#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Jun 19, 2009

Tindakan tercela

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dayus seorang suami membiarkan isterinya berlaku curang, tetapi lagi keji jika menghukum isteri dengan cara mencederakan termasuk memperlakukan seperti binatang sedangkan amalan itu ditegah dalam Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata Islam menggariskan beberapa panduan buat suami untuk mendidik isteri yang bertindak di luar kawalan.

Namun, katanya tiada satu amalan yang dicatatkan menerusi kitab mahupun al-Quran membenarkan suami memukul isteri di tempat tidak sepatutnya sama ada pada badan mahupun muka, apatah lagi jika mendatangkan kemudaratan.

“Nabi Muhammad s.a.w bersabda jika mahu membetulkan isteri perlu mulainya dengan menegur, jika tidak berkesan perlulah asingkan tempat tidur, sebelum langkah terakhir memukul, tetapi berlandaskan panduan tertentu.

“Bukan main pukul saja sebab Nabi jelaskan hendak memukul bukan dengan benda keras, beliau sendiri menghukum isteri dengan hujung serbannya, bertujuan mendidik dan menyedarkan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 32 tahun diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum badannya dibelasah suaminya.

Si suami seorang peniaga kecil dipercayai seorang yang cepat panas baran, sebelum itu membuat tuduhan melulu dengan mendakwa wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan bapa saudara lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa cedera seluruh badan selepas diseksa termasuk kepala dihentak ke dinding, selain diugut bunuh lelaki berusia 41 tahun itu sepanjang tiga hari dikurung.

Dr Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bagi isteri yang menjadi mangsa dera suami dinasihatkan melaporkan perbuatan itu sejak daripada awal.

“Walaupun pergaduhan kecil tetapi jika membabitkan pukulan pada anggota badan, ia dianggap dera meskipun hanya tamparan pada muka saja kerana Islam melarang sebarang tindakan yang boleh mencederakan muka.

“Lagi satu, ia sebagai bukti sekiranya keadaan mendera menjadi semakin parah si isteri mempunyai cukup maklumat untuk mensabitkan kesalahan suami termasuk bukti gambar dan kenyataan pihak hospital.

“Tidaklah selepas kejadian berlaku 10 ke 20 tahun, baru mangsa dera mempunyai cukup bukti membawa suami ke muka pengadilan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan