#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Jun 15, 2009

Wanita lari dari kurungan parah

SUNGAI PETANI: “Mereka (ejen pekerja asing) tidak mahu melepaskan kami walaupun sudah beberapa tahun kami bekerja di negara ini dan apabila kami terus mendesak, ejen menyerahkan kami kepada pihak tidak dikenali lalu dikurung sejak empat hari lalu di bangunan ini.

“Tidak tahan dikurung dan hanya diberi biskut kering, kami nekad turun dari bangunan menggunakan cadar sebagai tali,” kata seorang wanita warga Indonesia yang tidak mahu dikenali.Dia antara dua wanita Indonesia cuba turun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai Kompleks Seri Temin di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam.

Seorang daripada wanita itu parah kerana terjatuh, tetapi rakannya bernasib baik apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memotong kunci pintu masuk ke bilik mereka yang dipercayai dikurung.

Saksi yang juga Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Che Osman Che Mat, 56, berkata ketika bertugas memantau Dataran Zero bersama tiga rakan sekerja kira-kira jam 6 pagi, mereka terdengar jeritan meminta tolong dari arah Kompleks Seri Temin di seberang jalan.

“Kami bergegas ke arah itu dan terkejut mendapati seorang wanita warga Indonesia mengerang kesakitan dengan darah di kaki kanannya.

“Kami mendapati mangsa cuba melarikan diri dengan menjadikan kain selimut, tuala dan kain batik sebagai tali buatan sendiri untuk turun daripada bangunan tiga tingkat itu.

“Bagaimanapun, usaha wanita terbabit gagal kerana terjatuh dari ketinggian empat meter kerana tali itu putus,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia melihat seorang lagi wanita menangis di balkoni bangunan tiga tingkat itu sambil memegang kain yang diikat menjadi tali.Che Osman berkata, sebaik melihat keadaan itu, dia menghubungi Bilik Gerakan MPSPK untuk mengarahkan petugas memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Pertahanan Awam, ambulans dan polis.

“Saya cuba memujuk dan melarang wanita yang berada di balkoni daripada meneruskan hajat turun bangunan menggunakan tali itu manakala tiga lagi rakan setugas membantu rakannya yang terbaring di simen.

“Tidak lama kemudian empat agensi kerajaan yang dihubungi tiba dan membantu wanita terbabit,” katanya.

Menurut polis, wanita Indonesia yang parah di tubuh dan pinggangnya dipercayai patah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulans.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan