#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 28, 2009

Ditambat rakan suami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my

GOMBAK: Kecewa selepas gagal memujuk wanita pujaan hati yang berstatus ‘isteri orang’ untuk berkahwin dengannya, seorang lelaki bertindak luar biasa dengan mengurung wanita berkenaan dalam rumahnya sebelum menjadikannya hamba seks selama empat bulan.

Lebih malang apabila wanita berkenaan yang kehilangan suami turut diperkosa puluhan kali selain didera secara zalim oleh lelaki terbabit sepanjang tempoh menjadi orang tawanan.Tambah menyayat hati apabila wanita malang berkenaan diikat kaki dan tangannya sebelum ditambat pada meja bagi mengelakkannya melarikan diri setiap kali suspek mahu meninggalkan rumah.

Sumber polis berkata, penderitaan dialami wanita rakyat tempatan itu berlaku selepas suaminya, seorang pendatang warga Myanmar, ditahan Jabatan Imigresen kerana didapati memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, suami wanita itu berusia 20-an yang ditahan pihak berkuasa sekitar Mac lalu ketika menjual sayur di sebuah pasar, dekat sini, kini dilaporkan ditahan di pusat tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan penahanan lelaki terbabit menyebabkan isterinya yang berusia 24 tahun terpaksa menjaga dua anak mereka yang masih kecil, berusia lima dan tujuh tahun di sebuah rumah di Rawang.

“Pada masa sama, seorang lelaki tempatan yang juga kenalan rapat suami mangsa, turut mendiami sebuah bilik di pangsapuri yang disewa wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, menyedari mangsa tidak ditemani suami selain ditinggalkan keseorangan, suspek yang masih bujang, mula cuba menggoda dan memikat wanita berkenaan beberapa kali walaupun menyedari buah hatinya itu sudah berumahtangga.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan yang masih berstatus seorang isteri menolak cinta gila lelaki berkenaan kerana memikirkan nasib suami dan anak-anak yang perlu dibela.

“Namun, suspek berusia 30-an itu enggan mengalah sebelum memujuk mangsa berkahwin dengannya dan seterusnya melupakan suaminya. Malangnya, suspek nyata bertepuk sebelah tangan apabila mangsa berkeras menolak permintaannya menyebabkan lelaki itu bertindak ganas dengan menyerang dan mengurungnya,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak boleh menerima kenyataan cintanya ditolak, kemudian mengurung mangsa dalam bilik di rumah sewa berkenaan sejak Mac lalu.

“Sepanjang tempoh mangsa dikurung, dia tidak dibenarkan keluar rumah selain dipukul dan diperkosa tidak ubah seperti hamba seks.

“Jika suspek ingin keluar bekerja, dia akan terlebih dulu mengikat kaki dan tangan mangsa sebelum ditambat pada meja untuk mengelakkan mangsa melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahan didera fizikal dan mental akhirnya berjaya membebaskan diri sebelum meminta bantuan daripada jiran.

“Jiran mangsa yang mendapat tahu mengenai insiden itu segera membuat laporan di balai polis berdekatan. Hasil bantuan polis, mangsa akhirnya dibebaskan daripada ‘neraka’ berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan terhadap kes terbabit diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, polis masih memburu suspek yang melarikan diri sejurus mengetahui wanita itu berjaya dibebaskan pihak berkuasa dan dia dipercayai bersembunyi di kawasan berhampiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan