Rabu, Jun 22, 2011
Curang, lelaki dan pengalaman mereka...
Dalam keluaran lalu, Kucing Jantan ada menyenaraikan ‘pedoman penting mengendalikan telefon bimbit’ yang biasanya lelaki curang praktikkan untuk memastikan perangai buruknya itu dapat terus ditutup.
Mungkin kerana cara ia ditulis dengan sifat Kucing Jantan yang ada kalanya nakal dan gemar mencabar, ada yang menyalahertikan pendedahan itu sebagai mahu mengajar dan mengalakkan kecurangan.
Malah ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk ajaran sesat. Kucing Jantan tiada niat langsung untuk berbuat demikian, apatah lagi mahu meruntuhkan institusi keluarga.
Dengan pendedahan itu, Kucing Jantan jangkakan yang akan marah ialah mereka yang berbuat curang atau berhajat berbuat curang kerana rahsia sudah terdedah. Lantas apa yang diharapkan ialah peluang untuk berlaku curang dapat ditutup.
Apa yang Kucing Jantan cuba kupas ialah realiti kehidupan yang diwarnai dengan pelbagai ragam dan kerenah, yang selalu mengitari kehidupan manusia. Kecurangan adalah antara kisah yang selalu kita lihat dan dengar.
Kucing Jantan harapkan pendedahan itu dilihat sama seperti polis yang mendedahkan modus operandi atau cara penjenayah melakukan rompakan. Tentu saja kita juga boleh anggap polis mengajar cara orang merompak.
Jenayah
Begitu juga siri drama jenayah seperti CSI (Crime Scene Investigation) yang begitu popular sekarang, yang memperincikan bagaimana jenayah dilakukan. Kisah sebenarnya ialah bagaimana polis dibantu dengan sains forensik menyelesaikan kes-kes jenayah tetapi sekali lagi ia juga boleh dilihat sebagai mengajar dan menggalakkan orang melakukan jenayah.
Tetapi Kucing Jantan tidaklah mahu berhujah panjang dalam soal itu. Kucing Jantan sentiasa terbuka dengan kritikan dan pandangan. Dan, sebagai menghormati dan menghargai pembaca, Kucing Jantan sertakan sebahagian luahan hati mereka.
Surat 1:
Dari artikel Ada rahsia apa dalam telefon bimbit lelaki? dan artikel sebelumnya, ia telah mengukuhkan pendapat saya bahawa Kucing Jantan adalah seorang lekaki cauvinis, tidak kuat pegangan agama, mementingkan diri sendiri, kurang rasa tanggungjawab sesama manusia dan mungkin mengimpikan kehidupan hedonistik ala-ala Hugh Hefner.
Ini simbolik dengan perangai dan kehidupan kucing jantan di lorong-lorong belakang rumah. Ia akan membuntingkan selagi ada kucing betina dan memakan anak jantannya sendiri yang sama warna atau serupa dengannya. Ini tipikal ‘territorial behaviour’ kucing jantan kerana takut dicabar oleh anaknya apabila besar kelak.
Kucing Jantan tidak perlulah menjadi ejen Dajal untuk memecah-belahkan institusi kekeluargaan yang sememangnya rapuh sekarang dengan menggalakkan orang lelaki untuk berlaku curang. Orang lelaki dahulu tidak perlu telefon bimbit untuk berlaku curang pun. Kadang-kala akibat daripada kecurangan, perkahwinan seterusnya berlaku ataupun bercerai-berai. Tetapi tidak semestinya perkahwinan baru membawa kebahagiaan.
Ini adalah kerana orang lelaki kerdil otaknya dan tidak pandai multi-tasking. Kebiasaannya, isteri pertama dan anak-anak terbiar kebajikan mereka, kehidupan menjadi haru biru dan ada yang mengalami trauma. Contoh-contohnya saya lihat sendiri berlaku kepada ahli keluarga saya.
Contoh pertama, ahli keluarga saya ini berkahwin nombor dua dengan staf tempat bekerja. Malang baginya, isteri kedua kuat main ilmu. Akibatnya sejak 20 tahun lepas hingga sekarang, ahli keluarga saya itu dan isteri pertamanya asyik sakit pelik-pelik. Hinggakan doktor-doktor di sebuah hospital swasta memanggilnya penyakit OGK (Only God Knows). Yang kaya hospital itulah.
Contoh kedua, ahli keluarga saya ini berkahwin dengan isteri kedua yang lagi hebat darinya (isteri pertama diceraikan). Bila ahli kelurga saya itu pergi bekerja, isteri kedua bawa lelaki lain balik rumah dan main sandiwara di dalam bilik tidur. Malangnya, anak lelaki yang bersekolah rendah masa itu nampak apa yang berlaku.
Contoh ketiga, ahli keluarga saya ini kahwin cerai, kahwin tinggal hinggakan tidak terhitung isteri-isteri serta anak-anak berapa dan di mana. Bab-bab tanggungjawabnya terhadap keluarga memang tiada.
Mungkin balasan dari Allah agaknya, beliau terlantar sakit di hospital selama setahun. Ibu mertua tiri terakhir agaknya sudah jemu, jelak dan menyampah menjaga beliau.
Akibatnya, ahli keluarga saya itu meninggal dunia di dalam keadaan daif dan penuh dengan kesengsaraan. Tiada anak-anak di sisinya semasa menghembuskan nafas terakhir.
Oleh itu Kucing Jantan, janganlah mengagungkan sangat idea perlakuan curang kerana keseronokannya hanyalah sementara tetapi akibatnya mungkin tiada siapa sanggup melaluinya. Ingatlah dosa pahala.
Berkahwin lebih daripada seorang boleh jika mampu berlaku adil dari segi kewangan, fizikal, batin, masa, mental dan spiritual. Saya rasa tidak ramai lelaki begitu, mungkin 0.00000001 peratus. Tetapi kubur kan asing-asing. Jangan Kucing Jantan jadi seperti kucing jantan tua berkurap, tidak disayangi sesiapa, terbuang, hidup segan mati tak mau sudahlah.
Jumaat, Jun 17, 2011
Antara isteri taat, main kayu tiga atau poligami
BRO senyum sendirian apabila membaca polemik mengenai penubuhan Kelab Isteri Taat. Bro tak mau ambil tahu siapa yang tubuhkan dan apa motifnya.
Walaupun Bro menolak sekeras-kerasnya seruan agar isteri melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ tetapi Bro bersetuju sangat dengan penubuhan kelab ini.
Mahu tak mahu kaum perempuan kena mengakui bahawa ramai di kalangan isteri sekarang sudah tidak taat kepada suami. Banyak kes yang berlaku bagaimana si suami menangkap si isteri curang dengan lelaki lain.
Bro dapat banyak cerita bagaimana perempuan yang bergelar isteri mengadakan hubungan sulit dengan rakan-rakan sepejabat. Bukan fasal si suami di rumah tu tak baik tetapi kerana si isteri tu yang tidak boleh kawal nafsu, nampak sikit lelaki kacak dan pandai pula ‘mengayat’ lemah longlai si isteri orang itu.
Masa tu tak kira dosa pahala dah, balik kat rumah mula la buat perangai, bila si suami suruh layan sikit jawapan diberi letih la, penat la, badan tak sihat la tetapi masa kat pejabat dok menggatal dengan lelaki lain, ok pula.
Sebab itulah Bro sokong kelab tersebut sebab mereka yang menubuhkan kelab berkenaan dah sedar betapa ramainya isteri yang semakin tak taat.
Jangan la dok bagi alasan kononnya kelab tu bertujuan nak pastikan si suami tak cari perempuan lain. Bagi Bro kalau pun lelaki nak kahwin apa masalahnya?
Bukankah Islam membenarkan si suami berkahwin empat selagi dia berdaya zahir dan batin. Bro tak faham la kenapa perempuan emosi sangat bab suami nak kahwin lain ni.
Poligami dibenarkan oleh Islam maknanya Allah SWT mengizinkannya, jadi buat apa yang kita susah payah dok pening kepala nak bertengkar setuju ke tidak.
Sebagai perempuan reda sahajalah ketentuan Illahi, kalau suami kita hendak berkahwin lain, tidak payah hendak gaduh-gaduh.
Kalau nanti si suami tidak jalankan tanggungjawabnya dengan betul dan adil, biarlah dia jawab dengan Tuhan.
Tak payah dok berdebat setuju atau tak setuju, bagi Bro perempuan yang tentang poligami ni sebenarnya tak faham hukum hakam agama dan yang Bro pelik tu ada antara mereka belum pun berkahwin.
Jadi Bro tak faham macam mana dia tahu poligami tu akan menyusahkan kaum wanita, setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT pasti ada kebaikan, cuma manusia yang tak tahu melaksanakannya.
Daripada dok sibuk-sibuk fasal poligami tu lebih baik tumpu perhatian kepada nasib wanita yang tak berkahwin macam mereka.
Bagaimanapun dalam bab poligami ni, Bro percaya kalau si isteri tu baik dan melayan suami dengan sempurna, Bro percaya si suami tidak akan berkahwin lain tidak kira la muncul perempuan lawa macam mana sekali pun yang datang menggoda.
Bila si suami berkahwin lain ia ada dua sebab, pertama mungkin si isteri membosankan dan kedua, kerana pintu hatinya sudah terbuka untuk menerima cinta baru.
Jadi janganlah perempuan nak mengamuk tak tentu fasal bab poligami dan isteri kena taat ni. Memang perempuan zaman sekarang tak macam zaman dulu, banyak langkah kawalan dan peringatan perlu diberikan supaya mereka tidak terbabas.
Kebebasan yang diberikan oleh suami kadang kala menyebabkan mereka lupa batas sebagai seorang isteri biarpun mereka berjawatan besar. Tetapi kena ingat setinggi mana pun kedudukan mereka, syurga tetap di bawah telapak kaki suami.
Oleh itu apabila Kelab Isteri Taat ini ditubuhkan, janganlah anggap mereka hendak mencari publisiti sebaliknya mereka hendak memberi peringatan kepada kaum perempuan apa yang sepatutnya mereka utamakan.
Perempuan yang risau kononnya kelab seumpama itu akan disalahgunakan oleh lelaki, sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.
Kalau pun ada lelaki yang cuba menyalah gunakannya itu bukan salah lelaki tetapi salah perempuan kenapa cepat sangat mereka terpengaruh atau lentok bila ‘diayatkan’ lelaki.
Bro bukannya nak tuduh tetapi inilah hakikat yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itulah bila ada usaha hendak meningkatkan ketaatan seorang isteri, kita kena sokong.
Lagi pun Bro percaya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa diberikan nafas baru terutamanya dalam soal hubungan suami isteri. Janganlah bila dah beranak pinak maka kasih sayang dan cinta antara suami isteri pun luntur.
Sebaliknya banyak perkara perlu dilakukan supaya biar pun sibuk mana pun kehidupan kita, hubungan suami isteri itu perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.
Tetapi yang selalu Bro tengok perempuan bila dah ada anak mula nak lupa tanggungjawab layan suami, bila tidur malam pun nak peluk anak aje, si suami yang ‘kesejukan’ tak diendahkan.
Kesudahannya rumah tangga jadi muram dan tidak ceria, bila si suami jatuh cinta dengan perempuan lain mula la nak mengamuk.
Jadi nasihat Bro kepada kaum perempuan, apabila berlaku sesuatu dalam rumahtangga kita, jangan tuding jari kepada orang lain tetapi kajilah diri sendiri untuk mengetahui di mana silapnya yang memungkinkan cinta si suami beralih arah.
Kadang kala si suami bukannya hendak main kayu tiga tetapi sekadar untuk memberi peringatan kepada si isteri supaya jangan lupa tanggungjawabnya.
Sabtu, Disember 12, 2009
Bahana jika ingin terlalu cantik
bromingguan@yahoo.com
BRO senyum sendirian apabila membaca berita bekas Ratu Argentina yang berusia 38 tahun, Solange Magnano meninggal dunia, Ahad lalu selepas mengalami komplikasi akibat pembedahan kosmetik yang dilakukan olehnya.
Apa yang Bro tertarik ialah ulasan teman rapat Magnano, Roberti Pizza yang berkata, ‘‘Wanita yang mempunyai segala-galanya ini meninggal dunia kerana dia mahu memiliki punggung yang pejal.’’
Inilah masalah sesetengah perempuan, walaupun Tuhan sudah beri tubuh dan wajah yang cantik masih belum mahu bersyukur, sebaliknya terus berusaha mengubah ciptaan Tuhan, akhirnya ia menjemput penderitaan kepada diri sendiri.
Tak payahlah kita bercakap fasal perangai orang Barat kerana memang itulah sikap mereka sejak dulu lagi tetapi yang Bro pelik di Malaysia ni pun berlambak wanita kita yang nak cantik lebih. Tak payahlah nak nafi kerana Bro ada ramai ‘spy’.
Apa yang Bro terkejut ada antara mereka ini adalah insan-insan hebat yang boleh disifatkan sudah ada segala-galanya termasuk kecantikan dan kekayaan. Tetapi mereka tidak puas.
Kalau hidung tak mancung, mereka buat pembedahan plastik, kalau lemak terlebih mereka pi sedut lemak, bila buah dada kecil, mereka usaha perbesarkan melalui rawatan, itu belum lagi termasuk menghabiskan wang beribu-ribu ringgit beli kosmetik setiap bulan. Apa yang Bro kesal, sebahagian mereka adalah wanita Melayu, beragama Islam.
Paling yang Bro muak, bila orang tanya, wanita yang berkenaan akan menafikannya ‘sampai terguling-guling’. Bro bukan tak tahu, ramai wanita kita lebih suka habis masa berjam-jam kat pusat-pusat kecantikan, semata-mata hendak dilihat cantik.
Mereka suka kalau orang puji mereka cantik sedangkan bagi Bro, pujian paling baik datang daripada suami. Tetapi bila kat rumah tak mahu pula mereka menghiasi diri, kadang kala muka macam tak mandi 14 hari.
Seperkara lagi Bro tak faham kenapa nak cantik sangat sampai membahayakan diri. Sepatutnya kalau tubuh kita dah sempurna tak ada cacat cela bersyukurlah dengan apa yang ada.
Berlebihan
Selalu Bro lihat, wanita yang dianggap kurang cantiklah yang berusaha buat macam-macam untuk mencantikkan diri. Kadang kala sampai berlebihan sehingga tak nampak macam muka asalnya.
Selain itu bagi wanita yang dianggap cantik pula, mereka terus berusaha hendak nampak bertambah cantik. Maknanya, tak bersyukurlah tu.
Bro tak kisah kalau, ada wanita yang hendak jadi cantik semata-mata demi memantapkan lagi kasih sayang dan cinta suami kepada mereka, tetapi janganlah hendak cantik untuk tarik perhatian orang lain.
Kerap juga Bro lihat, ada wanita semasa di dalam kenderaan ketika hendak pergi kerja baru hendak pakai bedak atau gincu, suami kat sebelah tak tahu nak kata apa. Tak kisahlah apa pun, yang penting Bro hendak nasihatkan kaum wanita, tak payahlah menyusahkan diri untuk kelihatan terlampau cantik.
Soal cantik itu hanya luaran dan ia bukanlah penentu kebahagiaan kita di Akhirat kelak, apa yang lebih mustahak ialah amal ibadah kita kepada Allah. Kalau muka cantik tetapi perangai macam hantu raya pun tak guna juga.
Sebab itulah, pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri dan sejauh mana kita pandai bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah.
Jadikanlah kes bekas Ratu Argentina itu sebagai pengajaran kepada kita semua supaya jangan memadai hendak mengubah ciptaan Allah. Teruskanlah kehidupan kita secara sederhana dalam apa juga hal termasuklah untuk mencantikkan diri.
* BRO - Wajah bukan ukuran
Selasa, November 17, 2009
Badan besar baju kecil
TENGOK golongan adik, kakak, makcik dan nenek membongkar sambil berebut pakaian dijual pada harga runtuh cukup menghiburkan.
Dengan penuh lahap semua diambil, tak kiralah ikut saiz ke tak. Yang penting, barang ada dalam genggaman. Itu yang berlaku di sebuah pusat beli-belah menawarkan diskaun hujung tahun dan Mat turut terperangkap menjadi mangsa dalam pertikaian ‘siapa rembat cepat dia yang dapat’.
Macam ni ceritanya, Mat tengah nak belek singlet ketat, konon berkenan nak beli sebab nak tonjolkan tubuh Mat yang sasa untuk tontonan ramai masa berjalan tengah KL.
Ketika Mat nak ambil singlet tu, ‘Makcik Jerit’ yang lebih pantas daripada halilintar dan tidak diketahui dari mana datangnya terus merampasnya daripada tangan Mat.
Terkejut Mat, namun Makcik Jerit buat tak tau je. “Apa kau pandang!” jerkahnya pada Mat sambil mengangkat singlet tu.
Mat terus berlalu ke sebelah dan ambil satu lagi pakaian. Dia datang lagi sambil mencampakkan singlet ‘dirampas’ daripada Mat ke dalam bekas pakaian dan dalam masa sama terus dikemburnya semua pakaian di sana. Bengang betul Mat dibuatnya, langsung tak hormat pada orang.
Malas nak layan, Mat melangkah pergi, belum sampai tiga langkah, Mat dengar kecoh kat tempat tadi, Mat toleh dan nampak Makcik Jerit tengah bertekak dengan ‘Nenek Nyaring’.
Haah, eloklah tu, dua perempuan berebut singlet saiz M sedangkan masing-masing tubuhnya saiz XXL. Semua yang ada kat sana hanya menggeleng kepala.
“Masing-masing berebut nak jadi beruang pakai baju kecik,” kata Mat dalam hati. Kalau cakap kuat-kuat mesti Mat kena lempang.
MAT LAGA: Apa kelas beli pakaian diskaun.
Seni pikat lelaki
Utusan Malaysia
OPS.. umur sudah 30 tahun - angka sensitif bagi wanita apabila pada umur sebegini belum punya teman yang pasti untuk dijadikan suami. Masih tercari-cari.
Sedangkan soal kerjaya dan tanggungan hidup bukan lagi masalah. Tetapi faktor ekonomi ini juga yang menjadi kekangan untuk mencari jodoh. Semakin sukses wanita bujang, semakin sukar mencari jodoh.
Sebab itulah wanita zaman kini perlu belajar seni memikat lelaki. Tidak boleh lagi terkongkong dengan konsep timba mencari perigi. Dunia sudah berubah dan sekarang pun sangat sukar mencari perigi, waima di desa pedalaman.
Jika tidak bermula dari sekarang - umur 30 tahun - semakin sempit peluang untuk mencari lelaki budiman. Ini kerana mencari jodoh memerlukan proses panjang apatah lagi bagi wanita yang sudah kukuh kedudukannya.
Realitinya, semakin tinggi statusnya, semakin takutlah lelaki untuk mendekatinya. Jadi, semakin kuranglah peluang untuk menemukan jodoh.
Jangan terlanjur sehingga kedut sudah ternampak dan kulit semakin kendur. Seni memikat lelaki seperti juga seni memikat wanita memerlukan waktu relatif panjang, mungkin bertahun-tahun kerana ia perlu konsistensi.
Cinta, kasih dan sayang perlu dibina serta dibangunkan bersama. Perlu ada seni untuk menangani lelaki yang dipikat. Meremehkan hal ini boleh membawa maksud menutup pintu untuk lelaki.
Tambahan pula, wanita sekarang semakin tamak untuk berkongsi kasih sayang dengan lelaki yang sama. Akhirnya, kaum sejenis juga yang merana.
Banyak tip dan petua mahupun rahsia memikat lelaki. Tetapi semua itu perlukan seni yang mungkin berbeza antara wanita dengan wanita lain. Perhatikanlah bagaimana kesungguhan lelaki memikat si gadis pujaannya. -nuranilelaki@yahoo.com
Ahad, November 01, 2009
Perempuan yang aniaya perempuan
bromingguan@yahoo.com
KETIKA berbual dengan seorang teman baru-baru ini, dia menceritakan mengenai konflik yang berlaku antara bos-bos perempuan di pejabatnya. Menurut kawan Bro itu, berdasarkan pemerhatiannya adalah jelas kalau perempuan bermasam muka antara satu sama lain, keadaannya akan menjadi lebih buruk berbanding lelaki bermasam muka.
Dalam soal ini, Bro teringat kata-kata seorang kawan iaitu, ‘‘Kalau lelaki bergaduh mungkin ia hanya merosakkan sebuah rumah tetapi kalau perempuan bergaduh, mungkin musnah sebuah kampung.’’
Bila Bro fikir-fikirkan balik apa yang dimaksudkan dengan kata-kata ini, ia jelas ingin memberi peringatan bahawa kalau perempuan bergaduh sesama mereka dalam apa juga situasi, keadaan akan menjadi begitu buruk sekali.
Apa yang Bro pelik, ada kalanya mereka bergaduh atau bermasam muka bukan kerana apa tetapi disebabkan salah seorang daripada mereka akan dinaikkan pangkat. Sepatutnya sebagai perempuan, orang yang tak naik pangkat itu bersyukurlah kerana ia menunjukkan kehebatan perempuan.
Tetapi malangnya, si perempuan pula yang rasa cemburu kepada kawan perempuannya. Berikutan itu maka berlaku pelbagai ‘adegan’ termasuklah gerakan untuk memburuk-burukkan si perempuan yang mendapat rezeki naik pangkat itu.
Macam-macam cerita buruk disebarkan supaya kenaikan pangkat yang berlaku dipandang serong. Akibat tidak puas hati juga, ada pula pekerja perempuan yang sanggup meletakkan jawatan.
Dia lebih rela menganggur atau berpindah tempat kerja daripada melihat rakannya yang sudah bertahun-tahun berkawan dengannya naik pangkat.
Bro tak faham apa ‘spesis’ perempuan macam ini. Bagi Bro, sejak dulu lagi sama ada yang naik pangkat itu lelaki atau perempuan Bro sentiasa tumpang gembira.
Bagi Bro, semua itu rezeki yang ditentukan oleh Allah. Mungkin hari ini kita tidak naik pangkat, mungkin di masa depan rezeki kita pula. Apa perasaan kita, kalau apabila kita naik pangkat orang kata macam-macam?
Burukkan
Jadi kalau tak mahu, orang burukkan kita maka kita pun janganlah burukkan orang. Biarlah kawan kita yang naik pangkat itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya.
Bro yakin perasaan dengki atau cemburu ini juga tidak ada kepada kaum lelaki lain, kalau ada rakan mereka naik pangkat. Mungkin ada perasaan terkilan tetapi tidaklah sampai hendak memburuk- burukkan rakan berkenaan.
Apa yang Bro tulis ini bukanlah tuduhan tetapi fakta bagi mengingatkan kaum perempuan tak payahlah cemburu sesama rakan sejenis. Adalah lebih baik mereka bersyukur dan tumpang gembira. Tak ada faedah pun nak menganiaya kawan sendiri.
Beberapa kawan perempuan Bro mengakui fakta ini dan minta Bro tulis untuk peringatkan semua kaum wanita supaya jangan terlalu banyak perasaan dengki dan iri hati.
Namun begitu Bro terima hakikat bahawa di kalangan sesetengah perempuan, dia tidak boleh lihat ada perempuan lain lebih daripadanya. Ada sahaja yang hendak dikritiknya, hatta dari segi pakaian sekalipun.
Perempuan macam ini kehidupannya tidak akan sampai ke mana, silap-silap hari bulan, dia boleh jatuh sakit. Semua itu berlaku kerana hatinya tidak bersih asyik nak dengki kat orang lain sahaja. Oleh itu jagalah hati kita, siramilah ia dengan niat-niat yang baik-baik sahaja. Jumpa lagi minggu depan.
Bro – Bersyukur dengan rezeki yang ada.
Jumaat, September 04, 2009
Insaflah, perempuan tetap perempuan
Sumber : Utusan Malaysia
SEJAK awal lagi Bro dah kata perempuan tak perlu tunjuk handal. Apa pun berlaku mereka tetap perempuan dan sudah ditakdirkan menjadi golongan lemah.
Oleh itu tak payahlah kalau ada yang cuba-cuba nak perjuangkan supaya perempuan diletakkan sama taraf dengan lelaki. Kalau mereka menjadi bos pun bukan bermakna mereka boleh menandingi kehebatan lelaki.
Bro sentuh perkara ini kerana Bro rasa terpanggil untuk komen berhubung isu rotan melibatkan seorang model yang heboh diperkatakan sekarang ini. Bro pelik si empuya badan dah rela, orang lain pula yang heboh-heboh.
Paling Bro bosan bila ada sesetengah nak bertindak menjadi wira memperjuangkan nasib perempuan sehingga kata-kata mereka seolah-olah mempertikaikan hukum Allah.
Hukuman rotan bukan manusia putuskan tetapi Allah SWT, kita hanya laksanakan. Oleh itu jangan emosional buat komen seolah-olah hukuman berkenaan boleh mencemarkan Islam.
Apa yang Bro hairan, sebelum ini ramai kaum wanita begitu beria-ia benar hendak memperjuangkan hak mereka. Kononnya mereka hendak sama taraf dengan lelaki termasuklah dari segi kuota membuat keputusan dan selalu yakin bahawa bos perempuan lebih bagus daripada lelaki.
Oleh itu kalau dah nak sama dalam semua hal, janganlah bila nak kena rotan cakap pula tak adil dan sebagainya kerana pesalah seorang perempuan.
Jadi kepada geng-geng perempuan yang hendak membela tak tentu fasal itu, Bro rasa lebih baik kalau mereka diam sahaja. Hormatilah keputusan mahkamah. Kalau empunya badan sanggup dirotan yang lain hendak menyibuk apa hal.
Hukuman
Sepatutnya, puak-puak perempuan sokong hukuman tu kerana ia menunjukkan bahawa perempuan setaraf dengan lelaki, kalau lelaki boleh tahan kena rotan kenapa kaum perempuan tak boleh?
Kalau dah rasa perempuan semakin hebat kononnya selari dengan perkembangan zaman, maka tak perlu bantah-bantah. Buktikanlah dalam apa juga hal perempuan tetap sama hebat dengan lelaki, barulah okey.
Ini bila bab nak kuasa dan pangkat, melaung-laungkan perempuan kata mereka dah boleh buat kerja sama taraf dengan lelaki tetapi bila nak dirotan kerana buat kesalahan, terus berhujah tak sesuai dengan perempuan, apa punya alasan ni! Jadi terimalah hakikat, dalam apa juga keadaan perempuan tetap perempuan. Jumpa lagi minggu depan.
n Bro - Tak suka membela membuta tuli
Ahad, Ogos 23, 2009
Sah! Perempuan memang emosional
bromingguan@yahoo.com
BRO menerima pelbagai reaksi berhubung tulisan minggu lalu mengenai poligami, ada yang menyokong dan ada pula yang ‘belasah’ Bro. Apa pun pandangan mereka Bro tetap terima dan hormati.
Namun begitu Bro tidak setuju kalau ada perempuan yang penuh emosi menolak poligami dan melihat perkara itu dari segi keburukan sahaja. Malah paling Bro menyampah apabila perempuan yang kata lelaki tambah isteri semata-mata untuk memuaskan nafsu seks.
Perempuan yang berfikiran seperti inilah yang merendahkan martabat perempuan itu sendiri. Kenapa perlu berfikiran sedemikian? Apakah benar perempuan hanya menjadi hamba seks untuk lelaki?
Sebab itulah Bro selalu nasihatkan kalau hendak berhujah jangan emosional, berilah pandangan yang bernas dan berasaskan kepada akal yang tenang. Tetapi yang Bro tengok, sahlah perempuan ini memang emosional.
Bro dah kata berkali-kali Bro menentang sebarang kezaliman kepada kaum wanita, begitu juga Bro cukup benci kalau ada lelaki yang berkahwin baru, beri alasan isteri barunya itu adalah ciri-ciri perempuan yang dia inginkan, sedangkan sebelum ini dia dah beranak pinak dengan isteri terdahulu, kenapa baru sekarang nak cakap soal ciri-ciri.
Poligami
Jadi Bro sentiasa objektif, yang benar tetap benar yang salah tetap salah tetapi Bro tidak boleh terima hujah yang melihat lelaki salah semuanya. Perempuan pun ada juga salahnya.
Poligami adalah perkara yang dibenarkan oleh Allah, justeru jangan melihat ia dari segi keburukan semata-mata. Kenapa tidak mahu melihat contoh yang baik dalam poligami?
Jangan menghukum kebenaran Tuhan hanya semata-mata kerana dikuasai oleh emosi, kalau kita tak suka kepada poligami, jangan pengaruhi orang lain untuk membencinya.
Bro pun dah tegaskan bahawa poligami berhak dilakukan oleh lelaki yang berkemampuan dan tahu tanggungjawabnya. Bro tak kata semua lelaki boleh berpoligami. Kalau sedar diri tak mampu janganlah gatal-gatal hendak berpoligami dan si perempuan pula jangan pula terhegeh-hegeh bersedia dimadu.
Jadi Bro hendak nak nasihatkan perempuan-perempuan yang taksub menentang poligami ini, janganlah dangkal sangat dalam memperkatakan soal ini. Bukan semua perempuan yang dianiaya terlibat dalam poligami, banyak lagi kes lain menyebabkan mereka jadi macam tu. Jumpa lagi minggu depan.
Bro – Tetap sokong poligami
Selasa, Ogos 18, 2009
Perempuan tak perlu melatah
bromingguan@yahoo.com
Bro dah agak dah, apabila akhbar ini menyiarkan artikel mengenai kelab poligami berserta dengan artikel yang menyokong poligami, ramai kaum wanita yang marah-marah, macam-macam mereka kata.
Ada yang kata, lelaki ni kalau bab kahwin suka sangat besar-besarkan, tambahan pula kalau soal hendak kahwin lebih daripada satu. Bro hairan kenapa ada yang beri respons marah-marah, relaksla.
Bagi Bro, sementara Bro menentang sebarang ketidakadilan kepada kaum wanita tetapi Bro rasa tidak salah untuk lelaki berkahwin lebih daripada satu. Ia dibenarkan oleh Islam untuk lelaki yang berkemampuan.
Perempuan yang takut suaminya berpoligami adalah perempuan yang tidak yakin kepada diri sendiri. Kalau mereka berasa sudah memberi layanan yang sewajarnya kepada suami mereka sudah pasti mereka tidak perlu takut apa-apa.
Lagipun kalau mereka menyokong suami berkahwin lain ia bukan satu dosa tetapi mampu memberikan pahala. Kadang kala lelaki ini bukannya hendak kahwin sangat tetapi mungkin mereka bosan dengan perangai si isteri.
contoh
Bro dah lihat banyak contoh bagaimana ada lelaki berkahwin lain kerana isteri mereka membosankan, dahlah garang macam singa betina lepas tu asyik dok ambil tau hal orang lain.
Selain itu, apa salahnya lelaki berpoligami kalau dia mampu, bukankah bagus kalau kemampuan si suami berkongsi secara halal dengan wanita-wanita lain.
Itu bagi Bro lebih baik daripada dia buat bukan-bukan kat belakang. Seperkara lagi, Bro juga tertanya-tanya kenapa perlu wujud istilah hubungan sulit bila si suami jatuh cinta dengan wanita lain.
Kalaulah hubungan itu bertujuan untuk berkahwin secara sah, Bro rasa istilah hubungan sulit tak wajar digunakan. Hubungan sulit ini acap kali sesuai untuk lelaki yang buat jahat dengan perempuan lain, kalau dia hendak kahwin lagi itu sesuai dengan tuntutan agama.
Namun bagi Bro, ini bukanlah bermakna lelaki boleh sewenang-wenangnya berpoligami, lihat dulu kemampuan, kalau hendak sara isteri yang ada pun dah tercungap-cungap, janganlah dok berangan nak tambah cawangan.
Apa pun dalam isu poligami ini, kaum perempuan tak perlu melatah, sebaliknya berfikiran terbuka dan sentiasa bermuhasabah untuk memahami bahawa apa juga yang dibenarkan oleh Allah pasti ada kebaikannya. Jumpa lagi minggu depan.
n Bro - Sokong aje, tak ada niat pun...
Isnin, Ogos 10, 2009
Sayangilah dia selagi ada
Sumber : Utusan Malaysia
Bro menerima satu e-mel yang cukup menyentuh perasaan iaitu berkaitan luahan seorang isteri yang kematian suaminya setahun lalu akibat barah.
Membaca setiap ayat dalam e-mel berkenaan, Bro berasa sebak kerana amat memahami betapa rindunya si pengirim e-mel itu terhadap arwah suaminya. Dia menceritakan bagaimana di siang hari dia tersenyum tetapi di malam hari dia merintih dan menangis seorang diri.
Dia menangis meratapi pemergian suaminya, dia rindukan belaian dan gurau senda yang kini semuanya hanya menjadi kenangan. Sebagai hamba Allah, Bro membalas e-melnya dengan memberikan sedikit nasihat.
Kepada semua kaum wanita terutamanya yang bergelar isteri sayangilah suami anda, penuhilah setiap hajatnya selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan agama.
Sesungguhnya ajal maut di tangan Allah, kita tidak tahu apa yang hendak terjadi di masa depan, mungkin hari ini kita menolak hajatnya, mungkin esok dia tiada lagi, ketika itu menyesal pun sudah tidak berguna lagi.
Jalankan tanggungjawab anda sebagai isteri dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya apa juga yang anda lakukan untuk suami anda biarpun hanya menghidangkan secawan kopi, ia sudah mendatangkan pahala.
bercakap kasar
Janganlah bercakap kasar dan janganlah cuba hendak menjadi queen control. Sesungguhnya syurga anda terletak di bawah telapak kaki suami anda.
Mungkin ada di antara anda berbangga apabila mampu mengawal suami dan gembira melihat suami mengikut cakap anda sehingga timbul istilah 'takutkan bini', tetapi persoalannya apakah ia akan mendatangkan pahala?
Bro sentiasa percaya kehidupan suami isteri memerlukan kefahaman yang disulami dengan perasaan kasih, sayang dan cinta yang mendalam.
Bro tujukan pesanan ini kepada isteri-isteri yang mempunyai suami yang baik seperti mana arwah suami pengirim e-mel kepada Bro itu.
Ingatlah selagi orang yang kita cintai wujud di muka bumi Allah ini, sayangilah dia sepenuh hati kita. Mungkin ada perkara yang dia lakukan melukakan hati kita tetapi janganlah sampai kita membencinya.
Banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati sehingga akhir hayat.
Kepada pengirim e-mel tersebut, Bro doakan semoga roh Allahyarham suaminya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
n Bro - Al Fatihah
Isnin, Julai 27, 2009
Perempuan pun ego juga
Bro hormati kaum perempuan kerana kalau dalam soal membela kaum sejenis mereka pasti berkobar-kobar. Malah bagi mereka dalam apa situasi pun perempuan mesti betul dan lelaki salah.Mereka juga akan bersedia bertengkar sampai hendak putus urat leher, kalau ada isu-isu berkaitan kepentingan mereka.
Hujah orang lain mereka dah tak peduli, hujah mereka sahaja yang perlu didengar, ditambah pula dengan suara terjerit-jerit macam pontianak maka riuhlah suasana.
Bro dah tak hairan lagi berjumpa dengan perempuan seperti ini, mereka bukannya hendak dengar cakap orang, kalau pun mereka salah, mereka tetap anggap mereka betul.
Kesudahannya apabila berlaku pertelingkahan kaum lelaki juga yang dipersalahkan. Selalunya Bro bila berhadapan dengan perempuan macam tu, Bro buat tak layan aje, biarlah dia bising sampai ke pagi pun.
Buat apa kita hendak buang masa hendak bertengkar dengan orang perempuan yang merasakan diri mereka aje betul. Selama ini kaum perempuan selalu anggap lelaki ada sikap ego, tetapi sebenarnya di kalangan mereka sendiri pun banyak yang ego.
melenting
Bila tegur sikit mulalah melenting, sudah-sudah kita pula yang dipersalahkan. Bro sebenarnya tak kisah kalau mereka betul dan cuba pertahankan pendapat mereka tetapi acap kali biarpun kita tegur kesilapan mereka, kita yang akan menjadi mangsa.
Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Bro bercakap fasal ego ini. Bro tulis benda ini sebab sejak kebelakangan ini Bro lihat banyak sangat kaum perempuan yang perasan dan ego.
Sikap ego paling tinggi ditunjukkan oleh sebahagian kaum wanita yang berjawatan, dia perasan dia aje bagus. Malah kalaupun yang tegur itu perempuan tetapi disebabkan perempuan berkenaan orang bawahan dia, maka teguran itu tak dilayan.
Jadi Bro hendak katakan, cukup-cukuplah hanya pandai mengatakan lelaki ego. Perempuan pun ego juga malah kadang kala keegoan seorang wanita lebih hebat daripada lelaki.
Bagi Bro tak salah untuk lelaki ego kerana memang sifat lelaki dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Apa salahnya ego kalau ia berniat baik. Perempuan hanya dilahirkan untuk menjadi pengikut dan kalaupun hendak menegur biarlah dengan rasional bukannya emosional.
Kepada sebahagian kaum perempuan yang masih bersikap demikian, belajar-belajarlah ubah perangai buruk itu, sehebat manapun anda tak akan mampu melawan kudrat lelaki. Jumpa lagi minggu depan.
n Bro - Tetap ego, bila betul
26/7/2009
Epilog 'cinta' lelaki beruban
Pasangan beruban dan gadis muda polos itu kelihatan begitu leka bertentang mata diselang seli dengan belaian dan usikan manja. Tidak terlihat ada beban antara mereka. Ah! Alangkah indahnya hidup mereka.
Lelaki ini senyum sendirian kerana sedar itulah yang berlaku dalam hidupnya selama setahun lalu sebelum rahsia percintaannya terbongkar oleh isterinya sendiri. Porak peranda hidupnya akibat amuk isterinya itu.
Tetapi apabila melihat sekeliling, lelaki ini tahu dia tidak sendirian. Dia juga percaya pasangan beruban dan gadis polos di sebelah mejanya di sebuah restoran 24 jam di Kuala Lumpur itu, satu ketika nanti akan melalui fasa 'kantoi' yang telah dilaluinya.
Pada kaca mata lelaki ini, percintaannya selama setahun ini bukanlah satu perbuatan curang. Aneh kerana pada masa sama, dia turut mengambil segala daya untuk menyembunyikan cinta gelapnya itu. Kalau bukan curang, apa namanya?
Dia dalam dilema antara menjaga keharmonian rumah tangga dan menikmati kelangsungan kebahagiaan hidup bersama kekasih mudanya itu. Dalam setiap masa, dia mahu kedua-duanya.
Untuk berterus-terang dengan isteri, dia belum berani. Belum lagi bab untuk mendapatkan persetujuan keluarga kekasihnya. Semuanya mengundang masalah. Dan akhirnya, akibat lalai untuk menghapus khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman si kekasih, hidupnya kini dalam persimpangan.
Si lelaki beruban yang ketagihan belaian dan layanan manja perempuan yang tidak lagi diperoleh daripada isterinya itu, sedang mengumpul kekuatan untuk membulatkan tekadnya.
Dia bertekad jika leteran, pemantauan 24 jam dan kebengisan isterinya terus berpanjangan, jalan pilihannya ialah menoktahkan ikatan kasih gelapnya dengan berkahwin, Alang-alang tertangkap basah...
- nuranilelaki@yahoo.com
Isnin, Julai 20, 2009
Kisah wanita 'bermulut Internet'
CORETAN Bro minggu lepas mengenai sikap sesetengah ustazah telah mendapat pelbagai reaksi, antaranya termasuklah ada yang menuduh Bro telah mencalarkan imej golongan berkenaan.
Bro tidak mahu berpolemik dalam soal ini cuma Bro hendak tegaskan Bro hanya menegur segelintir ustazah yang berperangai tidak sepatutnya. Kita harus ingat ustazah bukanlah maksum, jadi mereka tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan.
Bro tidak berniat hendak menarik balik apa yang Bro catatkan, Bro tetap beranggapan kalau ustazah yang bersikap mulut jahat ini tidak mahu berubah perangai maka Bro berhak menegur.
Kenapa perlu menganggap teguran Bro boleh mencalarkan imej ustazah secara keseluruhan, bukankah Bro dah kata bukan semua, hanya segelintir sahaja.
Oleh itu kepada pihak yang hendak membela golongan ustazah yang bermulut jahat ini, kajilah lebih mendalam dahulu catatan Bro.
Minggu ini, Bro hendak paparkan pula kisah perempuan yang suka jadi 'penyampai berita', kalau jadi penyampai berita kat televisyen atau radio oklah juga, boleh popular. Tapi yang masalahnya jadi 'penyampai berita' tak rasmi, habis semua hal orang dia nak hebahkan.
malang
Apa yang paling malang, apabila berita yang disebarkan itu tidak betul, maka kesudahannya berlaku fitnah sehingga memecah belahkan masyarakat.
Bro catat perkara ini kerana Bro dah dengar banyak sangat cerita fasal perempuan spesis yang macam itu, sibuk sangat hal orang, tak kira kat mana saja, pasti dia hendak sampaikan berita yang dia dengar.
Sama ada berita itu betul atau salah, itu tak penting bagi dia, yang mustahak dia rasa puas kerana menjadi 'penyampai berita nombor satu'.
Bro rasalah perempuan yang jenis macam ini menghadapi krisis identiti, kadang kala kalau tengok perwatakan mereka, tak sangka dia boleh menjadi 'penyampai berita tak rasmi', tetapi betullah kata orang jangan menghakimi seseorang dari luaran.
Jadi Bro nak nasihatkan perempuan yang 'bermulut internet' ini - maksudnya segala-galanya dia boleh sebarkan, tak usahlah menjadi 'penyampai berita', Bro takut dalam keghairahan berbuat demikian mereka akan menanggung dosa.
Adalah lebih baik mereka tumpu kepada kehidupan sendiri. Kalau yang dah berkahwin tu, jagalah rumah tangga elok-elok, dididik anak-anak jadi insan yang berguna. Kepada yang belum kahwin, berubahlah sikap. Bukan apa takut nanti bila kahwin suami menyesal kerana dapat isteri 'bermulut internet'.
n Bro - Sekadar menegur
Selasa, Julai 14, 2009
Nama saja ustazah tapi...
Bersama Bro
bromingguan@yahoo.com
BRO tidak hairan, kalau ada ramai wanita yang bermulut ‘puaka’ ertinya suka sangat mengumpat, mengutuk atau menjaga tepi kain orang, tetapi Bro akan terkejut kalau seseorang wanita yang bergelar ustazah bersikap demikian.
Sebelum itu, Bro nak cakap awal-awal Bro tak maksudkan semua ustazah bermulut jahat tetapi apa yang diceritakan oleh kawan Bro ini seharusnya dijadikan teladan bahawa tidak semua ustazah mempunyai sikap yang baik.
Menurut kawan Bro itu, ustazah yang bermulut ‘puaka’ ini sering menghadiri majlis-majlis ceramah di kawasannya. Dari segi ilmu, tidak dapat dinafikan, dia hebat maklumlah kelulusan dari sebuah universiti di Asia Barat.
Tetapi yang tak sedapnya, boleh Bro katakan ustazah yang dimaksudkan ini menyulam dosa ketika menimba pahala. Ini kerana ketika ceramah-ceramahnya, dia lebih banyak mengutuk orang itu dan orang ini.
Paling Bro menyampah dengar bila kawan Bro itu kata ustazah ini sering anggap sesetengah ibu bapa itu jahil agama bila anak-anak mereka buat kesalahan.
Bro tertanya-tanya pendekatan dakwah apa yang dia gunakan sehingga dia dibenarkan untuk mengutuk saudara seagama. Kalaupun hendak menegur, biarlah secara berhemah. Bro tak pandai sangat bab agama tetapi Bro boleh nilai yang mana satu betul yang mana satu salah.
Bro hendak nasihatkan ustazah bermulut puaka ini, lakukanlah dakwah dengan betul, janganlah terlalu membanggakan diri dan senang-senang aje nak kutuk orang lain.
Bro hormat dia ada kelulusan agama yang tinggi tetapi dia bukan maksum dan tidak ada hak hendak memperkecilkan orang lain.
Sebenarnya, banyak kali juga Bro dengar mengenai perangai ustazah seumpama ini malah di sesetengah sekolah ada ustazah bukan main lagi jaga aurat murid-murid.
Kalau budak-budak tu pakai tudung dan kemeja T berlengan pendek ketika pendidikan jasmani, dia akan suruh buka tudung, sampai nangis budak-budak yang baru hendak belajar menutup aurat.
Tapi malangnya bila masuk bilik guru, dia tak tahu pula nak tutup mulut, mengumpat sana, sini. Jadi nasihat Bro, pandai-pandailah ubah perangai buruk tu.
Jika mahu jadi ustazah, jadilah sebenar-benarnya ustazah yang membimbing umat ke arah kesejahteraan, bukannya lebih jahil daripada orang yang tak pandai agama. Jumpa lagi minggu depan.
Bro – Belajar dengan ustaz
Isnin, Julai 06, 2009
Hak orang, hak dia
BRO sebenarnya malas nak tulis isu ini tetapi bila-bila fikir, Bro rasa patut juga Bro paparkan sebagai teladan kepada semua supaya sesetengah kaum wanita yang rela dimadu memahami di mana kedudukan mereka.
Minggu lalu, Bro berbual-bual dengan seorang kawan, kami berbincang mengenai sikap sesetengah perempuan yang menjadi isteri kedua, seolah-olah tak tahu meletakkan diri mereka.
Sudahlah mereka berkongsi kasih dengan suami orang, lepas itu mengada-gada lebih, dia mahu si suami tumpu perhatian kepada dia sahaja sedangkan dia tahu si suami tu ada isteri lagi satu.
Apa yang paling Bro kasihan, akibat sikap mengada-gada si madu, anak-anak isteri pertama menjadi mangsa.
Kawan Bro itu menceritakan satu kisah bagaimana dia bertemu dengan kawan lamanya yang kini dimadu oleh suaminya.
''Kasihan Bro, aku dengar cerita dia, dahlah dengan rela hati benarkan si suami bermadu, lepas tu si madu pula buat perangai. Yang aku peliknya si suami yang tahu hukum hakam pun ikut aje apa kata si madu,'' cerita kawan Bro itu.
Bro yakin ini bukan kisah pertama kita dengar si madu buat perangai macam itu, mungkin sudah beribu-ribu kali. Si madu tak sedar diri, dia rampas hak orang tetapi dia nak buat hak orang jadi hak dia.
Selama ini si suami mungkin sudah hidup bahagia bersama si isteri pertama tetapi kita tidak bolehlah tolak hakikat bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah percintaan bagi seseorang lelaki.
Bro tak kisah kalau si lelaki itu berkahwin lain tetapi biarlah bertanggungjawab dan si madu pula jangan jadi batu api, sepatutnya dia nasihatkan si suami supaya bertindak adil. Tetapi malangnya yang kita selalu dengar si madu yang mengada-gada.
Mentang-mentanglah dia muda, kalau betul-betul muda tak apa, ini dah bergelar janda dan kemudian kahwin dengan suami orang nak buat pula perangai bukan-bukan.
Ingat-ingatlah sama Allah melihat apa yang kita lakukan. Apabila kita bersedia untuk berkongsi kasih dengan suami orang maka pastikan kasih sayang itu dinikmati bersama-sama.
Bro sama sekali tidak menentang poligami kerana itu dibenarkan oleh Allah tetapi manusia yang hendak berbuat demikian atau rela dimadukan mesti tahu batas-batasnya. Jangan sampai niat baik kita akhirnya hanya mendatangkan dosa.
Kepada wanita-wanita yang menjadi isteri muda, fahamilah kedudukan anda. Bro yakin ramai isteri muda yang baik-baik, cuma ada sesetengah sahaja yang perasan lebih dan paling tepat tak sedar diri.
Bro - sudah cukup bahagia
Isnin, Jun 22, 2009
Seronoknya dia mengumpat
Utusan Malaysia
Keluarga
Bersama Bro
bromingguan@yahoo.com
Salam semua,
Sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih ingat salah satu babak dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang memaparkan dua wanita hendak membuang sampah ke dalam sebuah perigi lama.
Ketika hendak berbuat demikian mereka sedang ‘mengumpat’, antara dialognya berbunyi, ‘dia cucuk sini, dia cucuk sini’. Walaupun ia hanya sebuah filem tetapi bro akui itulah perangai sebahagian perempuan.
Bagi sebahagian daripada mereka, mengumpat sudah menjadi makanan harian, kalau sehari tak mengumpat tak senang duduk. Malah kalau ikut pandangan bro, sesetengah perempuan itu kalau mengumpat tak masak nasi sehari pun tak apa.
Macam-macam isu yang menjadi umpatan mereka dan bro yakin paling mereka suka kalau ia melibatkan skandal seseorang. Walaupun kadang kala yang mereka dengar itu khabar angin atau fitnah tetapi mereka tak kisah janji dapat mengumpat.
Bila dah mengumpat tu mulalah nak tokok tambah cerita yang didengar akhirnya ia menjurus kepada fitnah, bertambahlah lagi dosa.
Bro sebenarnya pelik dengan perangai perempuan-perempuan macam itu, tak tahu nak insaf-insaf apatah lagi kalau umur dan nak masuk ‘waktu senja’.
Mereka bukan tak tahu mengumpat tu berdosa tetapi mereka sahaja buat-buat lupa. Ada antara mereka bila bangun tidur aje dah fikir siapa yang hendak dijadikan mangsa umpatan.
Kebetulan bila sampai pejabat ada kisah baru, apa lagi makin seronoklah si pengumpat-pengumpat ini. Bro bersimpati dengan mereka menjadi mangsa umpatan ini tetapi dalam masa yang sama gembira kerana mereka mendapat pahala percuma.
Oleh itu, bro hendak nasihatkan perempuan-perempuan yang mulut tak boleh nak tutup ini, udah-udah le tu, tak payahlah meneruskan perangai buruk tu, banyak-banyaklah bertaubat kepada Allah.
Bro mahu ingatkan, dosa kita dengan Tuhan boleh kita minta ampun kepada-Nya tetapi kalau kesalahan kita dengan manusia, ia tidak akan terampun selagi orang yang berkenaan tidak memberikan kemaafan.
Jadi jangan buat dosa kering dengan mengamalkan sikap suka sangat mengumpat atau lebih tepat lagi suka jaga tepi kain orang. Ingatlah pesan orang tua-tua, jangan sampai kita tuding kain orang lain terkoyak sedangkan kain kita sendiri sudah terlondeh.
Kita duduk dalam dunia fana ini hanya sementara sahaja, daripada dok habiskan masa mengumpat hal orang, lebih baik waktu itu digunakan untuk buat kebajikan demi bekalan di akhirat kelak. Jumpa lagi minggu depan.
Isnin, Jun 15, 2009
Berlagaknya pegawai wanita
bromingguan@yahoo.com
Salam semua,
Bro mendapat banyak reaksi berhubung tulisan minggu lepas mengenai gelagat bos wanita yang perasan, ada yang marah-marah dan ada pula yang menyokong.
Kepada yang marah-marah, bro tak peduli apa mereka hendak kata, itu hak mereka dan sebagai ‘balasan’ minggu ini bro nak paparkan lagi satu cerita mengenai perangai sesetengah kaum wanita yang jadi pegawai di satu-satu jabatan, tak kisahlah di syarikat swasta mahupun kerajaan.
Mereka ini bukanlah bertaraf ‘bos’ tetapi kalau dah nama perempuan, dapat sikit kuasa mulalah nak tunjuk berlagak seolah-olah orang lain semua tak betul.
Kisah ini bro dapat daripada seorang sahabat yang dah muak dengan perangai sesetengah pegawai wanita kat pejabat dia, bagi kawan bro ini, hari yang paling dia susah hati bila hendak masuk meeting dengan puak-puak berkenaan.
‘‘Paling aku rimas, mereka aje nak cakap dan kalau boleh mereka hendak paksa semua orang dalam mesyuarat itu ikut apa mereka kata.
‘‘Kalau ada pegawai lelaki membantah, alamatnya makin tinggilah suara pegawai-pegawai wanita ni,’’ kata sahabat bro itu.
remeh temeh
Satu lagi katanya, sesetengah pegawai wanita ini suka sangat kepada benda remeh temeh, kononnya nak tunjuklah kata mereka itu teliti.
‘‘Tetapi hakikatnya yang aku tau, rumah mereka pun berselerak macam empangan pecah, datang pejabat pandai pula nak cakap soal teliti tak teliti, kemas tak kemas,’’ katanya.
Bro sokong seratus peratus kata-kata sahabat bro itu, bukan fasal dia lelaki tetapi memang bro dah dengar banyak cerita fasal kerenah pegawai wanita.
Bro akui mereka ini komited tetapi kadang kala kehidupan sebenar mereka tidaklah mencerminkan sikap mereka di pejabat, cuma di pejabat mereka ada kuasa maka nak tunjuk lagaklah.
Bro hendak ingatkan pegawai-pegawai wanita yang bersikap berlagak ini supaya belajar-belajarlah menginsafi diri, tak payahlah rasa hebat sangat. Belajarlah terima hakikat kehidupan bahawa kita semua ada kelemahan apatah lagi perempuan.
Belajarlah untuk tahu bertolak ansur dan menerima pandangan orang lain, jangan ikut perasaan dan merasa tercabar apabila ada pegawai bawahan kita terutamanya lelaki beri pandangan.
Bro sebenarnya tak hairan dengan pegawai-pegawai wanita yang berlagak ini, kalau hendak dikira dari segi keras, rasanya lelaki boleh keras bila-bila masa, oleh itu faham-faham ajelah. jumpa lagi minggu depan.
Rabu, Jun 03, 2009
Kekasih dirampas sahabat sendiri

Salam semua,
Minggu ini bro hendak memaparkan satu e-mel daripada seorang hamba Allah yang mahu dikenali sebagai 'Bob'. Dalam e-melnya Bob menceritakan kisah sedih bagaimana percintaannya terlerai di tengah jalan apabila kekasih 'dirampas' sahabat sendiri.
Menurut Bob yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi, dia dan kekasihnya sudah bercinta hampir tiga tahun dan kalau ikut perancangan tahun depan mereka akan bertunang.
''Bro, saya benar-benar buntu dan berharap bro dapat memberi pandangan kerana saya betul-betul kecewa dengan apa yang berlaku, saya tidak salahkan sahabat saya itu tetapi saya salahkan kekasih saya yang bertindak curang," kata Bob dalam e-melnya.
Bagi bro, dalam soal ini Bob tidak perlu kecewa sangat, biarlah bekas kekasih Bob bahagia bersama sahabat Bob itu, jangan putuskan silaturahim hanya kerana seorang wanita. Dalam dunia, kalau setakat hendak mencari wanita yang tidak setia bersepah kita boleh jumpa.
Adalah lebih baik jika Bob tumpukan perhatian kepada pengajian yang tinggal setahun lagi dan kemudian binalah hidup baru. Insya-Allah bro yakin apa yang berlaku ada hikmahnya. Anggap sahaja apa yang terjadi adalah petunjuk daripada Allah agar Bob tidak terperangkap dengan wanita yang pandai berpura-pura.
Bob mungkin ikhlas untuk mengambilnya sebagai isteri tetapi adakah Bob tahu dia mempunyai perasaan yang sama? Adalah lebih baik dia bertindak tidak setia sekarang berbanding melakukan perbuatan berkenaan selepas bertunang atau berkahwin nanti.
Jadi tak perlu Bob bermuram durja, teruskanlah kehidupan dan penuhilah impian memiliki segulung ijazah terlebih dahulu. Ingatlah ibu bapa kita hantar kita masuk universiti bukan hendak mencari isteri tetapi mencari ilmu demi masa depan kita.
Jangan sampai kerana terputus percintaan maka pengajian kita pula menjadi 'korban'. Si gadis itu dah pasti bahagia dengan sahabat anda, jadi kenapa perlu anda hendak menyusahkan hidup memikirkan soalnya lagi.
Bro percaya di luar sana banyak lagi gadis yang baik dan setia menanti Bob apabila Allah menentukan salah seorang daripada mereka adalah jodoh Bob.
Justeru jadikanlah lelaki sejati, biarkanlah bekas kekasih Bob itu dengan dunianya, suatu hari kelak mungkin dia pula merasakan betapa peritnya ditinggalkan oleh orang tersayang.
Kepada semua pembaca, ingatlah manusia hanya mampu merancang tetapi Allah menentukan segala-galanya.
Jumpa lagi minggu depan.
arkib 31/05/2009
Isnin, Mei 25, 2009
Tertutup di atas, 'terbuka' di bawah
Minggu ini bro hendak paparkan pandangan seorang teman. Dalam e-melnya, dia melahirkan keresahan melihat trend wanita bertudung pada masa ini. Katanya, dia tidak faham apakah wanita yang memakai tudung itu benar-benar ingin mematuhi perintah Allah atau sekadar mengikut trend semasa.
''Saya lihat ada sesetengah tu ibarat tutup di atas buka di bawah, pakai baju dan seluar ketat tetapi pakai tudung,'' kata teman bro itu yang kini tinggal di Kelantan Darul Naim.
Bro sebenarnya sudah lama sedar perkara ini, malah fenomena seumpama itu sudah semakin berleluasa di negara kita, di mana-mana sahaja kita akan dapat melihat gadis atau wanita berpakaian demikian. Mungkin itu hak peribadi mereka, tetapi bro fikir tidak salah bro paparkan keluhan teman bro itu dan memberikan sedikit pandangan. Hakikatnya, bertudung kini tidak boleh lagi menjadi ukuran sama ada seorang itu baik atau tidak, begitu juga bagi wanita tidak bertudung.
Namun bagi bro, kalau betul-betul hendak bertudung, bertudunglah dengan sebenar- benarnya ertinya ia dilakukan kerana keinsafan terhadap perintah Allah. Pada masa ini kita lihat ramai wanita bertudung semata- mata kerana terikut dengan trend, malah ada pula yang bertudung hanya disebabkan sudah berjanji.
Mereka ini menutup aurat bukan dengan niat kerana Allah SWT tetapi hanya suka-suka atau mungkin merasakan kalau bertudung mereka akan lebih nampak cantik.
Dalam soal ini, bro berpendapat apa yang mereka lakukan hanya sia- sia, malah jika tersilap langkah perlakuan mereka ketika bertudung boleh menjejaskan imej Islam. Kelompok wanita atau gadis seumpama itu harus faham, orang bukan Islam tidak tahu apa-apa mengenai tudung.
Apa yang mereka tahu, kalau pakai tudung itu orang Islam, jadi kalau yang ditangkap khalwat pun pakai tudung atau yang pakai ketat pun pakai tudung maka yang akan dipandang serong ialah Islam itu sendiri. Maaflah bro bukan hendak berlagak jadi ustaz tetapi bro fikir sebagai seorang Islam dan selari dengan pandangan teman bro itu, maka bro berikan sedikit teguran dan nasihat, kalau nak terima pun tak apa tak nak pun tak apa, yang penting 'bahagian bro' dah selesai.