#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Jun 19, 2009

Ibu diceraikan selepas bapa dibenar berpoligami

Selain memfailkan tuntutan mutaah bekas isteri boleh tuntut edah, harta sepencarian

Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai status kedua ibu bapa saya. Bapa sudah memohon ke Mahkamah Syariah untuk berpoligami dan mahkamah sudah membenarkan. Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian bapa menceraikan ibu depan saya, kakak dan bapa saudara.
Pada keesokan harinya bapa saya berkahwin lain sedangkan perceraian dengan ibu tidak dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan ibu saya dan adakah ibu saya berhak mendapat mutaah dan lain-lain hak selepas perceraian.

Anak risau,
Selangor

Jawapan:
Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu anda adalah memfailkan kes bagi mengesahkan perceraian di Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 57 (1)(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Permohonan pengesahan lafaz cerai ini boleh dimohon sama ada oleh ibu atau bapa sebagai suami dan sewajarnya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lafaz.


Dalam menentukan sah atau tidak sesuatu perceraian, mahkamah akan melihat kepada bentuk lafaz cerai sama ada lafaz sareh (nyata) atau kinayah (tidak nyata). Jika lafaz kinayah, niat bapa ketika melafazkan cerai akan diambil kira bagi menentukan sama ada jatuh talak atau sebaliknya.

Sebaliknya jika lafaz nyata seperti, "Saya ceraikan awak dengan talak satu", mahkamah tidak memerlukan niat suami untuk mengesahkan sesuatu lafaz cerai kerana lafaz itu tidak boleh dipertikaikan kerana ia jelas bermaksud untuk menceraikan isteri.

Perlu diingat, perceraian di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah satu kesalahan yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Selanjutnya, merujuk kepada isu mutaah pula, seorang isteri hanya boleh menuntut mutaah selepas sah berlaku perceraian antara suami isteri. Ia bermakna hanya selepas Mahkamah Syariah memutuskan berlaku perceraian antara ibu dan bapa, barulah ibu anda boleh menuntut mutaah.

Sesungguhnya pemberian mutaah kepada isteri bertujuan meringankan beban ditanggung bekas isteri yang akan memulakan penghidupan baru secara sendirian. Pemberian mutaah diharap dapat menjadi penawar kepada perceraian yang berlaku.

Mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, "Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak itu dan apabila berpuas hati memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak."

Isu utama yang akan diputuskan oleh mahkamah dalam kes pemberian mutaah adalah apakah perceraian benar-benar berlaku, adakah isteri diceraikan tanpa sebab yang patut dan berapa kadar akan diberikan kepada isteri diceraikan?

Mengikut hukum syarak, mutaah adalah pemberian wajib oleh suami yang menceraikan isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 241)

Dalam menentukan kadar mutaah kepada isteri, Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah kamu memberikan mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut, lagi menjadi kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat kebaikan." (Surah Al-Baqarah, ayat 236)

Berdasarkan ayat itu, kadar mutaah bergantung kepada kemampuan suami, namun begitu ia juga ditentukan berdasarkan kedudukan isteri, sumbangan isteri kepada perkahwinan dan kerosakan serta kemudaratan dialami disebabkan perceraian yang berlaku tanpa sebab.

Jika mahkamah memutuskan perceraian yang berlaku antara ibu bapa anda tidak sah, ia bermakna ibu tidak boleh menuntut mutaah. Namun, jika mahkamah mensabitkan perceraian itu sah maka barulah timbul hak mutaah ibu terhadap perceraian yang berlaku.

Memandangkan mahkamah sudah membenarkan bapa anda berkahwin lain, saya percaya mahkamah juga memerintahkan jumlah tertentu pemberian nafkah isteri kepada ibu anda yang perlu dibayar oleh bapa, begitu juga dengan pengisytiharan harta sepencarian.

Ia seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (2003) yang memberi kuasa kepada mahkamah membenarkan poligami atas permintaan mana-mana pihak kepada perkahwinan menghendaki seseorang membayar nafkah kepada isteri dan memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh pihak dalam tempoh perkahwinan dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi.

Ia bermaksud ibu anda boleh meminta pemberian nafkah dan harta sepencarian turut diputuskan dalam perbicaraan poligami terdahulu bagi membolehkan perintah nafkah isteri dan harta sepencarian dikeluarkan serentak kebenaran poligami.

Namun begitu, jika ibu anda disahkan oleh mahkamah sudah bercerai, tindakan selanjutnya yang boleh diambil selain memfailkan mutaah ialah memfailkan tuntutan edah dan harta sepencarian yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan