#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kes Buang Bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kes Buang Bayi. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 08, 2011

Dibuang kerana cacat?

Harian Metro - 8 Jan 2011

KLANG: Seorang bayi perempuan ditemui seorang lelaki dalam kotak di hadapan sebuah premis kosong di Taman Sentosa, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Muhamad Md Yusof berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati seorang bayi perempuan berusia lingkungan empat hingga lima bulan diletakkan dalam sebuah kotak. Katanya, bayi yang masih hidup itu lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui bersamanya. “Hasil pemeriksaan terhadap bayi berkenaan mendapati dia tidak mempunyai parut suntikan BCG serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, kami percaya bayi itu mengalami masalah kesihatan kerana kepalanya didapati berair,” katanya. Bayi itu kini sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan. “Polis akan membuat siasatan lanjut bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jumaat, Disember 10, 2010

Hamil usia muda

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/11/07


Persepsi salah, tekanan rakan antara punca remaja terlanjur

LAPORAN remaja hamil di luar nikah dan pembuangan bayi yang dikaitkan dengan salah laku itu, sudah terlalu kerap dipaparkan media. Silap jika ada yang beranggapan ia cuma kes terpencil kerana boleh berlaku kepada mereka di bandar mahu pun di ceruk desa. Bukan saja di Malaysia, malah statistik di seluruh dunia menunjukkan hampir 80 juta daripada 210 juta kehamilan, adalah kehamilan tidak dirancang.

Peningkatan mendadak kehamilan luar nikah kalangan remaja bukan setakat krisis sosial tetapi turut memberi kesan ekonomi. Buktinya, di Amerika Syarikat, krisis hamil di usia muda mengakibatkan kerugian RM21.3 bilion dari segi pulangan yang ditanggung pembayar cukai ia termasuk perbelanjaan dari segi bantuan umum, penjagaan kesihatan, pengurusan keluarga angkat dan sistem perundangan jenayah.

Di Malaysia sebagai sebuah negara membangun, kita tidak mampu menanggung kesan buruk akibat kehamilan di usia remaja. Masalah berhenti sekolah, tidak berkahwin dan cenderung mendapatkan bantuan kebajikan berbanding merujuk rakan sebaya. Anak luar nikah itu juga tidak terkecuali alami masalah akibat tahap kesihatan yang rendah, pembangunan kognitif yang perlahan dan masalah perilaku lebih serius berbanding rakan sebaya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif merangkap Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, PrimaNora Medical Centre, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, berkata, peningkatan bilangan remaja hamil adalah disebabkan semakin ramai yang melakukan hubungan seks pada usia muda.

“Kaji selidik pada 1994 hingga 1996 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 24 peratus daripada remaja berusia 13 hingga 19 tahun pernah melakukan hubungan seks. Paling nyata adalah tekanan dari rakan sebaya yang menarik mereka melakukan aktiviti seksual,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Yes, I Can,’ baru-baru ini.


Kempen anjuran Majlis Kontrasepsi Asia Pasifik (APCOC), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persekutuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) yang bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal Bayer Schering Pharma Malaysia. Ia bertujuan membantu menangani isu kehamilan tidak dirancang dan pembuangan bayi menerusi kesedaran dan pendidikan yang boleh diperoleh menerusi laman web www.yesican.com.my.

Menurut Dr Nor Ashikin, apa dikesali, reaksi biasa yang diberikan adalah ‘semua orang melakukannya.’

Ternyata desakan untuk melakukan seks ada di sekeliling mereka iaitu pengaruh rakan sekolah, lebih 20,000 babak seksual di televisyen termasuk iklan, drama bersiri dan program hiburan. Muzik juga secara tidak langsung merangsang seksual manusia dengan bertindak mengaktifkan melatonin, hormon dari kelenjar pineal dalam otak. Ia diaktifkan oleh kegelapan dan dimatikan oleh sinaran lampu dan juga kelenjar sama yang diprogram untuk mencetuskan perubahan akil baligh dan memberi kesan kepada kitaran reproduktif dan keinginan seks manusia.

Menurut Dr Nor Ashikin, kurang pengetahuan berkaitan pencegah kehamilan menyebabkan tanggapan masyarakat terhadap pendidikan seks masih lagi satu pantang larang dan tiada cara terbaik untuk menguruskan kehamilan itu menyebabkan ramai bayi baru lahir, dibuang.

“Apa yang menghairankan, kebanyakan yang menyelar usaha memperkenalkan pendidikan seks di negara ini sekadar berpegang kepada tanggapan bahawa pengetahuan itu memudaratkan. Sebaliknya kajian membuktikan kejahilan dan sifat ingin tahu yang tidak diselesaikan, itu yang memudaratkan, bukan pengetahuan,” katanya.

Info
Mitos dan fakta pil perancang

* Boleh menyebabkan barah (Ia pelindung kanser ovari dan kanser rahim)

* Menyebabkan kecacatan kelahiran (100 juta wanita mendapat manfaat darinya dan tiada bukti untuk dikaitkan dengan kecacatan kelahiran)

* Menjejaskan kesuburan (Tahap kesuburan mula merosot mengikut usia)

* Hanya untuk merancang keluarga (Ia turut mengurangkan sakit akibat ovulasi, senggugut dan simptom sebelum haid)

Khamis, Julai 01, 2010

Ramai ‘ibu’ tak tahu

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/07/01


KUALA LUMPUR: Cetek pengetahuan mengenai isu semasa dan tiada maklumat berkaitan proses penempatan bayi tidak dikehendaki, menyebabkan masih ada kes ibu muda yang tidak berkahwin tergamak membuang anak yang baru dilahirkan.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkata, berdasarkan pengalamannya menguruskan kira-kira 3,000 gadis terlanjur di pusat berkenaan, ketiadaan maklumat menjadi penyebab utama ibu muda membuang bayi mereka.

Katanya, kebanyakan gadis terlanjur yang datang mahu mencari maklumat dengan bertanya di mana tempat untuk berlindung dan serahkan bayi, bukan sekadar menunggu masa untuk bersalin.

“Sepanjang menguruskan gadis terlanjur mereka berasa malu dan takut dikenakan hukuman jika ada menyebabkan mereka mengambil jalan mudah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau merujuk laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kejadian di Seremban dan Rawang apabila dua bayi lelaki ditinggalkan oleh ibu mereka berhampiran tong sampah dan belakang sebuah rumah, walaupun sebuah pusat perlindungan bayi, Orphan Care ditubuhkan 25 April tahun lalu. Dalam dua kejadian itu, bayi berkenaan ditemui penduduk dalam keadaan kesejukan tetapi sihat. Kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Yahya berkata, beliau sendiri berusaha menghebahkan mengenai fungsi Kewaja dengan cara mengadakan ceramah di pusat pengajian tinggi dan sekolah bagi memberi kesedaran kepada remaja, selain mereka yang terdesak boleh menghubunginya di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, ia bagi membantu gadis terlanjur daripada terus melakukan dosa dengan membuang bayi mereka tetapi pada masa sama usaha untuk memerangi gejala maksiat dan zina harus digiatkan kerajaan serta pelbagai badan bukan kerajaan.

“Ketika ini kami mempunyai 438 pasangan berdaftar yang menunggu giliran untuk mengambil anak angkat daripada penghuni yang tidak mahukan bayi mereka dan semua pasangan berdaftar itu sudah berkahwin lebih lima tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan diberikan kepada gadis terlanjur juga harus disusuli dengan usaha memberi kesedaran kepada anggota masyarakat baik melalui bimbingan ataupun hukuman undang-undang.