#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Julai 24, 2009

Seronoknya bayiku mandi


ARKIB : 23/07/2009
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


RASA gugup, kekok dan takut bayi terlepas daripada pegangan kerana saiznya yang kecil dialami oleh hampir kesemua ibu dan bapa yang baru pertama kali menimang cahaya mata.

Kurangnya keyakinan untuk memegang bayi ketika mandi mungkin boleh diatasi apabila ibu atau bapa mempunyai ilmu tentang cara memandikan bayi mereka.

Pakar pediatrik, Dr. Zulkiflee Ismail berkata, memandikan bayi bukanlah sesuatu yang susah biarpun bagi ibu bapa yang baru menimang anak.

Perkara paling utama sebelum memandikan bayi ialah memilih masa yang sesuai untuk ibu dan bayi.

"Jangan buat dalam keadaan tergesa-gesa. Memang mandian pada kali pertama membuatkan ibu atau bapa gugup kerana mereka merasakan bayi sebagai satu objek lembut.

"Sebelum memandikan bayi, pastikan ibu atau bapa menyediakan perkakas mandi selengkapnya agar mudah untuk dicapai ketika memandikan bayi mereka," jelasnya ketika menyampaikan ceramah panduan memandikan bayi dalam satu bengkel anjuran Johnson di Bukit Jalil Golf and Country Club, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ibu bapa perlu ingat bayi yang baru lahir iaitu di bawah umur 10 minggu mudah menjadi sejuk atau dalam istilah perubatannya hipotermia.

Justeru elakkan bayi daripada terdedah kepada keadaan sejuk kerana apabila ia berlaku boleh menjejaskan kesihatan bayi secara keseluruhan.

"Kebanyakan rumah kini dilengkapi alat pendingin hawa, jadi sebelum membuka baju bayi untuk mandi pastikan suhu bilik tidak terlalu sejuk.

"Pastikan juga lantai bilik air kering dan ketika memandikan bayi ibu atau bapa lebih baik dalam posisi duduk daripada berdiri.

"Paras air di dalam bekas mandi bayi sebaik-baiknya setinggi lapan sentimeter, iaitu lebih kurang paras atas dada bayi.

"Kalau bilik mandi tidak dilengkapi dengan pancuran pemanas air (water heater), isi air sejuk dulu dalam besen mandi kemudian baru masukan air panas. Amalan memasukkan air sejuk sebelum air panas penting untuk mengelakkan kemalangan akibat kecuaian.

"Kemudian suhu air ditentukan dengan cara menguji dengan siku atau tapak tangan. Sebaiknya ibu bapa menggunakan pembersih badan dan rambut top-to-toe agar mata bayi tidak pedih apabila terkena percikan air bersabun," jelas Dr. Zulkiflee.

Berbalik kepada persediaan sebelum memandikan bayi, beliau berpesan, selepas menanggalkan pakaian bayi segeralah balut badannya dengan tuala.

"Jangan terus rendam bayi dalam besen mandi. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bersihkan mata, muka serta leher bayi menggunakan kapas tersebut. Pastikan bahagian leher dan kelengkang bayi dicuci dengan betul kerana bahagian tersebut mudah dijangkiti kulat.

"Selepas bersihkan bahagian wajah dalam keadaan masih berbalut tuala, syampu rambutnya bilas dan terus keringkan dengan tuala, ini penting kerana suhu kepala yang menjadikan seluruh tubuh bayi sejuk," kata Dr. Zulkiflee.

Memang diakui ramai ibu bapa gerun apabila hendak memasukkan bayi dalam tab mandi.
Menurut beliau, bayi memang tidak boleh mengawal otot leher jadi sokongan tangan di belakang leher bayi amat penting sebelum sebelah tangan lagi membersih badan bayi.

Ibu juga boleh menggunakan tuala kecil untuk membersihkan bayi.

"Apabila selesai mandi, keluarkan bayi dari air dari bahagian kepala dan bahu dulu, satu tangan ibu menyokong di bahagian punggung dan terus ke tuala dan balut," ujar beliau.

Dr. Zulkiflee berkata, memang ada ibu bapa yang takut memandikan bayi kerana melihat tali pusat bayi yang seakan-akan tertanggal.

Nasihat beliau, tidak perlu khuatir kerana tali pusat bayi biasanya akan tercabut sendiri dalam masa empat hingga sepuluh hari selepas lahir.

"Ibu bapa tidak perlu panik yang penting selepas tanggal tali pusat, gunakan spirit yang dibekal oleh pihak hospital untuk menyapu di keliling pusat supaya jangkitan tidak mudah berlaku. Pusat adalah tisu kering dan apabila kering, kuman memang mudah membiak di situ, pastikan juga lampin pakai buang yang dipakai tidak terkena bahagian pusat bayi," tambah Dr. Zulkiflee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan