#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Menghargai deria bau

BAGI haiwan peringkat rendah atau vertebrata yang lain, selain manusia, deria bau terbentuk dengan begitu signifikan kepentingannya untuk kehidupan mereka.

Ada antara haiwan ini yang bergantung kesinambungan hidup dengan menggunakan deria bau.
Ada antara kelompok haiwan yang menggunakan deria bau untuk mengesan bahaya yang wujud di sekeliling mereka, seperti kehadiran haiwan pemangsa.

Ada pula haiwan yang dimanipulasikan deria bau mereka, contohnya anjing bagi mengesan kehadiran bahan-bahan terlarang seperti dadah ataupun mengesan jejak orang yang hilang mahupun di bawah timbunan runtuhan bangunan.

Ramai antara kita yang alpa dengan nikmat yang begitu penting ini sehinggalah suatu hari kita kehilangannya.

Mungkin bagi manusia, deria ini tidak menjadi suatu keperluan penting untuk memastikan kesinambungan hidup, lantas menjadikannya kurang dihargai.

Hanya setelah kita menghadapi masalah dengan deria bau barulah kita mula rimas dan cuba sedaya upaya dengan pelbagai kaedah bagi mendapatkan semula deria yang hilang ini.

Misalnya, ketika hidung tersumbat, deria bau akan hilang. Begitu juga dengan kebolehan merasa makanan juga akan terganggu.

Makanan akan jadi kurang menyelerakan kerana sudah tiada lagi bau yang menarik perhatian.

Senario ini menunjukkan betapa pentingnya deria bau demi mewujudkan keadaan hidup yang lebih menyelesakan.

Interpretasi bau

Jika kita mengamatinya, kita akan mendapati rangsangan atau stimulasi bau ini berlaku semasa atau dengan cara kita menarik nafas.

Tiada orang yang mencium bau sesuatu bahan dalam keadaan nafas dihembus keluar.

Bagaimanakah pula bau ini diterjemahkan?

Partikel-partikel zarah yang mempunyai bahan-bahan dengan kapasiti mengeluarkan bau akan bercampur dengan udara.

Semakin dekat dihidu, semakin tinggi kepekatan partikel-partikel ini berbanding jika sesuatu itu dihidu dari jarak jauh.

Sewaktu menarik nafas, udara yang mempunyai partikel-partikel ini akan turut masuk ke dalam hidung.

Di dalam hidung manusia, terdapat suatu struktur yang dipanggil hujung saraf olfaktori yang terletak di kedua-dua belah hidung.

Kawasan olfaktori ini terdapat di bahagian paling atas (roof) kaviti hidung di kedua-dua belah kanan dan kiri.

Keajaiban struktur dalam hidung yang dicipta sedemikian rupa supaya udara sewaktu disedut
akan melalui kawasan olfaktori ini secara maksimum yang membolehkan kita mencium bau sesuatu bahan.

Di kawasan struktur itu, terdapat terlalu banyak reseptor sensori yang bertanggungjawab mengesan stimulasi bau.

Reseptor-reseptor ini akan diaktifkan apabila terdapat rangsangan yang dibawa oleh udara yang disedut.

Impuls elektrik ini akan dikonduksikan secara bersambungan dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain sehinggalah ia sampai ke korteks otak yang akan menterjemahkan apakah jenis bau yang dihidu, berdasarkan pengalaman lepas.

Masalah bau

Deria bau yang mantap bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya adalah keperluan stimulasi yang bermula dengan partikel-partikel yang mencukupi sampai ke kawasan olfaktori.

Keadaan di kawasan lapisan mukosa olfaktori juga perlu baik dan sempurna fungsinya, di samping keutuhan saraf olfaktori yang akan membawa impuls elektrik ke otak dan juga fungsi kawasan otak yang akan menterjemahkan rangsangan tersebut.

Masalah kepada salah satu bahagian ini akan menyebabkan persepsi deria bau akan terganggu.
Anosmia ialah keadaan di mana hilang deria bau secara keseluruhan, iaitu tiada bau langsung yang dapat dinikmati.

Hiposmia pula ialah keadaan deria bau masih ada tetapi dalam keadaan yang memerlukan lebih banyak atau lebih kuat rangsangan bau.

Maksudnya, stimulasi yang kecil mungkin sudah dapat dirasai oleh seseorang yang normal, tetapi mereka yang mengalami hiposmia perlu mendapat rangsangan dalam kepekatan yang lebih tinggi.

Parosmia ialah keadaan di mana seseorang itu menterjemahkan bau secara tidak kena dengan rangsangan yang diberikan.

Selalunya, bau yang diberikan akan dikatakan tidak menyelesakan walaupun ia adalah baik bagi mereka yang normal.

Punca masalah bau

Seperti dinyatakan di atas, mana-mana bahagian yang terlibat dalam perjalanan olfaktori dari hidung ke otak akan mengakibatkan gangguan kepada resepsi deria bau.

Antara punca yang sering ditemui ialah rongga hidung yang tersumbat. Ia mudah difahami kerana apabila hidung tersumbat maka kurang udara akan masuk ke hidung, juga menyebabkan kurang partikel bau sampai ke kawasan olfaktori.

Hidung tersumbat boleh disebabkan oleh polip hidung, hipertrofi 'turbinate' atau pembengkakan (edema) membran mukosa hidung akibat jangkitan saluran pernafasan atas seperti influenza, masalah alahan hidung (allergic rhinitis) atau ketumbuhan.

Hilang deria bau juga sering dikaitkan dengan kemalangan yang melibatkan kawasan muka dan hidung yang menyebabkan kepatahan tulang maksilla dan tulang lain sekitar hidung yang boleh menyebabakan kerosakan kawasan olfaktori.

Kerosakan begini boleh bersifat kekal.

Kadang kala, hilang deria bau mungkin disebabkan oleh ketumbuhan dalam otak yang melibatkan struktur saraf yang terlibat dalam konduksi deria bau.

Rawatan

Masalah deria bau yang berlanjutan mungkin memerlukan anda untuk diperiksa oleh doktor bagi memastikan tiada sesuatu yang membahayakan kesihatan sedang berlaku.

Sejarah pesakit akan diambil dengan teliti termasuklah masalah alahan, simptom lain yang berkaitan seperti hidung tersumbat, sinusitis, penyakit terdahulu, sejarah trauma yang pernah menimpa dan sebagainya.

Pemeriksaan hidung akan dibuat secara sistematik termasuklah naso-endoskopi untuk melihat sebarang keabnormalan dalam hidung.

Kawasan yang difokuskan ialah bahagian atas kaviti hidung dengan tidak mengenepikan pemeriksaan bahagian-bahagian lain yang mungkin terlibat.

Ujian bauan (smell test) juga akan dilakukan.

Jika tiada sebarang penemuan diperolehi, imbasan otak mungkin dilakukan, jika perlu, bagi membantu mengesan ketumbuhan yang ada di bahagian otak.

Dalam kebanyakan kes, masalah deria bau ini bersifat sementara. Rawatan akan diberikan setelah punca sebenar dikesan.

Ia mungkin tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain.

Apa yang penting ialah kita dapat mengesan apa yang berlaku pada diri kita dan melaporkan keabnormalan yang berlaku jika sesuatu yang tidak kena disyaki.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan