Ahad, November 04, 2012
Nasib anak orang kaya dianiaya bapa saudara
Tarikh : 03/11/2012
DARIPADA sudut sains, air mata adalah campuran dua pasang kelenjar. Daripada kaca mata umum pula, air mata adalah teman setia wanita.
Tangisan boleh menggambarkan kepiluan atau kegembiraan. Manakala air mata ketika berdoa adalah yang paling syahdu.
Tentu pembaca merasa pelik kenapa air mata pula yang menjadi isu minggu ini. Bukan isu air mata tetapi kisah sedih yang mengundang air mata.
Ikuti pengakuan Som (bukan nama sebenar) mengenai hidupnya yang sering berendam air mata setelah diserahkan kepada keluarga angkat. Begini kisah Som.
"Saya berusia lewat 40-an, anak orang kaya yang cukup serba serbi. Pendek kata petik sahaja jari, saya boleh dapat apa yang saya ingini.
"Bagaimanapun tidak semua itu menjadikan saya gembira, ketawa dan bersuka ria sepanjang masa. Di sebalik kemewahan itu, saya sering berendam air mata.
"Nak tahu kenapa? Ini kerana saya adalah antara hamba Allah yang terpilih untuk melalui liku-liku hidup yang perit dan berlinang air mata.
"Saya dilahirkan dalam keluarga berada dan mewah. Rumah besar, ibu bapa berjawatan tinggi, wang yang banyak tetapi itu semua tidak saya nikmati sebab saya diserahkan kepada bapa saudara, Wan Cik (bukan nama sebenar ) untuk dipelihara.
"Alasannya, ibu dan ayah saya tinggal di bandar dan tidak dapat menjaga saya kerana ayah seorang penjawat awam. Tetapi adik-adik boleh pula ibu dan ayah jaga.
"Setiap hujung bulan, ayah mengirim wang perbelanjaan untuk saya tetapi wang tersebut tidak sampai ke tangan saya. Malah saya langsung tidak pernah pegang duit yang ayah kirim itu.
"Segala urusan perbelanjaan, semua diuruskan oleh bapa saudara. Saya tidak kisah perkara itu kerana tahu ayah dan ibu tidak mahu menjaga saya.
"Setiap hari saya menangis mengenangkan nasib diri. Saya teringatkan ibu dan ayah serta adik-adik tapi apa daya saya.
"Wan selalu marah dan kata saya anak yang tidak membawa tuah. Saya bukan sahaja dimarahi oleh Wan tetapi juga isteri dan anak-anaknya.
"Mereka tidak sedar diri, selama ini mereka makan dan berbelanja menggunakan duit yang ayah kirim untuk saya. Dalam rumah saya jadi macam hamba. Disuruh buat itu, disuruh buat ini.
"Kalau enggan, saya ditengking. Kemudian saya diberhentikan sekolah kerana menurut mereka, anak perempuan tidak perlu berpelajaran tinggi, kesudahannya ke ceruk dapur juga tempatnya.
"Sebagai anak yang taat, saya menurut perintah bapa saudara yang menjaga dan mendidik saya. Saya disuruh melakukan kerja di sawah padi dan lain-lain tugasan yang mereka suruh.
"Bayangkan dalam usia muda, saya diperlakukan seperti itu. Saya menangis seorang diri.
"Badan saya lebam-lebam dan sakit kerana terpaksa buat kerja keras. Tapi saya tidak pernah merungut. Sebab saya tahu akibatnya jika berbuat demikian.
"Yang saya pelik, kenapa ayah dan ibu tidak bertanya khabar saya. Bagaimana nasib saya. Saya juga tidak pernah bertanyakan Wan tentang perkara itu.
"Ketika usia saya 17 tahun, saya dinikahkan dengan seorang lelaki yang saya tidak tahu siapa dia, dari mana dia datang dan apa kerjanya.
"Alhamdulillah saya bahagia dan hidup gembira walaupun saya membesar dengan air mata.
"Sekarang saya sudah bergelar nenek kepada tujuh orang cucu. Saya berpesan kepada anak-anak, jangan gadaikan masa hadapan dengan berfoya-foya kerana jika tersilap langkah akan menyesal sepanjang hayat.
"Saya ceritakan kepada mereka bagaimana saya dijadikan 'hamba' oleh bapa saudara sendiri yang hanya berminat untuk mengumpul harta dan mengabaikan amanah yang telah diberikan kepadanya.
"Saya tidak melalui alam kanak-kanak yang penuh dengan keceriaan. Sebaliknya, pada usia semuda itu, saya menolong mereka di kebun getah, sawah padi dan membuat kerja di rumah.
"Sehingga kini segala kepayahan itu masih jelas terbayang di ruang mata walaupun memori itu telah lama berlalu. Teringat bagaimana saya pernah meminta izin daripada bapa saudara untuk ke sekolah tetapi tidak dibenarkan dengan alasan banyak kerja yang perlu saya buat.
"Saya hanya berpeluang ke sekolah selama setahun sahaja, kemudian diberhentikan tanpa pengetahuan ibu dan ayah. Sedihnya saya hanya Allah yang tahu.
"Mungkin segalanya telah 'tertulis' untuk saya atau mereka sengaja menafikan hak saya.
"Sehingga kini saya tertanya-tanya ke mana perginya duit yang ayah kirim setiap bulan untuk saya? Apa yang mereka belanjakan dengan duit saya itu?
"Yang peliknya mengapa ibu dan ayah tidak langsung bertanyakan khabar mengenai diri saya, segalanya diserahkan seratus peratus kepada Wan yang kerjanya mengumpul harta.
"Banyak hak-hak saya yang mereka rampas, maklumlah saya tidak pandai membaca dan menulis. Sebidang tanah milik saya juga telah menjadi hak mereka.
"Saya khabarkan kepada anak-anak mengenai hal tersebut. Biasalah orang muda. Melenting dan marah-marah serta mereka sepakat untuk menuntutnya kembali.
"Pada saya sudah tiada gunanya lagi. Hati saya sudah hancur dan saya tidak mahu mengingatkan kisah lama yang mengguris hati dan perasaan saya.
"Saya katakan kepada anak-anak, harta boleh dicari jika kita memiliki ilmu. Jangan berpaling melihat harta yang bukan lagi menjadi milik kita.
"Tujuan saya menceritakan kisah ini adalah untuk mengajar anak-anak agar tidak tamak dan jangan mengambil sesuatu yang bukan milik mereka.
"Jika kita melanggar hukum ini, hidup tidak berkat dan akan melarat sepanjang hayat. Itu yang terjadi kepada keluarga Wan, anak-anaknya tidak cemerlang tetapi mereka hidup senang kerana masih ada harta yang banyak.
"Itulah yang menjadi punca rezeki mereka di samping mengurus kebun getah dan tanaman padi yang mana semua itu adalah harta milik saya yang telah menjadi milik mereka.
"Syukur Allah telah menggantikan harta saya yang dirampas itu dengan anak-anak yang cemerlang, mereka telah menebus segala milik saya yang dirampas oleh Wan.
"Melihat semua anak-anak saya berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, telah menimbulkan keinsafan di hati Wan.
"Dunia hanya pinjaman dan segalanya akan ditinggalkan bila tiba saatnya nanti.
"Saya yakin saat ini Wan telah merasai keperitan itu. Hidupnya tidak tenang kerana menipu dan merampas hak saya.
"Pernah suatu ketika, Wan bertandang ke rumah saya dan meminta anak-anak saya menolong mendapatkan pekerjaan untuk anak-anaknya.
"Hidup kita harus tolong-menolong terutama keluarga tetapi sayangnya kesemua permohonan mereka tidak berjaya.
"Siapa yang harus dipersalahkan, adakah ini suratan atau kebetulan. Kesudahannya, mereka menguruskan segala kerja-kerja di kebun getah dan sawah padi.
"Mungkin itu yang Wan hajatkan sewaktu merampas harta milik saya dulu.
"Sebagai manusia, saya telah halalkan kesemua harta-harta tersebut untuk mereka, cukuplah dengan apa yang saya miliki kini.
"Jika dahulu saya menangis kerana kehilangan harta tetapi kini saya menangis tanda mensyukuri nikmat dari Allah. Saya harap kebahagiaan ini akan berterusan sehingga saya dijemput Ilahi, walaupun saya masih perlu menangis bukan kerana sedih tetapi gembira," ujar Som.
Kisah Som bagi saya macam drama dan filem. Tak sangka pula dalam era moden ini masih berlaku kisah seperti itu. Alhamdulillah Som sudah menerima kenyataan.
Berkat kesabaran dan ketaatannya, Som kini menarik nafas lega kerana anak-anaknya semua menjadi. Itulah kuasa Allah, menguji hamba-Nya dengan pelbagai cerita luka tetapi akhirnya memberi kebahagiaan yang tiada tanding.
Saya kagum dengan sikap Som yang begitu bermurah hati memaafkan dan menghalalkan semua kesalahan Wan.
Semoga kisah Som menjadi iktibar betapa pengorbanan seorang anak begitu berharga untuk ibu bapanya.
Sayangnya Som tidak pula bercerita tentang apa yang terjadi kepada ibu bapa dan adik-adiknya.
Saya doakan mereka juga bahagia walaupun Som tidak menjadi sebahagian daripada keluarga mereka lagi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121103/ke_02/Nasib-anak-orang-kaya-dianiaya-bapa-saudara#ixzz2Bzbt1YlH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Jumaat, Mei 21, 2010
Pembahagian harta secara ijab kabul hak bapa
Berita Harian
Soal Jawab Agama
BAPA saya pernah berkata, ketika dia sakit, dia telah membahagikan semua harta peninggalannya sama rata kepada semua anak. Katanya lagi, sejumlah wang dalam peti besi tidak boleh diganggu untuk pengurusan jenazah serta majlis tahlil selama 40 hari dan selebihnya untuk disedekahkan. Adakah pembahagian harta oleh bapa saya sah mengikut hukum syarak dan apakah kata-katanya itu boleh dianggap sebagai wasiat atau ada pilihan lain bagi waris.
Warga Indonesia.
AGAMA Islam mempunyai kaedah tersendiri menguruskan harta di mana waris lelaki dan wanita mempunyai bahagian masing-masing yang berbeza antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai wasiat buat anak-anakmu di mana bahagian seorang anak lelaki adalah menyamai dua bahagian anak perempuan.” (Surah An-Nisa’. Ayat 11)
Oleh demikian, perkara perlu diperhatikan waris ialah pembahagian harta mengikut syariat Islam selepas wasiat dan hutang si mati sudah selesai.
Bagaimanapun, jika pembahagian sudah diputuskan oleh bapa ketika hidup, diteliti dan disaksikan sebilangan ahli keluarga, maka ia adalah diharuskan kerana boleh dikira sebagai hibah atau hadiah melalui ijab dan kabul (serah terima).
Cara ini juga diterima kerana tuan punya harta masih hidup dan menepati syarat hadiah iaitu serah terima serta kewujudan saksi. (Fatwa Syeikh Muhammad Sulaiman As-Syafie)
Oleh itu, waris tiada apa-apa tuntutan lagi setelah bapa meninggal dunia kerana hadiah itu menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak kepada harta berkenaan.
Sabda Rasul bermaksud: “Adalah benar bagi seseorang Muslim tidur pada malam harinya dalam keadaan wasiat sudah tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Majah)
Namun demikian, wasiat si mati untuk ahli waris selepas kematiannya adalah dilarang kerana sabda Rasul yang bermaksud: “Tiada wasiat untuk waris kepada simati.” (Hadis riwayat Nasai)
Berkenaan persediaan sejumlah wang untuk pengurusan jenazah adalah dikira harta warisan yang perlu dibahagikan antara waris mengikut pandangan Syeikh Ibnu Hajar dalam fatwanya. Syekh Ibnu Solah (ulama’ Mazhab Syafie) berpendapat, apa yang diperlukan si mati ialah sekadar urusan kafan dan pengebumian saja kerana mereka yang hidup lebih memerlukan kepada harta itu.
Mengikut pendapat, keperluan untuk si mati ialah urusan kafan dan pengebumian yang menjadi kewajipan dan perkara lain seperti penyelenggaraan dan lain-lain adalah harus bagi waris dan boleh diabaikan. (Syarah Al-Manhaj)
Sebahagian ulama Syafiiyyah (Mazhab Syafie) juga berpendapat, jika apa yang disimpan untuk si mati tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya maka ia dikira wasiat yang perlu ditunaikan. Selebihnya akan disedekahkan untuk kebajikan si mati.
Daripada Amar Bin Saad daripada ayahnya, beliau diziarahi Nabi ketika sakit lalu diminta Nabi mendoakannya. Beliau juga menyatakan cadangan mewasiatkan separuh hartanya. Jawab Baginda: “Separuh terlalu banyak.” Lalu diturunkan 1/3 dan dibenarkan baginda. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum ini juga tertakluk kepada uruf (kebiasaan) sesuatu tempat. Contohnya jika majlis doa dan tahlil menjadi kebiasaan penduduk setempat, maka ia akan ditunaikan kerana adat juga boleh dijadikan penilaian dalam hal ini.
Jika ada harta yang berbaki maka disedekahkan juga untuk kebajikan pahala kepada simati. Nabi ketika ditanya mengenai pahala sedekah seorang anak untuk ayahnya yang sudah meninggal tanpa meninggalkan wasiat, jawab Nabi: “Ya”. (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Adalah lebih baik ahli waris menyediakan sejumlah wang tertentu untuk pengurusan jenazah si mati sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Isnin, Oktober 19, 2009
Lafaz rujuk sah jika keluar daripada mulut suami secara ikhlas
Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.
Mamat,
Kuala Lumpur.
Jawapan:
Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".
Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).
- Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.
- Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.
Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah.
Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.
Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja." Kewujudan saksi hanya disunatkan.
Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat.
Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.
Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".
Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.
Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri. Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.
Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Yusmawati Abllah
Berita Harian 15/10/2009
Khamis, Julai 23, 2009
Isteri kecewa tiada tindakan jabatan agama aduan suami curang
SAYA seorang ibu yang mempunyai tiga anak. Suami saya seorang yang berpangkat berumur lebih kurang 47 tahun. Apa yang menjadi isu ialah perangai suami saya yang curang di belakang saya. Suami saya mempunyai hubungan dengan pelajar universiti swasta berumur 23 tahun. Sejak akhir-akhir ini, suami saya sering tidak pulang ke rumah. Saya dimaklumkan suami sering bermalam bersama kekasihnya. Saya juga difahamkan mereka sudah berkahwin. Saya sudah membuat aduan ke pejabat agama untuk mengetahui status pernikahan mereka, namun tiada maklumat diterima. Saya juga membuat aduan supaya suami saya diserbu kerana saya percaya mereka melakukan maksiat. Bagaimanapun, tiada tindakan pihak jabatan agama kerana saya dikatakan tidak memberi maklumat lengkap. Saya jadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya percaya suami saya jarang balik disebabkan sering berada di rumah wanita berkenaan. Saya juga kecewa kerana tiada tindakan dari jabatan agama walaupun aduan dibuat.
Nik, Kelantan.
Jawapan:
DALAM situasi sebegini, perkara pertama yang puan harus lakukan ialah membuat penyiasatan berkaitan maklumat pernikahan suami puan. Puan haruslah memberikan maklumat secara terperinci kepada jabatan agama supaya siasatan dapat dilakukan berkaitan pernikahan dimaklumkan.
Jabatan agama yang berkaitan akan menyemak status suami sama ada sudah bernikah dengan pasangannya atau sebaliknya. Jika didapati bahawa tiada rekod berkaitan pernikahan suami puan dengan wanita itu, pejabat agama boleh memanggil suami puan dan pasangannya berdasarkan maklumat diadukan puan untuk menyiasat status hubungan mereka.
Kemungkinan pasangan itu sudah melangsungkan perkahwinan tanpa melalui prosedur ditetapkan undang-undang, sebagai contoh berkahwin di Thailand (perkahwinan tidak didaftarkan). Ada juga kemungkinan suami puan melangsungkan perkahwinan di negeri lain menggunakan prosedur perundangan ditetapkan di negeri berkenaan. Permasalahan berkaitan pendaftaran pernikahan tidak akan menjadi rumit jika semua negeri mempunyai sistem online untuk mendaftarkan pernikahan.
Sebagai makluman, dalam sesuatu prosedur perkahwinan di Malaysia, setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu memohon kebenaran jabatan agama di daerah masing-masing. Selepas kebenaran dikeluarkan, barulah majlis akad nikah boleh dilangsungkan. Sekiranya pasangan itu tidak mendapat kebenaran jabatan agama, ia boleh diragui kesahihan pernikahan itu. Setiap perkahwinan yang ingin dijalankan mesti didaftarkan terlebih dulu.
Persoalan kedua ialah berkaitan aduan perlakuan maksiat suami puan dengan wanita itu. Tindakan puan membuat aduan ke jabatan agama adalah wajar. Bagaimanapun, aduan yang dibuat mesti lengkap dan mempunyai butiran yang boleh membantu pihak berkuasa menjalankan serbuan mahupun penangkapan. Jika aduan dibuat tidak lengkap, bagaimana tindakan hendak dilakukan? Puan seharusnya faham bahawa dalam kes sebegini, jabatan agama bertindak terhadap laporan atau aduan dikemukakan.
Jika ia tidak mempunyai butiran mahupun maklumat lengkap, mereka tidak dapat bertindak kerana jabatan agama juga mempunyai bidang kuasa dan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu serbuan atau tangkapan dibuat. Penguatkuasa jabatan agama boleh dianggap sebagai polis dalam tindakan atau kesalahan jenayah Syariah.
Sebagai bandingan, polis bertindak berdasarkan aduan awam dibuat dan maklumat diperoleh. Jika ada laporan dibuat berkaitan suatu kesalahan jenayah seperti pengedaran dadah, polis akan bertindak berdasarkan aduan itu termasuk maklumat berkaitan jenayah dilakukan, tempat dan masa berlaku jenayah.
Jawapan disediakan Setiausaha Agung, Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM), Rosdan Sujak Rafie.
Jumaat, Jun 19, 2009
Ibu diceraikan selepas bapa dibenar berpoligami
Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai status kedua ibu bapa saya. Bapa sudah memohon ke Mahkamah Syariah untuk berpoligami dan mahkamah sudah membenarkan. Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian bapa menceraikan ibu depan saya, kakak dan bapa saudara.
Pada keesokan harinya bapa saya berkahwin lain sedangkan perceraian dengan ibu tidak dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan ibu saya dan adakah ibu saya berhak mendapat mutaah dan lain-lain hak selepas perceraian.
Anak risau,
Selangor
Jawapan:
Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu anda adalah memfailkan kes bagi mengesahkan perceraian di Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 57 (1)(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Permohonan pengesahan lafaz cerai ini boleh dimohon sama ada oleh ibu atau bapa sebagai suami dan sewajarnya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lafaz.
Dalam menentukan sah atau tidak sesuatu perceraian, mahkamah akan melihat kepada bentuk lafaz cerai sama ada lafaz sareh (nyata) atau kinayah (tidak nyata). Jika lafaz kinayah, niat bapa ketika melafazkan cerai akan diambil kira bagi menentukan sama ada jatuh talak atau sebaliknya.
Sebaliknya jika lafaz nyata seperti, "Saya ceraikan awak dengan talak satu", mahkamah tidak memerlukan niat suami untuk mengesahkan sesuatu lafaz cerai kerana lafaz itu tidak boleh dipertikaikan kerana ia jelas bermaksud untuk menceraikan isteri.
Perlu diingat, perceraian di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah satu kesalahan yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Selanjutnya, merujuk kepada isu mutaah pula, seorang isteri hanya boleh menuntut mutaah selepas sah berlaku perceraian antara suami isteri. Ia bermakna hanya selepas Mahkamah Syariah memutuskan berlaku perceraian antara ibu dan bapa, barulah ibu anda boleh menuntut mutaah.
Sesungguhnya pemberian mutaah kepada isteri bertujuan meringankan beban ditanggung bekas isteri yang akan memulakan penghidupan baru secara sendirian. Pemberian mutaah diharap dapat menjadi penawar kepada perceraian yang berlaku.
Mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, "Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak itu dan apabila berpuas hati memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak."
Isu utama yang akan diputuskan oleh mahkamah dalam kes pemberian mutaah adalah apakah perceraian benar-benar berlaku, adakah isteri diceraikan tanpa sebab yang patut dan berapa kadar akan diberikan kepada isteri diceraikan?
Mengikut hukum syarak, mutaah adalah pemberian wajib oleh suami yang menceraikan isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 241)
Dalam menentukan kadar mutaah kepada isteri, Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah kamu memberikan mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut, lagi menjadi kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat kebaikan." (Surah Al-Baqarah, ayat 236)
Berdasarkan ayat itu, kadar mutaah bergantung kepada kemampuan suami, namun begitu ia juga ditentukan berdasarkan kedudukan isteri, sumbangan isteri kepada perkahwinan dan kerosakan serta kemudaratan dialami disebabkan perceraian yang berlaku tanpa sebab.
Jika mahkamah memutuskan perceraian yang berlaku antara ibu bapa anda tidak sah, ia bermakna ibu tidak boleh menuntut mutaah. Namun, jika mahkamah mensabitkan perceraian itu sah maka barulah timbul hak mutaah ibu terhadap perceraian yang berlaku.
Memandangkan mahkamah sudah membenarkan bapa anda berkahwin lain, saya percaya mahkamah juga memerintahkan jumlah tertentu pemberian nafkah isteri kepada ibu anda yang perlu dibayar oleh bapa, begitu juga dengan pengisytiharan harta sepencarian.
Ia seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (2003) yang memberi kuasa kepada mahkamah membenarkan poligami atas permintaan mana-mana pihak kepada perkahwinan menghendaki seseorang membayar nafkah kepada isteri dan memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh pihak dalam tempoh perkahwinan dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi.
Ia bermaksud ibu anda boleh meminta pemberian nafkah dan harta sepencarian turut diputuskan dalam perbicaraan poligami terdahulu bagi membolehkan perintah nafkah isteri dan harta sepencarian dikeluarkan serentak kebenaran poligami.
Namun begitu, jika ibu anda disahkan oleh mahkamah sudah bercerai, tindakan selanjutnya yang boleh diambil selain memfailkan mutaah ialah memfailkan tuntutan edah dan harta sepencarian yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah
Khamis, Mei 28, 2009
Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000
SUAMI berhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkah anak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap beliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau ada permohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonan perisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai cara mendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil. Ingin tahu, Selangor.
Jawapan:
Pertamanya, tindakan puan memfailkan saman penghutang penghakiman adalah satu tindakan yang tepat. Jika suami mengaku berhutang seperti jumlah dinyatakan tadi, maka Mahkamah Syariah boleh mensabitkan terhadap tuntutan itu. Bagaimanapun, jika suami menafikan dakwaan atau tuntutan puan, Mahkamah Syariah akan membuat siasatan terhadap suami. Mahkamah juga mengambil kira kemampuan suami membuat bayaran sama ada secara sekali gus atau ansuran jika tuntutan atau dakwaan puan berjaya disabitkan.
Bagi isu sama ada puan boleh membuat permohonan perisytiharan muflis, secara dasarnya perintah Mahkamah Syariah tidak disebut dalam akta muflis. Akta itu hanya menyebut perkataan 'mahkamah' saja. Ini bermakna bagi isu permohonan muflis puan harus membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Sivil melalui seksyen 88 Akta Kebankrapan 1967.
Sementara itu , bagi permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, puan boleh memohon sendiri memandangkan puan adalah pihak yang memberi hutang kepada suami. Secara umumnya, jumlah hutang kepada pemiutang hendaklah sekurang-kurangnya RM30,000.
Syarat bagi jumlah itu sudah dipenuhi. Tambahan pula, hutang yang dituntut hendaklah untuk satu jumlah yang boleh ditentukan yang perlu dibayar segera atau kemudian dengan syarat terakhir suami puan adalah pemastautin di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan.
Untuk pengetahuan puan, ada juga syarat lain yang perlu dipenuhi dalam seksyen 5 Akta Kebankrapan 1967. Bagi prosiding dan perintah atas petisyen pemiutang, seksyen 6 akta yang sama menggariskan panduan bagaimana mahkamah ingin mengisytiharkan seseorang itu dikategorikan sebagai muflis.
Mengikut seksyen itu, perkara penting yang perlu ada sepanjang prosiding mahkamah berlaku ialah bukti hutang pemiutang.
Namun, adalah lebih baik puan membuat aduan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Bahagian itu akan membantu puan melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah. Pihak BSK akan membuat pemantauan terhadap suami untuk memastikan nafkah yang tertangguh dan diputuskan mahkamah diselesaikan.
Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nor Azmi Mohd Arif
Berita Harian, 28 Mei 2009