#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Jun 11, 2009

Remaja hidap penyakit wanita berusia

Pemakanan & Kesihatan
Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Makin ramai golongan muda dikesan menghidap sakit kronik lazim dikaitkan dengan peningkatan usia

BARAH payu dara, barah rahim dan ketumbuhan seperti fibroid lazimnya dikaitkan dengan wanita berusia lebih 30-an. Tetapi, sejak kebelakangan ini rekod kesihatan menunjukkan aliran peningkatan bilangan gadis remaja yang menghidap penyakit berkenaan khususnya fibroid.

Perunding Kanan Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, berkata pemeriksaan berkala perlu dilakukan gadis terutama pada rahim dan payu dara sebaik didatangi haid bagi mengesan awal sebarang tanda mahupun kelainan pada bahagian berkenaan.

“Sistem reproduktif wanita berperanan penting untuk kehamilan dan ia adalah sistem paling rapuh dalam tubuh. Sebarang masalah membabitkan sistem ini boleh mengganggu kesuburan dan keupayaan untuk hamil. Justeru, pemeriksaan melalui imbasan dan ultra bunyi boleh mengesan lebih awal sebarang kelainan pada bahagian berkenaan, sekali gus berpotensi untuk disembuhkan.

“Jangan tunggu sehingga mengandung atau sakit sehingga terpaksa merangkak untuk bertemu doktor. Pengesanan awal boleh mengurangkan risiko kematian atau pembedahan mastektomi yang memerlukan organ berkenaan dibuang sepenuhnya,” katanya.

Dr Nor Ashikin mengakui semakin kerap menemui kes gadis remaja mengalami fibroid iaitu sejenis ketumbuhan dalam rahim. Malah, saiz fibroid yang pernah dikeluarkan menerusi pembedahan di kalangan pesakit muda ini boleh mencecah antara tiga hingga lima kilogram iaitu bersamaan dengan berat seorang bayi.

“Kebanyakan mereka datang selepas keadaan sudah teruk. Saya pernah mengeluarkan fibroid sebesar bola sepak daripada perut seorang gadis berusia 19 tahun. Sekiranya fibroid dapat dikesan lebih awal dan masih kecil, pembedahan boleh dilakukan tanpa membuang rahim atau sebahagian organ di sekelilingnya. Sebaliknya jika hanya dikesan pada peringkat lewat, rahim mungkin terpaksa dibuang yang akan menghalang gadis berkenaan daripada hamil apabila berkahwin kelak. Pemeriksaan setahun sekali menggunakan imbasan dan ultra bunyi pada bahagian pelvis dapat mengesan ketumbuhan pada bahagian rahim,” katanya yang berucap pada bengkel media bertema, Timeless Women-A Journalist Resource Guide to Women’s Health di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Nor Ashikin, berkata gadis juga perlu mula peka dengan tanda penyakit barah, khususnya barah payu dara dan rahim kerana ia turut menyerang golongan berkenaan.

“Apa yang harus diketahui gadis mahupun wanita, bertindak cepat dengan mengesan awal barah boleh menyelamatkan mereka daripada maut mahupun pembuangan organ berkenaan. Di Malaysia, terdapat 24,500 kes barah payu dara setiap tahun dan kebanyakan pesakit berusia kurang 50 tahun. Terdapat juga pesakit berusia belasan tahun turut mengalaminya.

“Lebih menyedihkan, 40 peratus datang berjumpa doktor pada tahap lewat dan kurang lima peratus menjalani saringan pengesanan barah payu dara. Gadis harus melatih diri membuat pemeriksaan sendiri payu dara (BSE) sebulan sekali selepas haid. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap barah payu dara atau rahim, sebaiknya sentiasa menjalani BSE dan ujian ultra bunyi.

“Sekiranya terdapat ketumbuhan, segera berjumpa doktor. Bagi wanita lebih dewasa, sebaiknya membuat ujian mamogram kerana ia berkesan mengenal pasti sebarang ketumbuhan yang mungkin anda tidak dapat rasai,” katanya.

Berdasarkan laporan Daftar Kanser Kebangsaan (NCR) 2003, barah pangkal rahim adalah yang paling kerap berlaku di kalangan wanita Malaysia dengan jumlah peratus sebanyak 12.9 peratus atau 19.7 kes setiap 100,000 populasi. Barah ini, lazimnya berlaku di kalangan mereka yang aktif seks akibat sel normal pada pangkal rahim bertukar menjadi barah dalam tempoh beberapa bulan atau tahun.

“Barah pangkal rahim menunjukkan tanda seperti pendarahan selepas melakukan hubungan intim dan pendarahan antara waktu haid. Pada satu tahap, pendarahan boleh menjadi parah dan menyebabkan anaemia. Gejala lain seperti sukar bernafas ketika bersenam, mudah letih dan pengeluaran cecair yang berbau busuk pada vagina. Ujian pap smear boleh mengesan sebarang keabnormalan sel yang berlaku yang mungkin adalah petanda barah,” katanya.

Merokok risiko gadis reput tulang

ISU kesihatan tulang atau osteoporosis di kalangan wanita turut dibincangkan Perunding Kanan Endokrinologi, Prof Chan Siew Pheng. Masalah tulang rapuh dianggap ‘perompak kebebasan’ kerana ia menyebabkan lumpuh dan kesukaran bergerak. Dianggarkan 200 juta wanita dan lelaki di seluruh dunia menderita osteoporosis. Di Malaysia, lebih satu juta berisiko mengalami osteporosis iaitu 80 peratus adalah wanita.

“Wanita berisiko mengalami tulang reput tiga hingga lima kali berbanding lelaki. Amat malang sekali apabila 25 peratus wanita meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas mengalaminya, manakala selebihnya lumpuh dan terpaksa hidup bergantung kepada tongkat,” katanya.

Beliau berkata, tabiat merokok yang diamalkan kebanyakan gadis hari ini adalah antara penyebab osteoporosis. Kajian menunjukkan perokok mempunyai isi padu tulang yang sedikit berbanding yang tidak merokok. Wanita merokok juga mempunyai kadar oestrogen lebih rendah dan dijangka mengalami menopaus lebih awal. Oestrogen amat penting untuk kekuatan tulang.

“Faktor genetik banyak mempengaruhi risiko wanita menghidap osteoporosis. Bagaimanapun, faktor alam sekitar khususnya amalan kesihatan yang buruk seperti menghisap rokok, minuman beralkohol, pemakanan tidak seimbang dan tidak bersenam turut menyebabkan kehilangan isi padu tulang. Mengamalkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan risiko osteoporosis,” katanya.

Memandang rendah kepentingan vitamin D juga mendedahkan wanita kepada osteoporosis. Wanita mengamalkan diet seperti kurang minum susu dan enggan terdedah kepada sinar matahari, menghalang tubuh daripada mendapat vitamin D secara semula jadi. Krim penghalang sinar matahari dengan kadar sekurang-kurangnya 10 SPF mampu menghalang 90 peratus sinar matahari yang diperlukan tubuh.

“Jika anda berkulit gelap, kesannya tidak begitu ketara berbanding gadis berkulit cerah dan kurus. Jangan terlalu taksub mengelakkan matahari dengan menggunakan payung kerana anda masih memerlukannya untuk vitamin D. Kulit yang agak tua iaitu sekitar usia 30-an, tidak boleh menghasilkan vitamin D. Justeru, anda perlu berjalan di bawah sinar matahari sekurang-kurang 15 minit sehari iaitu sekitar jam 10 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Membina tulang sihat dan kuat pada usia kanak-kanak dan remaja amat penting. Ia boleh dilakukan dengan memastikan pengambilan kalsium dan zat besi mencukupi. Bagaimanapun, minum susu setiap hari tidak menjamin anda memiliki tulang sihat jika tidak disusuli dengan vitamin D, senaman dan gaya hidup sihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan