#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 20, 2009

Bukan lelaki sahaja yang salah

Arkib 19/7/2009

SAYA benar-benar bersimpati dengan nasib yang menimpa Sha seperti mana yang beliau coretkan dalam ruangan ini minggu lalu. Walaupun saya seorang lelaki tetapi saya sama sekali tidak menyebelahi mana-mana lelaki yang bersikap tidak adil, apatah lagi tidak memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak.

Namun begitu, saya percaya Sha sudah belajar daripada kesilapan yang lalu dan saya doakan beliau akan bertemu jodoh dengan insan yang lebih bertanggungjawab, berhati mulia dan soleh.

Apa pun, pengalaman yang dilalui oleh Sha seharusnya menjadi pengajaran kepada gadis atau wanita yang ingin berkahwin. Sememangnya tidak dapat dinafikan, jodoh pertemuan ajal maut di tangan Allah, tetapi dalam masa yang sama kita juga harus ingat bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak mengubahnya sendiri.

Atas sebab itulah, saya ingin menasihatkan gadis-gadis supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis apatah lagi madah berhelah mana-mana lelaki yang ingin mereka jadikan suami.

Perkahwinan ibarat mendirikan sebuah masjid, atas sebab itu, ia bukan sahaja harus dibina atas dasar kasih sayang dan cinta yang suci dan ikhlas tetapi juga memahami tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri.

Kalaulah ketika bercinta atau bertunang pun sudah buat perangai, adalah lebih baik kita menolak sahaja pasangan kita itu. Jangan terpengaruh dengan cinta buta kerana akhirnya yang akan menanggung penderitaan adalah kita sendiri seperti mana yang dialami oleh Sha.

terpedaya

Saya tidak berhasrat menjadikan Sha sebagai contoh, tetapi kita sudah lihat bagaimana dalam banyak kes perempuan seolah-olah begitu mudah terpedaya, malah kononnya atas dasar cinta, mereka menggadaikan tubuh mereka kepada kekasih.

Apa yang lebih malang ada pula gadis-gadis yang sanggup lari daripada rumah kerana ingin mengikut kekasih. Kasihan kepada ibu bapa mereka.

Oleh itu, dalam soal teraniaya akibat perbuatan suami, jangan salahkan lelaki sahaja, salahkan juga kaum perempuan yang begitu mudah terpedaya.

Memang benar wanita adalah insan yang lemah tetapi Islam juga mengajar kita untuk menjadi manusia yang kuat dan berupaya dalam melayari bahtera kehidupan.

Janganlah apabila sesuatu sudah berlaku maka dengan mudah kaum lelaki dipersalahkan, pokok pangkalnya ada diri kita sendiri. Kalau perempuan, gadis atau wanita itu bijak sudah tentu mereka tidak akan terperangkap dengan permainan lidah lelaki.

Sebab itulah dalam apa juga soal, kita perlu meminta petunjuk daripada Allah termasuklah dalam soal memilih jodoh. Kalau ada keraguan di permulaan hubungan kita dengan seseorang maka mintalah petunjuk-Nya, apakah ia perlu diteruskan atau tidak.

Bagi saya, adalah lebih baik kecewa ketika berada di alam percintaan berbanding menderita ketika di alam perkahwinan. Tetapi kadang kala sesetengah gadis atau wanita itu degil, walaupun tahu pasangan mereka baik sikit daripada jembalang masih juga hendak menjalinkan hubungan kesudahannya apabila berkahwin mereka yang terpaksa berendam air mata.

Ketika itu semuanya sudah tidak bermakna lagi, kalau menyumpah setinggi seribu gunung sekalipun ia tidak akan mengubah keadaan, adalah lebih baik jika kita bermuhasabah terhadap kesilapan yang kita telah lakukan.Mungkin ada kaum wanita yang tidak berpuas hati dengan reaksi ini tetapi ia adalah hakikat.

Menuding jari kepada suami atau bekas suami selepas segala-galanya berlaku bukanlah tindakan yang bijak, sebaliknya sampai ke mati, kaum wanita terlibat akan terus dihantui peristiwa berkenaan.

Oleh itu, kepada semua gadis dan wanita, belajarlah mengenal kehidupan dengan sebaik-baiknya, jangan terpengaruh dengan cinta dan terpedaya dengan nafsu. Sesungguhnya jalan terbaik untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat adalah dengan meminta petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT, dalam apa juga kita lakukan.

Salam...
n Nasrollah
Kota Bharu, Kelantan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan