#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, Disember 13, 2009

Berlian, kristal paling berharga

Oleh Hazirah Che Sab



Hope - kini dipamerkan di Amerika Syarikat.

Koh-i-noor, berlian paling popular di dunia seberat 186 karat

JIKA disebut barangan kemas, pasti ramai yang dapat membayangkan gemerlapan emas, selain berlian yang disifatkan pasangan secocok.

Ramai yang memuji berlian dan terpesona dengan kilauan memukaunya. Seri berlian tidak pernah suram dan kilauannya sentiasa mampu membuatkan sesiapa saja ingin memilikinya, khususnya wanita.

Mungkin kerana inilah, seperti lirik lagu nyanyian aktres Hollywood, Marilyn Monroe bahawa ‘Diamonds Are The Girl’s Best Friend’ (Berlian Teman Baik Wanita). Tetapi awas, yang memuja dan memburunya bukan saja wanita dan pedagang intan berlian, sebaliknya kumpulan mafia serta penjenayah di seluruh dunia yang mengetahui betapa tingginya nilai berlian ini.


Apakah istimewanya berlian ini sehingga mendominasi dunia perhiasan barang kemas?

Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels), Yasheedah Yashaiya, berkata ramai yang tidak tahu, keunikan berlian itu terletak kepada kewujudan dan ciri-ciri istimewa kristal berharga ini.

“Berlian amat sukar diperoleh. Ia mengambil masa beribu-ribu tahun untuk terbentuk dan terletak terlalu jauh dalam perut bumi. Ia cuma naik ke permukaan jika berlaku letusan gunung berapi.

“Malah, dalam tanah seberat 2.5 tan, hakikatnya cuma satu hingga dua karat berlian saja yang ditemui. Ia satu-satunya perhiasan yang mempunyai warna pelangi. Oleh itu, tidak betul sama sekali jika ada yang beranggapan berlian tiada harga di pasaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, bukan semua berlian sama dan mengikut Yasheedah, berlian dinilai dengan empat C iaitu colour (warna), clarity (kejelasan), cut (potongan) dan carat (karat - berat berlian). Lebih berat bermakna lebih tinggilah nilai berlian berkenaan.

Katanya, perkara paling dititikberatkan yang menyerlahkan keunikan berlian ialah cara potongan.

“Potongan paling sempurna ialah Hearts on Fire kerana ukuran setiap penjuru sama. Memandangkan berlian adalah bahan paling keras, yang digunakan untuk memotong berlian ialah berlian juga.

“Satu perkara mengenai berlian yang kerap disalah sangka, ialah ia tidak retak. Ia boleh retak dan berlian kalis calar,” katanya.

Yasheedah berkata, setiap berlian perlu melalui proses ‘Kimberley’ untuk memastikan ia bukan diperoleh secara haram - selalunya daripada keringat penduduk di benua Afrika yang dijadikan hamba untuk melombong berlian.

Berlian paling terkenal dunia ialah Koh-i-noor, yang pada asalnya seberat 186 karat tetapi kini dikatakan sekitar 106 karat. Ia diperoleh daripada sebuah keluarga India pada 1304 dan diwarisi beberapa generasi. Ia bagaimanapun dicuri pada 1739.

Selain itu, berlian lain yang turut terkenal - Hope, seberat 45.52 karat yang kini dipamerkan di Muzium Smithsonian di Washington, Amerika Syarikat. Ia mula muncul dalam perdagangan berlian pada 1830. Ia dibeli oleh seorang ahli perbankan, H Ph Hope, dan dipercayai berlian itu dipotong daripada batu permata yang lebih besar.

Dresden, seberat 41 karat yang berkemungkinan besar berasal dari India. Ia dipotong dalam bentuk buah pir dan mempunyai warna hijau zamrud yang cantik. Berlian terkenal lain ialah The Cullinan I, Star of Africa - berlian putih bentuk buah pir dengan berat 520.02 karat; Sancy - berlian seberat 55 karat yang juga dipotong dalam bentuk buah pir dan Tiffany yang diperoleh daripada Lombong Kimberley yang terkenal di Afrika Selatan.

INFO:

  • Berlian ialah kristal yang terbentuk daripada karbon
  • Dianggap cincin pertunangan tradisi di kebanyakan negara dunia dan hadiah ulang tahun perkahwinan ke-60 dan ke-75.
  • Sebahagian berlian bercahaya biru atau jingga apabila didedahkan kepada sinaran lampau ungu.
  • Berlian tertua berasal dari India
  • Berlian merah jambu mudah ditemui di lombong berlian di Australia.
  • Kira-kira 80 peratus perdagangan berlian di dunia dikawal oleh syarikat DeBeers yang memastikan nilainya pada paras konsisten.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan