#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kosmo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kosmo. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 29, 2009

Sentuhan luahan kasih sayang


Pesona
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

Bayi yang kerap mendapat sentuhan ibunya, lebih mahir berinteraksi berbanding bayi yang kurang mendapat belaian.

BENAR apa yang diungkap, sentuhan seorang ibu banyak mempengaruhi perkembangan seseorang bayi. Perubahan ini boleh dilihat sewaktu bayi mula berkomunikasi dan bersosial dengan orang di sekeliling melalui senyuman, lirik mata, gerakan tangan, tindak balas mahu dipeluk dan gelak ketawa.
"Sentuhan memberi perlindungan dan menjadi pengikat kasih sayang antara seorang bayi dengan ibunya.

"Ini adalah waktu terbaik bagi seorang ibu untuk menyentuh dan membelai bayinya memandangkan ketika itu jugalah mereka mula belajar mengenali ibunya," ujar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Anna Padmavathy Soosai pada majlis pelancaran Johnson's BabyMost Loving Moments, di Delicious @ Dua Residency, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut beliau, sentuhan manja seorang ibu merupakan pengikat kasih sayang dalam perkembangan sosial seorang bayi.

Salah satu cara paling berkesan bagi seorang ibu dan bayinya meluahkan kasih sayang adalah menerusi sentuhan. Sentuhan berlaku sama ada pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin. Sentuhan juga menghasilkan perasaan yang lebih mendalam buat si manja kepada ibu mereka.

"Adalah satu kerugian sekiranya si ibu menyerahkan sentuhan itu kepada pembantu rumah. Anda akan kehilangan peluang berkasih sayang dengan bayi anda," jelasnya

Menurut Anna, kebanyakan ibu kini sibuk dengan tugasan seharian sehingga tiada masa merangsang kasih sayang melalui sentuhan dan belaian jari-jemari.

"Walau sibuk sekali pun, seorang ibu seharusnya membina rangsangan dan perkembangan si bayi menerusi komunikasi, sentuhan, belaian dan urutan.

"Salah satu perkara yang sering dilakukan oleh ibu bapa yang baru memperoleh anak ialah membeli pelbagai jenis permainan berwarna-warni. Sebenarnya ia tidak perlu terutama bayi yang berumur kurang empat bulan. Ini kerana, bayi hanya boleh melihat pelbagai warna selepas mereka berumur empat bulan.

"Bagi si bayi, sentuhan ibu memberi makna yang mendalam pada mindanya. Melalui wajah riang ibu, mereka juga dapat mewarnai kehidupan," kata Anna bahawa seorang ibu perlu meluangkan masa bersama anaknya selepas beberapa bulan mereka dilahirkan.

Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu. Ia boleh dilihat mengikut peringkat umur.

"Pada umur sebulan, bayi mula tersenyum, dua bulan kemudian mereka mula bersuara, usia empat bulan mereka cuba mencapai ibunya, menatap mata si ibu lebih lama dan gelak ketawa," tambahnya.

Kenali empat tanda jalinan kasih sayang iaitu:
Bayi lebih kerap tersenyum
Menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua.
Ketika bayi sedang membesar, dia akan mengukir senyuman setiap kali anda berada di sampingnya atau ketika dia menjangka kehadiran anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dan bersedia mempelajari tentang dunia di sekelilingnya.

Bayi cuba mencapai ibunya
Apabila bayi cuba mencapai si ibu, bayi mahu memberitahu bahawa ibu supaya memeluk, membelai dan merapatinya. Ia juga membawa maksud bayi gembira dengan kehadiran ibunya.
Tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar pergerakannya dan akan membuat pergerakan yang bermakna.

Bayi bergelak ketawa
Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya. Ini merupakan satu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.

Apabila bayi gelak, ia menunjukkan salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda dan ingin memberitahu anda betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.

Dengan berbunyi-bunyi manja sewaktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali si ibu dan sedang berhubung dengan anda.

Bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balas kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.

Bayi menatap mata
Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, satu mesej berbaur kasih sayang sedang mengalir antara bayi kepada anda.

Ia merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat dikenal pasti. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.

Bagi si manja, melihat wajah ibu mampu menenangkan dirinya. Adakalanya si manja seolah-olah sedang menenung anda. Mengapa? Bayi sedang cuba mengingat wajah anda dan mengenal pasti sebuah kasih sayang dan keselesaan.


Isnin, Mei 25, 2009

Suami jual tubuh isteri

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT IBRAHIMlutfi.abdulrahim@kosmo.com.my
Murni pernah menjadi pelacur, mengedar dan menagih dadah, ahli kumpulan kongsi gelap dan orang tengah membawa PATI ke negara ini sehingga dia digelar mayat tidak berguna.



BENTUK badan Murni masih menarik walaupun sudah berumur 51 tahun. Namun penghuni pusat pemulihan masalah sosial, Rumah Sinar Salam di Chow Kit, Kuala Lumpur ini belum dapat melupakan kenangan zaman gelapnya dahulu yang penuh dengan dosa dan noda.

Dia pernah menjadi pelacur, penagih dan pengedar dadah malah ahli kumpulan kongsi gelap. Dia juga menjadi orang tengah membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dengan bayaran RM5,000 untuk setiap PATI.

Kedegilan sejak kecil menjadi punca dia terjebak dengan semua kegiatan tidak bermoral itu.
“Saya nakal dan degil sejak kecil lagi. Mungkin disebabkan itu, ibu tidak pernah mempedulikan saya kecuali bapa. Malah saya tidak mahir menulis dan membaca kerana tidak bersekolah sehingga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kini. Tetapi tidak mengapalah, rezeki di mana-mana,” katanya yang bekerja sebagai pencuci di sebuah pusat beli-belah.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan berkahwin pada usia 17 tahun namun hanya sempat melayari kehidupan berumah tangga selama dua tahun kerana tidak disukai keluarga mertua.

Murni mempunyai seorang anak lelaki hasil daripada perkahwinan pertama.

Pernikahan kedua menjadi neraka baginya. Disebabkan kecewa mahligai perkahwinan yang dibina runtuh lagi, Murni mengambil keputusan berhijrah ke Klang, Selangor dan menampung kehidupan seharian bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makanan.

Di situ, dia berkenalan dengan Razali dan terus mengambil keputusan berkahwin walaupun perkenalan mereka tidak sampai sebulan.

“Razali cukup pandai mengambil hati. Dia perwatakan menarik dan pandai menggoda menyebabkan saya terpikat hingga saya berkahwin dengannya.

“Mulanya, Razali seorang yang baik dan penyayang tetapi satu hari dia meminta saya berhenti kerja sebagai pembantu kedai dan beralih kepada pekerjaan yang lebih lumayan pendapatannya.

“Saya dibawa ke sebuah hotel dan diminta melacur. Tentunya saya enggan tetapi dipaksa melakukannya. Jika enggan teruk dipukul dan ditampar. Sejak itu bermulalah kehidupan saya sebagai pelacur.

“Dia juga mengajar saya minum arak dan menghisap dadah. Bayangkan saya dipaksa melacur ketika sedang sarat mengandung empat bulan. Ada pelanggan baik hati tidak melakukannya kerana kasihan tetapi kebanyakannya cukup kejam,” katanya sambil air matanya membasah pipinya.

Lari ke Johor

“Saya tidak tahan kerana terus diperlakukan sedemikian. Malah telah merata Semenanjung Malaysia ini saya pergi untuk melacur. Jika ingin lari, tapak kaki akan singgah di pipi ini.

“Malah dalam sehari saya pernah dilanggan 10 orang pelanggan. Tidak tahan saya memohon bantuan daripada seorang polis untuk lari ke Johor.

“Saya disembunyikan di sebuah rumah India sebelum menaiki kereta api ke Johor. Nasib baik terlepas, jika tidak saya mungkin telah dibunuh oleh suami,” ujarnya.

Tetapi kerana kebiasaan dan mudah mendapatkan wang menyebabkan Murni kembali terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu.

“Mulanya saya kembali bekerja di kedai makan tetapi berapa sangatlah pendapatan yang diperoleh. Saya kembali menjadi pelacur. Perwatakan juga berubah menjadi seorang tomboi.

“Keluarga sendiri tidak peduli. Malah saya bergerak lebih jauh lagi dengan mengedar dan menghisap dadah, menjadi ahli kongsi gelap serta orang tengah membawa PATI ke negara ini.

“Bukan sukar, kenalan kita ramai. Dengan perbualan telefon dan kita tentukan masa semua boleh jalan. Lumayan, seorang PATI boleh dapat RM5,000.

“Saya juga tidak pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana tiada bukti. Tetapi menggelar saya mayat hidup kerana tidak berguna dan sering mendatangkan masalah,” ujar Murni.
Murni cuba untuk berubah namun beliau sering tersilap langkah memilih suami untuk kembali kepada jalan yang benar.

“Setelah sekian lama terlibat dengan noda dan dosa saya ingin kembali insaf. Saya menerima pelawaan seorang pemandu teksi untuk menjadi isterinya.

“Namun saya sangkakan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Suami ketiga baik dan alim tetapi terlalu cemburu. Saya tidak dibenarkan bersembang sekali pun dengan jiran.
“Saya terkurung di rumah. Sekadar memandang lelaki pun saya akan teruk dibelasah. Malah saya pernah dipukul di sebuah kedai makan kerana sifat cemburunya itu,” katanya kesal.

Kahwin dan cerai ekspres

“Kemudian saya bercerai dengannya. Tidak lama selepas itu saya kahwin lagi dengan rakan sekampung. Tetapi dia sangat pemalas dan tidak mahu bekerja.

“Saya menampung makan dan minum, dua kotak rokoknya sehari dan anak-anak. Kalau tidak dapat, makian dan sepak terajang diterima.

“Menghilangkan bosan, saya pergi seorang ke kedai arak dan minum sepuasnya. Saya juga mula mengedar pil khayal di kelab. Ini semua kerana lelaki tidak berguna itu sehingga saya meminta cerai,” katanya.

Namun semuanya berubah selepas dia menemui seorang pekerja keselamatan yang benar-benar ikhlas di Chow Kit sendiri.

“Malah dia membenarkan saya tinggal di rumahnya dan memberi wang belanja seharian cuma saya tidak berkahwin dengannya.

“Dia sering menasihati saya supaya berubah dan meninggalkan kegiatan lama, serta meminta saya solat dan banyak ke surau untuk menambah ilmu pengetahuan agama.

“Memang sukar untuk berubah tetapi saya perlu tekad. Apa gunanya saya menjadi pelacur selamanya kerana impian diri ini ingin hidup normal seperti insan lain,” katanya yakin.

Isteri, ibu dan pekerja


Wanita bekerjaya perlu pandai menyeimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.
WANITA dan kerjaya seringkali dikaitkan dengan bebanan kerja. Sehingga ada di antara mereka tidak terdaya lagi untuk menggalas kewajipan dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.

Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.

Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?

Bagi Puan Sri Maimon Arif Patail yang mempunyai kerjaya hebat, beliau menolak kenyataan bahawa wanita kerjaya seringkali mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
"Sejauh mana bebanan kerja yang ditanggung, ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita kerjaya terlepas daripada tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anaknya," katanya
Beliau kini menyandang jawatan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Malaysian Mosaic Berhad (MML). Menurutnya, berdasarkan peratusan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi hari ini yang lebih ramai daripada lelaki, wanita pada masa depan sukar untuk bergelar ibu sepenuh masa. Katanya, sebalik tamat pengajian, pastinya graduan wanita tersebut akan menceburi kerjaya pilihan.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, tentulah susah bagi wanita untuk meninggalkan kerjaya bagi menjadi seorang ibu sepenuh masa. Sekiranya saya berani menjadi ibu sepenuh masa, saya akan lakukannya. Tetapi saya tidak berbuat demikian.
"Sebagai seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, saya telah diajar untuk menjadi seorang wanita bekerjaya. Bagi saya, kerjaya tidak menjadi masalah kepada saya dan keluarga," katanya.
Katanya, apa yang beliau harapkan ialah setiap wanita yang bergelar ibu seharusnya belajar untuk berfikir dan memahami perasaan seseorang terutama anak-anak dan suami.
"Walau sibuk mana sekalipun, tanggungjawab yang harus dipikul semestinya diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan jaya," ujarnya spontan.
Bergelar wanita berpengaruh mungkin boleh menggugat kualiti masanya bersama anak-anak.
"Mengulas soal itu, Maimon berkata, dalam mengendalikan hal melibatkan rumah tangga, beliau sentiasa percaya masa berkualiti penting dalam mengurus anak-anak dan suami.
"Sungguhpun hampir setiap hari bekerja saya pulang lewat, saya tetap berusaha untuk dapat menikmati makan malam bersama keluarga di rumah.
"Jika sempat, saya sendiri akan menyediakan hidangan makan malam tetapi jika sebaliknya, saya akan membelinya di kedai. Apa yang penting, kami sama-sama berpeluang menikmati hidangan malam sambil berkongsi berita yang berlaku pada waktu siang.
"Cara ini penting untuk merapatkan hubungan ahli keluarga selain saya dapat menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh keluarga.
"Tetapi hari Sabtu dan Ahad adalah hari memasak untuk saya. Kami akan meluangkan masa bersama di rumah sambil bergurau-senda," tambahnya.
Bagi Maimon, seorang wanita yang berjaya jika hendak terus berjaya mestilah berusaha dari rumah.
"Kejayaan yang dicapai mestilah seimbang di antara karier dan keluarga," katanya ketika menjawab persoalan mengenai kualiti masa yang diberikan kepada keluarganya.
Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, Maimon berkata, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak sejak kecil tentang pengurusan masa dan wang saku, membuat keputusan yang tepat dan penjagaan diri yang bijak sekiranya ibu bapa tiada di rumah.
"Nilai-nilai didikan yang sempurna bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memberi kata-kata perangsang kepada anak-anak termasuk membuatkan mereka faham tentang kesibukan kerjaya yang dipikul oleh ibu bapa.
"Ini penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati anak-anak apabila ibu bapa kerap tiada di rumah kerana urusan kerja.
"Walaupun mempunyai pembantu rumah, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepada mereka," ujarnya panjang lebar.
Dalam kesibukan melunaskan tanggungjawab kerjaya pada setiap hari, adakah beliau masih menitikberatkan hal pemakanan anak-anak?
"Semuanya bergantung kepada keadaan memandangkan anak-anak saya sudah meningkat remaja.
"Namun begitu, ibu bapa perlu memahami cara pemilihan makanan anak-anak agar setiap pemakanan yang diambil dapat membantu meningkatkan daya ketahanan badan sekali gus mengembangkan daya kognitif mereka," katanya.