#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 06, 2009

Jiran jaga tepi kain, jiran berhati mulia

Macam-macam hal yang kadang-kadang tidak terfikir jadi realiti dalam urusan seharian insan, sehinggakan timbul rasa takut untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Ini kerana yang dirancang belum tentu menjadi kenyataan dan yang diharapkan belum pasti boleh dipercayai seratus peratus.

Melayari fasa kehidupan tidak semudah seperti kisah puteri kayangan yang kita tonton di layar perak atau di skrin televisyen.

Alangkah indah dan manis hidup ini jika apa sahaja yang kita hajat berada dalam genggaman termasuk bab hidup berjiran.

Jika dikaji secara terperinci hidup berjiran di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar berbeza dengan kawasan dipinggir bandar.

Di bandar besar hidup berjiran agak formal, kecuali mereka yang hidup bermasyarakat dan aktif dalam aktiviti penduduk atau surau juga persatuan setempat.

Ada juga jiran daripada golongan elit tidak bergaul dengan jiran lain. Mana tidaknya, pintu pagar setinggi bumbung rumah, malah digunakan pula kuasa elektrik untuk menutuk dan membukanya.

Di sesetengah tempat, wajah jiran langsung tidak dikenali kerana masuk keluar dengan kereta, cermin pula gelap gelita.

Di kawasan luar bandar atau bandar kecil, keadaan berbeza sebab masyarakatnya lebih terbuka, bebas dan aktif berpersatuan.

Namun tidak semua jiran bersikap seperti itu, ada juga kawasan yang kehidupan berjirannya amat baik dan mesra. Saya menyentuh soal kejiranan ini kerana merasakan topik ini juga menarik untuk diketengahkan sebagai panduan kepada masyarakat.

Kiriman e-mail daripada N, pembaca setia ruangan ini mengenai pengalamannya hidup berjiran menjadikan saya terpanggil menyiarkan kiriman e-mailnya buat pembaca semua.

Perkara baik pada pandangan saya, elok dihebahkan kerana ia mampu menjana kehidupan lebih baik sesama anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Kita ikuti apa cerita N mengenai pengalamannya hidup berjiran dengan pelbagai kelompok manusia.

"Berjiran dengan keluarga elit ada kalanya menyeronokkan, namun itu hanya gambaran sahaja. Pada mulanya semua nampak baik dan mesra seperti sudah lama berkenalan tetapi lama kelamaan bertukar menjadi sebaliknya.

"Ini kerana gara-gara cemburukan kami 'orang bujang' yang menjadi penyewa, takut merampas hak mereka.

"Telah lama saya berhajat untuk berkongsi cerita orang bujang berjiran dengan orang kelamin seperti mana dia dan kawan-kawannya lalui.

"Saya berusia awal 40-an tinggal bersama tiga orang kawan seusia di sebuah kawasan perumahan yang rata-ratanya orang Melayu.

"Faham-faham sahajalah apabila tinggal di kawasan orang Melayu. Selain mulut yang sentiasa terbuka, mata mereka juga terbeliak selalu. Bukan apa, suka menjaga tepi kain orang.

"Berpusing juga kepala memikirkan bagaimana untuk menjadi jiran yang terbaik dan harmoni. Serba salah jadinya, diberi senyuman dikatakan anak dara murahan, jika serius dilabel sombong dan jika peramah dituduhnya mahu menggoda suami orang.

"Bertegur sapa, hormat menghormati menjadi budaya kita. Semua orang mempunyai pendapat yang sama, tetapi tidak semua orang boleh terima slogan yang dilaung-laungkan ini.

"Contohnya, suatu hari kami pulang kerja lewat malam, kami perasan ada mata yang mengintai melalui jendela, jika untuk menjaga keselamatan kami, syukur dan terima kasih tetapi jika untuk dijadikan bahan gosip, maaflah tidak semua penyewa di kota tidak bermoral.

"Walaupun tidak berkahwin kami masih berpegang kuat kepada hukum antara dosa dan pahala, ingat pesanan ibu ayah di kampung yang memberi didikan agama yang cukup sejak kecil.

"Kata orang kami masih tahu menilai mana buruk mana yang baik di dalam meniti kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang mencabar ini.

"Mak juga berpesan, saudara yang paling hampir dengan kita adalah jiran, berbaiklah dengan mereka. Itulah yang saya dan kawan-kawan cari.

"Tapi macam biasa, nak cari kawan dan jiran yang baik dan memahami kita bukan mudah, yang hendak bermusuh memang ada di mana-mana.

"Itu prinsip hidup berjiran yang saya dan kawan-kawan diamalkan sejak berpuluh-puluh tahun tinggal di ibu kota. Kami berusaha menjadi jiran yang baik, hormatkan orang dan berazam tidak
akan merampas hak sesiapa.

menambat hati jiran
"Selain itu kami juga tidak pernah alpa jika menerima jemputan kenduri atau majlis di rumah-rumah jiran bersebelahan. Jika ada kelapangan kami akan hadir. Itu salah satu cara untuk menambat hati jiran agar silaturahim berpanjangan.

"Sehingga kini kami tidak banyak menghadapi masalah dengan jiran-jiran. Malah kami amat gembira dan seronok tinggal bersama di kawasan penempatan ini sebab kehadiran kami diterima baik oleh sebahagian besar daripada mereka.

"Contohnya sikap seorang yang saya kategorikan orang berada yang memang baik hati budi mereka. Pasangan suami isteri ini amat prihatin, penyayang dan menjadi seperti orang tua bagi kami semua.

"Setiap masalah yang kami adukan sentiasa mendapat perhatian. Malah kami diberi nasihat dan panduan bagaimana hendak menangani masalah yang timbul.

"Selain baik budi bahasa mereka yang begitu baik, pasangan isteri tersebut juga berfikiran terbuka dan sentiasa prihatin dengan hal-hal yang sensitif.

"Secara tidak langsung kami berasa terbela dan seolah-olah diberi perhatian oleh ibu bapa dan keluarga sendiri. Terima kasih kerana menjadi jiran yang baik dan kami amat menghargai budi baik anda suami isteri.

"Kami amat terharu apabila pasangan suami isteri tersebut membenarkan kami meletak kereta di kawasan rumah mereka.

"Tidak cukup dengan itu, mereka juga bertungkus lumus membersihkan kawasan lapang berhampiran rumah mereka bagi memudahkan kami meletak kereta di situ dengan selamat.

"Terlalu baik dan mulia hati mereka. Saya merasa cukup terharu dengan apa yang mereka lakukan. Sebut sahaja apa bantuan yang diperlukan, pasti mereka suami isteri menghulurkannya tanpa banyak soal.

"Sepanjang saya hidup di kota Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu, inilah jiran paling baik pernah saya temui.

"Seandainya saya tidak lagi berjiran dengan mereka, jasa dan budi baik mereka akan saya kenang sampai bila-bila. Mereka adalah pembimbing hidup kami yang jauh daripada ibu bapa dan keluarga.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka suami isteri dan mendoakan agar mereka diberi kesihatan yang baik, murah rezeki dan bahagia hidup di dunia dan akhirat, insya-Allah," kata N menutup ceritanya.

Bertuah N dan kawan-kawannya mendapat jiran yang begitu baik dan mengambil berat. Pastinya pasangan suami isteri, ibu bapa yang sempurna dan disayangi anak-anak mereka.

Memang betul seperti kata N, sukar mencari jiran yang prihatin dan sanggup bersusah senang dengan jiran yang lain dalam keadaan sekarang.

Saya juga pernah melaluinya lebih kurang 25 tahun lalu. Ketika itu saya menyewa sebuah rumah d Ulu Klang milik seorang pakcik yang saya anggap seperti bapa sendiri.

Masalah apa saja yang timbul pasti diselesaikan dengan cepat, termasuk paip tersumbat dan kala banjir melanda mereka anak beranak akan bertungkus lumus membantu.

Namun umurnya tidak panjang, pakcik meninggal ketika anak sulung saya berusia 5 tahun. Namun syukur, hubungan kekeluargaan yang terjalin dengan anak-anaknya terus kekal sampai ke hari ini dan saya telah menganggap mereka seperti saudara kandung.

Mungkin lain orang ada lain pandangan dan pengalaman. Apa pun, sebagai manusia satu perkara yang perlu kita ingat, maut jangan ditempah, musuh juga jangan dicari.

Kehidupan ini sebenarnya memerlukan satu kesinambungan pada satu jalinan kasih sayang dan persahabatan yang di namakan persaudaraan.

Kepada N dan rakan-rakan teruskan kehidupan anda dan hargai pengorbanan dan kebaikan pasangan suami isteri tersebut. Semoga anda semua diberi perlindungan dalam apa juga yang anda lakukan.

Menutup kata, serangkap pantun buat renungan kita bersama.

Dahan tinggi dikerat-kerat,
Harum melor dalam jambangan,
Jiran yang baik hidup berkat,
Jadi sebutan sepanjang zaman.

Salam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan