#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 28, 2009

‘Kami idam kaki palsu’

KOTA BHARU: Dua wanita yang menderita cacat kaki sejak lahir memerlukan sumbangan RM25,000 bagi menampung kos membeli kaki palsu. Nor Zaliha Mat Yaakob, 33, dan Wan Zainab Wan Ahmad, 19, masing-masing memerlukan perbelanjaan RM7,000 dan RM18,000 bagi membeli kaki palsu mereka.

Nor Zaliha berkata, dia mengalami kecacatan pada kaki kirinya sejak lahir dan memerlukan kaki palsu untuk memudahkannya menguruskan rumah tangga dan kehidupan harian.

Menurutnya, kecacatan itu membataskan pergerakannya selain terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak bebas dan melakukan kerja rumah.

“Saya mengharapkan ihsan orang ramai membiayai kos pembelian kaki palsu. Kekurangan dimiliki menyebabkan pergerakan terbatas dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak,” katanya.

Katanya, dia tidak mampu menanggung kos membeli kaki palsu itu kerana hanya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Wang itu tidak mencukupi dan hanya digunakan untuk membeli keperluan dapur, persekolahan anak tunggal, Nor Aliah Amani, 7, selain berulang-alik ke Hospital Pasir Puteh bagi merawat penyakit suami.

“Suami, Mohd Rosdi Samad, 40, juga mengalami kecacatan kedua kaki sejak 25 tahun lalu disebabkan jangkitan kuman hingga terpaksa dibedah,” katanya berasal dari Kampung Besar Semerak, Pasir Puteh.

Nor Zaliha berkata, suaminya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu dan menerima rawatan di hospital itu.

Keadaan sama dialami Wan Zainab yang memerlukan bantuan RM18,000 untuk membeli dua kaki palsu berikutan mengalami kecacatan kedua-dua kaki sejak lahir.

“Sejak lahir hingga kini saya hanya bergantung kepada keluarga melakukan kerja seharian.

“Saya berharap menerima bantuan kaki palsu segera bagi memudahkan menguruskan diri tanpa bantuan keluarga atau menyusahkan mereka,” katanya.

Menurutnya, keluarganya tidak mampu menyediakan kaki palsu kerana bapanya peneroka Felda dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan NSTP dengan menulis nama penerima sumbangan di belakang cek dan dihantar kepada Bahagian Kewangan/Unit kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan