#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Mei 25, 2009

Kemurungan selepas keguguran

SOALAN

DOKTOR,

Assalamu-alaikum. Saya ingin tahu mengenai keguguran dan penyakit gila meroyan. Adakah penyakit ini boleh menimpa orang yang mengalami keguguran kerana saya pernah terbaca ia menimpa kepada ibu yang melahirkan anak kali pertama.

Saya pernah mengalami keguguran semasa kandungan berusia lapan minggu. Selepas itu saya sering menyalahkan suami kerana kejadian ini. Suami juga selalu keluar dan out station menyebabkan saya tertekan. Saya menjadi pemarah dan pernah terfikir untuk membunuh diri.

Adakah ini dikatakan gila meroyan? Saya sendiri kadang-kala tidak mampu untuk mengawal diri sedangkan kejadian ini sudah berlaku lima bulan lalu. Apa yang perlu saya lakukan?
*Wati, Johor Bharu, Johor.

Jawapan,

Penyakit gila meroyan biasanya terjadi kepada wanita selepas melahirkan anak. Biasanya wanita ini merasa sedih secara keterlaluan, tidak dapat makan dan tidur seperti biasa, tidak suka bergaul dengan orang lain dan dalam kes yang serius mungkin berniat untuk bunuh diri.

Apa yang puan alami adalah kemurungan (depression) selepas mengalami keguguran. Pertama sekali, puan perlu faham yang keguguran boleh terjadi kepada sesiapa pun.
Sebab utama terjadi keguguran adalah disebabkan janin yang terbentuk itu tidak normal (keabnormalan genetik).

Anda tidak patut menyalahkan suami ataupun diri sendiri atas kejadian keguguran ini. Kebanyakan wanita dapat melahirkan anak selepas sekali keguguran.

Manakala kalau terjadi keguguran berulangkali, iaitu tiga kali atau lebih, maka sebab-sebab lain seperti penyakit kencing manis, masalah hormon atau SLE perlu disiasat.

Saya galakkan puan lupakan keguguran yang terjadi, cuba mengandung lagi dan mengambil langkah-langkah seperti makan asid folik dari awal dan berjumpa doktor lebih awal untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya.

HANTARKAN soalan-soalan anda kepada Tanya Dr. Pakar, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu (M) Bhd., 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur; e-mel: kesihatan@utusan.com.my atau faks 03-92213752.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan