#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mei 29, 2009

Ibu lebih layak bela anak


Soalan

SUAMI saya baru meninggal dunia. Kini keluarga sebelah suami ingin mendapatkan hak penjagaan anak dengan alasan pendapatan bulanan saya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak saya, apatah lagi dia merupakan cucu tunggal. Apakah yang boleh menyebabkan seorang ibu hilang hak penjagaan anaknya? Saya tidak sanggup berpisah dengan anak saya yang kini berusia dua tahun.
Zara Sofea,
Damansara Perdana.

Jawapan

Kasih sayang ibu terhadap anaknya memang tidak dapat dinafikan. Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anaknya. Perundangan keluarga Islam telah menetapkan bahawa ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Ini terkandung dalam seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Walaupun ibu dianggap sebagai yang paling berkelayakan, namun seksyen 82 menyatakan bahawa seorang ibu itu haruslah:
*Seorang Islam;
*Sempurna akal;
*Dia berkelayakan untuk memberi kanak-kanak tersebut kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut;
*Berkelakuan baik; dan
*Mempunyai kediaman yang tidak akan membahayakan kanak-kanak tersebut.

Sekiranya ibu gagal memenuhi syarat tersebut, maka hak penjagaan berkemungkinan beralih kepada orang lain. Seksyen 83 Akta pula telah menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya boleh hilang.

Menurut seksyen tersebut, hak seseorang perempuan terhadap hadanah hilang sekiranya:
*Perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang menjadi bukan muhrim kepada kanak-kanak itu.
*Perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
*Perempuan itu berpindah dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
*Perempuan itu murtad.
*Perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Perlu dinyatakan bahawa walaupun (a) berlaku, situasi di mana ibu telah berkahwin lain tidak boleh dijadikan alasan semata-mata. Ia haruslah dibuktikan bahwa perkahwinan tersebut akan mengganggu anak tersebut.

Berkenaan dengan perebutan hak penjagaan anak antara puan dan keluarga mertua, Seksyen 81(2) menyatakan bahawa apabila ibu telah hilang kelayakannya atau tidak mampu untuk menjaga anak itu, maka hak hadanah akan berpindah kepada salah seorang yang berikut, mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:

*Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
*Bapa;
*Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
*Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
*Kakak atau adik perempuan seibu;
*Kakak atau adik perempuan sebapa;
*Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
*Anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
*Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
*Emak saudara sebelah ibu;
*Emak saudara sebelah bapa;
*Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari.

Di sini jelas menunjukkan bahawa hak puan dan ibu puan terhadap cucunya adalah lebih kuat berbanding dengan keluarga sebelah arwah suami puan. Memandangkan anak puan adalah cucu tunggal dalam keluarga arwah suami, perbincangan antara kedua belah pihak adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini. Hak penjagaan tetap jatuh kepada puan tetapi keluarga mertua boleh datang melawat cucu mereka pada bila-bila masa.

Manakala dari segi pembayaran nafkah anak pula, seksyen 72 (2) menyatakan adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah hukum syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati.

Ini bermaksud keluarga sebelah arwah suami puan mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak dan membantu meringankan beban setelah kematian suami.
Jadi puan boleh menuntut hak-hak anak puan dari keluarga arwah suami seperti perbelanjaan harian dan perbelanjaan persekolahan sehingga anak tersebut boleh menanggung dirinya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan