#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Jun 15, 2009

Bukan kehendak hati ibu


Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my



KASIH IBU...Fatimah terpaksa mengurung Mohamad Zahare yang menderita kecacatan akal dalam sebuah bilik dipasang pintu geriji.


ALOR STAR: Hati ibu mana tidak tersentuh apabila melihat anak tersayang terpaksa dikurung dan menghabiskan masa sejak 15 tahun lalu di dalam sebuah bilik dipasang pintu geriji.

Namun, itulah hakikat perlu ditempuh ibu tunggal, Fatimah Ahmad, 56, di Kampung Alor Gandak, mukim Tajar dekat sini, kerana terpaksa mengurung anak lelakinya, Mohamad Zahare Hamid, 23, yang cacat akal akibat demam panas sejak berusia setahun.

Tindakan diambil sejak Mohamad Zahare berusia lapan tahun itu walaupun nampak kejam, namun bagi keselamatan kerana Fatimah mendakwa terpaksa berbuat demikian untuk mengelak kejadian tidak diingini terhadap anak keenam daripada tujuh beradik itu.


Fatimah berkata, Mohamad Zahare terpaksa menghabiskan masanya dalam bilik berkenaan kerana tidak dapat menguruskan diri dan sering bertindak agresif, menganggu penduduk kampung selain tidak pulang ke rumah apabila dibenarkan keluar dari bilik itu.

Katanya, pasangan kembar kepada Mohamad Zahare yang juga anak ketujuhnya, Mohamad Zaharin, turut demam panas ketika berusia setahun tetapi berjaya dirawat.

“Kami sekeluarga terpaksa mengurungnya di bilik ini untuk memastikan kami dapat memerhatikan setiap gerak-gerinya kerana dia tidak mampu berfikir dan membuat kerja sendiri.

“Selain pernah makan cili padi di dapur, anak saya mengalami kecederaan serius di kepala selepas menghentaknya kepala di dinding.

“Pintu ini pun dah banyak kali diperbaiki kerana dia agresif memecahkan pintu untuk keluar,” katanya.

Menurut Fatimah, walaupun sebahagian besar masa Mohamad Zahare dihabiskan di bilik itu, tetapi dia membawa anaknya tidur di biliknya jika keadaan mengizinkan terutama ketika anaknya bersikap normal.

Dia yang kematian suami 11 tahun lalu, hanya mengharapkan wang pencen suaminya untuk membeli segala peralatan seperti lampin pakai buang dan susu Mohamad Zahare yang dianggarkan RM800 sebulan.

Selain mengharapkan sumbangan anaknya yang lain, orang ramai termasuk penduduk kampung turut menghulur bantuan.

Menurutnya, sehingga kini dia belum menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap proses bantuan dapat disegerakan.

“Saya masih menaruh harapa penyakit anak saya dapat diubati dan ingin melihat dia gembira seperti rakan seusianya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Star, Mohamad Guntor Mansor Tobeng, berkata pihaknya akan membantu keluarga berkenaan termasuk meminta bantuan pakar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) merawat penyakit Mohamad Zahare.

Menurutnya, pihaknya turut membawa seorang pegawai JKM untuk menilai bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi meringan beban mereka.

“Kami akan memberi sumbangan berterusan kepada keluarga ini, terutama keperluan seperti lampin pakai buang dan susu untuk Mohamad Zahare,” katanya ketika melawat keluarga terbabit sambil menyerahkan sumbangan barangan keperluan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan