#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, Disember 12, 2009

Kekasih hati isteri orang

BARU-BARU ini saya berkenalan dengan seorang wanita. Dia seorang wanita baik, peramah, sedia mendengar masalah dan kelakar. Dia mempunyai ciri-ciri yang saya cari selama ini. Malangnya dia sudah berkahwin. Namun, dia tetap menghubungi saya setiap hari dan cukup mengambil berat keadaan saya.

Selalu menasihati dan cara layanannya, seperti saya kekasihnya. Adakah dia hanya ingin menjadikan saya sebagai sahabat untuk melepas rindu pada suami yang selalu sibuk dengan kerja atau dia memang ditakdirkan untuk saya? Pernah juga saya lakukan solat istikharah sebanyak tiga kali dan berdoa supaya ditemukan dengan jodoh terbaik buat saya.

Bagaimana saya nak mengetahui isi hatinya ini? Andainya dia bukan jodoh saya, apa harus dilakukan untuk selesaikan kekusutan ini.

* Lelaki dilema, Muar, Johor.

Lelaki dilema,

Dalam permasalahan ini, sebaiknya anda fikirkan apa perasaan jika isteri anda berkelakuan begitu dengan orang lain, kecewakan? Jika dalam diri anda berasa kecewa sekiranya perkara ini berlaku, janganlah buat pada isteri orang lain. Perbuatan ini juga menggambarkan anda mementingkan diri, kerana tidak memikirkan perasaan suami wanita tersebut.

Walaupun dia mengambil berat mengenai anda, tapi anda tidak tahu atas dasar apa dia berbuat demikian.

Mungkin dia sunyi atau menguji anda atau memang dia ingin bersikap curang. Adakah wanita ini yang anda mahukan? Atau mungkin dia hanya sekadar mahu bersahabat dengan anda. Namun, segalanya terpulang pada anda. Bergantung kepada keadaan, sekiranya ia terjalin kerana kerja atau persahabatan lama, ia mungkin tiada masalah. Sekiranya sudah lahir bibit-bibit cinta, sebaiknya hentikan perhubungan ini.

Jika berterusan kemungkinan berlaku pergeseran antara mereka disebabkan anda. Mahukan perkara ini berlaku pada anda nanti? Jika ini berlaku adakah anda akan gembira? Dan mengharap dia akan memilih anda, belum pasti, jadi cuba nilai semula sikap anda baik atau tidak.

Nasihat Putri, cubalah hargai perasaan orang lain dan jangan terlalu cepat terpengaruh dengan perhatian orang.

Faham pengertian mencintai diri sendiri dan mencintai Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan