2010/07/30
Berita Harian - Agama
Semua waris simati layak kemuka permohonan tadbir harta pusaka
PAK Samad (bukan nama sebenar), seorang imam yang terkenal dan disegani di kampungnya meninggal dunia pada usia 65 tahun ketika menajak rumput di sawahnya. Beliau meninggalkan harta tidak alih berupa tanah sawah seluas 30 relung serta wang simpanan di Tabung Haji dan bank.
Pak Samad meninggalkan waris, balu, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Tidak lama selepas kematian bapanya, Idrus (bukan nama sebenar), anak lelaki sulung dan adiknya, Yaakob (bukan nama sebenar) yang tinggal dan bekerja di bandar pulang ke kampung untuk berbincang mengenai harta peninggalan bapa mereka. Persoalan pokok yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian tanah sawah milik simati yang kini terbiar. Sebagai anak lelaki sulung, Idrus melantik dirinya sebagai Pemegang Kuasa (Pentadbir Pusaka) untuk mengurus semua harta pusaka peninggalan bapanya. Idrus membuat keputusan membahagikan tanah itu mengikut hukum faraid dan memberi ibunya tanah sawah seluas lima relung (6/48 bahagian mengikut hukum faraid) yang terletak di pinggir hutan mengkuang, agak jauh dari rumah.
Dua adik perempuannya, Zainab dan Sapiah mendapat 7/48 bahagian setiap seorang iaitu tanah sawah seluas enam relung dan mereka berkongsi tanah di atas dua geran seluas 12 relung satu penjuru (satu penjuru bersamaan 0.1775 ekar).
Sementara Yaakob diberi dua keping tanah berkeluasan 11 relung satu penjuru. Idrus pula mengambil tanah dua relung yang sedang diusahakan ibunya dan tiga tanah sawah yang semuanya berjumlah 11 relung dua penjuru.
Ibu dan kedua adik perempuannya membantah cadangan pemberian tanah yang terlalu jauh dari tempat tinggal mereka dan sukar untuk diusahakan. Idrus marah dan bertindak mengambil semua geran tanah milik arwah tanpa memberi sekeping tanah kepada ibu dan adik perempuan.
Setelah dua tahun kematian Pak Samad, Idrus masih belum memohon Surat Kuasa Mentadbir. Semua tanah disewakan dan hasilnya dipungut Idrus tanpa diagihkan kepada waris yang lain.
Simpati dengan nasib tiga beranak itu, seorang jiran menasihatkan mereka ke AmanahRaya untuk menyelesaikan soal pembahagian harta pusaka. Zainab dan Sapiah mendapatkan khidmat nasihat daripada AmanahRaya.
Mereka diterangkan konsep Pemegang Kuasa hanyalah adat saja dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Pemegang Kuasa bukanlah wakil diri yang sah kepada arwah dari segi undang-undang kerana tiada pelantikan secara undang-undang bagi tujuan itu.
“Dari segi undang-undang, Pemegang Kuasa sebegini tidak diiktiraf. Abang puan tidak boleh selama-lamanya menguasai semua harta arwah tanpa dibuat pembahagian kepada waris lain yang berhak,” jelas pegawai AmanahRaya kepada Zainab dan Sapiah.
Mereka dinasihatkan untuk mengemukakan Permohonan Mentadbir Harta Pusaka bagi semua harta arwah termasuk simpanan wang di Tabung Haji dan bank. Zainab dan Sapiah risau akan dimarahi Idrus jika membuat permohonan itu nanti.
Pegawai AmanahRaya memberitahu semua waris yang berhak kepada harta pusaka layak menjadi pemohon.
Masalah geran tanah asal yang disimpan Idrus tidak menjadi halangan kerana AmanahRaya akan membuat carian rasmi tanah itu berdasarkan salinan geran yang ada dalam simpanan mereka.
Melalui carian itu, permohonan mendapatkan nilaian tanah dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta serta proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau perintah pembahagian harta pusaka arwah dari Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil dapat dilakukan.
Pada masa sama, Idrus bertemu dengan pegawai kes di AmanahRaya dan setelah diberi penerangan lengkap, faham bahawa tindakan beliau selama ini salah serta berjanji memberi sokongan kepada AmanahRaya dan akan menyelesaikan masalahnya dengan waris lain.
Perkembangan itu memudahkan usaha penyelesaian oleh AmanahRaya. Setelah semua siasatan lengkap dan pengesahan penilaian dibuat terhadap enam keping tanah serta jumlah wang simpanan di Tabung Haji dan bank diperoleh, permohonan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dikemukakan ke Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian.
Tidak lama selepas itu, Pejabat Penyelesai Pusaka Kecil mengeluarkan Notis Petisyen Dan Pendengaran untuk perbicaraan Permohonan Surat Kuasa Mentadbir kepada AmanahRaya sebagai pemohon dan juga kepada semua waris.
Pada hari pendengaran permohonan, semua waris hadir. Mereka kelihatan gembira ketika menjejakkan kaki ke Pejabat Tanah untuk perbicaraan permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi harta pusaka arwah Pak Samad.
Ketika menunggu giliran, pegawai AmanahRaya meminta waris berbincang cara terbaik membahagikan harta pusaka itu.
Perbicaraan permohonan berjalan lancar kerana mereka bersetuju membahagikan tanah sawah seluas 30 relung mengikut faraid.
Sementara semua wang simpanan di Tabung Haji dan di bank diserahkan kepada ibu mereka dengan AmanahRaya dilantik sebagai Pentadbir Harta Pusaka yang sah. Begitu juga tanah setengah relung yang turut menempatkan tapak rumah diserahkan kepada ibu mereka.
Semua ahli keluarga berpuas hati apabila melangkah keluar dari bilik Mesyuarat Pejabat Tanah. Ibu mereka juga gembira kerana tanah dan tapak rumah didiaminya kembali menjadi miliknya sementara Zainab dan Sapiah mendapat bahagian tanah yang boleh mereka usahakan.
Semua mereka saling berpelukan antara satu sama lain sebelum membawa haluan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan