#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 10, 2009

Suami isteri jual dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my


JITRA: Sepasang suami isteri tergamak menjual dadah demi menyara tiga anak yang masih kecil semata-mata untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah.

Harian Metro difahamkan, pasangan itu sebelum ini berniaga sendiri sebelum mengambil keputusan menjual dadah demi mengubah nasib mereka.

Mereka dikatakan baru berjinak-jinak menjual dadah tanpa memikirkan kesan bakal ditanggung.Pasangan yang mempunyai tiga anak berusia antara dua hingga 11 tahun itu kini terpaksa meringkuk dalam lokap selepas direman tujuh hari mulai semalam, selepas polis menahan mereka kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Hutan Palas, Kodiang selepas menerima maklumat berhubung kegiatan pasangan suami isteri terbabit.

Beliau berkata, serbuan dilakukan jam 9.40 pagi dan pasangan berusia 40-an itu ditahan di hadapan rumah mereka.

“Polis merampas 13 peket heroin dan syabu daripada pasangan berkenaan.“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperoleh dan mengesyaki pasangan itu sudah menjual sebahagian dadah yang dimiliki mereka di pasaran tempatan.

Sawaludin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Dalam kes berasingan, polis menahan lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini kerana terbabit bermain judi pakau, kelmarin.

Beliau berkata, semua pelajar berusia 15 hingga 17 tahun itu dipercayai ponteng sekolah dan ditahan di sebuah pondok di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Berdasarkan maklumat, pelajar terbabit kerap berada di situ untuk berjudi dan kita menahan mereka untuk siasatan lanjut.

“Kita turut merampas sejumlah wang serta daun terup yang digunakan dalam perjudian itu dan dibawa ke IPD Kubang Pasu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan