#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Julai 28, 2009

Bayi ditinggal ibu tanpa sijil lahir

KUALA LUMPUR: “Saya tidak anggap ia sebagai beban, malah bagi saya ia adalah rezeki daripada Allah,” kata Yusmanti Jusoh, 36, yang kini menjaga bayi berusia tiga bulan yang diberi nama Mohammad Ammar.

Bayi itu ditinggalkan ibunya berusia 40-an, yang datang ke rumah Yusmanti kerana mencari orang menjaga bayinya kerana dia menyatakan hendak bekerja selepas pantang.

“Saya dan keluarga ketika itu sedang berehat di hadapan rumah, lalu didatangi seorang wanita yang bertanya di mana boleh dia mendapatkan orang untuk menjaga bayinya kerana dia menyatakan hendak bekerja selepas pantang.“Lalu saya bersetuju mengasuh bayi itu dan wanita terbabit berjanji akan membayar upah RM400 sebulan,” katanya.

Dia yang tidak dikurniakan cahaya mata, bagaimanapun menganggap bayi itu seperti anak sendiri walaupun sehingga kini wanita yang menyerahkan bayi terbabit tidak pernah muncul sejak April lalu.

Menurutnya, apabila dia bertanya mengenai sijil kelahiran bayi itu, wanita terbabit berjanji akan memberikan kepadanya pada keesokan hari, namun sehingga kini wanita itu tidak pernah muncul apatah lagi bertanya khabar anaknya.

“Nama sebenar bayi itu juga tidak kami ketahui dan akhirnya kami sekeluarga memutuskan untuk memanggilnya dengan nama Mohammad Ammar.

“Ammar sudah saya sayang dan dijaga seperti anak sendiri, saya tidak mahu orang lain menganggap yang bukan-bukan mengenainya,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Sazalan Abdul Ghani, 36, berkata dia berharap wanita terbabit dapat tampil dan memberikan sijil kelahiran Ammar.

“Jika dia tidak mahu lagi menjaga Ammar, kami bersedia mendidik dan menjaganya, tetapi apa yang penting adalah mengenai sijil kelahiran Ammar,” katanya yang datang ke Balai Berita di sini, semalam.Mereka yang mempunyai maklumat mengenai ibu bayi itu boleh menghubungi Sazalan di talian 019-9569662.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan