Isnin, Julai 26, 2010
'Kita mati sama-sama'
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/07/26
KUALA LUMPUR: “Mama ikut Nasywa ya, kita mati sama-sama...” itu ayat yang tertera pada sekeping nota dipercayai ditulis seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum cuba terjun bersama bayi majikannya berusia lima bulan dari tingkat enam sebuah kondominium di Segambut di sini.
Cubaan itu, bagaimanapun gagal apabila ibu bayi berkenaan, Azlinda Ibrahim, 37, berjaya memujuk wanita dipercayai menghadapi masalah mental itu dan menyelamatkan bayinya selepas bergelut hampir setengah jam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari beberapa hari lalu, selepas Azlinda, seorang suri rumah, terdengar pembantu rumahnya, Siti Pajar, 21, yang baru tiga bulan diambil bekerja bercakap seorang diri dan menangis di dalam biliknya.
Dia segera menghubungi suaminya di pejabat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini selepas mengesyaki pembantu rumah yang kematian anak sebelum datang bekerja di negara ini, mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar kawalan.
“Sebaik membuka pintu biliknya, saya lihat Siti berdiri di atas tangga dan bersedia untuk melompat keluar dari tingkap. Tanpa berlengah saya menariknya dan kami terjatuh di atas lantai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, pembantu rumah itu seolah-olah ‘hilang akal’ apabila berlari ke bilik tidur utama dan mengambil bayinya, Mia Adreeyan yang tidur sambil berulang kali menyatakan mereka akan mati bersama.
“Dalam keadaan panik saya menerkam ke arah Siti sambil menjerit meminta tolong dan merampas Mia daripada dakapannya” katanya.
Ketika pergelutan itu, Azlinda sempat menekan butang interkom untuk menghubungi pengawal keselamatan memaklumkan cubaan Siti terjun melalui tingkap bersama bayinya.
“Selepas lebih kurang 15 minit, pengawal keselamatan tiba dan saya terpaksa mencampakkan kunci rumah ke arah pintu kerana masih memegang Siti yang masih meronta-ronta untuk melompat keluar dari tingkap,” katanya.
Suaminya, Mohd Aleemin Othman, 58, yang tiba di rumah sejurus kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar Siti ke hospital kerana mengesyaki wanita itu menelan beberapa pil yang tidak diketahui jenis sebelum cuba membunuh diri.
Difahamkan, pembantu rumah yang sudah berkhidmat bersama keluarga mangsa selama tiga bulan itu menghadapi tekanan perasaan selepas kematian bayi perempuannya, dikenali sebagai Nasywa kira-kira dua tahun lalu dan sering tersasul memanggil Mia Adreeyan dengan nama arwah bayinya itu.
“Kejadian itu membuatkan saya trauma dan hidup ketakutan sehinggakan saya tidak berani keluar rumah kerana khuatir sesuatu terjadi kepada bayi saya” kata Azlinda.
Dia berharap kejadian menimpa dirinya dijadikan teladan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengambil pembantu rumah warga asing dan seboleh-bolehnya mereka menyiasat latar belakang amah itu terlebih dulu sebelum mengambil mereka bekerja.
Susulan itu, Azlinda dan suaminya membuat laporan di Balai Polis Kepong dan menghubungi pihak agensi untuk membuat aduan dan menyelesaikan masalah pembantu rumah terbabit.
Bagaimanapun, suri rumah itu kesal kerana mendakwa agensi terbabit mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan sehingga kini belum memberi maklum balas kepada keluarganya.
Pembantu rumah terbabit dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada dalam jagaan agensinya.
Sabtu, November 28, 2009
Rentap, hempas bayi atas lantai
am@hmetro.com.my
TANJUNG MALIM: Seorang pembantu rumah bagai dirasuk syaitan apabila sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyentap kaki anak majikannya baru berusia setahun lapan bulan yang sedang nyenyak tidur atas katil lalu menghempasnya ke lantai sebelum menghumbannya ke ruang tamu, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang di Jalan Kempas, Bandar Proton, dekat sini, pembantu rumah warga Indonesia berusia 30-an terbabit didakwa menghumban bayi, Allysa Idrina Azizan ke ruang tamu dengan menarik rambutnya sehingga kedua-dua kaki mangsa terangkat.
Ketika kejadian, hanya mangsa dan adik lelakinya yang baru berusia tujuh bulan berada di rumah, manakala ibu bapa mereka belum pulang kerja.
Akibat perbuatan itu, mangsa cedera parah di muka dan pipi serta pendarahan di mata kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan, berkata perbuatan kejam pembantu rumah terbabit dibongkar ibu mangsa yang terkejut sebaik melihat muka dan pipi anaknya lebam manakala mata kanannya berdarah sejurus pulang dari kerja pada malam kejadian.
Beliau berkata, ibu mangsa yang bekerja di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di sini, memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang bekerja di sebuah bank di Teluk Intan, sebelum membawa mangsa ke sebuah klinik dengan ditemani pembantu rumahnya itu, Lilis Paridawati, 30, dari Bandung, Indonesia.
“Hasil pemeriksaan awal, doktor mengesahkan kecederaan pada muka Allysa disebabkan dia terjatuh atau terhempas pada permukaan keras sehingga menyebabkan muka dan pipi serta bola matanya cedera.
“Perbuatan pembantu rumah itu terbongkar selepas ibu bapa mangsa meneliti rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya pada malam sama.
“Ibu mangsa terkejut melihat rakaman itu menunjukkan pembantu rumah itu menarik kaki anak perempuannya yang sedang tidur di atas katil lalu menghumban ke lantai dengan kejam tanpa perasaan belas kasihan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, beberapa minit kemudian, pembantu rumah terbabit menarik rambut mangsa sehingga kedua-dua kakinya terangkat lalu mencampaknya dari bilik hingga ke ruang tamu.
“Ibu mangsa yang ketakutan melihat rakaman itu, terus menghubungi suaminya di Teluk Intan sebelum menelefon jiran sebelah rumahnya menemaninya sementara menunggu ketibaan suami.
“Sebaik melihat rakaman CCTV itu, bapa mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Behrang Stesyen di sini, jam 1 pagi kelmarin.
“Bertindak atas laporan itu, polis menahan pembantu rumah terbabit kira-kira jam 2.15 pagi di rumah majikannya. Motif kejadian masih disiasat dan kini pembantu rumah itu ditahan reman tujuh hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Mohd Ali berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap adik mangsa mendapati tiada sebarang tanda penderaan seperti dialami kakaknya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa yang menggaji pembantu rumah agar lebih berwaspada dan memantau perkembangan anak walaupun mereka sibuk dengan urusan kerja.
Malah katanya, penduduk di kawasan perumahan juga perlu mengamalkan semangat kejiranan kerana jiran adalah orang terdekat yang boleh membantu pada waktu kecemasan.
Khamis, Jun 25, 2009
Anak bukan tanggungjawab pembantu rumah
“Pembantu rumah boleh menguruskan pakaian sekolah anak, tetapi wajarkah jika pembantu rumah yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada majikan, membantu anak dengan kerja sekolah mereka? Berilah pembantu rumah tugas yang tidak memerlukan sentuhan peribadi majikan dan gunakan masa serta tenaga itu untuk meluangkan masa dengan ahli keluarga yang lain, di samping sentuhan kasih sayang kepada anak-anak. Jika segala keperluan anak diserah kepada pembantu rumah, anak akan merasakan mereka tidak dipedulikan ibu bapa,” katanya.
Katanya, ibu bapa tetap perlu memainkan peranan mengajar anak melakukan kerja rumah asas untuk kemudahan mereka pada masa depan seperti mengemas katil sendiri, mengangkat pinggan selepas makan, membasuh kasut sekolah dan sebagainya.
Penyelidik Kanan Pasca Doktoral, Institut Pengajian Sains Sosial UPM, Dr Khadijah Alavi, berkata peranan datuk dan nenek amat penting bagi tumbesaran cucu atau cicit serta secara tidak langsung membantu meringankan beban anak dewasa dalam menjaga dan membesarkan anak terutama yang tinggal di bandar dan bekerja sepenuh masa.
“Datuk dan nenek yang sihat dapat mengurangkan beban penjagaan bahkan dapat membantu suami isteri dwi-kerja. Selain menjadi tempat mereka berlindung sementara menghabiskan sisa usia, datuk dan nenek juga menjadi tempat cucu bermanja ketika ibu bapa mereka keluar bekerja. Kehadiran datuk dan nenek penting terutama di dalam menghadapi dilema keruntuhan akhlak remaja yang dikatakan berpunca daripada kurang penumpuan dan pemberian kasih sayang oleh ibu bapa.
“Keadaan hari ini mewujudkan keluarga ‘skip generation’ iaitu datuk dan nenek mengambil peranan keibubapaan di dalam mendidik dan menjaga cucu khususnya apabila keluarga mengalami krisis seperti perceraian dan sebagainya,” katanya.
Menghantar anak ke taska adalah antara pilihan terakhir bagi pasangan dwi-kerja walaupun ada banyak isu negatif yang timbul membabitkan keselamatan dan kualiti pengasuh. Tahap pendidikan pengasuh adalah antara persoalan yang ditimbulkan, tetapi sekali lagi ia membabitkan isu lain seperti gaji dan sebagainya.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata realitinya budaya kebanjiran menghantar anak ke pusat asuhan memaksa keadaan untuk mengaji tenaga yang kurang berkualiti tanpa mengira latar belakang mereka.
“Pengasuh yang tidak berkualiti menyebabkan anak terbiar kerana mereka hanya bekerja dengan baik bila ada tuan. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak kerana pertumbuhan ini sepatutnya dijaga oleh pengasuh sama ada dari segi berat, gigi, rambut dan sebagainya. Perkembangan kanak-kanak juga perlu diasuh khususnya dari segi mental. Sosio emosi kanak-kanak akan meningkat dengan baik sekiranya mendapat asuhan yang baik. Justeru, ciri menjaga dan mengasuh perlu ada dalam diri pengasuh.
“Sekiranya ada pengasuh yang tidak tahu mengasuh, dia boleh mewujudkan kanak-kanak pemberontak atau pembuli cilik. Pengasuh perlu tahu tanggungjawab. Perasaan menjadi ibu bapa penting untuk disemai dalam diri pengasuh. Sebaliknya pengasuh adalah remaja yang tidak dapat menghayati kerja kerana tidak mempunyai jiwa keibubapaan. Pengasuh sepatutnya tidak boleh hilang fokus sepanjang melaksanakan tanggung jawab itu,” katanya.
Rabu, Jun 10, 2009
Benarkah pembantu rumah membantu?
Bila isteri sudah mula keluar bekerja, maka tugas-tugas rumah tangga seperti menjaga anak, mengemas rumah, memasak dan sebagainya pastinya sedikit terganggu.
Bagi sesetengah wanita berkeluarga, mereka memilih untuk menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau ke rumah pengasuh, manakala tugas-tugas rumah yang lain seperti mengemas, membasuh baju dan memasak dilakukan sendiri. Namun yang pasti, sukar juga untuk memastikan semuanya beres, apatah lagi saat pulang dari bekerja, hari sudah merangkak senja. Letih seharian di pejabat, pastinya membuatkan urusan rumah agak tersasar.
Kerana itu tidak hairanlah ramai daripada kita kini lebih terarah untuk menggunakan khidmat pembantu rumah biar pun bagi keluarga yang berpendapatan sederhana.
Bukanlah tidak mempunyai pilihan lain, namun penyelesaian cara ini yang paling berkesan terutama sekali kepada mereka yang mempunyai anak ramai. Dengan adanya pembantu rumah, selain menjaga anak-anak, tugas-tugas rumah tangga yang lain akan lebih terurus.
Bagaimanapun, adakah khidmat pembantu rumah ini benar-benar membantu atau pun sebaliknya? Telah banyak cerita yang tidak enak mengenai pembantu rumah pernah kita dengar. Namun, dalam pada itu tidak kurang juga yang memuji kelompok ini kerana dengan bantuan mereka segala urusan rumah tangga berjalan lancar.
Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Pembantu Rumah: Penyelamat atau Penyengat" menegaskan hanya majikan yang boleh membuat penilaian sama ada pembantu rumah itu benar-benar membantu atau sebaliknya.
"Jika pembantu rumah itu memenuhi jangkaan majikan terhadapnya dan membantu menyelesaikan masalah, maka ia adalah penyelamat.
"Sebaliknya, jika ia tidak memenuhi jangkaan majikan dan lebih banyak menimbulkan masalah, ternyata ia adalah penyengat," katanya yang membentangkan kertas kerja tersebut pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa" di IKIM baru-baru ini.
Siti Fatimah berkata, menggunakan khidmat pembantu rumah mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.
"Bagi majikan yang terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan pembantu, pastinya mereka mengharapkan urusan rumah tangga seperti menjaga makan, minum dan pakai serta keselamatan anak terjamin ketika keluar bekerja," katanya.
Namun soalnya berapa kerap harapan tersebut dipenuhi?
Kata beliau, memang terdapat pembantu rumah yang boleh dipercayai dan banyak membantu melicinkan urusan rumah tangga, namun terdapat juga beberapa kes seperti melarikan diri, mencuri, mengadu kepada jiran dan rakan mengenai mereka dizalimi sedangkan ia tidak berlaku, menggunakan telefon sehingga bil mencecah ribuan ringgit, memukul anak majikan, tidak menjaga anak majikan dengan baik dan sebagainya.
Jelas Siti Fatimah, konflik yang berlaku antara pembantu rumah dan majikan akan memberi kesan kepada keluarga terutama anak yang masih kecil.
"Bagi pembantu rumah yang cekap dan mendengar kata, konflik boleh diatasi dengan mudah. Bila ini berlaku, penyesuaian akan wujud dan perkara ini menjadikan pembantu rumah benar-benar membantu majikan," kata beliau.
Sebaliknya, jika pembantu rumah mempunyai sikap tersendiri dan sukar dibentuk, ketegangan akan timbul dan mereka akan berterusan mengulangi kesilapan yang sama hingga membangkitkan kemarahan majikan.
"Lazimnya, wanita atau isteri yang biasa berhubung dengan pembantu rumah. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan mereka merasa tertekan kerana pembantu yang diharapkan bukanlah penyelamat tetapi penyengat," jelasnya.
Selain itu menurut beliau, satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah cara majikan iaitu ibu dan bapa berhadapan dengan kerenah pembantu rumah. Jika ibu (atau bapa) melayan pembantu rumah dengan hormat, maka anak-anak mereka akan mengikuti dan begitu juga sebaliknya.
"Oleh itu layanlah pembantu rumah dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung kita juga sebenarnya sedang mengajar anak-anak kita bagaimana perhubungan itu sepatutnya berlaku," katanya.
Beliau turut menyarankan, majikan menggunakan tempoh tiga bulan sebagai percubaan sama ada pembantu rumah itu sesuai dan jika tidak mempunyai masalah bolehlah diteruskan kontraknya.
Menurut Siti Fatimah lagi, pembantu rumah juga memberi pengaruh kepada anak-anak dari segi penguasaan bahasa dan tingkah laku.
Walaubagaimanapun, ibu bapa boleh menapis pengaruh pembantu rumah ini dengan memberi garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak dalam menjalankan tugas-tugas harian mereka.
"Sepatutnya, dalam hal mendidik anak-anak, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dengan membiarkan anak-anak di bawah jagaan pembantu rumah semata-mata.
"Mereka sepatutnya menyeimbangkan pengaruh pembantu rumah dengan mengambil alih tugas mengasuh anak sekembali dari pejabat," katanya.
Kesimpulannya kata beliau, majikan mempunyai tanggungjawab terhadap pembantu rumah seperti memenuhi keperluan asasi mereka, melayan dengan belas kasihan dan bertimbang rasa serta menunaikan gaji mereka pada waktunya.
Dan pembantu rumah pula katanya, perlu mematuhi arahan majikan melainkan hal-hal yang bertentangan dengan syarak, melaksanakan tugas dengan ikhlas, tidak mengkhianati majikan, menjaga rahsia keluarga majikan serta menjaga maruah dan batas pergaulan dengan majikan.
Sekiranya segala aturan ini diikuti kata Siti Fatimah, pastinya pembantu rumah benar-benar membantu dan menjadi penyelamat kepada majikan.
Isnin, Jun 01, 2009
Amah penyelamat atau penyengat?
roha@bharian.com.my
Pembantu rumah suka timbulkan 1,001 masalah dan konflik suami isteri
MENGIKUT statistik Jabatan Imigresen, sehingga Jun 2008 seramai 256,097 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Ini bermakna 300,00 keluarga mempunyai pembantu rumah kerana mengikut syarat satu keluarga boleh mengambil seorang pembantu rumah saja.
Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman, berkata sukar untuk menentukan peratusan sebenar keluarga di negara ini yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah kerana tiada perangkaan yang tepat mengenai keluarga yang memilikinya.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga.
Walaupun peratusan pembantu rumah di negara ini masih kecil, ia kini menjadi pilihan keluarga yang suami atau isteri keluar bekerja, terutama di bandar besar. Siti Fatimah berkata, pada asasnya pembantu rumah dilihat jalan penyelesaian bagi penjagaan kanak-kanak ketika ibu bapa keluarga bekerja.
Namun, katanya seperti bentuk jagaan lain, penjagaan anak oleh pembantu rumah sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.
“Sebenarnya lebih banyak kebaikan dan faedah diperoleh sesebuah keluarga jika mendapat perkhidmatan pembantu rumah berbanding keburukan. Namun, semua itu bergantung kepada individu yang menjadi pembantu rumah itu sendiri.
“Dalam keadaan normal, iaitu pembantu rumah tidak memberikan masalah atau seperti yang dikehendaki majikan, amah membantu kerja di rumah 24 jam sehari. Ini berlaku kepada amah yang tinggal bersama majikan. Namun tidak bermakna majikan boleh memerah tenaga pembantu rumahnya tanpa henti,” katanya.
Beliau menjelaskan banyak faedah diperoleh jika sesebuah keluarga menggajikan pembantu rumah, termasuk pergerakan suami isteri ke tempat kerja pada waktu pagi akan lebih mudah, malah rumah lebih terurus, kemas dan bersih yang dapat memberi ketenangan minda kepada keluarga.
Pembantu rumah juga membantu menguruskan kain dan pakaian keluarga dengan baik, memudahkan kerja memasak dan majikan ada masa berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan dengan bantuan pembantu rumah yang mana masa berkenaan boleh diluangkan dengan ahli keluarga, malah perhatian lebih dapat diberikan kepada anak-anak.
Lebih penting lagi, dengan ada pembantu rumah, bayi akan diberikan perhatian khusus ketika ibu keluar bekerja dan anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.
“Dengan kata lain, pembantu rumah ini menjadi penyelamat kepada keluarga yang suami atau isteri bekerja dan mengurangkan tekanan kepada keluarga,” katanya. Apabila ada kebaikan, akan ada keburukan apabila mengambil perkhidmatan pembantu rumah bagi membantu menjaga dan menyelesaikan kerja rumah.
Paling jelas, kata Siti Fatimah, pengambilan amah memerlukan kos permulaan yang tinggi dan terkini dilaporkan kosnya semakin meningkat, termasuk kos perkhidmatan dan levi pekerja.
“Apabila sesebuah keluarga mempunyai pembantu rumah, perbelanjaan harian juga bertambah kerana pembantu rumah menjadi ahli dalam isi rumah. Bebanan juga wujud apabila tamat tempoh kontrak biasanya dua tahun, pembantu rumah tidak mahu menyambung kontrak mereka dan majikan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi mencecah hingga RM7,000 untuk mengambil amah baru. Ini tidak termasuk kos kenaikan gaji amah yang diambil bekerja,” katanya.
Pengambilan amah juga menimbulkan persoalan di kalangan majikan sama ada mereka mampu melaksanakan tugas, baik atau sebaliknya.
“Setelah membayar sejumlah wang yang besar serta mengambil masa mengikut prosedur ditetapkan, tiada jaminan bahawa pembantu rumah yang dipilih memenuhi jangkaan majikan. Ia banyak bergantung kepada nasib.
“Jika bernasib baik, dapat pembantu rumah yang baik dan pelaburan itu berbaloi. Jika sebaliknya berlaku, majikan yang terseksa kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengambil amah baru,” katanya.
Pembantu rumah juga dikatakan menyebabkan ruang peribadi tiada di rumah dan suami isteri tidak bebas kerana kehadiran orang luar dalam rumah mereka. Mungkin ada suami berasa kurang selesa kerana tidak lagi tanpa berbaju ketika di rumah dan membataskan suami isteri untuk bermesra apabila ada pembantu rumah.
Keluarga yang mempunyai pembantu rumah mungkin mendedahkan anak kecil kepada salah laku dan penderaan oleh amah yang tidak bertanggungjawab.
Perkara ini sering didengari dan banyak dilaporkan di media, terutama jika anak yang dijaga masih belum boleh bercakap. Anak yang sudah pandai bercakap akan mengadu dengan ibu bapa jika mereka disakiti atau keperluan mereka tidak dipenuhi pembantu rumah.
Perkara ini sebenarnya, kata Siti Fatimah, masih boleh ditangani jika majikan melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa, melihat bahasa badan anak apabila bersama pembantu rumah, meminta bantuan jiran melihat anak dan pembantu rumah ketika keluar bekerja atau meletakkan kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan anak-anak dan mungkin boleh memberikan pengaruh buruk kepada golongan itu dari segi pertuturan dan tingkah laku.
Dari sudut lain, dengan bantuan pembantu rumah, anak-anak mempunyai peluang terhad untuk berinteraksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa, selain terlalu bergantung kepada amah dan mungkin kanak-kanak kehilangan peluang diajar kemahiran hidup seperti membasuh kasut sekolah dan mengemas bilik sendiri.
Malah, dalam keadaan lain, kebergantungan kepada pembantu rumah menyebabkan kanak-kanak lebih rapat dengan amah berbanding ibu bapa sendiri.
“Dengan kata lain, kita lihat pembantu rumah ini seakan ‘penyengat’ bukannya menyelamatkan keadaan ketika ibu bapa keluar bekerja. Justeru, majikan yang mengambil pembantu rumah perlu bijak mencari jalan mengatasi konflik yang wujud supaya amah tidak menjadi ‘penyengat’ dan memberi 1,001 masalah kepada keluarga,” katanya.
INFO: Kebaikan ada pembantu rumah
* Bantuan domestik 24 jam
* Pergerakan ke pejabat pada waktu pagi lebih mudah.
* Rumah yang kemas dan bersih akan memberi ketenangan minda kepada keluarga.
* Kain dan pakaian keluarga diuruskan dengan baik.
* Memudahkan kerja memasak.
* Masa dan tenaga berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan pembantu rumah dan masa yang ada boleh diluangkan dengan ahli keluarga.
* Anak dan bayi dapat perhatian khusus daripada penjaga.
* Anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.
Keburukan
* Kos permulaan yang tinggi
* Tiada jaminan mendapat pembantu rumah yang baik dan benar-benar cepat membuat kerja. Ini satu perjudian.
* Ada pasangan berasa tidak selesa atau hilang privasi dengan kehadiran orang luar dalam rumah mereka.
* Jika anak belum boleh bercakap mereka mungkin terdedah kepada salah laku atau penderaan oleh pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.
* Pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak.
* Pembantu rumah asing boleh memberi pengaruh yang buruk kepada anak-anak dari segi pertuturan dan tingkah laku.
* Anak-anak dijaga pembantu rumah mempunyai peluang terhad berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
* Kebergantungan keterlaluan kepada pembantu rumah menghilangkan peluang anak berdikari dan belajar kemahiran hidup.
* Kebergantungan yang tinggi menyebabkan anak-anak rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa masing-masing.