#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Mei 25, 2009

Cinta tidak boleh dipaksa

Saya Melati ingin memberi reaksi kepada luahan Mawar Putih yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada Ahad lalu (17 Mei 2009).

Saya bersetuju dengan kata-kata Puteri, walaupun cinta dan dicintai itu amat membahagiakan tetapi cinta itu tidak boleh dipaksa. Saya yakin Mawar Putih masih muda lagi dan tidaklah perlu terburu-buru tentang jodoh.

Saya akui cinta yang ditolak itu terlalu menyakitkan hati. Namun, kita perlu terima hakikat bahawa ia satu perasaan yang tidak boleh dipaksa.

Secara jujurnya, saya sendiri tidak pernah mengalami situasi ini tetapi saya memahami perasaan itu apabila cinta ditolak.

Saya pernah menolak cinta seorang sahabat. Ketika itu, dia benar-benar terluka. Lebih perit lagi, saya terpaksa memilih antara dua lelaki iaitu kedua-duanya sahabat baik saya sendiri.

Akhirnya, saya terpaksa memilih yang seorang lagi kerana saya merasakan perasaan ketika itu lebih selesa dengannya.

Pada ketika itulah, saya benar-benar mengerti bahawa ketika cinta ditolak, ia amat menyakitkan perasaan.

Daripada seorang yang kemas, dia berubah menjadi tidak terurus.

Lebih sedih lagi, dia bertukar menjadi pendiam dan pasif.

Pada saat itu, saya tahu yang dia benar-benar kecewa.

Namun, saya ambil pendekatan, masih menganggapnya sahabat baik.

Akhirnya, dia dapat menerima keputusan saya dan dia kembali menjadi seorang bermotivasi.

cerita indah

Dia mula menerima hubungan cinta saya dengan orang lain walaupun dia sangat-sangat menginginkan bertemu dengan seseorang yang serupa dengan saya.

Dia menjadikan kenangan kami sebagai sebuah cerita indah yang tidak dapat dilupakan.

Walaupun kini kami jarang berhubung, tapi sesekali mendengar ceritanya, saya tahu dia sedang berbahagia.

Begitulah kisahnya, kepedihan di hati akhirnya hilang jika jalinan persahabatan itu masih dikekalkan.

Kata orang, sahabat itu lebih indah jika dibandingkan hubungan cinta yang mungkin tiada penghujungnya.

Kepada Mawar Putih, jangan putus asa. Saya yakin Mawar Putih dapat melupakan M. Cinta bukanlah segala-galanya dalam hidup kita. Jodoh juga tidak datang tiba-tiba, ia mungkin mengambil masa untuk datang.

Terbaik, pulihkan semangat diri, berdoa agar dipertemukan jodoh yang baik dan sesuai.

Sebagai langkah melupakan M, seperti kata Puteri, Mawar Putih boleh bercuti atau melakukan aktiviti luar yang berfaedah.

Mungkin suatu hari nanti Mawar Putih akan bertemu dengan Mr. Right lain.

n Melati, Seremban, Negeri Sembilan.

Melati,

Terima kasih atas pandangan saudari buat Mawar Putih. Semoga ia dapat melapangkan hati Mawar Putih dan merawat hati yang kecewa. Patah hilang tumbuh berganti, suatu hari nanti Mawar Putih akan bertemu jua dengan jodoh yang sesuai. Apa yang penting, jangan patah semangat dan teruskan perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan