#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, Oktober 07, 2012

Suami kena bersihkan jiwa

Sumber : Utusan Malaysia

WALAU apa pandangan pembaca tentang rencana fiil isteri zaman ini minggu lalu, saya setuju dengan penulisnya, sebab dari pengalaman dan pemerhatian saya yang sudah bergelar isteri, ibu dan nenek bahawa wanita tak boleh pandang remeh pandangan suami, kita kena 'go back to basics,' maknanya kembali kepada Quraan dan Sunnah. Itu kata Saleha dalam emelnya.

''Namun bukan semua benda kena ikut telunjuk suami, tapi kena faham kedudukan suami dan isteri dalam Islam. Sebagai contoh, rajin belajar agama tapi tak hormat suami, terlampau nak kumpul pahala hingga lupa peranan isteri. Atau ada isteri terlalu moden, hidup macam mat salleh semua benda nak kerah suami.

''Saya sedar pandangan Shahzan pasti mendapat banyak reaksi negatif dari wanita, tetapi sebelum melenting, buka mulut dan marah-marah, duduk diam, tenang dan fikir dulu. Tolak tepi kisah isteri didera, suami tak membantu dan sebagainya, sebab topik itu lain kerana ada jalan penyelesaian.

''Topik ini lain, pasal perangai isteri yang tak masuk ajar. Kita jangan mudah hot, tetapi nilai dulu hati dan perangai kita. Jangan nak berbalas tembakan.

''Kepada isteri yang baik, jika ditakdirkan dapat suami perangainya macam *#@&^*&^, bersabar, banyakkan berdoa kepada Allah semoga suami kita berubah.'' Itu nasihat Saleha.

Dari banyak emel yang diterima lebih ramai menyalahkan Shahzan, Antara pandangan yang diterima datang dari Azimah katanya lelaki yang suka salahkan wanita jelas terlalu emosional, ada kelemahan diri dan kecewa kerana kegagalan berumah tangga, sebab itu dia tidak nampak kebaikan isterinya.

Sabrina pula dalam emelnya tidak setuju dengan pandangan Shahzan, kalau dia benar-benar tidak puashati dengan khidmat yang diberikan cari saja pengganti. ''Luka kalau dijahit pasti ada parut. Pada pandangan saya jika suami sudah bencikan isteri pasti tidak ada yang baik terlihat dalam diri isterinya, jadi apa tunggu lagi, lebih baik cari yang baru."

Zettyarina dalam emelnya berkata dia bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kita harus terima bahawa yang sempurna hanyalah Allah.

''Membaca tulisan Shahzan, saya agak terkilan dengan persepsi anda tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah perkongsian dua hati dan perkongsian tanggungjawab yang diamanahkan Allah. Suami dan isteri, masing-masing ada hak. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya." (Surah al-Baqarah 2:228).

''Tetapi saya tidak mahu membicarakan persoalan ini dalam konteks agama kerana bukan bidang saya.

''Tanggungjawab isteri bukan saja sediakan makan minum keluarga. Jika isteri rela melakukannya maka balasan pahala dijanjikan Allah. Saya pasti di zaman ini kebanyakkan isteri bekerja bukan saja
memasak dan sediakan makan minum suami dan keluarga malah membeli keperluan asas dengan wang gaji sendiri.

''Perkara remeh begini membuatkan saya muak membicarakannya. Saya didik anak-anak lelaki saya jalankan tanggungjawab yang akan mereka lakukan pada masa depan. Saya didik mereka dengan nasihat, "Jangan sesekali benarkan anak dan isteri heret engkau masuk Neraka."

''Tanggungjawab menjadi suami bukan sekadar mencari nafkah, menyediakan keperluan asas keluarga saja. Malah suami mesti didik anak dan isteri jalan ke syurga. Jangan izinkan isteri buat kerja yang bukan tanggungjawab mereka secara paksa-rela.

''Isteri perlu dididik bukan dijadikan 'orang gaji' tanpa sedar. Anak-anak lelaki di rumah, saya galakkan membantu sediakan makan minum, pendek kata melakukan kerja yang lazim dilakukan oleh isteri dan ibu.

''Mungkin pembaca kata anak-anak lelaki saya akan dibuli oleh isteri mereka di masa depan. Seperti yang saya katakan, saya tidak benarkan menantu dan cucu saya pada masa depan mengheret anak-anak lelaki saya ke neraka. Jika anak-anak lelaki jalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah yang baik, Insyaallah keluarganya pasti mengasihi dan menyayanginya.

''Bacalah buku mengenai kehidupan. Jangan sempitkan maksud perkahwinan dan tanggungjawab. Perkahwinan bukan pelaburan untuk membawa keuntungan. Perkahwinan adalah medan mengaut sebanyak pahala Allah. Memang benar tulisan saudara Shahzan berlandaskan riwayat Tarmizi dan Ibnu Sibban bahawa isteri wajib taat pada suami. Persoalannya suami bagaimana?

''Walaupun ayah kepada anak-anak saya gagal memberi nafkah kepada anak-anaknya, tetapi saya terapkan kepada mereka, "Jangan persoalkan tanggungjawab orang lain, persoalkan diri sendiri. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri: padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Rujukan: Solusi isu no 48, m/s 68).

''Isteri perlu dididik dengan sabar kerana dia perempuan. Perempuan itu sifatnya penuh emosi dan kemanjaan. Nafsunya melebihi nafsu lelaki. Itulah sebabnya Allah ciptakan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan.

''Tapi berapa ramai suami melepaskan tanggungjawab kepada isteri? Berapa banyak kes pemberian nafkah terhadap isteri dan anak-anak tertangguh di mahkamah? Berapa ramai isteri menyara anak dengan gaji sendiri?

''Pada saya Shahzan perlu berfikiran lebih global. Perkahwinan bukan hanya taat isteri pada suami untuk memenuhi biologi manusia secara halal tetapi adalah penyatuan dua hati yang berbeza cara hidup dalam redha Allah.

''Suami dan isteri saling melengkapi, jika tahu peranan masing-masing. Berfikirlah seperti umat Islam yang mempunyai pemikiran kelas pertama yang mengakui fitrah kejadian manusia dan perkahwinan satu ibadah.

''Maaf jika ada yang terasa. Berkata benarlah walaupun pahit. Pemikiran yang matang akan melahirkan generasi lebih matang. Ramai isteri bukan saja menyumbang tenaga dalam rumah, malahan menyumbang pendapatan untuk menjana ekonomi rumahtangga.

''Kasihani isterimu kerana dia makhluk Allah yang lembut. Didiklah isteri-isteri dan anak-anak supaya mereka boleh membawa kamu ke syurga."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121007/ke_02/Suami-kena-bersihkan-jiwa#ixzz28gfbh1Lk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan