#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Menantu perempuan mesti beralah

PENDEDAHAN seorang nenek yang menceritakan pengalamannya dalam ruangan ini minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Tetapi tanpa mahu merujuk secara keseluruhan kepada keluhan tersebut, saya cuma ingin mengulas mengenai sikap menantu perempuan.

Saya sendiri sudah mendengar banyak cerita mengenai menantu perempuan yang kadang kala menunjukkan kerenah yang bukan-bukan.

Ada antara mereka tidak tahu menghormati mertua, biarpun sebenarnya kalau mertua tidak mengizinkan sudah tentu mereka tidak akan mendapat suami yang mereka idamkan. Mereka berpendapat, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin maka ia menjadi hak eksklusif mereka, orang lain tidak boleh kacau-kacau termasuklah ibu bapa lelaki berkenaan.

Kesudahannya hubungan menantu dengan mertua menjadi renggang. Kalau hendak balik ke rumah mertua macam-macam alasan diberikan tetapi kalau hendak balik rumah sendiri awal-awal lagi sudah kemaskan pakaian.

Kepada kaum wanita yang menjadi menantu, faham-fahamlah bahawa tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu bapa mereka tidak akan berakhir biarpun mereka sudah berkahwin. Selagi ibu bapa mereka masih bernafas di alam fana ini, selagi itulah mereka bertanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya.

Saya sering baca di ruangan ini, paparan-paparan mengenai sikap menantu lelaki termasuklah kritikan oleh sesetengah isteri kerana si suami terlalu beratkan ibu bapa mereka.

Bagi saya, itu sikap yang mulia cuma jangan sampai rumah tangga dan kebajikan anak-anak terabai.

Saya juga sering berjumpa dengan menantu perempuan yang suka sangat mengkritik ibu bapa mertua mereka. Mungkin kedua-dua orang tua itu ada buat salah tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim.

Tetapi masalahnya kaum wanita ini kebanyakannya suka sangat ikut perasaan. Bila nampak suami berat sikit di sebelah ibu bapanya, mula buat muka. Sebenarnya, selagi suami itu tidak mengabaikan rumah tangga, biarlah dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki.

Selain itu, kalau sudah meminta tolong ibu bapa mertua menjaga anak-anak maka faham-fahamlah untuk memberikan sedikit sumbangan. Jangan kerana hendak jimat wang maka anak-anak dihantar kepada ibu bapa mertua untuk dijaga.

Sebenarnya orang tua kita tak kisah untuk menjaga cucu-cucunya, malah kasih sayang mereka kepada cucu kadang kala lebih tinggi berbanding mereka sayangkan kita. Namun orang Melayu diajar untuk berbudi berbahasa, maka kalaulah ibu bapa mertua dah jaga anak-anak kita, pandai-pandailah kita membalas budi mereka.

Sebagai datuk dan nenek, mereka tidak akan meminta balasan, malah mereka bahagia bila cucu-cucu ada di rumah, tetapi kita pun kena juga tahu apa yang patut kita berikan. Jangan ingat kudrat yang mertua kita keluarkan percuma sahaja. Sepatutnya pada usia tua mereka berehat dan menumpukan perhatian kepada beribadat kepada Allah.

Tetapi bila kita hantar anak-anak ke rumah mereka untuk dijaga, sedikit sebanyak waktu lapang mereka sudah terganggu. Namun kita yakin mereka tidak akan bersungut.

Satu hal lagi, kalau bermusuh dengan ibu bapa mertua, janganlah menghasut suami pun ikut sama. Apa pun berlaku hubungan anak dan ibu bapa tidak boleh diputuskan. Si suami pun janganlah mengikut sahaja, kalau tahu si isteri melakukan perkara yang salah.

Tetapi paling baik si menantu harus tahu beralah, jangan hendak tunjuk keras kepala tidak tentu fasal kerana apa pun kita harus faham bahawa setiap niat yang baik pasti diberkati Allah.
Mungkin sesetengah mertua ada perangainya sendiri tetapi kita tidak boleh melawan kerana apa pun mereka akan tetap pertahankan pendirian mereka.

Oleh itu daripada pening-peningkan kepala adalah lebih baik menantu-menantu perempuan ini bersabar sahaja. Bagi si suami pula, pandai-pandailah menyelesaikan masalah yang timbul, jangan kita pun berat sebelah.

Saya memberikan pandangan ini secara ikhlas dan berharap tidak ada mana-mana pihak tersinggung.

Hasbullah, Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan