroin dan tiga plastik lutsinar yang mengandungi syabu dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan itu. Kesemua suspek masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketika diminta mengulas mengenai penahanan ketiga-tiga kes yang membabitkan pasangan suami isteri dalam kes dadah itu, Baharom berkata, mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain atau terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, berkemungkinan besar mereka melakukan kegiatan itu disebabkan desakan hidup atau mahu mengejar keuntungan berikutan harga dadah yang semakin meningkat pada masa kini sehingga menyebabkan pasangan suami isteri sanggup terbabit dalam kegiatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan