#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Mei 25, 2009

Suami tumpang kesenangan isteri

BIASANYA apabila seseorang itu tak kira lelaki ataupun perempuan, kalau dia dah suka dan sayang, pada seseorang, dia tidak akan mahu mendengar nasihat orang lain walaupun ibu bapanya sendiri yang dianggapnya musuh. Padanya semua nasihat itu hanya untuk menghancurkan impiannya, lebih teruk lagi di anggap berniat jahat

Demikian pandangan seorang adik bernama Edriana, dalam e-melnya kepada penulis. Katanya dia ingin menceritakan penderitaan yang ditanggang oleh kakaknya, Eliza gara-gara berkahwin dengan suami orang. Walaupun kini kakak sudah berkahwin lebih 5 tahun, tapi kami sekeluarga tahu hidupnya menderita bukan seperti yang dia gambarkan bahawa dia bahagia.

''Tidak ada seorang pun ahli keluarga kami suka dengan keputusannya untuk berkahwin dengan suami orang. Malah tuduhan kaum keluarga madunya bahawa kami menggalakkan keputusannya mahu berpoligami itu semuanya bohong belaka.

''Emak dan ayah sendiri menasihati dan membantah keputusannya, tetapi kakak degil dia tetap dengan keputusannya. Saya rasa semua ibu bapa tak suka kalau anaknya bermadu, tetapi kalau anaknya berkeras dengan keputusannya, apa yang boleh dilakukan. Anak tetap anak, takkan ibu bapa nak buang anak semata-mata kerana dia berpoligami.

''Kami juga tahu tidak akan aman hidup wanita yang berpoligami, baik yang kena madu atau pun bermadu, Sama-sama akan hidup dalam penuh penderitaan. Mungkin di luar sahaja mereka nampak gembira, tetapi dalam hati hanya Allah yang tahu. Hidup kakak pun sama, seperti kata pepatah Melayu 'macam ikan dalam lukah, nak masuk senang, nak keluar susah.'

''Saya baca banyak cerita orang bermadu dalam ruangan DCCK ini, saya rasa tidak ada kesenangan dan kegembiraan dalam hidup mereka. Tetapi kerana sudah tersilap langkah, nak berpatah balik terasa malu. Terutama bila bersuami macam suami kakak yang kami panggil 'poyo' dan suka mengambil kesempatan atas kedudukan kakak saya.

''Tujuan saya bercerita ini untuk menjadi teladan kepada saya juga kepada gadis-gadis lain supaya janganlah terjebak hidup bermadu. Untuk itu saya suka berkongsi cerita dengan anda semua. Biarlah cerita pahit maung kehidupan kakak saya ini menjadi pembuka mata kepada gadis juga wanita yang dibuai mimpi indah oleh suami orang bahawa cinta itu indah.

''Masa kak Eliza mula berkahwin dahulu umurnya sudah lanjut lebih 30-an kerana itu dia tak memilih agaknya, tapi suaminya pun pandai memilih, kerana wanita lanjut usia senang dipikat dan mungkin dia menyangka kakak sudah tidak ada pilihan kecuali dia walaupun sudah berkahwin dan ada anak-anak yang ramai.

''Ketika emak membantah keputusan kak Eliza, kakak kata dia tahu apa yang dia lakukan dan dia tahu memilih antara batu dengan intan, dan dia sudah cukup matang untuk membuat pilihan lagi pun dia yang berhak dan akan menentukan hala tuju kehidupannya.

perampas

''Emak dan kami sekeluarga menolak sebab bakal suaminya sudah ada empat orang anak yang masih kecil, dan sudah tentu kami tak suka mendengar cemohan orang bahawa kakak perampas suami orang. Tapi apakan daya, usaha kami gagal. Nasihat kami bagaikan angin lalu kepadanya.

''Seawal perkenalan mereka, kami sekeluarga telah menghidu bahawa bakal suami kak Eliza ini jenis orang yang tidak boleh dipercayai katanya-katanya, suka 'cakap besar' atau paling sesuai di panggil 'poyo'. Kalau berbual dia sahaja yang pandai, dia sahaja yang serba tahu. Pantang terdengar isu-isu negara dan semasa semuanya dia tahu, semua dia nak cakap, dan kalau pasal bercakap mengalahkan Tun Dr. Mahathir yang berpengalaman luas itu. Pantang ditanya dan dicolek, semua dia tahu. Itu yang membuatkan kami tambah meluat dengan sikapnya itu.

'' Ke'poyo'annya itu jadi lebih ketara selepas mereka kahwin. Lagaknya hari pertama dia menjejakkan kaki ke rumah kami, sikapnya memang jenis mengangkat diri, cakap besar. Mengaku gaji besar, adik-beradiknya kaya-raya, pakaiannya berjenama dan ada kelas.

''Tetapi pada kami yang mendengar ceritanya itu, kami anggap semua kata-kata itu hanya pembohong belaka, dia cuba tarik perhatian kami dengan cerita tentang isu semasa, tetapi kami tak berminat nak dengar. Kami anggap ceritanya seperti angin lalu, kerana kami tahu siapa dia yang sebenar dia hanyalah seorang penjawat jawatan awam yang bergaji kecil sahaja.

''Apa yang menjadi tragisnya, kini segala sakit pening dan makan minum suaminya bersama empat orang anaknya adalah di bawah tanggungan kak Eliza sendiri. Bukan setakat itu sahaja, malah segala perbelanjaan tambahan untuk sekolah anak-anaknya yang empat orang itu juga menjadi sebahagian tanggungan besar kak Eliza.

''Walaupun kak Eliza seolah-olah berjaya menjadi 'primadona' dalam rumahnya sendiri, tetapi hati kecil kami dapat meneka bahawa kakak mungkin atau sememangya menyesal bersuamikan lelaki poyo yang tiada apa itu melainkan pembohongannya semata-mata.

''Kami memang nak padankan muka kak Eliza kerana salah membuat pilihan dek kerana sikap kepala batunya sendiri, tetapi dalam masa yang sama kami kasihan melihat kehidupan dia sekarang, luar nampak gembira tetapi bila sendiri kami lihat dia memang sedih. Inilah akibatnya engkar dan tak mahu dengar nasihat emak dulu.

''Kak Eliza jadi lebih tersepit kini kerana kami dapat tahu suaminya telah pun menceraikan isteri pertama tanpa sebab. Secara luaran memanglah kak Eliza dah menang, tetapi dia terpaksa tanggung segala masalah, malah hidupnya lebih teruk lagi. Kami tahu rahsia ini dari kawan-kawannya sendiri, yang simpati dengan hidup kak Eliza.

''Apa yang menjadi masalah besar kak Eliza, kalau dulu anak-anak tirinya datang pada hujung minggu, tetapi kini menjadi tanggungjawab dia sepenuhnya, kerana madunya tidak mengambil anak-anaknya, sebaliknya menyerahkan kepada bekas suaminya. Namun bekas suaminya lepaskan semua tanggungjawab itu kepada kak Eliza. Siapa tak pening menguruskan empat orang anak yang masih kecil sedangkan dia sendiri sudah ada anak sendiri. Memang pening.

''Kini apa lagi, anak-anak pakej perkahwinan kak Eliza sudah mula tunjuk belang dan sudah mula bermaharajalela dalam rumah kak Eliza. Kalau dulu pembantu rumah menjaga dua orang anak kakak sahaja, kini sudah bertambah jadi enam orang, itu belum masuk ragam dan perangai suaminya lagi yang banyak kerenah dan serba tak kena itu.

jawatan tinggi

''Apa yang kami bimbang bukan setakat pembantu rumah minta tambahan gaji, malah lebih teruk kalau dia cabut lari, apa nak jadi dengan hidup kak Eliza. Dia tak boleh buat kerja main-main memandangkan jawatan tinggi yang dijawatnya di pejabat. Dan dia tak boleh cuti sesuka hati bila pembantu rumah buat hal atau anak-anak tirinya sakit. Nak harapkan suaminya, jangan fikirlah, dia cuma fikirkan tentang keselesaan hidup dan dirinya sahaja. Lain-lain tugas dia serahkan kepada kakak sahaja.

''Apa yang lebih memeningkan kepala kak Eliza ialah sikap suaminya yang tak mahu bertolak ansur, tak mahu sama bertanggungjawab. Dia cuma fikirkan hidupnya mahu senang. Orang lain susah dia tak ambil peduli. Dia pernah cakap, kak Eliza patut bersyukur dapat suami, kalau tidak tak kahwinlah dia entah sampai bila. Sebab itulah dia terus berlagak mengharapkan orang berterima kasih dengannya kerana mengambil kakak jadi isterinya.

''Lebih menyakitkan hati kami sejak berkahwin, suami kak Eliza tak mahu lagi masuk hospital kerajaan kalau sakit, bukan dia sahaja, malah anak-anaknya pun sama. Dia mahu dirawat di hospital swasta yang bertaraf hotel tu. Bilnya tentulah kakak yang bayar. Sapa boleh tahan kalau semua anak-anak tirinya pun di rawat di hospital yang sama? Gaji besar pun tak mampu.

''Suaminya akan berhujah sekiranya kak Eliza ingin membawanya mendapatkan rawatan ke hospital kerajaan. Peliknya kakak seperti orang yang kena 'bomoh' dia hanya mampu mengiyakan kata-kata suaminya sebagai tanda bersetuju dengan cadangan suaminya yang poyo itu untuk dibawa ke hospital swasta bertaraf hotel itu untuk mendapatkan rawatan.

''Disebabkan tindakan suaminya yang kurang matang itu, kami adik-beradik terpaksa keluarkan wang kami sendiri untuk membantu kak Eliza menyelesaikan bil-bil hospital yang amat tinggi atas permintaan kak Eliza, tapi kami terpaksa merahsiakan dari pengetahuan emak.

''Alasan yang selalunya suaminya gunakan kalau dia mendapatkan rawatan di hospital swasta yang mahal itu ialah kerana keselesaan yang dia dapat, perkhidatannya cepat tetapi apa yang paling kami tidak boleh terima apabila suami kakak Eliza kata ''kalau kawan-kawan abang datang melawat abang kat hospital ini abang sure mereka semua ternganga!'.

Demikian cerita Edriana yang amat bersimpati dengan nasib kakaknya. Kerana dia bukan wanita sembarangan, tetapi punya jawatan penting dan masa depan yang cerah. Janganlah hendaknya masalah rumah tangganya menjadi pemusnah karjayanya satu hari nanti.

Ramai berkata kejayaan seorang suami disebabkan oleh wanita di belakangnya. Begitulah juga kejatuhan seseorang wanita dalam kerjayanya disebabkan oleh lelaki di belakangnya, yang bukan sahaja tidak menyokong tetapi menghancurkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan