Isnin, Mei 31, 2010
Tindakan luar fitrah
ffarlin@hmetro.com.my
2010/05/31
KUALA LUMPUR: Fitrah seorang wanita hanya boleh menyayangi seorang lelaki hingga tahap rela menyerahkan ‘mahkota’ dirinya kepada lelaki itu tetapi jika sebaliknya, ia mengalami masalah jiwa rosak dan perlu dibantu segera oleh segenap lapisan masyarakat tanpa prejudis.
Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata perbuatan wanita yang sanggup merelakan dirinya melakukan seks dengan sebarang lelaki atau ramai lelaki menunjukkan tindakan luar fitrah, sekali gus membuktikan dia mengalami masalah jiwa yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, secara fitrahnya, seseorang wanita hanya rela melakukan hubungan seks dengan seorang saja lelaki yang sangat disayanginya dan selalunya ia suaminya, bukan sekadar untuk berseronok tetapi bertujuan menzahirkan rasa cinta yang ada dalam hati kepada lelaki berkenaan.
“Tetapi ada kemungkinan seseorang wanita sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki lain disebabkan sudah hilang rasa cinta terhadap suami yang zalim, tidak bertanggungjawab hingga menyebabkannya menagih kasih orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau merujuk kepada laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang wanita yang mengaku pernah diperkosa bergilir-gilir sekumpulan 15 lelaki pada tujuh tahun lalu, mendakwa kini ketagih seks dengan menjadikan suami orang sebagai sasaran memuaskan nafsunya.
Lebih mengejutkan, wanita kemaruk seks itu hanya memburu suami orang yang gemar ‘makan luar’ untuk mencurahkan perasaan dan mendapatkan belaian kasih sayang sebelum meninggalkan ‘mangsanya’ selepas apa dihajati tercapai.
Dr Mohd Fadzilah berkata, masyarakat secara amnya dan keluarga secara khusus perlu menghulurkan bantuan termasuk sokongan dari segi psikologi kerana wanita seperti itu dalam kategori ‘sakit’ secara rohaniah dan mereka perlu diberi bimbingan langkah demi langkah supaya dapat kembali ke pangkal jalan.
“Kita perlu mencari punca masalah terlebih dulu dan berikan apa yang kekurangan contohnya belaian kasih sayang kemudian membimbingnya dengan cara mengajaknya menunaikan solat, sembahyang taubat dan mendengar tazkirah.
“Masyarakat perlu benci perbuatannya tetapi jangan membenci atau menghinanya dan bawalah dia ke pangkal jalan dengan membimbingnya dan memujuk secara kaunseling,” katanya.
Beliau berkata, tiga pendekatan boleh diambil bagi menangani masalah jiwa rosak di kalangan wanita sedemikian iaitu merawat mereka yang sudah terjebak, mencegah sebelum mereka sempat terbabit dalam kancah maksiat dan mencegah daripada awal perkara maksiat terus berlaku.
Katanya, cara terbaik menangani perbuatan maksiat yang makin menjadi-jadi di kalangan umat Islam ialah kembali semula kepada ajaran Islam iaitu mengukuhkan asas agama yang rapuh sebelum ini dengan cara menjaga ibadat solat.
Jumaat, April 23, 2010
Tawakal, keimanan teguh elak penyakit jiwa
PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :
1 - Allah
2 - Hakikat diri insan
3 - Hakikat dunia
4 - Hari akhirat.
Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.
Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.
Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita. Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah. Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.
Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.
Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.
Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.
Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.
Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad. Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.
Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah, lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.
Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.
Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan. Tiada yang kekal kecuali Allah.
Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.
Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.
Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.
Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.
Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.
Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.
Jumaat, September 04, 2009
Menangani kesedihan ditinggal suami
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
|
peserta dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta diiringi alunan muzik instrumental untuk memberi ketenangan. |
BERCERAI, ditinggalkan, berpisah dan teraniaya sama ada daripada aspek mental ataupun fizikal adalah antara beberapa terma yang amat digeruni wanita yang telah berkahwin.
Wanita yang berhadapan dengan situasi di atas lazimnya membiarkan diri terus tertekan, dihantui rasa takut dan bersalah yang bercampur baur dalam diri.
Tidak ramai daripada wanita yang ditinggalkan atau diceraikan mengetahui saluran yang betul untuk merujuk masalah mereka. Apabila perasaan negatif menyelubungi diri, pelbagai tindakan yang tidak masuk akal boleh terjadi.
Bagi wanita yang pernah berhadapan dengan situasi penceraian atau salah satu yang disebutkan di atas, jangan patah semangat kerana ada golongan ingin membantu.
Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor telah diadakan forum bertajuk 'Memperkasakan Wanita yang Ditinggal' yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Ch'ng Lin Ling serta Ketua Divisi Kesihatan Siemens Malaysia, Micheal Schmermer sebagai penaja forum.
Forum dua hari tersebut disertai oleh 30 wanita yang telah ditinggalkan. Forum yang lebih berbentuk kepada bengkel ini diketuai oleh Perunding Psikologi Klinikal Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.
Beliau yang juga merupakan pensyarah psikologi di Monash University, Sunway, berkata, wanita yang hadir dalam bengkel ini datang dari pelbagai latar belakang dan sejarah hidup.
Meluahkan
"Bukan itu sahaja, mereka turut diberitahu cara-cara untuk mengatasi kesunyian setelah ditinggalkan pasangan masing-masing," jelasnya yang pernah memberi rundingan kepada lebih 5,000 individu yang berhadapan dengan masalah kekeluargaan.
Menurut Paul, paling penting bagi wanita yang berhadapan situasi sebegini ialah kekuatan yang datang dalam diri mereka sendiri.
Antara jenis rawatan yang boleh diberikan kepada mereka ialah stimulasi dan rangsangan yang dilakukan secara individu dan dalam kumpulan.
Ketika satu sesi meluahkan perasaan, ramai peserta yang menitiskan air mata. Mereka dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta alunan muzik instrumental dipasang untuk memberi ketenangan kepada peserta.
Mereka kemudiannya dikehendaki menggunakan satu perkataan bagi menggambarkan keadaan diri mereka ketika itu.
Peserta kemudiannya dikehendaki berbaris dalam dua barisan dan bergilir-gilir mengambil tempat sambil membacakan emosi yang tercatat pada sekeping kertas yang ditampal pada bahagian depan baju masing-masing.
Pada forum tersebut, penulis berkesempatan menemuramah tiga peserta yang sudi berkongsi kisah rumah tangga mereka dan perasaan setelah menyertai bengkel memperkasakan wanita yang ditinggalkan.
Pengakuan eksklusif:
MASRIAH Abdullah, 54, seorang pekerja di klinik swasta. Ibu kepada lima anak berusia antara 21 hingga 31 tahun ini mengikut suaminya yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1993.
"Suami saya seorang yang panas baran. Sepanjang 19 tahun lamanya saya mengalami penganiayaan mental.
"Satu hari ketika dia hendak mengambil peperiksaan, suami telah menjatuhkan talak ke atas saya. Ketika itu saya merasakan pengorbanan saya sia-sia belaka, dia (suami) mendapat apa yang diingini, saya pula tidak berpeluang meneruskan cita-cita saya dalam bidang perubatan. Situasi tersebut benar-benar mengganggu fikiran dan emosi.
"Kekecewaan itu masih kekal hingga kini. Bagaimanapun dengan adanya bengkel seperti ini saya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi dan sedikit demi sedikit mengawal rasa marah dan kecewa yang selama ini membelenggu diri," ujarnya.
SABRINA Low, 45, ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Berasal dan menetap di Kuala Lumpur. Menurut Sabrina, perkahwinan dia dan suami memang bahagia hinggalah ketika dia hampir melahirkan anak kedua.
"Perkahwinan saya menjangkau empat tahun namun ketika usia kandungan kedua memasuki lapan bulan, suami membuat pengakuan bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain.
"Saya rasa seperti mahu mati. Dalam masa menunggu untuk bersalin saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan pun hinggalah rakan saya membawa saya berjumpa dengan kaunselor. Saya akhirnya bersalin tanpa suami di sisi dan selepas itu saya membawa diri dan anak-anak tinggal bersama ibu bapa.
"Bagaimanapun, setelah melibatkan diri dalam beberapa bengkel motivasi, barulah saya rasa bersyukur kerana bercerai. Tidak ada gunanya tinggal bersama suami yang kaki judi dan kaki perempuan.
"Kini kehidupan saya lebih baik dan saya juga telah sembuh daripada luka akibat ditinggalkan suami," ujarnya yang hingga kini masih belum berjumpa pengganti.
JOANNE Lim, 70, memang kelihatan lebih muda dari usianya. Jika orang mengatakan masalah membuatkan kita tampak lebih berusia dari umur sebenar tapi tidak bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Dia yang berasal dari Pulau Pinang berpisah dengan suami ketika berusia 36 tahun.
"Saya diceraikan sehari selepas melahirkan anak bongsu. Walaupun sudah bercerai, hati saya berkeras tetap mahukannya, saya akui rasa sayang terhadap suami amat kuat, dalam masa yang sama saya rasakan saya amat bodoh kerana menyayangi orang yang membenci saya.
"Selepas bercerai, saya mudah jatuh hati kepada mana-mana lelaki yang mendekati saya. Saya ada menerangkan kepada pakar psikologi tentang keadaan tersebut dan mereka mengatakan bahawa saya masih mahukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang suami. Tetapi hingga kini saya masih sendiri kerana belum bertemu dengan yang sesuai.
"Melibatkan diri dalam bengkel seperti yang dianjurkan pada hari ini amat membantu perasaan sedih yang saya alami. Ia sekali gus membuatkan saya tabah dalam meneruskan kehidupan bersendiri," ujarnya yang telah bercerai selama lebih 30 tahun.