#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 02, 2009

Kawal pundi kencing

Oleh Nor Affizar Ibrahim

affizar@bharian.com.my


Masalah kebocoran air kencing jejas kehidupan

MASALAH kebocoran air kencing walaupun bukan penyakit dan hanya satu gejala ia mungkin boleh memalu serta mengehadkan atau menjejaskan rutin kehidupan harian individu yang berdepan dengan keadaan seumpama itu. Justeru, keadaan itu tidak sewajarnya dibiarkan berlanjutan, sebaliknya perlu ditangani dengan baik dan individu yang berdepan dengan masalah sedemikian perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat serta rawatan bersesuaian.

Bagaimanapun, hakikatnya pada masa kini masih ramai mengambil sikap berdiam diri dan lebih cenderung menderita sendirian apabila berdepan dengan masalah kebocoran air kencing. Sedangkan, dianggarkan satu daripada empat orang wanita berumur 35 tahun ke atas mengalami kegagalan mengawal kencing - terkucil.

Sesetengah wanita terkucil beberapa titik air kencing ketika bersin, batuk, ketawa atau bersenam dan ada yang mengalami perasaan ingin terkencing yang mendesak sebelum terkucil secara tiba-tiba.

Pakar Perunding Perbidanan dan Uroginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Seri Suniza Sufian, berkata masalah hilang kawalan pada pundi kencing atau dikenali, urine incontinence (UI) dihadapi wanita dan juga lelaki. Bagaimanapun, wanita mengalami masalah itu dua kali ganda lebih kerap berbanding lelaki. Masalah UI juga dikenal pasti dihadapi antara 12 hingga 14 peratus orang dewasa di negara ini dengan sejumlah 85 peratus dialami wanita.

Beliau berkata, UI sememangnya menimbulkan masalah dan memberi beberapa kesan dalam kehidupan individu sehinggakan ada yang terpaksa menghentikan diri daripada melakukan aktiviti fizikal, berasa tidak selesa dengan bau dan berdepan dengan risiko mendapat jangkitan. Selain itu masalah UI juga membawa kesan psikologi seperti suka mengasingkan diri, terpaksa menukar gaya hidup berorientasikan tandas, kerap tidak hadir kerja atau sering bertukar kerja dan sebagainya.

“Masalah hilang kawalan pada pundi kencing juga boleh menjejaskan kehidupan seksual individu kerana ada pasangan tidak boleh hendak melayani pasangannya. Sehinggakan terdapat kes, ada isteri yang mengalami masalah itu mencarikan pasangan untuk suami kerana kegagalannya memenuhi kehendak seksual pasangan. Dalam hal ini, suami mungkin beruntung tetapi mungkin tidak bagi wanita berkenaan,” katanya ketika membincangkan masalah UI sempena program pendidikan Kempen Poise Up! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Seri Suniza berkata, keadaan lemah kawalan kencing terjadi apabila terdapat masalah pada otot dan saraf yang mengawal serta membebaskan air kencing. Tubuh menyimpan air kencing iaitu cecair dan sisa buangan yang dikumuhkan oleh buah pinggang dalam pundi kencing.

Pundi kencing iaitu organ berbentuk belon itu bersambung ke uretha, tiub di mana air kencing dikumuhkan dari tubuh. Masalah mula timbul apabila otot lantai pelvis menjadi lemah, lazimnya disebabkan oleh kelahiran anak dan ia tidak cukup kuat lagi untuk mengawal air kencing daripada terkeluar. Selain itu kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan oleh kelemahan kesihatan lain seperti obesiti, sembelit, mengambil ubat-ubatan dan menopaus.

Katanya, bagi wanita mengandung atau bersalin, masalah kebocoran air kencing berlaku bukan disebabkan cara kelahiran bayi tetapi dipengaruhi oleh perubahan hormon manakala berat kandungan bayi boleh melemahkan otot lantai pelvik yang merangkumi pundi kencing, dubur dan alat kelamin. Wanita menopaus pula berdepan dengan tahap estrogen yang turun mendadak hingga menyebabkan berlaku perubahan pada tisu di sekeliling bahagian uro-genital.

“Masalah hilang kawalan pada pundi kencing bukan saja dihadapi wanita yang sudah berusia atau putus haid dan mereka yang melahirkan anak tetapi turut dikesan dialami wanita muda yang belum berkahwin. Kes paling muda yang ditemui ialah membabitkan remaja perempuan yang berusia 15 tahun. Walaupun UI dialami ramai wanita, masalah ini masih sukar ditangani sepenuhnya kerana wanita selalunya malu untuk berjumpa doktor dan ada juga mengaku takut melakukan pembedahan akibat salah faham dan mendapat penerangan yang salah mengenai rawatan perlu dibuat.

“Selain itu ada berasakan UI masalah kecil, malah ada yang beranggapan ia perkara biasa disebabkan proses penuaan dan semua wanita perlu melaluinya. Tetapi ada juga wanita yang mengalami masalah UI memilih cuba merawatnya dengan kaedah terapi sendiri,” katanya.

Dr Seri Suniza berkata, didapati ada segelintir wanita yang mempunyai masalah kebocoran air kencing tidak kisah untuk membuat rawatan. Bagaimanapun, bagi wanita Islam khususnya apabila hendak menunaikan haji atau umrah ada yang mulai risau mengenai masalah dihadapinya dan barulah mereka hendak berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat ataupun membuat rawatan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai UI, katanya ia terbahagi kepada beberapa iaitu tekanan yang mana ia berlaku apabila individu itu bersin, ketawa, batuk, berjoging atau perkara lain yang meletakkan pundi kencing dalam keadaan tertekan. Ini adalah masalah hilang kawalan pundi kencing yang paling biasa dialami wanita.

Kedua, terdesak dan selalunya individu berkenaan akan berasa terlalu ingin membuang air kecil hingga menyebabkan terkencing sebelum sempat sampai ke tandas. Dalam keadaan ini, otot pundi kencing mengecut dan hanya memberi isyarat hendak kencing beberapa saat atau minit saja. Dalam kes seperti ini individu juga kerap kencing. Sementara, pundi kencing terlalu aktif pula akan menyebabkan kencing yang kerap dan banyak, malah berlaku kekerapan bangun malam untuk membuang air kecil.

“UI selalunya bermula dengan kekerapan membuang air kecil dalam sehari. Kebanyakan individu sama ada wanita atau lelaki biasanya membuang air kecil antara enam hingga lapan kali sehari dan mereka yang mengalami UI, kekerapan membuang air kecil adalah dalam tempoh 35 hingga 40 minit sekali tetapi dalam kes lebih teruk ada yang terpaksa berbuat demikian setiap 15 minit sekali.

“Bagaimanapun, adalah normal jika individu yang bangun membuang kecil sekali selepas masuk tidur tetapi jika lebih daripada dua kali, ia boleh dianggap menghadapi masalah kebocoran air kencing,” katanya.

Dr Seri Suniza berkata, rawatan masalah UI tidak semestinya perlu ditangani dengan pembedahan, sebaliknya memantapkan otot pelvis dengan membuat fisioterapi dan mengambil ubat adalah pilihan utama. Bagi yang mengalami masalah obesiti, disarankan mengurangkan berat badan. Individu yang kerap membuang air kecil ketika melakukan aktiviti fizikal pula dinasihatkan, lebih baik mengurangkannya.

Selain itu, pada masa ini terdapat alat perlindungan, pelapik atau pad khas nipis dan canggih yang menyerap air kencing diperkenalkan untuk membantu mengatasi masalah lemah kawalan kencing.

Apa pun mengambil langkah cepat untuk mendapatkan nasihat dan rawatan doktor adalah yang terbaik bagi mengatasi gejala itu supaya tidak terus berlanjutan sehingga menjejaskan kehidupan.

INFO: Bagaimana pundi kencing berfungsi
* Secara umumnya pundi kencing boleh menampung sehingga 500 ml air kencing.
* Apabila air kencing bertambah, pundi akan berkembang secara perlahan-lahan dan kebanyakan orang berasa ingin ke tandas apabila pundi kencing berisi separuh penuh (kira-kira 250 ml).
* Apabila pundi kencing perlu dikosongkan, otot pada dinding pundi kencing akan mengecut dan otot pada uretra berehat. Ketika ini air kencing dapat dikeluarkan.

* Bagi wanita, salur kencing ini terletak di depan kemaluan, manakala pada lelaki ia melalui zakar. Bagi orang dewasa, pembuangan air kencing dapat dikawal dan dilakukan pada masa dan tempat sesuai.
* Kekerapan kencing berbeza antara individu dan jika keperluan pergi ke tandas melebihi lapan kali dalam 24 jam, ia dianggap tidak normal. Gejala kawalan pundi kencing yang lemah
* Kerap pergi tandas iaitu lebih daripada lapan kali dalam 24 jam.
* Kerap merasai keinginan yang kuat dan tiba-tiba untuk kencing.
* Kebocoran air kencing yang tidak terkawal.
* Kebocoran air kencing ketika ketawa, batuk, bersin, lompat atau berlari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan