#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Jun 09, 2009

Antara petanda tua


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

afzan@bharian.com.my

LEHER mungkin menjadi lokasi yang sering 'dianaktirikan' dalam aspek jagaan kecantikan. Mungkin dek kerana lokasinya, menyebabkan sebarang keadaan kurang molek pada kawasan sekitar, boleh ditutup menerusi pemakaian selendang atau baju berkolar tinggi.

Hakikatnya, leher bagaikan pasport yang mampu menunjukkan usia sebenar seseorang itu, dan paling mustahak, sejauh mana ia memberi petunjuk, sama ada anda teliti dalam rutin penjagaan tubuh badan, atau jenis yang tidak kisah mengenai kecantikan.

Penjagaan leher: Bahagian yang sering dilupa perlu diberi perhatian untuk serlah kecantikan

APABILA berbicara mengenai kosmetik dan rawatan kecantikan, individu cenderung menyentuh mengenai wajah, rambut, tangan dan kaki. Kita selalunya menyangka bahagian itu paling mustahak untuk diberikan perhatian, tanpa menyedari anggota tubuh bahagian lain seperti leher, bahu, lengan dan siku juga perlukan perhatian sewajarnya.

Apa gunanya memiliki solekan kemas sempurna pada wajah, tetapi bahagian leher bagaikan tidak terurus? Kulit bersisik atau rona tidak sekata pada bahagian berkenaan, boleh mencacatkan penampilan, seterusnya menjadikan anda bagaikan tidak sempurna.

Ada perkara penting bagi memastikan bahagian itu tidak terabai ialah ‘berhenti daripada memikirkan kecantikan wajah hanya sehingga ke bahagian dagu saja’, sebaliknya fikirkan bahawa leher adalah sambungan dari bahagian wajah. Setiap kali anda ingin mencuci muka, bersihkan juga bahagian leher.

Ada beberapa penyebab masalah bahagian leher yang tidak mampu dihindari, misalnya berkurangnya kolagen dan kadar air pada kulit disebabkan penuaan, tekanan dan beberapa gangguan lain. Sungguhpun begitu, tidak memberikan perhatian pada bahagian berkenaan turut menjadi penyebab.

Dari aspek kecantikan, jurusolek Khir Khalid, berkata sekiranya anda menggunakan bedak asas atau bedak tabur pada wajah, ingat untuk menyapukan ia pada bahagian leher sama untuk mengelakkan rona kontras antara leher dan wajah.

“Sekiranya anda berhajat menyapu krim, pastikan setiap sapuan bermula dari bahagian bawah membawa ke arah dagu,” katanya.

Itu dari segi kecantikan luaran yang boleh diselindungi, tetapi daripada segi kecantikan dalaman, ahli terapi kecantikan, Fauziah Hambali, berkata dalam usaha menangani kulit bahagian berkenaan menggeleber atau berlapis selalu pastikan anda berjalan menegak.

Katanya, antara petua yang boleh dilakukan di rumah untuk mencerah dan melembutkan bahagian berkenaan anda boleh membuat tonik kulit dengan mencampurkan tiga sudu serbuk borax, dua sudu glycerine dan dua cawan air mawar lantas sapukan tonik itu ke bahagian dikehendaki.

“Senaman ringan boleh dilakukan bagi membantu menguatkan kulit bahagian berkenaan. Tarik nafas perlahan-lahan dan bawa leher ke bawah (ke bahagian dada) dan rehat seketika. Kemudian angkat kepala perlahan-lahan dan bawa ia ke belakang sejauh yang anda termampu.

“Senaman lain boleh dilakukan termasuklah bernafas dalam-dalam dan pusing leher ke sebelah kiri tanpa menggerakkan bahagian bahu dan tubuh badan. Ulang langkah ini sekurang-kurangnya 10 kali sehari,” katanya.

Paling penting, katanya, sebelum masuk tidur, basuh bahagian leher dengan air suam dan sedikit sabun sebelum dibilas kemudian tepuk bahagian berkenaan secara perlahan-lahan bagi membolehkan losyen yang disapu pada bahagian berkenaan lebih mudah meresap.

Melengkapkan lagi rawatan, seminggu sekali boleh menggunakan pupur diperbuat daripada telur. Sapukan ia ke seluruh muka dan leher, biarkan ia sehingga 30 minit. Bilas dan sapukan bersama losyen.

Tegasnya, bahagian leher dan dagu memerlukan penjagaan konsisten. Leher mesti dibersih dan disuburkan dengan krim bervitamin setiap hari bagi membolehkan kesan penuaan tidak ketara kelihatan di situ kerana bintik hitam pada bahagian berkenaan yang muncul juga, dikatakan berkait rapat dengan masalah hati yang boleh dirawat dengan mengambil produk tinggi vitamin C.

Petua leher cantik

LEHER bahagian paling mudah menyerlahkan usia sebenar kerana ia mudah berlapis dan menggeleber. Teknik solekan terbaik sekalipun, gagal menutup kekurangan diri anda. Berikut antara petua bagi mendapatkan leher cantik:


* Bersihkan bahagian wajah dan leher setiap hari. Lupa membersihkan bahagian leher menjadi penyebab ia mudah kelihatan kusam dan tidak bermaya. Leher yang tampak muda juga perlu disental iaitu leher digosok menggunakan penyental dalam gerakan perlahan. Ini bagi mencegah pertumbuhan sel kulit mati yang tidak boleh dibersihkan oleh sabun ataupun pembersih biasa.

* Pada sebelah pagi pula, sebaiknya sapukan pelindung sinar pada bahagian berkenaan untuk mencegah penuaan yang disebabkan sinar matahari kerana ia akan membuat warna kulit jadi tidak sama sehingga timbul bintik kehitaman. Sapukan pelembap pada leher bagi mengelakkan kulit gatal dan kering.

* Rehatkan ketegangan pada bahagian leher, rahang dan wajah, dengan menekan lidah ke langit-langit mulut selama beberapa saat. Lepaskan dan anda akan terasa lebih ‘ringan’.
Banyakkan kegiatan sukan, atau makan makanan tinggi kerana ia membantu memperbaiki kesihatan tubuh dan kulit.

* Sekiranya menggunakan krim antipenuaan, sapukan sekali pada bahagian leher. Sambil menyapu, picit-picit sedikit pada bahagian berkenaan supaya krim berkenaan menyerap dengan sempurna ke kawasan sekitar.

* Duduk dalam keadaan kepala menegak. Secara tidak langsung ia membantu mendapatkan postur tubuh yang baik.

* Jangan tidur menggunakan bantal. Penggunaan bantal ketika tidur hanya akan menyebabkan berlaku dagu berlapis.

* Setiap hari sebelum mandi, amalkan mengurut bahagian leher dari atas ke bawah menggunakan minyak dalam tempoh satu hingga dua minit.

* Bagi mengelakkan bahagian berkenaan terlalu kontras, sapukan lemon atau kunyit (serbuk kunyit dicampur dengan sedikit air) pada bahagian muka dan leher.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan