#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 03, 2009

Kekasih dirampas sahabat sendiri



Salam semua,

Minggu ini bro hendak memaparkan satu e-mel daripada seorang hamba Allah yang mahu dikenali sebagai 'Bob'. Dalam e-melnya Bob menceritakan kisah sedih bagaimana percintaannya terlerai di tengah jalan apabila kekasih 'dirampas' sahabat sendiri.

Menurut Bob yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi, dia dan kekasihnya sudah bercinta hampir tiga tahun dan kalau ikut perancangan tahun depan mereka akan bertunang.

''Bro, saya benar-benar buntu dan berharap bro dapat memberi pandangan kerana saya betul-betul kecewa dengan apa yang berlaku, saya tidak salahkan sahabat saya itu tetapi saya salahkan kekasih saya yang bertindak curang," kata Bob dalam e-melnya.

Bagi bro, dalam soal ini Bob tidak perlu kecewa sangat, biarlah bekas kekasih Bob bahagia bersama sahabat Bob itu, jangan putuskan silaturahim hanya kerana seorang wanita. Dalam dunia, kalau setakat hendak mencari wanita yang tidak setia bersepah kita boleh jumpa.

Adalah lebih baik jika Bob tumpukan perhatian kepada pengajian yang tinggal setahun lagi dan kemudian binalah hidup baru. Insya-Allah bro yakin apa yang berlaku ada hikmahnya. Anggap sahaja apa yang terjadi adalah petunjuk daripada Allah agar Bob tidak terperangkap dengan wanita yang pandai berpura-pura.

Bob mungkin ikhlas untuk mengambilnya sebagai isteri tetapi adakah Bob tahu dia mempunyai perasaan yang sama? Adalah lebih baik dia bertindak tidak setia sekarang berbanding melakukan perbuatan berkenaan selepas bertunang atau berkahwin nanti.

Jadi tak perlu Bob bermuram durja, teruskanlah kehidupan dan penuhilah impian memiliki segulung ijazah terlebih dahulu. Ingatlah ibu bapa kita hantar kita masuk universiti bukan hendak mencari isteri tetapi mencari ilmu demi masa depan kita.

Jangan sampai kerana terputus percintaan maka pengajian kita pula menjadi 'korban'. Si gadis itu dah pasti bahagia dengan sahabat anda, jadi kenapa perlu anda hendak menyusahkan hidup memikirkan soalnya lagi.

Bro percaya di luar sana banyak lagi gadis yang baik dan setia menanti Bob apabila Allah menentukan salah seorang daripada mereka adalah jodoh Bob.

Justeru jadikanlah lelaki sejati, biarkanlah bekas kekasih Bob itu dengan dunianya, suatu hari kelak mungkin dia pula merasakan betapa peritnya ditinggalkan oleh orang tersayang.

Kepada semua pembaca, ingatlah manusia hanya mampu merancang tetapi Allah menentukan segala-galanya.

Jumpa lagi minggu depan.

arkib 31/05/2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan