#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Nenek n Cucu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nenek n Cucu. Papar semua catatan

Ahad, November 18, 2012

Tragedi adalah hikmah dalam perkahwinan

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 17/11/2012

*Luahan oleh ibu Mohd Dafrizal Shah / nenek kepada arwah Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah


SAYA percaya musibah yang berlaku ada hikmahnya untuk pasangan suami isteri terutama mereka yang masih muda.

Kecekalan dan ketabahan menghadapi situasi berat ini sedikit sebanyak mematangkan mereka untuk lebih menghargai erti perkahwinan.


Begitulah yang berlaku dalam rumah tangga anak dan menantu saya baru-baru ini - diuji dengan pemergian mengejut bayi mereka Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah yang baru berusia 3 bulan disyaki tersedak susu di sebuah taska yang menjadi tempat persinggahan sementaranya.


Semuanya adalah takdir Allah untuk hambaNya yang Dia tahu mampu menggalas ujian tersebut dengan reda dan sabar.


Ketika catatan ini tersiar, genap 15 hari cucu saya Dalila Hayfa kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah!


Sejak peristiwa tragis itu, rumah anak menantu saya menjadi sepi... tidak ada yang bersuara kecuali perlu. Mood untuk berbual langsung tidak ada.


Anak sulung mereka, Delisha dan arwah Dalila adalah penyeri hidup kami sekeluarga juga besan saya.


Sampai saat ini, kami sekeluarga sedang sedih. Tidak tahu sampai bila, berkumpul beramai-ramai tidak semeriah seperti sebelum ini, dan tidak ada ayat yang terkeluar untuk memulakan bicara.


Sekejap yang itu menangis, sekejap di situ teresak-esak, pendek kata suasana masih suram dan sayu sebab di mana-mana, wajah Dalila Hayfa yang comel sentiasa ada.


"Kita kemas apa yang patut pa, katil, barang adik dan pakaiannya. Ma tak sanggup nak tengok semua itu,'' terdengar suara sebak menantu saya berbisik kepada suaminya.

Air mata saya menitis mendengar kata-kata itu, memang betul, jika dilihat semua barang milik si comel itu, bukan sedih saja yang terasa, malah sepertinya dia masih ada bersama kami.

Jika saya boleh sedih yang teramat sangat, apatah lagi ibu yang mengandung dan melahirkannya.


Mana ada ibu bapa yang sanggup melihat anak menantu dalam keadaan sedih begitu. Bayangkan anak yang dipinjamkan 92 hari oleh Allah dijemput kembali ke pangkuanNya dalam keadaan menyayat hati.


Anak saya Mohd Dafrizal Shah seorang yang kuat semangat, agresif dan tidak pernah tunduk pada cabaran.

Sejak zaman sekolah rendah, kemudian menengah hingga ke IPTA dan setelah bekerja dia jarang meminta bantuan saya dalam apa juga perkara kecuali pandangan dan nasihat. Semua dilakukan sendiri. Dia seorang yang berdikari.

Namun, perancangan Allah untuk anak saya itu tidak pernah terduga. Dia kalah dengan tragedi 3 November 2012 yang memisahkan dia dan isteri dengan bayi kedua mereka buat selama-lamanya.

Anak saya separuh pengsan di bilik rawatan kecemasan setelah dimaklumkan bayinya Dalila sudah tidak bernyawa lagi.

Lalu teringat saya dalam panggilan telefonnya kepada saya beberapa jam sebelum itu dia berkata, 'baliklah mak...Dalila koma ni, tak tau depa buat apa kat taska.''


Ketika saya tiba di perkarangan Hospital Tawakal dari Kuala Terengganu dia meluru ke arah saya dengan terhoyong-hayang sambil mendepakan tangan dan merangkul tubuh saya dengan kata-kata, 'Dalila dah tak dak mak! Dalila dah tak dak! Tak tau depa buat apa kat dia!.''


Berulang kali dia mengulangi kata-kata itu dengan esakan tanpa henti. Hingga saat ini raungan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya.


Saya seperti tidak berpijak di bumi nyata. Seluruh tubuh menggigil. Tapi saya tahu, saya perlu kuat untuk menangani keadaan ini supaya anak dan menantu saya juga kuat.


Lama saya memeluknya, mencium pipinya dan berkata,"adik jangan menangis, adik perlu reda dengan ketentuan Allah. Mak ada untuk adik. Sabar banyak-banyak.''


Air matanya saat itu bagaikan empangan pecah... mengalir laju membasahi kedua-dua pipinya.


Dia memegang tangan saya dan membawa saya ke bilik kecemasan di mana jenazah Dalila diletakkan.


Di atas katil terbujur kaku tubuh cucu comel saya, Dalila Hayfa. Saya beristigfar beberapa kali untuk mengumpul kekuatan sebelum mengucup wajah comel itu. Air mata yang mengalir deras saya sapu. Kemudian memeluk menantu saya Haidah yang sudah bengkak matanya kerana menangis.


Haidah juga juga seorang yang kuat. Di sebalik sifatnya yang pendiam, dia seorang wanita, isteri dan ibu yang baik dan sempurna di mata saya sebagai mentua.


Alhamdulillah, saya tiba tepat pada masanya doktor membenarkan arwah dibawa pulang. Bersaksikan kakak saya Hayati dan ibu saudara yang saya panggil Mak Lang, saya mengendong Dalila ke kereta yang dipandu adik saya Zahir lalu bergerak meninggalkan hospital.


Sepanjang perjalanan saya mendakap erat tubuh arwah yang saya lihat seperti sedang tidur lena...Ya Allah, jika inilah ujian untuk kami, kami reda Ya Allah...kami reda melepaskan arwah kepadaMu.


Dalam sekelip mata kebahagiaan dan kegembiraan anak menantu saya diragut. Bayangkanlah, pagi Dalila dihantar dalam keadaan sihat, segar bugar dan masih tersenyum kala diagah, petangnya apabila diambil, tubuhnya sudah kebiru-biruan.


Kata doktor, Dalila sudah tidak bernyawa dua jam sebelum dia dijemput oleh ibunya untuk dibawa pulang pada pukul 5.20 petang. Apa yang sebenarnya terjadi? Hanya Allah yang tahu!


Kakak arwah, Delisha Hafiya, setahun 9 bulan juga tidak sempat bermesra dengan adiknya. Cucu pertama saya itu apabila balik ke rumah, tercari-cari adiknya di semua tempat yang pernah dia dan adiknya bersenda.


Selalunya Delisha yang paling sibuk mencium adiknya yang terbaring di atas tilam atau car seat setiap kali papa dan mamanya menghantar mereka ke taska. Kini semua itu sudah tiada lagi. Delisha sudah kehilangan Dalila.

Saat dimandikan, Haidah dan anak saya tidak dapat mengawal perasaan mereka. Tapi saya bangga mereka punya kekuatan untuk memandikan sekujur tubuh kecil itu di ribaan Haidah dalam suasana yang saya tidak mampu ungkapkan dengan kata-kata.


Hanya Allah yang tahu saat itu. "ini kali akhir mama mandikan adik....lepas ini dah tak ada dah... ma reda adik.. baliklah! Tunggu ma datang ke sana!''


Ya Allah, sesak nafas saya mendengar kata-kata itu - Saya tidak mampu lagi melihat muka menantu dan anak saya dalam keadaan yang cukup sedih itu sebab saya juga sudah hampir hilang kekuatan kerana terlampau sebak.


Apa yang berlaku di depan mata tidak boleh dilupakan dalam sesaat dua.. ia bakal mengambil masa yang lama. Sesiapa yang pernah melalui kesedihan seperti ini pasti faham.


Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memudahkan segala urusan. Jenazah Dalila Hayfa sempurna dimandi, dikafankan di Surau Al-Hidayah, AU3, Ampang Hulu Kelang dan disemadikan di Tanah Perkuburan AU5, Lembah Keramat.


Saya tahu anak dan menantu saya sedih. Malah saudara mara yang datang dari jauh dan dekat juga amat sedih.

Tapi saya yakin mereka akan bangkit dan menerima semua ini sebagai ujian yang amat berharga daripada Allah SWT.


Seperti yang saya katakan di awal catatan ini, saya berdoa dan berharap agar tragedi menyayat hati ini akan mengeratkan hubungan dan kasih sayang anak dan menantu saya.

Malah ia akan menjadikan mereka lebih menghargai erti perkahwinan yang masih muda usianya.


Setiap orang diuji Allah, pemisahnya kecil atau besar, ringan atau berat, juga pahit atau manis. Buat Dafrizal dan Haidah, mak tahu kalian berdua cukup kuat untuk menerima ujian Allah ini.


Jangan sia-siakan hidup yang masih panjang. Ingatlah, Delisha perlukan kalian berdua. Setiap pemberian yang Allah ambil balik, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Mak doakan semoga Allah menghadiahkan zuriat yang terbaik untuk kalian berdua pada masa mendatang.


Jangan lupa berdoa untuk arwah - jangan pernah lupa yang dia pernah mengisi kebahagiaan kalian berdua walaupun seketika cuma.


Mak, abah, abang, adik-adik dan saudara mara juga terasa kehilangan. Lepaskan Dalila dengan tenang dan penuh keimanan. Jangan berdendam. Walau kita tidak tahu sebab dan puncanya, Allah melihat apa yang berlaku. Satu hari kebenaran tentang kecuaian manusia ini akan dapat diatasi.


Anak-anakku, pesanan mak lagi, sematkan di hati dengan keimanan dan takwa bahawa arwah sudah menjadi penghuni syurga dan di sana dia menanti kalian berdua!


Al-Fatihah. Salam


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121117/ke_04/Tragedi-adalah-hikmah-dalam-perkahwinan#ixzz2D22dNfOQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, November 21, 2009

Syak mentua seterika muka anak

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.

Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.

Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.

Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.

Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.

“Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.

“Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.

“Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.

Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.

“Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,”

Selasa, Julai 28, 2009

‘Saya beri apa termampu’

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan rosmaliana@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal penghidap penyakit kencing manis sejak 18 tahun lalu terpaksa menanggung lima cucu yang ditinggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan serba kekurangan terutama selepas kematian suami lapan bulan lalu.

Shalmiah Nasir, 56, berkata dia reda dengan apa yang berlaku berikutan kelima-lima cucunya masih kecil dan memerlukan perhatian walaupun terpaksa dibesarkan dengan penuh kepayahan dan kekurangan.

Ibu tunggal yang kini mengalami rabun mata kesan daripada penyakit kencing manis dihidapi berkata, dia tidak akan sesekali meninggalkan cucunya walau bagaimana susah sekali pun kehidupan kerana mereka tetap darah dagingnya.

“Saya akan pastikan mereka berjaya dalam pelajaran dan berikan apa termampu selagi berdaya. Tapi rasa sebak dan sedih mengenangkan nasib mereka tidak dapat disembunyikan.

“Dengan keadaan saya kini yang sukar bergerak kerana tidak nampak, kebanyakan tugas harian di rumah dipikul cucu dan jiran tetangga yang bersimpati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini, semalam.

Katanya, dia tidak akan sesekali meminta simpati sesiapa jika mampu melakukannya sendiri tetapi ekoran kudrat yang ada tidak sekuat mana, hanya bantuan daripada pihak sudi membantu amat diharapkan kini.

Memburukkan lagi keadaan apabila seorang cucu perempuannya, Nurul Atikah Abdullah, 7, mengalami penyakit kulit menyebabkan kakinya berkudis (kudis buta) dan dijangkiti semua cucunya kini yang mengalami sakit berkenaan.

“Sudah dua bulan Atikah dikesan mengalami kudis buta, tetapi akhir-akhir ini ia makin teruk. Malah gurunya juga tidak mengizinkannya ke sekolah bimbang berjangkit kepada pelajar lain.

“Namun disebabkan minatnya dalam pelajaran, dia tetap berkeras untuk ke sekolah walaupun sudah dilarang berulang kali,” katanya.

Tampil menyampaikan sumbangan makanan kepada Shalmiah sekeluarga, semalam ialah Presiden Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Sri Dr Saharuddin Awang Yahya.Turut hadir, Pengurus Besar YBKMM, Datuk Sheeda Ramli dan Pengerusi Perkhidmatan Pengurusan dan Perkhidmatan Juru Perunding, Datuk Wan Daud Saud.

Saharuddin berkata, YBKMM akan membantu golongan memerlukan seperti keluarga Shalmiah dan antara langkah penyelesaian ialah mereka akan dibawa ke Rumah Penyayang di Taman Koperasi Cuepacs, Batu 13, Kajang, selewat-lewatnya awal Ogos depan.

“Di sana mereka akan mendapat jagaan sewajarnya. Malah segala perbelanjaan harian, rawatan kesihatan serta perbelanjaan persekolahan lima kanak-kanak berkenaan akan ditanggung sepenuhnya yayasan,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat dan menghulurkan bantuan boleh menghubungi YBKMM di talian 03-42962071.

Isnin, Julai 27, 2009

Menantu perempuan mesti beralah

PENDEDAHAN seorang nenek yang menceritakan pengalamannya dalam ruangan ini minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Tetapi tanpa mahu merujuk secara keseluruhan kepada keluhan tersebut, saya cuma ingin mengulas mengenai sikap menantu perempuan.

Saya sendiri sudah mendengar banyak cerita mengenai menantu perempuan yang kadang kala menunjukkan kerenah yang bukan-bukan.

Ada antara mereka tidak tahu menghormati mertua, biarpun sebenarnya kalau mertua tidak mengizinkan sudah tentu mereka tidak akan mendapat suami yang mereka idamkan. Mereka berpendapat, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin maka ia menjadi hak eksklusif mereka, orang lain tidak boleh kacau-kacau termasuklah ibu bapa lelaki berkenaan.

Kesudahannya hubungan menantu dengan mertua menjadi renggang. Kalau hendak balik ke rumah mertua macam-macam alasan diberikan tetapi kalau hendak balik rumah sendiri awal-awal lagi sudah kemaskan pakaian.

Kepada kaum wanita yang menjadi menantu, faham-fahamlah bahawa tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu bapa mereka tidak akan berakhir biarpun mereka sudah berkahwin. Selagi ibu bapa mereka masih bernafas di alam fana ini, selagi itulah mereka bertanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya.

Saya sering baca di ruangan ini, paparan-paparan mengenai sikap menantu lelaki termasuklah kritikan oleh sesetengah isteri kerana si suami terlalu beratkan ibu bapa mereka.

Bagi saya, itu sikap yang mulia cuma jangan sampai rumah tangga dan kebajikan anak-anak terabai.

Saya juga sering berjumpa dengan menantu perempuan yang suka sangat mengkritik ibu bapa mertua mereka. Mungkin kedua-dua orang tua itu ada buat salah tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim.

Tetapi masalahnya kaum wanita ini kebanyakannya suka sangat ikut perasaan. Bila nampak suami berat sikit di sebelah ibu bapanya, mula buat muka. Sebenarnya, selagi suami itu tidak mengabaikan rumah tangga, biarlah dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki.

Selain itu, kalau sudah meminta tolong ibu bapa mertua menjaga anak-anak maka faham-fahamlah untuk memberikan sedikit sumbangan. Jangan kerana hendak jimat wang maka anak-anak dihantar kepada ibu bapa mertua untuk dijaga.

Sebenarnya orang tua kita tak kisah untuk menjaga cucu-cucunya, malah kasih sayang mereka kepada cucu kadang kala lebih tinggi berbanding mereka sayangkan kita. Namun orang Melayu diajar untuk berbudi berbahasa, maka kalaulah ibu bapa mertua dah jaga anak-anak kita, pandai-pandailah kita membalas budi mereka.

Sebagai datuk dan nenek, mereka tidak akan meminta balasan, malah mereka bahagia bila cucu-cucu ada di rumah, tetapi kita pun kena juga tahu apa yang patut kita berikan. Jangan ingat kudrat yang mertua kita keluarkan percuma sahaja. Sepatutnya pada usia tua mereka berehat dan menumpukan perhatian kepada beribadat kepada Allah.

Tetapi bila kita hantar anak-anak ke rumah mereka untuk dijaga, sedikit sebanyak waktu lapang mereka sudah terganggu. Namun kita yakin mereka tidak akan bersungut.

Satu hal lagi, kalau bermusuh dengan ibu bapa mertua, janganlah menghasut suami pun ikut sama. Apa pun berlaku hubungan anak dan ibu bapa tidak boleh diputuskan. Si suami pun janganlah mengikut sahaja, kalau tahu si isteri melakukan perkara yang salah.

Tetapi paling baik si menantu harus tahu beralah, jangan hendak tunjuk keras kepala tidak tentu fasal kerana apa pun kita harus faham bahawa setiap niat yang baik pasti diberkati Allah.
Mungkin sesetengah mertua ada perangainya sendiri tetapi kita tidak boleh melawan kerana apa pun mereka akan tetap pertahankan pendirian mereka.

Oleh itu daripada pening-peningkan kepala adalah lebih baik menantu-menantu perempuan ini bersabar sahaja. Bagi si suami pula, pandai-pandailah menyelesaikan masalah yang timbul, jangan kita pun berat sebelah.

Saya memberikan pandangan ini secara ikhlas dan berharap tidak ada mana-mana pihak tersinggung.

Hasbullah, Melaka.

Isnin, Julai 20, 2009

Bila nenek terpaksa menjaga cucu

MENJADI isteri bukan mudah, takut anak-anak yang dilahirkan tak jadi manusia, takut suami tak boleh bertahan lama, takut rumah tangga tak bahagia, bila umur semakin tua takut anak-anak menantu tak boleh terima dan macam-macam lagi yang difikirkan.

Syukur kepada Allah dalam kesibukan bekerja segalanya dapat saya uruskan dengan baik anak-anak terpelihara dan terima kasih kepada suami yang bertimbang rasa serta bertanggung jawab, tanpanya pasti saya kalah menguruskan keluarga. Demikian cerita Shofia dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

''Saya bersyukur apabila anak-anak tamat pengajian, mereka mendapat pekerjaan. Sebaik sahaja bekerja, mereka sibuk hendak berkahwin. Di sinilah bermulanya masalah mereka. Kita sebagai ibu bapa tidak pernah membantah pilihan mereka, tetapi masalahnya kewangan mereka belum kukuh.

Bila anak lelaki saya nak kahwin setelah setahun bekerja, kita yang terpaksa siapkan duit hantaran dan majlis kenduri kahwin mereka.

''Kerana anak sulung nak kahwin kita buat sebaik mungkin, tak ada duit kita bantu sebab tak mahu dia buat pinjaman peribadi untuk duit hantaran. Malangnya setelah dapat seorang anak, baru saya tahu dia meminjam bank juga untuk ke luar negeri berbulan madu.

''Bila dah beranak, dia hantar rumah kita sebab tak ada orang nak jaga. Tak sampai dua tahun anak kedua pulak nak kahwin, begitu juga halnya semua kita kena urus, nasib kami masih bekerja dan ada sedikit simpanan. Selesai semuanya walaupun simpanan hari tua sudah berkurangan, ini belum anak bongsu perempuan kami nak kahwin tentu lebih besar belanjanya.

''Dipendekkan cerita ketiga-tiga anak kami berkahwin dalam usia masih muda. Simpanan kami semakin kering nasib baik ada pencen. Setelah kahwin mereka duduk sendiri, tapi duduk di KL bukan mudah kalau tak pandai berjimat cermat. Akhirnya bila dah beranak pinak rumah kami jadi pusat jagaan bayi. Pagi hantar malam lepas makan baru ambil, ada juga yang tinggal dengan saya sepenuh masa sebab rumah mereka jauh nak berulang setiap hari. Kerana itu saya terpaksa ambil pembantu rumah, walaupun sudah bersara.

''Bila cucu dah ramai macam-macam masalah timbul, ada yang kecil hati bila anaknya terjatuh dan ada yang komplen anaknya masih belum mandi ketika mereka balik. Sebagai nenek saya tak pernah pilih kasih terhadap cucu-cucu saya, semuanya sama. Inilah masalahnya bila cucu dah ramai.

''Kerana kecil hati anak yang tua tak mahu hantar anak-anaknya lagi ke rumah kami. Rindunya saya pada dua orang cucu kami itu hanya Allah yang tahu. Maklum dialah cucu sulung yang kami jaga sejak kecil. Tapi bila masalah kewangan terus menekan mereka suami isteri, mereka hantar semula anak-anak ke rumah kami.

keikhlasan

''Satu hari cuti, saya panggil anak-anak dan menantu, saya ceritakan apa yang saya lakukan terhadap anak-anak mereka bukan tujuan menganiaya, sebaliknya supaya mereka lebih tertib, berdisiplin dan keselamatan mereka terjaga. Sebagai nenek saya sayangkan cucu-cucu saya seperti saya sayangkan mereka dulu.

''Malangnya kita boleh memperlihatkan keikhlasan kita kepada anak-anak kita sendiri, tetapi tidak kepada salah seorang menantu saya yang mempunyai pandangan berbeza.

''Pada saya merotan bukan tanda tak sayang, tetapi menantu saya mahukan anaknya dididik secara psikologi. Akhirnya dia tarik diri dan hantar anaknya ke pusat asuhan.

''Pada saya kalau itu cara yang terbaik, tak jadi masalah, janganlah pula suruh anak saya datang ke rumah meminjam wang setiap bulan. Kami sudah bersara, pendapatan kami tak seberapa, sedangkan tanggungjawab kami menjaga dan membesarkan anak-anak mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak. Siapa boleh tahan.

''Saya kasihan lihat suami saya, dia hendak bermasyarakat dengan penduduk taman perumahan tempat kami tinggal yang selama ini tidak dapat dilakukannya kerana sibuk bertugas, malangnya setelah bersara pun dia tidak berkesempatan, tak dapat ke surau kerana sibuk dengan cucu.

''Awal tahun lepas kami buat keputusan untuk ke mengerjakan ibadah haji sekali lagi, kami minta mereka mencari jalan siapa patut menjaga anak-anak mereka. Nak ambil pembantu rumah ke atau minta tolong dengan mertua masing-masing.

''Nak jadikan cerita dah dekat tarikh kami berangkat mereka masih tak dapat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak mereka. Alasannya anak-anak mereka lebih senang tinggal di rumah kami. Akhirnya mereka bergilir tidur di rumah kami menemankan pembantu rumah saya supaya dia boleh terus menjaga anak-anak mereka.

''Pada saya itu adalah pengajaran yang terbaik supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada anak masing-masing, biar mereka tahu susah senang menjaga anak-anak sendiri, tidak hanya melepaskan tanggungjawab kepada datuk dan nenek.

''Mulai awal tahun ini saya buat undang-undang baru, kalau mahu kami terus menjaga anak-anak mereka, mereka mesti hormati kami sebagai ibu bapa, mereka mesti bertanggungjawab sama mendidik anak. Jangan cepat melenting kalau anak mengadu kena pukul atau kena marah dengan datuk dan nenek. Itu semua untuk mendisiplinkan mereka.

''Kalau ada sesiapa yang tak bersetuju, mereka boleh didik sendiri. Nampak gaya tak ada siapa yang bersuara, sebab dah terasa susah menjaga anak-anak sendirian yang terlalu banyak ragam apabila mereka semakin besar.

''Mulai awal tahun ini mereka mula meringankan beban kami ada yang membayar gaji pembantu rumah, ada yang membeli keperluan dapur ada yang membantu ke pasar. Bukan kami minta, tetapi kami mahu mereka sama bertanggungjawab bukan sahaja terhadap anak-anak mereka, tetapi kepada kami yang semakin tua ini.

''Bukan senang mendidik anak, lebih sukar mendidik menantu, namun mendidik anak yang masih kecil lebih mudah jika mengikut disiplin yang betul.''

Demikian cerita Shofia tentang masalahnya menjaga cucu hingga ada perasaan menantu yang terguris, tetapi semuanya boleh diatasi jika ada perasaan ingin melihat kebaikan dalam diri anak-anak mereka.