#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 30, 2009

Menentang barah pangkal rahim



Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my



Kesedaran penting elak penyakit berbahaya daripada meningkat

JIKA melihat kepada perangkaan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2007, lebih 700 wanita Malaysia meninggal dunia akibat penyakit barah pangkal rahim pada setiap tahun dan angka ini ternyata menggerunkan.

Secara global pula lebih 270,000 kematian sama direkodkan akibat penyakit berkenaan atau secara jelasnya, seorang wanita maut bagi setiap empat minit di rantau Asia Pasifik.

Memang menakutkan, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima berhubung bahayanya penyakit barah pangkal rahim jika tidak dicegah atau dikesan pada peringkat awal.

Pada masa ini, penyakit itu adalah pembunuh nombor dua di kalangan wanita di Malaysia selepas barah payu dara. Malah, perangkaan terbaru mendedahkan secara purata, sebanyak 16 kes baru penyakit barah pangkal rahim dilaporkan berlaku di kalangan 100,000 wanita di negara ini



Menyedari keadaan itu perlu dihentikan, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melancarkan kempen kesedaran penyakit itu dalam usaha menentangnya daripada berlaku.

Bertemakan `Kuasai Kanser Serviks’ kempen selama setahun itu menggalakkan wanita mengambil langkah pertama untuk melindungi diri mereka daripada penyakit barah pangkal rahim.

Pengarah Perubatan NCSM, Dr S Saunthari, berkata kempen itu bertujuan memperkasakan wanita Malaysia dengan `kuasa’ untuk membebaskan diri daripada penyakit barah pangkal rahim menerusi pendidikan berhubung penyakit itu dan menggalakkan mereka mendapatkan nasihat daripada profesional penjagaan kesihatan untuk langkah pencegahan.

Katanya, 19 kes barah pangkal rahim dilaporkan berlaku dalam lingkungan 100,000 penduduk wanita dan angka ini perlu dikurang atau ditiadakan langsung menerusi kesedaran mendalam bahawa penyakit itu boleh dicegah dan dirawat.



“WHO menyatakan bahawa barah pangkal rahim membunuh lebih ramai wanita setiap tahun berbanding melahirkan anak. Penyakit ini amat ditakuti, tetapi masih boleh dicegah dan mereka yang menderita penyakit berkenaan akan terjejas dalam kehidupan, kerjaya dan pengurusan keluarga.

“Jadi, langkah paling baik untuk mencegah atau mengurangkan penyakit barah pangkal rahim ini ialah menerusi pendidikan supaya wanita kerap melakukan pemeriksaan, mengambil suntikan vaksin dan menjalani rawatan yang betul,” katanya selepas majlis pelancaran kempen itu yang dilakukan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di Sentul, baru-baru ini.

Kempen berkenaan adalah komitmen berterusan NCSM dalam usahanya menjaga kesejahteraan dan kesihatan awam serta menyelamatkan nyawa wanita daripada belenggu penyakit barah pangkal rahim itu.

Saunthari berkata, antara lain wanita perlu mengetahui pilihan pencegahan terhadap penyakit berbahaya itu, selain menggalakkan mereka membincangkan dengan profesional penjagaan kesihatan seperti pemvaksinan dan pap Smear atau lumuran pap untuk mencegah barah pangkal rahim.

“Kita berharap kempen ini akan memberi banyak maklumat kepada wanita Malaysia dan menasihatkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri. Bagi memastikan keberkesanan kempen, beberapa personaliti terkenal termasuk pelakon Sarimah Ibrahim; juruhebah radio, Jay Menon; selebriti televisyen, Rina Omar, Pamela dan Vanessa Chong serta Siow Hui Mei dilantik sebagai duta untuk membantu menyebarkan pesanan dan memperlihatkan kepentingan memahami pilihan pencegahan yang ada.

“Disebabkan penyakit berbahaya ini semakin menular, pendidikan dan seruan untuk bertindak amat penting untuk memastikan wanita sentiasa bersiap sedia menentang penyakit berbahaya ini,” katanya.

Syor wajibkan suntikan vaksin pada usia 12 tahun
PENINGKATAN kes penyakit barah pangkal rahim menyebabkan kerajaan mengkaji cadangan mewajibkan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di negara ini dalam usaha mencegah penyakit barah pangkal rahim berikutan perbelanjaan rawatan penyakit itu yang kini mencecah RM382 juta setahun.

Pelaksanaan program itu membolehkan kerajaan melakukan penjimatan dianggarkan berjumlah RM322 juta setahun, tetapi keputusan akhir mengenainya hanya akan ditentukan hujung tahun ini selepas hasil kajian yang dilakukan kementerian sejak awal tahun lalu, dibentangkan kepada Kabinet untuk membuat pertimbangan mengenainya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan sedar bahawa penyakit barah pangkal rahim adalah pembunuh nombor dua wanita selepas barah payu dara dan di negara ini, penyakit itu membunuh 150 wanita setahun.

“Secara purata, sebanyak 16 kes baru penyakit barah pangkal rahim dilaporkan berlaku di kalangan 100,000 wanita di negara ini dan kos rawatan yang tinggi sehingga RM382 juta setahun, menyebabkan langkah pencegahan secara menyeluruh perlu diambil menerusi suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada suntikan itu akan diberi secara percuma atau sebaliknya hanya akan ditentukan kemudian kerana ia membabitkan kos yang mahal, tetapi kerajaan tetap berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan kempen kesedaran Mencegah Barah Pangkal Rahim, di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Tony Skelchy dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr S Saunthari.

Liow berkata, kementeriannya juga perlu menjalankan kajian lain bagi memastikan keberkesanan suntikan vaksin dalam menghalang penyakit berbahaya itu berikutan maklumat doktor pada masa ini yang mengesahkan keberkesanannya hanya 70 peratus saja.

Katanya, suntikan itu juga tidak memberi kesan sampingan dan usia 12 tahun dianggap paling baik untuk menjalani suntikan vaksin berkenaan kerana ia mampu memberi perlindungan sehingga 20 tahun.

“Ini kerana kebanyakan mangsa penyakit itu adalah wanita berusia 30 tahun ke atas, sehingga menjejaskan kerjaya, penjagaan anak dan keluarga. Bagaimanapun, suntikan vaksin dikatakan hanya mampu menghalang 70 peratus saja penyakit itu, dan selebihnya perlu menjalani pemeriksaan pap smear setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Walaupun kajian itu antara lain meneliti kekangan dihadapi kerajaan kerana membabitkan kos yang tinggi, pelaksanaannya memberi kesan baik dan sudah dilakukan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit barah pangkal rahim membunuh seorang wanita bagi setiap empat minit di negara rantau Asia Pasifik, malah ianya semakin meningkat di negara membangun, menyebabkan kempen kesedaran di kalangan wanita perlu dilakukan secara agresif dalam usaha menghalang penyakit berkenaan.

“Gaya hidup moden masa kini turut menyumbang kepada peningkatan kes barah dan amat penting supaya pengesanan awal dilakukan kerana penyakit barah ini sebenarnya boleh dihalang. Sebagai contoh, sudah ada vaksin yang boleh mencegah serangan virus Human Papillomavirus atau Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca penyakit barah pangkal rahim atau menahan daripada terjadinya barah pangkal rahim bagi mereka yang sudah dijangkiti HPV,” katanya.

FAKTA
Barah pangkal rahim:
* Suntikan vaksin boleh mencegah serangan virus Human Papillomavirus atau Papiloma Manusia (HPV) yang menjadi punca barah pangkal rahim atau menahan daripada terjadinya penyakit itu bagi mereka yang sudah dijangkiti HPV.

* Antara punca berlakunya barah pangkal rahim ialah wanita merokok, menggunakan pil perancang keluarga dalam tempoh lama, jangkitan HIV dan kerap melahirkan anak.

* Vaksin hanya mampu mencegah 70 peratus daripada berlakunya barah pangkal rahim dan sebab itu, wanita perlu membuat pemeriksaan pap smear atau lumuran pap setiap tahun

INFO
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM):
* Badan kebajikan berdaftar yang ditubuhkan pada 1966 untuk menyediakan pendidikan, penjagaan dan perkhidmatan sokongan kepada penghidap barah.
* Persatuan ini adalah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan barah yang pertama ditubuhkan di Malaysia
* Misi NCSM ialah memastikan rakyat Malaysia tidak takutkan barah dengan mewujudkan kesedaran berhubung penyakit itu iaitu pencegahan dan pengesanan awal, memberi penjagaan sebaik mungkin dan menyokong mereka yang menghidap barah
* NCSM menyediakan rawatan dan sokongan menyeluruh kepada pesakit dan penjaga, membantu mereka memahami dan menangani barah dalam pelbagai fasa menerusi lima pusat barah iaitu Pusat Sumber dan Kesejahteraan, Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Rawatan Kanser dan Rumah Harapan Kanak-Kanak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan