#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Julai 01, 2009

Anak atau cucu bapa?

Oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Anak atau cucu bapa? Itulah hasil perlakuan keji seorang lelaki dipanggil ‘papa’ yang menjadikan anak sendiri tempat melampiaskan nafsu hingga anaknya yang berusia 16 tahun kini sarat mengandung tujuh bulan.Difahamkan, bapa ‘iblis’ berusia 30-an itu dikatakan mula meratah tubuh anaknya sendiri sejak empat tahun lalu ketika mangsa sedang belajar di tahun enam.

Mangsa yang mula menunjukkan ciri gadis dewasa itu dikatakan menarik minat bapa sendiri dan diibaratkan sebagai ‘isteri’ kedua apabila sering menidurinya setiap kali ibunya tiada di rumah. Lebih malang apabila aduan mangsa kepada ibunya sebelum ini tidak diendahkan, sebaliknya bapanya bertindak lebih agresif dengan menodainya di rumah mereka di Rawang, dekat sini, setiap malam selain memukulnya jika kemahuannya tidak dipenuhi.

Ibu mangsa dikatakan tidak menghiraukan keluhan mangsa seolah-olah merelakan perbuatan keji suaminya apabila dikatakan masih bersikap berdiam diri walaupun pernah terserempak suspek menyelinap masuk ke bilik gadis terbabit.

Menurut sumber, biarpun selepas menyedari mengenai perbuatan keji suaminya, ibu kepada tiga anak itu masih mendiamkan diri dipercayai kerana takut dipukul suaminya.

“Apabila tubuh anaknya sudah berubah selepas mengandung, remaja malang itu tidak dibenarkan keluar rumah.

“Tindakan itu dilakukan bertujuan menjaga maruah keluarga selain mengelakkan dipandang serong masyarakat,” katanya.

Akibat tidak tahan menjadi hamba seks bapanya, mangsa melarikan diri sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rawang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Kita sudah menahan lelaki terbabit dan dia akan direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam).

“Remaja terbabit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan