#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 20, 2009

Malu status bermadu

Arkib 19/7/2009

Saya seorang kakitangan kerajaan berjawatan sederhana. Saya akan pencen tidak lama lagi. Telah berkahwin hampir 30 tahun dan mempunyai enam orang anak yang bijak pandai.

Suami bekerja sendiri dan seorang yang penyayang. Dia juga berperwatakan menarik dan peramah.

Kehidupan sederhana sangatlah membahagiakan. Bagaimanapun selepas mata pencariannya meningkat, suami telah berkahwin lain. Pada mulanya, saya tidak dapat menerima hakikat itu. Berasa sangat kecewa dan terganggu. Tidak lalu makan, kurang tidur dan tidak dapat memberi tumpuan pada pekerjaan.

Bagaimanapun kerana tidak mahu perasaan anak terjejas, hal ini saya sembunyikan daripada pengetahuan mereka. Begitu juga dengan keluarga dan kawan-kawan. Tiada siapa yang tahu. Saya sangat malu dengan status bermadu. Menyimpan perasaan sendiri dan sering menangis sendirian terutama sebelum tidur.

Saya merasa sangat cemburu dan dendam. Wanita itu lebih muda dan bergaya daripada saya. Saya kira dia terlalu mengawal suami, tidak kira di mana berada walaupun dia tahu ketika itu suami ada bersama saya. Apa yang saya takuti ialah suami akan berubah dan saya akan kehilangannya. Bagaimana pun setakat ini dia tidak mengabaikan saya dan anak-anak.

Puteri, adakah berdosa sekiranya saya selalu berharap perkahwinan mereka tidak kekal?
Apa yang perlu saya buat untuk memujuk hati ini. memandangkan suami telah jauh hanyut dan tentunya sukar untuk berpatah balik.

n Siti Mariam, Kuala Terengganu, Terengganu.


Siti Mariam,
Dalam diri Mariam terlalu banyak perasaan yang dipendam. Tanpa disedari, ia akan menyebabkan tekanan hingga membawa perasaan cemburu dan dendam. Bagi keluar daripada permasalahan ini, Mariam perlu luahkan. Cerita kepada suami apa yang perlu diperbaiki dalam rumah tangga ini.

Pada awalnya, Mariam sendiri sudah mengetahui suami Mariam berkahwin lain. Perkara itu tidak perlu disesali. Tidak perlu mendoakan perkahwinan mereka tidak kekal tetapi Mariam perlu fikirkan apa yang perlu dilakukan agar suami tidak berubah hingga melupakan anak-anak.

Jika suami Mariam balik ke rumah, layanlah dia seperti hidup sebelum bermadu dulu. Jaga makan, minum serta keperluannya seperti biasa. ceritakan perkembangan anak-anak. Jika keadaan sudah tenang, luahkan secara baik tentang dilema yang Mariam hadapi.

Jika tiada reaksi daripada suami Mariam, gunakan khidmat orang ketiga seperti kaunselor. Dalam hal ini, Mariam tidak perlu bersedih kerana Mariam masih mempunyai keluarga dan anak-anak. Untuk menghilangkan duka di hati, luangkan masa bersama anak-anak. Jangan biarkan masalah yang membelenggu Mariam menyebabkan hubungan dengan anak-anak serta keluarga yang lain renggang. Puteri yakin Mariam wanita yang tabah dan mampu menanganinya secara baik. Tidak perlu malu dengan status bermadu kerana jika kita dapat dapat mengatasi segala tekanan, Mariam mungkin boleh mencari kebahagiaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan