#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Jun 22, 2009

Tua sebelum waktu

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

BUKAN semua solekan menyerlahkan kecantikan wanita. Kadangkala teknik solekan yang salah boleh menyebabkan wanita kelihatan tua daripada usia sebenarnya. Pemilihan cara solekan tidak kena wajah, pemilihan rona tidak tepat dan calitan pembayang tidak kena antara punca wajah 'rosak'.

Mungkin anda juga pernah ditanya: “Eh! Ingatkan usia kamu sudah 45 tahun, sebab wajah anda nampak terlalu matang.” Ketahui punca kaitan solekan dan usia.

Ketahui teknik sesuai bagi serlahkan wajah semula jadi

KEBANYAKAN wanita akan kecewa apabila siap bersolek cantik ke sesebuah majlis, tetapi pujian yang sepatutnya diterima bertukar cemuhan, gara-gara mengenakan solekan yang tidak sesuai dengan bentuk wajah, sekali gus menampakkan anda kelihatan tua daripada usia sebenar.

Apatah lagi sekiranya kita berhabis ribuan ringgit membeli produk antipenuaan dan solekan mahal untuk kelihatan sejelita model yang menggayakan solekan itu kerana keinginan digelar awet muda, atau muda daripada usia sebenar.

Bagi individu yang dilahirkan memiliki kulit cantik dan sihat selain wajah keanak-anakan memang bertuah, tetapi bagi individu sebaliknya, usah gusar kerana apa yang diperlukan hanyalah ketelitian dalam memilih teknik solekan ketika berhias depan cermin.

Jurusolek profesional, StevenSunny, berkata antara penyebab solekan menyebabkan wanita tampak lebih berusia ialah penggunaan bedak asas yang terlalu tebal.

Katanya, solekan yang terlalu tebal adalah cara terbaik untuk kelihatan lebih tua daripada usia sebenar. Penggunaan bedak asas khususnya dalam bentuk cecair yang terlalu tebal akan menyebabkan bedak disapukan selepas itu lebih tebal dan dengan kata lain mudah bercapuk dan tidak asli.

“Seharusnya bedak asas disapukan tipis saja atau kenakan pelembap yang tidak berwarna dengan teknik menepuk-nepuk menggunakan span. Ia bagi membolehkan produk berkenaan mesra dengan kulit, seharusnya melancarkan teknik solekan seterusnya.

“Pada masa sama pemilihan rona bedak asas juga perlu diambil kira yang mana sekiranya ia berwarna pucat daripada warna kulit asli anda, ia hanya akan menyerlahkan lagi garis halus pada wajah. Justeru wanita seharusnya cuba untuk memilih warna yang sedikit lebih gelap daripada warna asli kulit wajah.

“Sebagai contoh, sekiranya anda memiliki kulit putih, pilih bedak asas satu atau dua tingkat lebih gelap dan memiliki partikel-partikel yang membuat wajah kelihatan sedikit berkilat, untuk memperlihatkan wajah lebih bersinar dan segar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, solekan tebal kadangkala tidak disedari seseorang wanita, hinggalah ia menerima teguran daripada orang sekeliling, justeru cara terbaik sebelum melangkah keluar rumah, cuba bertanya kepada rakan baik atau suami mengenai gaya solekan yang anda gayakan itu, lainlah sekiranya anda mendapat khidmat jurusolek profesional.

Pada masa sama tidak dinafikan proses penuaan menyebabkan wajah tampak lebih tua, tetapi itu bukan alasan wanita menyerlahkan usia sebenarnya, khususnya bahagian mata yang paling ketara menyerlahkan usia menerusi garisan halus sekitar kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, penggunaan penggaris mata pada bahagian atas mata dan lebih tebal pada bahagian tepi mata boleh membentuk ilusi mata lebih besar dan tidak kelihatan ‘jatuh’ sejajar pertambahan usia. Penggunaan penggaris mata pada bahagian bawah mata pula dikhuatiri menjadikan bentuk mata anda kelihatan ganjil.

“Mengelakkan wajah kelihatan menggeleber, elakkan daripada mengenakan pemerah pipi pada puncak tulang pipi. Bagi menambahkan warna-warna pada titik tertinggi pada tulang pipi, jangan terlalu dekat ke hidung, sebaliknya naikkan ke atas dan menutupi seluruh tulang pipi.

“Selain itu, hindari pemakaian warna yang terlalu glamor. Warna-warna seperti emas dan coklat tua akan membuat wajah nampak tirus jika anda bertubuh kurus, sebaliknya sekiranya tidak kurus, anda akan kelihatan seperti badut. Rona semula jadi seperti merah jambu lembut antara pilihan terbaik untuk kebanyakan kulit dan bentuk wajah,” katanya.

Menyentuh mengenai bibir, garis bibir akan mulai pudar dan boleh menyebabkan gincu yang dikenakan ke bibir tidak kemas apabila ia mudah ‘terkeluar’ daripada garisan bibir. Justeru, bagi mengelakkan keadaan itu pemakaian penggaris bibir amat digalakkan kerana ia bukan saja mengelakkan calitan gincu terkeluar sebaliknya menjadikan solekan lebih kemas. Dalam pada itu, penggunaan sedikit pengilat pada penghujung mata mampu membuat ilusi mata sederhana menjadi luar biasa, tetapi pastikan ia dibiaskan pada bahagian hujung mata.

“Menyelaputi bulu mata bahagian bawah dengan maskara akan mempertegaskan garis halus kerutan pada sudut luar mata dan lingkaran hitam di bawah mata. Justeru elakkan keadaan itu berlaku dengan hanya mengenakan maskara pada bulu mata bahagian atas saja.

“Pemilihan rona maskara paling gelap menjadikan mata kelihatan lebih segar kerana mata putih anda akan kelihatan lebih jelas. Sekiranya anda fikirkan maskara jenis tebal hebat, lupakan saja kerana hakikatnya ia cenderung bersememeh dan berkumpul pada bulu mata,” katanya yang menyatakan bulu mata akan semakin kering ketika usia meningkat.

Aspek yang tidak kurang penting diambil kira untuk mengelakkan solekan tampak lebih tua ialah pemilihan rona gincu. Rona yang keterlaluan atau terlalu gelap, warna metalik atau berkilat-kilat dianggap terlalu berat bagi bibir yang semakin menipis sekiranya anda semakin berusia.

“Pilihlah warna merah yang semula jadi. Sekiranya anda tidak selesa dengan gincu, gantikan saja dengan pemakaian pengilat bibir yang pasti memperlihatkan bibir anda lebih penuh dan segar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan