#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 03, 2009

Suami kedekut keluar duit belanja

ARKIB : 31/05/2009

Dalam perjumpaan kami baru-baru ini di sebuah restoran dalam sebuah pusat rawatan terkemuka di Kuala Lumpur, Baizura memberitahu mengapa wanita zaman sekarang (bermula sejak tahun 70-an hingga kini) banyak yang terpaksa berkorban untuk membahagiakan keluarga, sedang orang yang sepatutnya berkorban adalah kaum lelaki iaitu si suami.

Setelah menjamu selera Baizura memulakan ceritanya, katanya, ''rata-rata dari apa yang saya pernah baca dalam akhbar, kaum wanita iaitu isteri yang banyak berkorban untuk suami dan anak-anak, berbanding wanita zaman emak saya dulu ayahlah yang berkorban segala-galanya demi kebahagiaan keluarganya terutama anak-anak.

''Macam ayah saya dia bekerja mencari rezeki, ibu saya suri rumah sepenuh masa membesarkan kami lima beradik, saya lihat ayah berkorban wang ringgit unuk menghidupkan kami, memberi makan, menyediakan wang untuk kami bersekolah hinggalah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi selagi mampu.

''Dan beliau sentiasa mengambil tahu hal kami walaupun kini dia tahu kami sudah ada keluarga, tetapi beliau sentiasa mengambil berat, mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya.

''Dulu masa saya kecil, saya lihat dengan mata saya sendiri, setiap bulan ayah akan serahkan semua gaji atau pendapatannya dalam sebulan kepada emak, sambil berkata, ''Mah ini gaji abang sebulan, kau jimat-jimatlah buat belanja makan minum, dan jangan lupa duit saku dan perbelajaan sekolah anak-anak. Pandai-pandai kaulah berjimat. Cukup tidak itulah semua gaji abang." Itu kata ayah, dan emak ambil sambil berjanji akan berbelanjaan sebaik mungkin.

''Emak tak pernah minta duit dari ayah hinggalah hujung bulan bila ayah dapat gaji baru. Cukup atau tidak pandai-pandai emaklah berjimat, kadang tu mak suruh kami berjimat belanja sekolah untuk kegunaan esok hari. Kami diajar menabung demi pelajaran kami nanti, begitu kata emak.

''Setiap hari bila nak pergi kerja ayah akan minta duit dari emak. Biasanya ayah akan minta RM5 sehari, cuma sekali ayah minta lebih atau kurang apabila ditangannya masih ada duit berbaki. Ayah akan kata hari ini abang minta RM3 aja sebab semalam masih ada baki. Emak tak pernah merungut kalau duit tak cukup, dan ayah tak pernah minta lebih.

''Berkat suami isteri baik berpakat, saling percaya mempercayai, iaitu ayah percayakan emak apabila menyerahkan sebulan gajinya, dan emak pulak pandai berjimat maka hidup mereka aman damai, malah mereka boleh beli tanah di kampung dan sebuah lagi tapak rumah. Kalau nak ikutkan gaji ayah berapa sangat, tak sampai pun seribu, ketika itu, tetapi kami 5 beradik semua bersekolah, dan bekerja kini.

''Tapi peliknya zaman ini, kami suami isteri bekerja, tapi suami saya selalu mengeluh tak ada duit, malah melepaskan semua tanggungjawabnya kepada saya, seolah-olah saya ketua keluarga, dia jadi isteri. Saya pernah berbincang dengan suami saya beri gajinya kepada saya, taulah saya mengurus dengan baik, kerana kalau tidak pun semua urusan rumah dia tolak pada saya. Tapi dia tak mahu bagi. Dia nak buat sendiri, sedangkan dia selalu tak ada duit.

''Alasannya tak ada duit kerana kena bayar ansuran rumah murah yang dibelinya di kampung, saya pun ada beli rumah sendiri. Kalau dia kata kena bayar ansuran kereta, saya pun ada kereta, kita sama-sama ada tanggungjawab. Apa yang penting cara kita berbelanja, malangnya bila suami tak jujur pada isteri memang dia tak ada duit. Suka sorok, suka cakap tak ada duit, maka Allah makbulkan permintaannya.

''Pada saya kalau kita gaji tak banyak, baiklah kita berpakat, susah sama susah, senang sama senang, malangnya, macam suami saya dia cuma bayar sewa rumah, sebab rumah saya belum siap sementara rumahnya jauh di kampung. Bab lain dia tak ambil peduli.

''Kalau nak dikira perbelanjaan yang terpaksa saya uruskan lebih banyak daripada sewa rumah, dalam pada itu dia mahu saya sediakan makan minum yang sedap-sedap, walaupun makan sekali waktu malam, tetapi belanja memasak lebih mahal dari kita beli lauk yang sudah siap.

''Lagi satu perangainya yang kurang elok dia terlalu berkira apa juga perbelanjaan yang dikeluarkan rumah kami anak beranak, macamkan dia takut duitnya habis. Bayangkan semasa kami baru berkahiwn dahulu, dia masih belum dapat tukar kerja ke KL. Lebih setahun saya hidup sendirian macam orang belum kahwin. Sebab suami saya tak bagi duit belanja atau sara hidup kepada saya walau sesen pun.

''Alasannya duitnya habis kerana terpaksa turun naik ke KL, jadi kalau saya ikut dia pindah bekerja di negerinya, tentu duitnya tak banyak habis. Masalahnya kerja saya tak boleh berpindah atau bertukar macam kerja dia, bermakna saya kena berhenti kerja. Nak cari kerja baru umur macam saya ketika itu bukan mudah berbanding pekerjaannya boleh bertukar ke KL pada bila-bila masa sahaja sebab ada cawangan dan boleh bertukar.

''Malangnya kerana saya tak mahu bertukar maka dia jadikan saya sebagai alasannya tak ada duit nak bagi nafkah walaupun saya isterinya. Katanya saya bekerja maka tanggunglah diri sendiri. Kalau nak duit sara hidup ikut dia pindah ke negerinya.

''Kerana waktu itu baru setahun kami berkahwin dan saya pulak baru hamil, maka semua alasannya saya diamkan, lagi pun saya masih nak bekerja. Saya terpaksa bersabar, dalam pada itu saya berusaha kumpul segala keperluan bila kami bersedia duduk serumah nanti.

''Akhirnya suami saya dapat pindah ke KL, dan kami cari rumah sewa, takkan nak duduk rumah emak selamanya. Bila pindah, saya lengkapkan semua keperluan rumah, dari sekecil-kecil sebatang sudu hinggalah sebesar-besarnya, perabot dan kerusi meja. Semua lengkap, semua saya usahakan sendiri, sama ada saya beli tunai atau pun saya bayar ansuran. Suami saya masuk rumah cuci kaki.

''Saya kira bila semua dah lengkap tentulah dia sebagai suami akan merasa senang hati untuk mengeluarkan belanja kepada benda-benda lain selain dari bayar sewa rumah, rupanya tidak, dia masih tunggu saya siapkan hingga saya terpaksa minta duitnya berulang-ulang kali. Kerana waktu itu saya hampir bersalin, maka saya terpaksa mengikut kehendaknya, sebab tak kuasa nak gaduh, lagi pun malu pada jiran tetangga, duduk rumah flat jiran pasang telinga.

''Semasa bersalin, setengah bayaran duit hospital, upah bidan mengurut, ubat-ubat dalam pantang, lampin pakai buang, susu bayi, semuanya saya kena siapkan, termasuklah pakaian untuk bayi semua saya terpaksa beli dan sediakan semasa sebelum bersalin lagi.

''Bila saya minta suami belikan dia akan kata tak ada duit. Itulah alasannya sepanjang masa apabila saya minta duit. Memang sakit telinga, tetapi saya terpaksa bersabar takkan nak gaduh semasa dalam pantang depan mak bapak tentulah memalukan, lagi pun saya tak mahu jatuhkan maruah suami kita.

''Sebenarnya itulah perangainya dari mula kahwin, hinggalah kami ada dua orang anak. Kalau tak ada duit saya kata berhentilah merokok, sebab masa mula kahwin dulu dia memang tak merokok, tetapi sekarang dah mula merokok balik, ada pulak duit dia beli rokok tu.

''Untuk mencukupkan belanja rumah saya buat kerja sambilan, saya harap dia ikut contoh saya belajar cari duit lebih, tetapi dia lebih suka tidur bila habis kerja. Dia tak suka berusaha. Saya ambil ansuran untuk anak-anak dia marah, katanya menghabiskan duit, sedangkan itu simpanan untuk masa depan anak-anak bila besar nanti ditakdirkan dia perlukan duit untuk belajar.

''Hari berlalu terlalu cepat kini sudah lebih 5 tahun kami berkahwin, saya rasa perangainya tak mahu berubah, hinggakan bawa anak berjalan pun dia tak mahu sebab takut anak minta belikan makanan yang mahal-mahal, dia lebih suka duduk memerap dalam rumah.

''Kerana kesiankan anak-anak, sesekali saya ajak suami keluar berjalan, dia pasti ikut sebab dia tahu saya akan keluar belanja makan, tetapi kalau saya ajak dia keluar dan minta dia keluar belanja, dia akan buat pekak.

''Saya memang pening dengan perangai suami yang kedekut kepada keluarga, adakah ini salah ibu bapa, saya rasa tidak, sebab adik beradik lelakinya semuanya berjaya dalam hidup kerana mereka bertanggung jawab kepada keluarga terutama ibunya.

''Sebab itu saya lihat hidup mereka senang dan mewah. Tak macam suami saya nak hulurkan duit pada emak pun kedekut. Saya selalu ingatkan dia kalau mahukan keberkatan hidup di dunia dan akhirat dia mesti jaga ibunya dan anak-anaknya dengan baik. Itu amanah Allah tak miskin kita jaga kebajikan ibu sebaliknya akan mendapat ganjaran yang lebih dari Allah.

''Sebenarnya saya tak tahu dan tak faham perangai suami saya yang terlalu kedekut ini, kalau tak cukup duit berterus terang, jangan sorok pada isteri. Berunding dan bercerita kalau ada masalah, barulah ada keharmonian dalam keluarga, bukannya bawa hal masing-masing.''

Demikian cerita Baizura tentang suaminya kerana dia juga bukan berjawatan tinggi, dan tidak mampu untuk menanggung beban yang banyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan