#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Jun 09, 2009

Risiko pil perancang

Sihat
Berita Minggu

SOALAN

SAYA wanita berumur 23 tahun dan merancang untuk berkahwin pada masa terdekat. Bagaimanapun, saya merancang untuk menggunakan pil perancang keluarga kerana faktor ekonomi dan masa yang kurang mengizinkan. Untuk pengetahuan doktor, pasangan saya tidak bersetuju menggunakan pil perancang kerana mahukan anak secepat mungkin.
Soalan saya, apa kesan terhadap diri saya apabila menggunakan pil perancang pada awal perkahwinan? Adakah penggunaan pil perancang akan menyebabkan tahap kesuburan saya untuk mendapatkan anak pada masa depan akan terjejas?

Jenny

JAWAPAN:

Pil perancang mengandungi kombinasi dua hormon yang hampir sama dengan hormon estrogen dan progesterone yang dihasilkan oleh kilang telur (ovari) secara semula jadi. Ia menghalang ovulasi berlaku yang mana telur tidak dilepaskan oleh kilang telur. Hormon ini juga menyebabkan lelehan pada pangkal rahim (serviks) menjadi tebal dan ini boleh menghalang sperma dari memasuki ke dalam rahim. Hormon ini akan memberi kesan kepada lapisan dalam rahim (endometrium) yang menghalang implantasi berlaku (perlekatan kandungan ke lapisan endometrium).

Apabila wanita mengambil pil perancang, kelenjar yang biasanya mengawal kitaran haid berehat sementara, maka ia tidak mengalami kitaran haid semula jadi. Pada waktu pertengahan kitaran haid tiada ovulasi berlaku dan tiada telur yang dilepaskan oleh kilang telur, maka tiadalah kehamilan. Wanita masih mengalami pendarahan kerana pil hormon diolah supaya wanita mengalami pendarahan bulanan yang mana jumlahnya kurang daripada haidnya yang biasa.

Secara amnya sebahagian besar wanita yang sihat pada peringkat umur reproduktif adalah calon sesuai untuk mengambil pil perancang. Namun begitu, sebelum menggunakan pil perancang puan perlu berjumpa dan berbincang dengan doktor kerana ia tidak sesuai bagi sebahagian wanita antaranya mereka yang merokok, mengalami migrain, masalah pundi hempedu, darah tinggi, kencing manis, epilepsi, sejarah masalah darah beku pada salur darah, penyakit hati dan jantung.

Kajian perubatan menunjukkan pengambilan pil perancang boleh meninggikan risiko sakit jantung dan strok. Sebaliknya, kajian perubatan mendapati pil perancang boleh mengurangkan risiko wanita daripada mendapat jangkitan kuman pada pelvis (Pelvic inflammatory disease), sista pada kilang telur, barah ovari dan barah endometrium. Kesan pil perancang kepada barah payudara masih tidak diketahui sepenuhnya walaupun kebanyakan kajian perubatan mendapati ia tidak mengakibatkan peningkatan risiko untuk mendapat barah payudara.

Wanita yang baru mengambil pil perancang boleh mengalami kesan sampingan, antaranya seperti mual, perubahan emosi dan perasaan, tidak selesa pada payudara, pendarahan di luar waktu biasa haid, penambahan berat badan, kulit menjadi lebih gelap. Sebahagian besar kesan sampingan pengambilan pil perancang ini akan berkurangan dan hilang dalam masa beberapa bulan pertama selepas pengambilan pil. Biasanya bagi wanita yang baru mengambil pil ini dinasihatkan untuk mencuba sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Pil perancang tidak menyebabkan kesuburannya terjejas. Kebanyakan wanita boleh menjadi subur dan mengalami kitaran haid dalam masa empat hingga enam minggu selepas berhenti mengambil pil perancang. Ada sebahagian wanita mengambil masa lama untuk hamil selepas menggunakan pil perancang seperti wanita yang kitaran haid semula jadinya memang tidak tetap sebelum memulakan pil perancang, wanita yang melewatkan kehamilan sehingga umurnya meningkat di mana tentunya boleh menjejaskan kesuburannya serta wanita yang sebenarnya ada masalah tidak subur cuma tidak diketahui sebelumnya kerana tidak pernah cuba mengandung.

Sama seperti cadangan bakal suami anda, saya menasihatkan agar apabila sudah berumahtangga nanti adalah lebih baik untuk hamil dulu sebelum menggunakan kaedah perancangan. Selepas itu berbincanglah dengan suami untuk masa depan keluarga serta keperluan perancangan sebelum menggunakan mana-mana kaedah perancangan untuk kebahagiaan bersama serta untuk memastikan sebab dan tujuan perancangan tidak menyalahi tuntutan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan