#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Penderaan seksual

Oleh Maiamalina Mohamed Amin maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan suami yang mendesak isteri memuaskan nafsu luar biasanya sehingga mahukan persetubuhan belasan kali sehari, disifatkan penderaan seksual yang tidak ubah seperti rogol.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata meskipun menjadi tanggungjawab isteri memenuhi tuntutan batin suami, namun tidak pada tahap yang melampau.

Menurut beliau, si isteri boleh memohon fasakh sekiranya mendapati nafsu berlebihan suami boleh memudaratkan dirinya atau mungkin membawa kepada perkara lebih buruk termasuk kematian sekiranya berlaku seks ganas.

“Isteri memang boleh mohon fasakh dalam kes ini tetapi jika mohon bercerai atas alasan lain, tidak boleh kerana (memenuhi nafsu suami) adalah sebahagian tanggungjawab isteri dari segi batinnya, dia wajib jalankan.

“Jika tidak mampu (melayan suami) itu yang Islam benarkan poligami supaya keinginan batin suami boleh dipenuhi isterinya yang lain, namun tidak ramai wanita yang sanggup pula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai dua wanita yang baru berkahwin tidak sampai setahun terpaksa mengemukakan permohonan fasakh di mahkamah syariah berikutan tidak mampu melayani nafsu suami.

Kedua-duanya mendakwa menderita kerana terpaksa melayani tuntutan batin luar biasa suami yang mahu melakukan hubungan seks hingga 17 kali sehari termasuk percaya suami berdamping dengan makhluk halus bagi mendapatkan kekuatan berkenaan.

Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata wanita yang menderita keganasan seksual akibat nafsu berlebihan suami berisiko menghadapi gangguan psikologi.

“Tidak dinafikan wanita yang menerima layanan suami begini mungkin akan terganggu dari sudut psikologinya, apatah lagi apabila bersabit keganasan seksual, cuma apabila kes ke mahkamah, sukarlah kumpul bukti sebab dera seksual,” katanya.

Bersabit suami yang dipercayai berdamping syaitan untuk mendapatkan kebolehan luar biasa begitu, Noor Aziah berkata, jarang mendengar kes perceraian akibat perbuatan terbabit tetapi tidak menafikan ia wujud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan