#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Masalah Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masalah Kewangan. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 18, 2011

Suami dihukum

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


KUANTAN: Gara-gara menggunakan kad kredit isteri tanpa kebenaran, seorang warga emas dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membabitkan kesalahan berkenaan.

Majistret Adibah Abdul Kadir menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Khalid Ismail, 60 dari Beserah, dekat sini, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang pesara didapati dengan curang menggunakan kad kredit kepunyaan isterinya yang berusia 60 tahun untuk kegunaan sendiri di mana dia membeli sebentuk cincin emas berharga RM530 tanpa kebenaran wanita berkenaan pada jam 12.04 tengah hari 17 Januari lalu, di sebuah kedai emas dan permata di tingkat bawah Pasaraya Kuantan Parade, di sini.

Mengikut pertuduhan kedua, Khalid didapati dengan curang menggunakan kad kredit kepunyaan isterinya untuk kegunaan sendiri di tempat sama pada jam 11.06 pagi 22 Januari lalu, dengan membeli seutas rantai leher emas berharga RM920 tanpa kebenaran wanita terbabit.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Adibah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun beliau mengarahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memberitahu mahkamah dia melakukan perbuatan itu kerana berdepan konflik kewangan keluarga selain tidak bekerja selepas bersara.

“Saya perlukan wang untuk perbelanjaan lain seperti membayar bil elektrik, air, isi minyak motosikal dan sebagainya,” katanya.

Tertuduh turut memaklumkan isterinya tidak memberikan wang kepadanya dan dia memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan perubatan akibat penyakit lelah dihidapinya.

“Saya hendak beli ubat pun tiada duit,” katanya yang turut merayu mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin, mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Selasa, Januari 05, 2010

Belanja apa yang perlu


Sistem sampul surat sesuai bagi mengenal pasti ke mana wang anda pergi setiap bulan.


SOAL kewangan memang menjadi topik hangat setiap kali menjelang tahun baru. Boleh dikatakan setiap individu yang bekerja mempunyai azam baru dan semangat untuk memastikan perjalanan kewangan mereka berjalan dengan lancar sepanjang tahun itu.

Tiada istilah terlambat bagi setiap individu untuk memulakan sesuatu perancangan kewangan yang baik.

Pengerusi Eksekutif dan juga Ketua Perunding Kewangan Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Datuk Mohd. Shahir mempunyai panduan untuk resolusi kewangan 2010.

Menurut Rohani, sebelum memulakan resolusi setiap individu perlu terlebih dahulu mengetahui kedudukan kewangan sekarang.

Caranya ialah dengan menyenaraikan semua hutang dan harta serta kemaskini semua perbelanjaan bulanan.

"Untuk berjimat apa yang penting kita perlu simpan wang sebelum dibelanja. Pastikan tabungan sekitar enam hingga lapan bulan kos saraan hidup.

"Prinsip asasnya ialah belanja apa yang perlu bukan apa yang kita mahu. Selain itu kita perlu tetapkan matlamat untuk kurangkan hutang dan jangan tambah hutang baru pada tahun 2010 ini," ujar Rohani yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan kewangan.

Rohani tidak menafikan ramai antara rakyat Malaysia yang terikat dengan komitmen pembiayaan bulanan, hutang peribadi, kad kredit dan sebagainya.

Antara persoalan yang harus ditanya pada diri si penghutang ialah adakah mereka mempunyai tabung kecemasan dan adakah pekerjaan mereka kukuh? Dan jika jawapannya 'ya' maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menjelaskan hutang-hutan peribadi terutama kad kredit.

"Caranya ialah dengan menyenaraikan baki yang paling rendah hingga yang tinggi, cuba bayar lebih setiap bulan bagi melangsaikan hutan yang baki terendah secepat mungkin baki terendah dan ulang tindakan ini kepada hutang kad kredit seterusnya dengan efek snow ball.

"Kemudian boleh mulakan pelan perbelanjaan dengan cara menyediakan bajet perbelanjaan. Pastikan sentiasa fokus terhadap apa yang 'diperlukan' dan bukan apa yang 'dimahukan'.

"Mulakan pelan tabungan dan sasarkan untuk capai cukup untuk lapan bulan kos saraan hidup (perbelanjaan bulanan). Periksa berapa yang mampu disimpan dan tambah 20 peratus daripada jumlah simpanan tersebut," jelas beliau.

Rohani juga berpesan, untuk mengelakkan perbelanjaan di luar dugaan seperti perubatan dan sebagainya, sebaiknya individu mempunyai pelan perlindungan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ahli keluarga juga.

"Ini penting dan jika memilih polisi pastikan anda ambil polisi hospital dan pembedahan untuk menampung kos hospital supaya tidak timbul masalah kewangan kelak," tambahnya.

Penuhi kehendak

Kereta dan rumah memang merupakan impian bagi semua yang bekerja.

"Ansuran kereta dan rumah merupakan 50-60 peratus daripada gaji individu, jadi seeloknya jangan membuat hutang atau membeli kereta yang mana ansurannya melebihi 30 peratus daripada gaji anda.

" Sebaiknya, letakkan deposit di antara 10-20 peratus dan berhutang jangan melebihi lima tahun. Jangan terpedaya dengan skim bayaran pendahuluan '0' dan berhutang sehingga sembilan tahun.

"Beli kereta atas dasar keperluan bukan kerana ingin bergaya, jika perlu kereta sedan jangan pula pilih kenderaan pelbagai guna (MPV)," kata Rohani lagi.

Lazimnya keperluan untuk menyediakan tabung kecemasan adalah antara tiga hingga enam perbelanjaan bulanan. Jadi jika terjadi perbelanjaan di luar jangkaan, ini boleh digunakan dan sediakan ini dulu sebelum melabur.

"Sistem sampul surat sesuai bagi mengenal pasti ke mana wang pergi setiap bulan. Amalkan ini supaya perbelanjaan terkawal walaupun mempunyai anak ramai kerana ia sudah terbukti berkesan.

"Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan sistem ini selama 20 tahun dan mereka telah berjaya mengumpul tabungan mencecah RM400,000.

"Bayar untuk perbelanjaan diri dulu. Kemudian asingkan wang pada awal bulan mungkin dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus daripada gaji dan letakkan dalam akaun yang tidak ada kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

" Bila mencukupi mulalah melabur dan teruskan setiap bulan. Jika disimpan RM100 sebulan dengan pulangan 10 peratus setahun dalam tempoh 30 tahun akan menghasilkan RM226,048 pada akhir tempoh," ujarnya.

Jangan Terpedaya

Rohani turut berpesan agar berhati-hati dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan segera.

Jika seseorang itu dijanjikan pulangan setiap bulan dengan kadar yang tidak munasabah, sebagai contoh melebihi dua peratus sebulan, dikatakan tiada risiko, tiada barangan dan hanya perlu 'cari orang', besar kemungkinan ia skim cepat kaya.

Jika berlaku keadaan itu langkah paling bijak ialah buat semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) tentang kesahihan skim tersebut kerana setiap syarikat penerima wang mestilah berlesen dari dua agensi tersebut.

Bagi individu yang memasang niat untuk membuat pinjaman peribadi, janganlah ambil hanya kerana ia mudah nak dapat. Pastikan anda benar-benar perlu baru ambil. Sebagai contoh untuk perubatan, tetapi sebaiknya sediakan polisi perubatan untuk ini.

"Jangan juga melabur dengan menggunakan pinjaman peribadi sebab anda kena tolak kos pinjaman sebelum mendapat keuntungan bersih di atas pelaburan," pesan Rohani.

Add to Google

Ahad, November 01, 2009

Dugaan pengantin baru



Isteri muda tertekan suami menganggur, wang habis sara keluarga


Soalan:
Saya baru berkahwin empat bulan lalu. Suami saya diperkenalkan oleh kawan. Namun, dalam hati memang rasa kasih dan sayang ada untuk suami, begitu juga dengannya. Kami tiada masalah sebelum dan selepas kahwin.

Kami tinggal di rumah kuarters kerana saya kakitangan kerajaan. Baru-baru ini, suami kehilangan pekerjaan. Sejak itu, kami berusaha untuk mendapatkan kerja namun sudah hampir dua bulan, masih buntu. Gaji saya pula habis digunakan untuk perbelanjaan bulanan, begitu juga dengan wang simpanan untuk biayai pinjaman dan barang dapur. Kebetulan, ada ahli keluarga lain yang tinggal bersama saya sejak kami kahwin. Oleh kerana terlalu lama tinggal bersama kami, suami berasa kurang selesa apabila berada di rumah kerana dia tidak bekerja dan saya pula pulang lewat. Maka dia terpaksa duduk di rumah bersama ahli keluarga tadi. Tapi ini tidak berpanjangan kerana saudara perempuan itu akan berpindah, bulan depan.

Keadaan kewangan yang meruncing, termasuk perbelanjaan bulanan itu menyebabkan hubungan kami berdua agak tegang. Saya cuba bertahan dan memujuk suami untuk bersabar tetapi dia lebih mengikut perasaannya. Saya rasa tertekan. Hendak diceritakan kepada keluarga saya, takut pula hanya memalukan suami. Hendak mengadu kepada mentua, tidak sampai hati kerana bapa mentua menghidap sakit jantung. Saya serba salah jadinya. Saya tidak tahu apa yang harus saya buat melainkan berdoa pada Allah. saya cadangkan pada suami supaya cari kerja apa saja termasuklah di kiosk makanan, namun tidak diterima. Dia lebih mencari kerja melalui online. Saya mohon pada umi, apa yang perlu saya lakukan.


Isteri Sayu

Jawapan:
Salam semangat untuk Isteri Sayu. Apa yang anda hadapi sesungguhnya satu ujian getir daripada Allah SWT. Anggaplah ini sesungguhnya satu ujian untuk menguji anda sama ada anda mengahwini suami anda kerana Allah SWT atau kerana dirinya.

Perkahwinan yang baru berpucuk, belum pun kembang menjadi daun, sudah diuji seberat ini. Perkahwinan tidak hanya menyatu dua hati, tetapi paling penting bagaimana menjalin dan menyemai kasih sayang sewaktu susah mahu pun senang. Sejauh mana anda dapat memberi dan menerima, begitu jugalah yang harus dilakukan suami kepada anda.

Ini bermakna anda harus bertanyakan dengan diri anda, tanyakan sama ada anda masih sayangkan suami kerana dia suami yang dipilih Allah SWT untuk anda? Atau adakah anda menerimanya sebagai syarat untuk melepasi gerbang perkahwinan, sebagai mana adat orang hidup dan berumah tangga dan terlepas dari status andartu? Jika sebabnya kerana Allah SWT, maka mengadulah dengan Allah SWT kerana Dialah pembekal rezeki.

Jika anda renungkan, rasakan bahawa hidup ini ibarat seperti satu perdagangan. Peniaga tidak akan sentiasa rugi dan tidak mungkin rugi seumur hidup. Tetapi sebagai peniaga yang yakin bahawa setiap yang hidup ada rezekinya dan sudah ditakdirkan oleh Allah SWT dan Dia tidak pernah tidak adil pada hambanya. Kita juga sering diingatkan, andai kamu bersyukur pada apa yang diberikan sekarang, maka Allah SWT akan tambah rezekinya, Insya-Allah.

Tapi, jika kamu kufur maka Allah SWT akan tarik menjadi sesempit-sempitnya. Berdasarkan penjelasan ini sebenarnya anda masih sangat bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan dan tinggal di rumah kerajaan yang sewanya antara yang terendah.

Sedangkan di pihak lain, ada keluarga yang mana kedua-dua suami isteri diberhentikan kerja, menganggur serentak. Bayangkan betapa sengsaranya mereka berdepan kesusahan sedemikian.

Mungkinkah dugaan yang anda hadapi ini menjadi ujian bagi membuktikan sedalam manakah cinta anda dan sejauh manakah suami mahu bertanggungjawab mempertahankan rumah tangga yang baru dibina. Ia juga menjadi medan menguji kesetiaan dan sebanyak mana pengorbanan yang mampu anda laksanakan demi memanjangkan hayat perkahwinan yang baru bermula. Atau dalam erti kata lain, sejauh mana anda dan suami dapat memastikan istana yang dibina dapat terus kukuh berdiri biarpun diterjah dugaan hebat.

Dan paling penting, setebal manakah lapisan kesabaran anda sebagai seorang hamba Allah SWT, seorang isteri dan seorang menantu dan sebagai pasangan dan sahabat kepada suami.

Sebagai hamba Allah SWT misalnya, adakah anda rela hati dan puas dengan pemberian-Nya? Menyingkap sejarah generasi awal umat Islam ini adalah orang yang secara material sememangnya susah malah termasuk fakir miskin. Mereka tidak memiliki harta melimpah, rumah untuk bermegah, kenderaan yang bagus, namun ternyata mereka mampu membuat kehidupan ini lebih bermakna serta membuat diri mereka dan masyarakatnya lebih bahagia.

Ini kerana mereka memanfaatkan setiap pemberian Allah SWT di jalan yang benar dan kerana itu umur, waktu, kemampuan dan keterampilan mereka menjadi penuh berkat.

Berbanding kita yang terkadang diberi secukupnya, seperti masih ada air yang hendak diminum, ada nasi yang nak disuap dan ada rumah tempat berlindung tapi terus diselubungi rasa takut hilang rasa selesa lalu mudah berasa derita, cemas dan gelisah kerana hubungan dengan Allah SWT ternyata jauh.

Jika anda mahukan kebahagiaan, terimalah apa yang Allah SWT berikan sekarang dengan rela hati atas prinsip hidup ‘jika anda sentiasa tetap senang hati, menerima sedikit apa pun yang anda miliki dan rela dengan segala sesuatu yang tidak lepas dari milik anda.’

Jika dilihat, anda masih boleh dianggap bernasib baik kerana suami tetap berikhtiar mencari kerja. Dia sudah berikhtiar dan tugas anda dan dia selepas berikhtiar, adalah berdoa dan merendah diri kepada Allah SWT kerana tabung rezeki ada ditangan-Nya. Ini jelas seperti “Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu amat dekat.” (QS Al-Baqarah:214).

Dan dalam satu hadis sahih juga ada disebutkan: “Ketahuilah bahawa pertolongan itu ada bersama dengan kesabaran dan jalan keluar itu akan selalu beriringan dengan cubaan. Oleh itu jangan bersedih dan berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya, tiada berputus asa daripada rahmat Allah SWT kecuali orang-orang kafir.

Oleh itu kendalikan perasaan anda dengan bijak kerana emosi dan perasaan akan bergolak disebabkan dua perkara - kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat.

Oleh itu Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya: “Sesungguhnya aku melarang dua macam ucapan yang bodoh lagi tercela iaitu keluahan tatkala mendapat rahmat dan umpatan tatkala mendapat musibah.”

Rabu, Jun 03, 2009

Wang punca gaduh

ARKIB : 01/06/2009

Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Bukanlah satu rahsia bahawa semua pasangan pasti bertengkar. Kajian menunjukkan ia berlaku setiap dua minggu sekali melibatkan konflik sementara waktu dan perselisihan faham yang lazimnya boleh diselesaikan dengan memohon maaf antara satu sama lain.

Bagaimanapun, pertengkaran yang berpanjangan dan sukar ditangani kebiasaannya berkait rapat dengan masalah kewangan.

Malah, sebanyak 38 peratus lelaki dan wanita dalam kaji selidik melalui Internet oleh Harris Interactive berkenaan lelaki, cinta dan seks mengatakan, wang adalah penyebab utama yang mencetuskan persengketaan dalam rumahtangga.

Masalah kewangan mendahului subjek lain yang boleh menyebabkan pergeseran dalam rumahtangga seperti pengagihan tugas mengemas rumah dan aktiviti seks dalam perhubungan suami isteri.

Kebanyakan masalah kewangan yang timbul berpunca daripada perbezaan sasaran kewangan antara lelaki dan wanita. Contohnya, isteri inginkan kabinet dapur granit tetapi suami mahukan televisyen skrin leper.

Atau, ia berpunca daripada kurangnya komunikasi mengenai apa sasaran masing-masing. Ini disebabkan oleh salah seorang bertanggungjawab membayar bil jadi mereka ingin mengelak tekanan dengan berbicara soal wang.

Masalah lain juga timbul ekoran tekanan yang dilalui secara rutin untuk memastikan anda mempunyai bajet mencukupi setiap bulan untuk membayar bil, berlibur, belanja anak-anak dan simpanan untuk hari tua.

Lebih-lebih lagi apabila tiba penghujung tahun ketika semua orang menerima bonus akhir tahun. Pada ketika ini, tekanan untuk berbelanja paling kuat dirasai tambahan pula kebanyakan produk baru akan diperkenalkan di pasaran.

Berikut terdapat beberapa panduan untuk membantu anda ketika menghadapi tekanan kewangan;
* Fahami pemberian hadiah kepada lelaki/wanita. Lelaki sukakan hadiah yang menarik perhatian dan mahal harganya. Sebaliknya, wanita memilih hadiah kreatif dan difikirkan dengan teliti tetapi biasanya kurang dihargai lelaki.
* Jangan biarkan wang menjadi isu untuk mengawal perhubungan lebih-lebih lagi jika salah seorang pasangan memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding seorang lagi. Ini kerana pasangan yang bergaji kecil menjadi takut untuk berbelanja sebaliknya seorang lagi akan membeli-belah sesuka hati.
* Sediakan bajet untuk kegunaan anda berdua dan pastikan kedua-duanya mempunyai akses kepada wang simpanan sama ada untuk bercuti atau kegunaan keluarga.
* Jangan samakan nilai diri anda dengan pendapatan kewangan yang diperoleh. Pertengkaran mengenai wang pada musim cuti selalunya lebih teruk kerana kaum lelaki merasakan mereka tidak berguna tanpa duit.
* Apabila timbul konflik, wanita boleh membantu dengan meluahkan penghargaan terhadap sumbangan suami selain wang ringgit dalam rumahtangga.
* Kaum lelaki juga harus ingat, duit atau hadiah tidak menentukan kejayaan sesebuah perkahwinan sebaliknya 'hadiah' yang mengukuhkan kekuatan hubungan kasih sayang itu lebih penting.
* Ingat, masalah kewangan selalunya bukan disebabkan duit, sebaliknya ketakutan, kuasa dan menguruskan aspek perbelanjaan dalam perkongsian hidup suami isteri.