#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, Disember 12, 2009

Dilema cinta suami orang

SAYA adalah salah seorang daripada peminat ruangan luahan rasa Mingguan Malaysia. Di sini saya juga terpanggil untuk menyuarakan masalah saya. Saya seorang gadis remaja dan masih tidak mempunyai teman istimewa seperti remaja - remaja lain. Setelah lebih dua tahun bekerja saya mula berkenalan dengan seorang lelaki tetapi statusnya adalah suami orang. Hubungan kami pada awalnya hanya kawan biasa tetapi dia meluahkan hasratnya menyukai saya. Pada mulanya saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya tetapi setelah sekian lama berkawan hubungan kami menjadi semakin akrab. Sekarang sangat sukar bagi saya untuk melupakan dia. Kadang-kadang kata-kata manisnya mampu membuat hati saya mempercayainya. Masalah saya sekarang adakah dia benar-benar jujur mencintai saya Putri? Saya bingung kerana dia sudah mempunyai keluarga dan anak. Adakah saya harus memutuskan hubungan dengannya? Tolong Putri, Saya sangat - sangat perlukan teman untuk meluahkan masalah saya ini.

* Taurus, Terengganu.

Taurus,

Cinta lahir tanpa kita duga apabila hati mula terpikat dengan seseorang yang prihatin, bertanggungjawab, sikap ambil berat di samping kekerapan bertemu dan saling mencurahkan rasa hati.

Kerana itu, wanita teruja menyambut cinta lelaki ini walaupun dia suami orang. Jadi, anda perlu bersedia berdepan dengan banyak duri yang bakal menghalang perhubungan itu. Walaupun ia takdir, terlalu sukar menerima lebih-lebih lagi hati terpaut pada yang sudah berpunya.

Jika Taurus baru belajar menyintai suami orang, seharusnya Taurus perhatikan situasi lelaki tersebut. Memang sukar untuk mengetahui sama ada dia jujur atau tidak. Namun, anda boleh menguji dia dalam beberapa perkara. Jika dia setiap hari melahirkan rasa bahagia ketika bersama anda, ia mungkin sekadar kata-kata manis untuk mendapatkan cinta anda. Walaupun ia mungkin kelihatan seperti komitmen tetapi anda perlu berhati-hati. Dia mungkin tidak bahagia bersama keluarganya. Sebab itu, dia terasa bahagia dengan kehadiran anda kerana memberi perhatian yang tidak pernah dia perolehi sebelum ini.

Maaf jika Putri katakan, jika dia menyembunyikan hubungan ini daripada pengetahuan orang ramai, maka ia adalah hubungan sulit. Bayangkan anda tidak boleh bebas berdua-duaan dengannya, pasti menyakitkan hati. Ini menyebabkan anda kehilangan keyakinan diri dan sentiasa diselubungi ketakutan.

Jangan menipu diri sendiri. Dia memang sentiasa mengucapkan kata-kata manis kepada anda. Tetapi pada masa yang sama dia masih bersama isterinya dan tidak mahu berkahwin dengan anda. Hubungan ini mungkin boleh berlanjutan tetapi mampukah anda menunggunya dan dalam pada masa yang sama usia anda juga meningkat?

Perkara yang paling dikesali jika lelaki ini mungkin menipu isterinya. Walaupun dia tidak mengatakannya, buktinya sudah ada. Dia sanggup menghabiskan masa bersama anda kerana ingin mendekati anda. Bayangkan, isterinya mungkin beranggapan dia sedang bekerja tetapi sebenarnya dia sedang berdua dengan anda. Ingat, lelaki tidak jujur ini mungkin mengulangi sikap ini pada anda.

Akhirnya, tanyalah pada diri anda sendiri, mampukah anda mencintainya? Anda mintalah dia berterus- terang dengan isterinya. Sekiranya, dia enggan, bermakna dia tidak sayang dan jujur dengan isterinya. Alasan untuk tidak melukai hati isteri bukan alasan kukuh memandangkan dia sudah melukai hati isterinya pada saat dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Adakah lelaki ini yang anda cintai? Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan