#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 10, 2009

Isteri berangan jadi jutawan


Normala Hamzah
ARKIB : 08/06/2009
Utusan Malaysia

PANDANGLAH hidup ini dengan pandangan cinta yang optimis kepada Allah SWT ibu bapa, isteri, anak-anak dan semua yang kita sayangi kerana kehidupan juga adalah anugerah daripada Allah SWT untuk manusia.

Sebagai hamba-Nya yang taat pastinya segala anugerah itu diterima dengan bangga dan gembira serta rasa syukur di samping mengharapkan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Namun tidak semua yang kita harap akan menjadi kenyataan ada juga yang ditimpa ujian yang hebat sehingga menggugat kesabaran dan ketabahan terutama yang membabitkan jodoh dan rumah tangga. Kenyataannya kena reda!

Di sebalik e-mel dan panggilan telefon yang diterima daripada kaum Hawa bergelar isteri yang mahu berkongsi kisah suami mereka berlaku curang, saya dihubungi seorang lelaki yang menamakan dirinya Sham (bukan nama sebenar) berusia awal 40-an.

Perkataan pertama yang saya dengar sebaik telefon saya angkat, ialah tidak adil asyik kisah keburukan suami saja yang dipaparkan, sepatutnya mereka diberi layanan adil sama seperti kaum wanita, kata Sham.

Memang telah saya jangka itulah kata-kata yang saya akan dengar. Saya akui kebenarannya. Tetapi saya juga ada sebab menyiarkan hanya keluhan wanita sebab setakat ini, pembaca wanita yang lebih matang dalam menangani masalah berkaitan rumah tangga dan sanggup berkongsi masalah mereka dengan orang lain.

Wanita lebih bersikap terbuka dan mahu bercerita sebaliknya lelaki suka memendam atau menganggap itu semua tidak mustahak untuk didedahkan kepada orang ramai.

Panggilan Sham sebenarnya ada sebab. Dia mahu berkongsi masalahnya dengan pembaca. Kata Sham dia pasti ramai lagi suami di luar sana yang menghadapi masalah sama sepertinya tetapi mereka tidak mahu tampil bercerita.

Jika kerapnya isteri asyik salahkan suami, cerita Sham pula sebaliknya, kisah isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu kerana sibuk mengejar harta dan nama.
Kita hayati kisah Sham seperti diceritakan kepada saya.

“Saya seorang pegawai kanan sebuah syarikat swasta. Mempunyai seorang isteri yang bercita-cita tinggi dalam perniagaan. Tidak payah sebut kerja apa sebab semua orang akan faham. Matlamatnya untuk menjadi jutawan.

“Di peringkat awal, memang saya bagi sokongan tambahan pula dia berhenti kerja sebagai eksekutif di sebuah bank semata-mata untuk cepat kaya, itu katanya.

“Kami mempunya tiga orang anak dua lelaki dan seorang perempuan. Anak sulung perempuan berusia 15 tahun, yang kedua 10 , yang bongsu 8 tahun.

“Sejak terbabit dalam urus niaga tersebut lima tahun lalu, saya dapati hidup kami anak beranak tidak keruan. Anak-anak terbiar di tangan pembantu rumah seratus peratus. Isteri keluar pagi balik malam. Kalau balik petang, malam keluar lagi.

“Hujung minggu seminar sana, ceramah sini. Sebulan sekali ikut rombongan ke luar negara. Entah apa yang diniaga saya tidak tahu sebab saya tidak mahu pening kepala memikirkannya. Saya pun tidak tahu bila masa dia ada di rumah.

“Makan minum saya, anak-anak, pakaian, sakit demam semuanya saya uruskan dengan pembantu rumah. Pendek kata saya tidak lagi merasakan yang saya ada seorang isteri. Sebab ketika saya memerlukan, dia tidak ada di sisi. Begitu juga anak-anak.

“Sebagai suami kerana kasih dan cinta, saya bagi peluang. Saya ajak dia berbincang dan minta dia perlahankan sikit urus niaganya itu. Berikan tumpuan lebih kepada anak-anak dan rumah tangga.

“Kasihan budak-budak, selalu tanya, mama pergi mana asyik tidak ada di rumah sahaja?

“Apa saya nak jawab? Mama dia orang sibuk kejar duit, kereta mewah dan glamor? Atau nak cakap saya pun tidak faham tentang mama mereka?

“Malang sekali, semua yang saya cadangkan dia tidak terima dengan alasan, dulu saya telah berjanji akan benarkan dia berniaga sehingga berjaya.

“Betul saya kata begitu tapi tidaklah sampai mengabaikan anak-anak dan rumah tangga. Kalau siang malam asyik berniaga, ceramah dan seminar, bila masa nak duduk di rumah dengan anak-anak.

“Bila masa nak tengok anak-anak buat kerja sekolah atau membawa mereka jalan-jalan apabila cuti sekolah kalau asyik nak kejar kekayaan?

“Setiap kali berbincang tidak pernah ada penyelesaian. Asyik marah dan menengking. Langsung tidak ada hormat kepada saya sebagai suami.

“Saya tidak marah nak cari duit dan harta kekayaan tetapi patut padanlah. Ini tidak, berlagak macam anak dara, macam tidak ada tanggungjawab… tinggalkan rumah, suami dan anak-anak.. Sampai bila?

“Saya katakan kepada dia kalau tak buat bisnes pun saya boleh sara dan bagi dia kemewahan.. nak pakai kereta mewah, nak rumah banglo atau nak melancong ke luar negara semua saya mampu.

“Tapi nampaknya dia telah terlajak jauh. Gaya hidup dan pergaulan menjadikan dia lupa daratan. Lupa tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Paling saya kesal, lupa asal usul.

“Inilah susahnya dengan perempuan apabila sudah terlalu pandai . Suami tegur sikit, melenting. Bukan nak dengar dulu, apa kita nak kata dan nasihat. Pada hal bukan saya nak halang dia teruskan kerja itu, sekadar nak minta tolong kurangkan seimbangkan kerjaya dan tumpuan kepada anak-anak.

“Anak sulung saya sedang meningkat remaja. Mujur dia tidak seperti remaja yang tersasar, masih dengar cakap dan tidak suka keluar rumah sebab kasihankan adik-adik yang tidak dipeduli ibu.

“Saya mengharapkan dalam keadaan anak sedang membesar ibu mereka perlu ada untuk membimbing dan menegur ajar. Tapi itu tidak berlaku.

“Telah tiga tahun saya bersabar dengan harapan keadaan akan berubah. Nampaknya sama saja. Malah dia semakin ligat. Sekarang sudah pandai clubbing pula. Pergi spa, facial dan kelas poco-poco dan tarian.

“Tidak cukup dengan itu mula tempah tiket penerbangan keluar negara tanpa berbincang dengan saya. Setiap bulan ada sahaja tempat hendak melancung . Konon mahu berehat!

“Saya tidak suruh buat kerja sampai penat, sendiri yang seksa diri. Apa lagi yang hendak dicari dalam hidup ini kalau sudah ada suami, anak-anak, kemewahan ala kadar walaupun tidak bergelar jutawan?

“Saya pelik dengan wanita sekarang. Berlumba-lumba hendak jadi jutawan melalui jualan produk … memang saya faham nak tolong tambah pendapatan keluarga.

“Tapi kalau keluarga hancur berkecai dan terbiar, tolong apa namanya? Kalau nak tolong tambah pendapatan keluarga tumpuan perlu diberi kepada keluarga, bukan kawan-kawan dan rakan niaga yang hanya gila glamor.

“Saya sudah hilang sabar dengan kerenah isteri. Semua usaha untuk menyedarkan dia tentang pentingnya rumah tangga gagal. Dia selalu kata semua kawan-kawan dia mendapat sokongan suami. Memang betul tetapi kebanyakan mereka kena madu atau suami tinggalkan mereka.

“Saya tidak mahu jadi begitu. Tapi macam saya kata, kesabaran suami juga ada hadnya. Kalau sudah melampau dan tidak boleh ditegur lagi saya juga perlu bertindak.

“Saya perhatikan kaum wanita sekarang lebih menumpukan tumpuan kepada kerjaya mereka tidak kira apa saja tetapi lupa tugas hakiki mereka dalam perkahwinan.

“Kerjaya dan kemewahan mengaburi mata mereka untuk menjadi wanita yang solehah dan menghormati suami. Tapi saya tidak salahkan mereka. Ada setengah suami suka isteri mereka ligat berniaga dan glamor.

“Tapi saya tidak. Malah saya menyesal membenarkan isteri terbabit dalam perniagaan seperti itu. Saya harap dia akan berubah dan kembali ke pangkal jalan. Masih belum terlambat untuk dia kembali menjadi isteri yang saya nikahi 18 tahun lalu.

“Kepada para suami, hati-hati apabila isteri nak buat bisnes.. jangan sampai jadi macam saya. Ada isteri macam tak ada. Tapi tak juga kaya-kaya. Bersyukurlah dengan apa yang ada kalau sayangkan anak dan rumah tangga.

“Kata orang lebih baik mencegah daripada merawat sebab apabila sudah terlajak susah nak patah balik. Akibatnya kita yang akan makan hati dan murung. Isteri terus terbang macam burung terlupa sangkar..” Sham menutup cerita.

Saya amat faham dengan masalah yang Sham hadapi dan perasaannya dengan perlakuan isteri sedemikian rupa. Saya rasa Sham telah melakukan usaha yang terbaik untuk menyelamatkan rumah tangganya.

Sikap Sham yang penyebar dan masih mengajak isteri berbincang juga patut dihargai. Pada saya usaha yang dibuat oleh Sham adalah langkah terbaik dalam menyelamatkan hubungan mereka.

Saya mengharapkan kaum wanita yang mungkin sedang menghadapi masalah yang sama dengan isteri Sham supaya segera insaf dan sedar serta kembali ke pangkal jalan.

Dalam apa juga keadaan, rumah tangga, suami dan anak-anak tetap nombor satu kerana itu adalah tanggungjawab hakiki sebagai wanita, isteri dan ibu.

Bagaimanapun semuanya terletak kepada yang empunya diri. Berfikirlah dengan sebaik-baiknya dalam setiap tindakan yang dibuat. Jangan hanya kerana harta dan kemewahan kita ketepikan tanggungjawab dan abaikan hukum Allah SWT.

Kepada Sham, berilah peluang kepada isteri anda berubah. Namun jika keadaan tetap sama, terpulanglah… mentimun dan pisah di tangan anda. Sekurang-kurangnya pertimbangkan, yang isteri anda itu pernah hadir dan berkongsi kasih dengan anda sehingga saat dia berubah laku.

Demi anak-anak, demi kasih sayang, buatlah yang terbaik!

Menutup kata, pesanan telus saya, wanita boleh menjadikan sesebuah rumah secantik dan senikmat syurga namun wanita juga boleh mengubah sebuah rumah menjadi sesuatu yang menyakitkan seperti neraka.

Salam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan