#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Feminin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Feminin. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 19, 2009

Berpantang maut sebelum ajal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

afzan@bharian.com.my

Fifi tabah terima kenyataan diserang barah payu dara pada usia 20-an

MELIHAT penampilannya yang ceria dan segar, siapa sangka wanita comel ini yang pernah bergelut dengan barah yang menjadi pembunuh nombor satu wanita, apatah pula dalam gembira membilang hari bergelar raja sehari.

Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Penyakit yang dikatakan kerap menyerang wanita berusia 40 ke atas, rupanya semakin tidak mengenal mangsa. Bagi Fithrahana Baharuddin atau panggilan mesranya, Fifi, selagi termampu, beliau akan terus berjuang untuk menyelamatkan nyawa dan terus berfikiran positif mendepani masa depan yang belum pasti.

Oktober tahun lalu tarikh yang tidak mungkin lupus dalam ingatannya apabila secara tidak langsung mengesan ketulan keras sebesar syiling 20 sen di sebelah payu dara kanannya.

Beliau yang tidak pernah culas melakukan sendiri pemeriksaan payu dara (PSP) memang pasti ketulan itu berbeza daripada ketulan sedia ada kerana sudah arif mengenainya.

“Ia keras, tidak berubah kedudukan dan tidak sakit. Mendapatkan kepastian, saya tanya emak dan tidak lama selepas itu saya ke Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur untuk memastikan ketulan luar biasa itu.

“Masa itu memang saya tidak fikir yang buruk walaupun ada juga terdetik di hati, ia barah memandangkan kriteria ketulan itu. Tetapi saya pujuk hati menafikan hal berkenaan sebab saya terlalu muda, 26 tahun ketika itu untuk melalui semua itu,” katanya.

Melalui pembedahan ‘lumpectomy’, seminggu selepas itu pihak hospital memaklumkan bahawa ketulan itu adalah barah.

“Bila emak kata saya perlu mengambil keputusannya, saya ingat ingin pergi sendirian, tetapi emak berkeras untuk ikut. Mula-mula saya pelik juga kenapa emak ingin ikut serta, tetapi apabila sampai di hospital, barulah doktor mengatakan keputusan bahawa ketulan itu berbentuk barah. Emak yang tahu lebih awal mengenai keputusan itu dinasihatkan doktor untuk menemani saya menerima hakikat saya perlu menjalani rawatan mematikan sel barah yang mungkin sedang agresif,” katanya.

Fifi berkata, apabila menerima keputusan itu, beliau bagaikan tidak percaya berikutan usianya yang jauh daripada usia lazim yang dikaitkan dengan barah berkenaan, apatah pula tidak lama lagi akan bergelar pengantin.

“Bila tengok doktor pun serius dan emak pun macam nak nangis, barulah saya akur dan mula bertanya kenapa saya dan bukan orang lain, kenapa sekarang dan bukan 30 tahun lagi? Macam-macam saya fikirkan.

“Keesokan harinya apabila bangun dari tidur, barulah saya benar-benar berasa sedih dan maklumkan kepada bakal suami, Saiful Amani (ketika itu, mereka belum berkahwin). Beliau tenang mendengarnya. Apa yang paling saya sedih kerana saya tahu barah akan mengubah cara hidup saya dan keluarga,” katanya mengimbas kembali kenangan lalu.

Rutin hidupnya kian berbeza, bererti beliau kini perlu menyusun jadual hariannya. Hospital sudah menjadi rumah kedua buatnya. Pembedahan ‘clerance’ di kawasan ketumbuhan bagi mengelakkan barah kemungkinan berada di kawasan sekitar itu dilakukan, memberikan rasa tidak selesa. Kawasan bawah lengan kanan dirasakan kebas dan pelik.

“Ia tidak terhenti di situ apabila perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali. Bagaimanapun, saya meminta ia ditangguhkan dulu kerana saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum itu,” katanya yang banyak membaca dan melayari laman web bagi mengetahui mengenai barah itu.

Persiapan perkahwinan mungkin tidak seperti pasangan lain kerana tergambar jadual rawatan demi rawatan di hospital. Bulan madunya bukan dihabiskan dengan menziarah sanak-saudara atau ke pusat peranginan, sebaliknya di hospital kerana tidak lama selepas berkahwin Fifi meneruskan rawatan kemoterapi.

Benarnya sangkanya kerana susulan rawatan itu memberikan rasa yang cukup tidak selesa.

“Selalunya selepas rawatan saya akan pulang ke rumah dan duduk dalam bilik gelap dan sunyi. Saya menjerit, saya menangis dan marah kepada sesiapa saja kerana tidak tertanggung rasa pedihnya. Tetapi saya bersyukur kerana keluarga dan rakan sekerja sangat memberikan sokongan. Bila dikenang balik peristiwa itu, rasa macam bersalah sangat kepada mereka,” katanya yang sudah menghabiskan tiga sesi rawatan kemoterapi setakat ini.

Fifi berkata, hakikatnya barah memang menakutkan, tetapi individu khususnya wanita tidak perlu takut menghadapinya kerana ada cara mengubatinya.

“Sakit dan takut memang ada, apatah lagi sekiranya kita masih muda, tetapi selagi kita berfikiran positif, Insya-Allah kita mampu menghadapinya,” katanya yang menyertai Yayasan Reben Merah Jambu atau dikenali sebagai Pride sejak tahun lalu kerana memikirkan ia bagaikan ‘terapi’ bila bersama kumpulan yang mengalami sakit sama.

Impian bergelar ibu

“SESIAPA yang bergelar isteri sudah pasti mengimpikan untuk memiliki anak sendiri, tidak terkecuali saya. Tetapi saya fikir biarlah bila saya benar-benar kuat dan sihat sebelum bergelar ibu,” katanya yang hanya boleh hamil pada 2012, itupun sekiranya kesihatannya mengizinkan.

Katanya, mengambil anak angkat mungkin jalan paling mudah mengisi kehidupannya bersama suami, tetapi katanya biarlah bila dirinya pulih sepenuhnya.

“Sejak memulakan kerja pada Mei tahun ini, saya dapati diri saya mudah penat dan letih. Kalau begitu keadaannya, bagaimana nak jaga baby kan? Tetapi saya bernasib baik kerana majikan saya faham,” katanya.

Hakikatnya, Fifi turut bersimpati dengan suaminya dan pernah menyatakan perkahwinan mereka mungkin tidak sama seperti pasangan berkahwin yang lain, tetapi Alhamdulillah hingga kini suaminya sentiasa di sisi memberikan sokongan.

Fifi berkata, setiap apa yang menimpanya mempunyai hikmah tertentu dan sejak dikesan menghidap barah, beliau menjadi seorang yang lebih penyabar dan menghargai nilai kasih sayang keluarga.

“Sebelum ini saya mudah juga naik angin, tetapi bila sakit dan tengok sokongan keluarga dan suami, saya menjadi lebih penyabar, mudah berterima kasih dan menghargai, walaupun pada perkara yang kecil. Sebagai contoh, emak, ayah dan suami berusaha mengadakan kenduri doa selamat, mencari air penawar untuk meringankan penderitaan saya itu,” katanya.

Fifi akur kemungkinan sel barah kembali menyerang adalah tinggi, tetapi tetap bersabar dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang dan berdoa supaya lebih kuat menghadapinya.

“Saya berusaha mana yang boleh seperti makan makanan lebih sihat, bersenam ringan dan mendekatkan diri kepada Allah. Saya percaya sekiranya kita positif, kita mampu menghadapinya,” katanya.

Jumaat, September 04, 2009

Masih muda untuk bercinta

ARKIB : 30/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

NAMA saya Suria, saya berumur 20 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat yang agak terkenal di Johor. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai Juruteknik di Johor. Saya telah mengenalinya sejak setahun yang lalu.

Kami bercinta atas dasar cinta sesama kami. Dia telah berjanji akan melamar saya satu masa nanti. Masalahnya, ibu saya tidak merestui hubungan kami, kata ibu lagi dia inginkan saya mencari teman yang lain atau dia yang akan mencarinya sendiri. Dia juga pernah berkata teman lelaki saya ini budak kampung, muka tak lawa dan pelbagai lagi.

Saya hanya mendengar dan menipu ibu saya dengan mengatakan kami hanya berkawan, namun pada hakikatnya saya begitu menyayanginya. Saya juga pernah memberitahunya mengenai hal ini. Dia begitu marah dan kesal dengan sikap ibu saya. Jadi saya mengambil keputusan untuk meminta putus daripadanya.

Tetapi saya juga pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana dia tidak mahu saya bercinta lagi kerana masih muda untuk memikirkan soal hati dan perasaan atau mungkinkah dia memandang harta.

Keluarga teman lelaki saya bukanlah seorang yang kaya tetapi bagi saya itu semua tidak penting. Hanya sikapnya yang sangat baik dan begitu menjaga saya dan menyayangi saya paling utama.

n Gadis mentah, Muar, Johor

Gadis mentah,

Pada usia yang muda, 20 tahun, pelbagai perkara boleh dilakukan selain memikirkan soal cinta. Adik sendiri pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana adik masih muda untuk bercinta atau mungkinkah dia memandang harta.

Sebenarnya, bagi menjawab persoalan tersebut, adik perlu berterus terang dengan ibu adik. Nasihat Putri, dalam meniti sebuah perhubungan cinta, restu ibu bapa amat penting. Adik boleh jadikan ibu sebagai teman berbicara untuk meminta pendapat dan berkongsi masalah.

Bercinta atas dasar cinta sahaja tidak cukup kerana cinta itu lahir daripada perasaan dalam diri yang memerlukan komitmen pada masa hadapan.

Isnin, Julai 20, 2009

Jangan biar nafsu berkuasa


Arkib 19/7/2009

Tidak sesiapa pun mahu kesedihan itu datang ditemani kesugulan dalam hidup. Kehidupan ini tidak semudah seperti yang disangka adakalanya kita terjatuh kecewa, kadang kala kita bahagia seperti indahnya pelangi di ufuk langit menyinari kita. Cinta sebuah ungkapan indah untuk kita selami serta lalui perjalanannya.

Bila difikirkan kembali betapa bodohnya manusia itu gagal kerana terperangkap dalam permainan cinta. Tapi cinta itu tidak boleh dipisahkan dari kehidupan kita jika kita sudah laluinya. Tapi aku berbangga dengan orang yang tidak memiliki perasaan dan rasa cinta itu.

Begitu indah hubungan diciptakan disulami kasih sayang, kesusahan, kesakitan menempuh dilalui bersama. Namun sampai bila mampu bertahan, bila hati membuka ruang kasih sayang kepada orang lain, menunjukkan kerapuhan kesetiaan itu sudah tiada. Pertengkaran menjadi permainan harian kerana hati dan perasaan sudah tertutup, hati sudah jauh. Pemikiran itu bermula dari akal, kasih sayang itu bermula dari hati selepas itu tumbuh perasaan cinta tetapi apabila hati sudah berpaling tadah, rindu menjadi benci, sayang menjadi menyampah, gurauan menjadi marah. Betapa penting hati dalam cinta itu.

Bukan mengeluh duka yang semalam tapi tidak dapat membayangkan kesengsaraan yang disaluti di jiwa ini. retak yang sudah berbelah tidak perlu diratapi tidak perlu disesali, bersalah atau tidak bukan hal yang demikian menjadi persoalan ataupun alasan, cuma dikesali tapi terpadam sudah perasaan cinta itu.

Inilah kita yang asyik bermain dalam cinta, terlalu bergembira sehingga kita lupa yang kita ada maha mengetahui, bila tersungkur baru merangkak mencarinya seperti juga diriku, saat sebegini menangisi sisa cinta serta rindu yang terdampar lalu cuba memujuk diri sendiri supaya tabah menempuhi hidup yang belum tahu, belum pasti. dimana penghujungnya. Kita semua tahu sejarah tidak pernah menipu kita, tapi mengapa kita lupa, lalai untuk menceduk pengalaman sejarah itu sendiri. Semuanya jika dikuasai nafsu. Jangan biarkan nafsu seronok itu menguasai diri. Pengalaman hidup itu penting jangan dibiarkan ia berulang jika tidak mahu terluka parah seperti kisah silam lalu. Ini realiti kronologi kehidupan kita.

Mael, Bandar Pasir Mas, Kelantan.


-Cinta telah dibekalkan kepada setiap insan. Dengan cintalah kehidupan dapat dijalani dengan penuh kenikmatan. tanpa cinta semuanya hambar, ibarat kopi tanpa gula dan susu- Dr. HM Tuah

Kisah wanita 'bermulut Internet'

ARKIB : 19/07/2009
CORETAN Bro minggu lepas mengenai sikap sesetengah ustazah telah mendapat pelbagai reaksi, antaranya termasuklah ada yang menuduh Bro telah mencalarkan imej golongan berkenaan.

Bro tidak mahu berpolemik dalam soal ini cuma Bro hendak tegaskan Bro hanya menegur segelintir ustazah yang berperangai tidak sepatutnya. Kita harus ingat ustazah bukanlah maksum, jadi mereka tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan.

Bro tidak berniat hendak menarik balik apa yang Bro catatkan, Bro tetap beranggapan kalau ustazah yang bersikap mulut jahat ini tidak mahu berubah perangai maka Bro berhak menegur.

Kenapa perlu menganggap teguran Bro boleh mencalarkan imej ustazah secara keseluruhan, bukankah Bro dah kata bukan semua, hanya segelintir sahaja.

Oleh itu kepada pihak yang hendak membela golongan ustazah yang bermulut jahat ini, kajilah lebih mendalam dahulu catatan Bro.

Minggu ini, Bro hendak paparkan pula kisah perempuan yang suka jadi 'penyampai berita', kalau jadi penyampai berita kat televisyen atau radio oklah juga, boleh popular. Tapi yang masalahnya jadi 'penyampai berita' tak rasmi, habis semua hal orang dia nak hebahkan.

malang

Apa yang paling malang, apabila berita yang disebarkan itu tidak betul, maka kesudahannya berlaku fitnah sehingga memecah belahkan masyarakat.

Bro catat perkara ini kerana Bro dah dengar banyak sangat cerita fasal perempuan spesis yang macam itu, sibuk sangat hal orang, tak kira kat mana saja, pasti dia hendak sampaikan berita yang dia dengar.

Sama ada berita itu betul atau salah, itu tak penting bagi dia, yang mustahak dia rasa puas kerana menjadi 'penyampai berita nombor satu'.

Bro rasalah perempuan yang jenis macam ini menghadapi krisis identiti, kadang kala kalau tengok perwatakan mereka, tak sangka dia boleh menjadi 'penyampai berita tak rasmi', tetapi betullah kata orang jangan menghakimi seseorang dari luaran.

Jadi Bro nak nasihatkan perempuan yang 'bermulut internet' ini - maksudnya segala-galanya dia boleh sebarkan, tak usahlah menjadi 'penyampai berita', Bro takut dalam keghairahan berbuat demikian mereka akan menanggung dosa.

Adalah lebih baik mereka tumpu kepada kehidupan sendiri. Kalau yang dah berkahwin tu, jagalah rumah tangga elok-elok, dididik anak-anak jadi insan yang berguna. Kepada yang belum kahwin, berubahlah sikap. Bukan apa takut nanti bila kahwin suami menyesal kerana dapat isteri 'bermulut internet'.

n Bro - Sekadar menegur

Rabu, Jun 10, 2009

Benarkah pembantu rumah membantu?

ARKIB : 07/06/2009
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Tidak seperti zaman ibu-ibu kita dahulu, tuntutan hidup hari ini menyebabkan kebanyakan wanita berkeluarga terpaksa bekerja demi menampung kewangan keluarga. Sekurang-kurangnya dengan penglibatan isteri, ringanlah sedikit beban si suami terutama dalam keadaan semasa yang mana segala keperluan meningkat.

Bila isteri sudah mula keluar bekerja, maka tugas-tugas rumah tangga seperti menjaga anak, mengemas rumah, memasak dan sebagainya pastinya sedikit terganggu.

Bagi sesetengah wanita berkeluarga, mereka memilih untuk menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau ke rumah pengasuh, manakala tugas-tugas rumah yang lain seperti mengemas, membasuh baju dan memasak dilakukan sendiri. Namun yang pasti, sukar juga untuk memastikan semuanya beres, apatah lagi saat pulang dari bekerja, hari sudah merangkak senja. Letih seharian di pejabat, pastinya membuatkan urusan rumah agak tersasar.

Kerana itu tidak hairanlah ramai daripada kita kini lebih terarah untuk menggunakan khidmat pembantu rumah biar pun bagi keluarga yang berpendapatan sederhana.

Bukanlah tidak mempunyai pilihan lain, namun penyelesaian cara ini yang paling berkesan terutama sekali kepada mereka yang mempunyai anak ramai. Dengan adanya pembantu rumah, selain menjaga anak-anak, tugas-tugas rumah tangga yang lain akan lebih terurus.

Bagaimanapun, adakah khidmat pembantu rumah ini benar-benar membantu atau pun sebaliknya? Telah banyak cerita yang tidak enak mengenai pembantu rumah pernah kita dengar. Namun, dalam pada itu tidak kurang juga yang memuji kelompok ini kerana dengan bantuan mereka segala urusan rumah tangga berjalan lancar.

Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Pembantu Rumah: Penyelamat atau Penyengat" menegaskan hanya majikan yang boleh membuat penilaian sama ada pembantu rumah itu benar-benar membantu atau sebaliknya.

"Jika pembantu rumah itu memenuhi jangkaan majikan terhadapnya dan membantu menyelesaikan masalah, maka ia adalah penyelamat.

"Sebaliknya, jika ia tidak memenuhi jangkaan majikan dan lebih banyak menimbulkan masalah, ternyata ia adalah penyengat," katanya yang membentangkan kertas kerja tersebut pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa" di IKIM baru-baru ini.

Siti Fatimah berkata, menggunakan khidmat pembantu rumah mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

"Bagi majikan yang terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan pembantu, pastinya mereka mengharapkan urusan rumah tangga seperti menjaga makan, minum dan pakai serta keselamatan anak terjamin ketika keluar bekerja," katanya.

Namun soalnya berapa kerap harapan tersebut dipenuhi?

Kata beliau, memang terdapat pembantu rumah yang boleh dipercayai dan banyak membantu melicinkan urusan rumah tangga, namun terdapat juga beberapa kes seperti melarikan diri, mencuri, mengadu kepada jiran dan rakan mengenai mereka dizalimi sedangkan ia tidak berlaku, menggunakan telefon sehingga bil mencecah ribuan ringgit, memukul anak majikan, tidak menjaga anak majikan dengan baik dan sebagainya.

Jelas Siti Fatimah, konflik yang berlaku antara pembantu rumah dan majikan akan memberi kesan kepada keluarga terutama anak yang masih kecil.

"Bagi pembantu rumah yang cekap dan mendengar kata, konflik boleh diatasi dengan mudah. Bila ini berlaku, penyesuaian akan wujud dan perkara ini menjadikan pembantu rumah benar-benar membantu majikan," kata beliau.

Sebaliknya, jika pembantu rumah mempunyai sikap tersendiri dan sukar dibentuk, ketegangan akan timbul dan mereka akan berterusan mengulangi kesilapan yang sama hingga membangkitkan kemarahan majikan.

"Lazimnya, wanita atau isteri yang biasa berhubung dengan pembantu rumah. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan mereka merasa tertekan kerana pembantu yang diharapkan bukanlah penyelamat tetapi penyengat," jelasnya.

Selain itu menurut beliau, satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah cara majikan iaitu ibu dan bapa berhadapan dengan kerenah pembantu rumah. Jika ibu (atau bapa) melayan pembantu rumah dengan hormat, maka anak-anak mereka akan mengikuti dan begitu juga sebaliknya.

"Oleh itu layanlah pembantu rumah dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung kita juga sebenarnya sedang mengajar anak-anak kita bagaimana perhubungan itu sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau turut menyarankan, majikan menggunakan tempoh tiga bulan sebagai percubaan sama ada pembantu rumah itu sesuai dan jika tidak mempunyai masalah bolehlah diteruskan kontraknya.

Menurut Siti Fatimah lagi, pembantu rumah juga memberi pengaruh kepada anak-anak dari segi penguasaan bahasa dan tingkah laku.

Walaubagaimanapun, ibu bapa boleh menapis pengaruh pembantu rumah ini dengan memberi garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak dalam menjalankan tugas-tugas harian mereka.

"Sepatutnya, dalam hal mendidik anak-anak, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dengan membiarkan anak-anak di bawah jagaan pembantu rumah semata-mata.

"Mereka sepatutnya menyeimbangkan pengaruh pembantu rumah dengan mengambil alih tugas mengasuh anak sekembali dari pejabat," katanya.

Kesimpulannya kata beliau, majikan mempunyai tanggungjawab terhadap pembantu rumah seperti memenuhi keperluan asasi mereka, melayan dengan belas kasihan dan bertimbang rasa serta menunaikan gaji mereka pada waktunya.

Dan pembantu rumah pula katanya, perlu mematuhi arahan majikan melainkan hal-hal yang bertentangan dengan syarak, melaksanakan tugas dengan ikhlas, tidak mengkhianati majikan, menjaga rahsia keluarga majikan serta menjaga maruah dan batas pergaulan dengan majikan.

Sekiranya segala aturan ini diikuti kata Siti Fatimah, pastinya pembantu rumah benar-benar membantu dan menjadi penyelamat kepada majikan.