#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Khamis, Mei 05, 2011

Tafsir Ayat: Usah pandang remeh kepentingan ihsan dalam kehidupan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
2011/05/05

ALLAH berfirman bermaksud: “Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah).” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Ihsan adalah tonggak yang menegakkan kerangka agama seiring iman dan Islam. Namun, umat Islam kini memandang remeh konsep ihsan ini sehingga tidak mengambil endah kepentingannya dalam kehidupan seharian.

Jika diteliti, ihsan sama pentingnya seperti iman dan Islam dalam menentukan hala tuju kehidupan Muslim sama ada bahagia di dunia dan akhirat atau sebaliknya. Ihsan bererti berbuat baik dan didefinisikan sebagai ajaran atau konsep mendukung etika kerja yang baik.


Berdasarkan perspektif ini, ihsan dapat difahami sebagai produktiviti kerja secara optimum dengan hasil sumbangan terbaik dan berkualiti tinggi.

Konsep ihsan menjurus kepada dua matlamat utama. Pertama, ihsan dalam ibadat dan kedua, ihsan dalam muamalat.

Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk di samping ikhlas seolah-olah ketika itu sedang berhadapan dengan Allah.

Jika perasaan itu ada, sudah tentu manusia gerun untuk melanggar larangan Allah.
Menurut Ibnu Hajar, sekiranya manusia tidak dapat melihat Allah, maka hendaklah dia meyakini Allah melihat dan mengawasinya. Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan ibadat dengan sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah dan sunnah Rasulullah SAW.

Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah dalam urusan ibadat semata-mata kerana ihsan turut merangkumi setiap perlakuan sesama manusia sama ada bersangkutan perkara duniawi mahupun ukhrawi.

Setiap Muslim dituntut berihsan dalam urusan kehidupan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, bahkan dalam urusan muamalat seperti kekeluargaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan politik.

Dalam konteks ihsan dalam muamalat, Imam al-Asfahani memberi dua pengertian iaitu limpahan nikmat maslahah serta kepentingan pihak lain dan mempertingkatkan kualiti kerja itu sendiri. Pengertian yang pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam.

Ihsan juga dianjurkan terhadap haiwan. Imam Muslim meriwayatkan, “Saidatina Aisyah bersama Rasulullah SAW ketika perjalanan jauh, menunggang unta begitu susah hendak dikendalikan. Lalu Saidatina Aisyah memalingkan unta itu ke kanan dan ke kiri. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Wahai Aisyah! Kamu hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar daripada sesuatu, maka ia akan rosak.”

Termasuk juga dalam skop ihsan, iaitu mempertingkatkan kualiti kerja yang bergantung kepada dua syarat utama, ilmu pengetahuan menyeluruh dan ketrampilan kemahiran yang mantap. Tanpa kedua-duanya, tidak akan melahirkan satu perbuatan atau kerja benar-benar berkualiti ihsan.

Ihsan sebagai konsep menjurus ke arah hasil kerja optimum menuntut setiap Muslim kepada tiga perkara berikut:

•Bekerja atau melakukan sesuatu kerja sebaik mungkin selaras sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

•Menguasai ilmu pengetahuan dan mengetahui kemampuan diri berkaitan tugas sehingga menyempurnakan kerja tepat pada masanya. Ilmu dan kelayakan seseorang antara kriteria utama menjamin kejayaan kerja dilakukan.

•Ikhlas dan benar dalam kerja dan amalannya. Dalam hal ini, ulama salaf, Fudhail ‘Iyadh ditanya makna ikhlas dan benar dalam amalannya. Beliau menjawab: Sesungguhnya amal benar tapi tidak dilakukan dengan ikhlas, tidak diterima Allah. Begitu juga jika dilakukan dengan ikhlas tapi dengan cara yang tidak benar tidak diterima.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Rabu, Mei 04, 2011

Umat Islam dilarang hukum seseorang tanpa menyelidik

2011/05/04

Sebar, kongsi maklumat palsu boleh timbul ketegangan, pertelagahan di kalangan masyarakat

KOMUNIKASI dan penyebaran maklumat tidak berlaku secara lisan tetapi disebar pantas secara maya (virtual) melalui internet. Penciptaan alat komunikasi ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan baik.

Pengguna perlu berdisiplin, mengikut peraturan dan bertanggungjawab supaya kemajuan itu tidak disalahgunakan terutama menyebarkan perkara tidak benar. Amat mendukacitakan apabila ada menggunakan kemudahan internet ini untuk menyebarkan maklumat palsu, pembohongan dan fitnah.

Senario ini menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah maklumat yang disebarkan melalui internet atau lisan itu. Kesan penyebaran maklumat melalui lisan mahupun internet sama saja. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet. Malah melalui internet, latar belakang diri boleh dirahsiakan menggunakan nama samaran dan maklumat diri yang palsu.

Ada kala ini menyukarkan untuk mengesan ‘orang’ yang mendalanginya. Oleh itu, segala berita yang disebarkan, tidak kira melalui lisan mahupun internet hendaklah diselidik terlebih dulu. Untuk menilai kesahihan sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah ada garis panduannya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti serta menyelidik terlebih dulu berita disampaikan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita dan jangan terlalu cepat menafikannya sebelum membuat penelitian terhadap kebenarannya.



Takut jika terlalu tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Sebab penurunan ayat ini ada disebutkan hubung kait dengan berita dibawa al-Walid ‘Uqbah. Sa‘id daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid ‘Uqbah untuk mengambil hasil kutipan zakat daripada kaum Bani Mustaliq yang telah mengaku beriman kepada Rasulullah SAW dan memeluk agama Islam.

Apabila al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustaliq, tiba-tiba hatinya berasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah bahawa kaum Bani Mustaliq telah murtad (terkeluar daripada agama Islam).

Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Khalid al-Walid bersama sekumpulan tentera ke perkampungan Bani Mustaliq untuk memastikan sama ada benar atau palsu berita disampaikan al-Walid.

Kedatangan mereka itu secara rahsia kerana mahu Khalid menyelidik terlebih dulu dan jangan tergesa-gesa mengambil tindakan. Khalid dan tenteranya tiba di perkampungan Bani Mustaliq pada waktu malam.

Khalid kemudian menghantar beberapa orang perisik untuk menyelidiki keadaan kaum Bani Mustaliq dengan lebih dekat. Tidak berapa lama, perisik tadi datang kepada Khalid membawa laporan kaum Bani Mustaliq masih berpegang kuat dengan agama Islam. Buktinya azan masih kedengaran dan mereka menunaikan solat secara berjemaah.

Setelah itu, Khalid dan tenteranya pulang menemui Rasulullah SAW membawa laporan. Maka turun ayat 6, surah al-Hujurat. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan.”

Walaupun hadis di atas membicarakan sikap al-Walid yang menyebarkan berita palsu, tetapi hukumnya umum dan berlarutan sehingga ke hari akhirat. Kaedah tafsir menetapkan pengajaran dan iktibar itu diambil kira berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.

Kisah ini memberi peringatan dan panduan kepada kita adab atau etika apabila menerima sesuatu maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sikap tergopoh-gapah menerima sebarang berita disampaikan boleh mendatangkan penganiayaan kepada orang lain.

Umat Islam seharusnya berhati-hati menerima berita yang disebarkan. Penyebaran dan perkongsian maklumat yang tidak berpandukan kaedah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis, boleh menimbulkan ketegangan dan pertelagahan dalam masyarakat.

Akhir-akhir ini, berita berbentuk khabar angin, hasutan, gosip liar dan fitnah, banyak disebarkan. Semuanya sengaja diada-adakan untuk tujuan tertentu. Namun, masih ada segelintir umat Islam yang mudah menerima tanpa memastikan kebenarannya.

Umat Islam dilarang cepat menghukum seseorang tanpa menyelidik berita disampaikan terlebih dulu. Contoh dalam asbab nuzul ayat di atas, jika al-Harith dan kaumnya dijatuhkan hukuman, maka sudah tentu ia penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, umat Islam juga seharusnya berfikir dengan rasional manfaat dan kemudaratan hasil tindakan yang akan dilakukan. Oleh itu, pandangan atau pendapat orang bijak dalam mempertimbang manfaat dan kemudaratan, perlu dihormati dan diterima pakai.

Rabu, Februari 23, 2011

Manusia tiada sifat malu ibarat hilang maruah diri

Oleh Mohd Adid Ab Rahman
Berita Harian
2011/02/23


SESEORANG akan kelihatan menarik dan terpuji di sudut mata masyarakat bila diri dihiasi dengan sifat terpuji yang mencerminkan kebeningan hati yang tersentuh sinaran ajaib iman. Salah satu sifat yang terbit dari ufuk keimanan ialah sifat malu yang pernah menjadi pakaian peribadi anbia.

Sebab itu dikatakan, malu adalah sebahagian daripada iman. Malu dan iman adalah dua perkara yang memang tidak boleh dipisahkan buat selama-lamanya seperti masin dan garam. Rasulullah SAW bersabda; “Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula yang satu lagi” (hadis riwayat Muslim)

Daripada maksud hadis itu dapat kita rumuskan orang yang pemalu itu semestinya orang yang beriman dan setiap mukmin itu sudah tentu kaya dengan sifat malunya (kerana Allah SWT)

Kebanyakan orang yang dangkal imannya sanggup membuang sifat malu demi memburu kesenangan dunia yang hanya bersifat sementara, akibatnya mudah tergelincir ke kancah kehinaan dan tanpa harga diri. Apabila sifat malu sudah padam, seseorang tidak nampak lagi mana yang benar dan mana yang salah, tidak lagi menyedari bahawa setiap perbuatan dan tingkah lakunya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT. Terledak di dalam fikiran mereka yang utama ialah kehendak nafsu akan dipenuhi.

Rasulullah SAW bersabda; “Bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah yang engkau kehendaki” (hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini bukan bermakna satu galakan agar berbuat apa saja yang disukai, tetapi satu peringatan dan ancaman. Jika tidak memiliki sifat malu, maka berbuatlah sesuka hati kerana sesungguhnya Allah akan memberi balasannya. Seperti yang termaktub dalam sepotong ayat bermaksud; “Berbuatlah sesuka hatimu, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” (QS Fussilat: 40)

Pada masa kini kita dapat saksikan betapa banyaknya kepincangan dan kemerosotan perilaku dan sahsiah terutama umat Islam bangsa kita khususnya golongan remaja. Ini satu hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit berpunca dari terhakisnya sifat malu yang seharusnya dipertahankan oleh setiap individu muslim.

Maksiat seperti pergaulan bebas, persetubuhan haram, pembuangan bayi, anak derhaka terhadap orang tua, murid tidak hormat kepada gurunya, gadis yang tidak segan silu mendedahkan aurat di khalayak, pemimpin tidak menunaikan amanah, peniaga tidak jujur dalam urusan jual-beli dan pelbagai lagi.

Keadaan itu membayangkan satu suasana tidak tenteram dan celaru dalam masyarakat yang sangat membimbangkan dan pasti memerlukan pencegahan dan pembanterasan dari semua pihak secara bersungguh-sungguh dan berterusan dari perancangan yang rapi dan bijaksana.

Ibu bapa yang dikira orang paling dekat dengan anak haruslah menanam bibit iman di jiwa mereka dan mendidik pengamalan sifat malu sejak kecil. Agar perbuatan keji, maksiat dan pelbagai perilaku yang menunjukkan kerendahan akhlak seseorang dapat disekat dan melahirkan insan yang berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara agar tidak tergelincir kepada kebencian masyarakat dan kemurkaan Allah SWT.

Sesuai dengan penjelasan dalam satu riwayat bahawa Umar berkata, “Barang siapa yang berasa malu maka akan bersembunyi. Barang siapa yang bersembunyi maka akan berhati-hati dan barang siapa yang berhati-hati, maka ia akan terjaga.”

Orang yang tidak malu sebenarnya sudah meletakkan maruahnya ke suatu sudut tanpa maruah. Tiada kebaikan yang diperolehnya melainkan kecelaan. Benar seperti disuarakan oleh seorang penyair; “Apabila engkau tidak takut akibat yang terjadi pada waktu malam, dan tidak malu maka perbuatlah segala apa yang engkau kehendaki. Demi Allah! tiada kebaikan yang bisa diharap dalam kehidupan ini dan tiada pula manfaat bagi dunia ini apabila sifat malu sudah sirna.
Seseorang tetap hidup dalam kebaikan selama dia memiliki rasa malu,”
Hal ini selari dengan pendapat yang dicetuskan oleh Ibn Qayyim jika bukan kerana sifat malu maka tamu tidak akan dihormati, janji tidak ditepati, amanah tidak ditunaikan dan keperluan seseorang tidak akan pernah dipenuhi, serta tidak akan berusaha mencari sifat terpuji untuk diamalkan dan mengenalpasti sifat tercela untuk dijauhi.

Kesimpulannya, malu membuahkan segala kebaikan sebagaimana tergambar dalam sabda Rasulullah SAW; “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (hadis riwayat Muslim)

Jumaat, Julai 30, 2010

Judi cetus sifat tercela

Harian Metro - Minda
2010/07/30

ISLAM sudah memberikan panduan lengkap kepada umatnya bagaimana mencari sumber rezeki. Yang nyata ialah Islam memandu manusia bagaimana berusaha mencari kehidupan dunia melalui lunas-lunas yang bersih, halal dan suci. Amat malang jika segala panduan yang diberikan Allah dan ditunjukkan Rasulullah s.a.w diingkari begitu saja.

Kegawatan sosial dan kerosakan akhlak yang berlaku sebenarnya banyak berpunca daripada tidak patuh manusia kepada suruhan dan perintah Allah dan melanggar sunnah Nabi.

Antara akhlak perbuatan yang jelas bertentangan dengan kehendak agama ialah kegiatan perjudian. Allah melalui surah Al-Mai’dah ayat 90 mengatakan, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ Mengapakah Allah melarang umat Islam menghindari kegiatan berjudi? Kita boleh melihat keburukan judi dari pelbagai sudut seperti psikologi, sosial dan ekonomi.

Pertama: Keburukan dari aspek psikologi manusia. Akibat buruk kegiatan berjudi membawa kepada sikap mengambil jalan mudah untuk mengaut kekayaan tanpa memerlukan usaha keras. Sedangkan dalam Islam usaha dan kegigihan mencari rezeki yang baik, suci dan halal menjadi elemen utama kepada mendapat keberkatan.

Sikap malas berusaha tiada langsung dalam kamus kehidupan yang dianjurkan Islam. Allah berfirman, ‘Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.’ (Maksud surah Maryam ayat 25). Ini satu suruhan Allah supaya melakukan usaha terlebih dulu untuk mendapatkan rezeki. Ingatlah pepatah Melayu ‘Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek.’ Ertinya rezeki datang bersama dengan usaha gigih yang dilakukan seseorang. Berlainan dengan berjudi kerana amalan tersebut mengundang sikap malas berusaha, sebaliknya hanya mengharapkan untung nasib semata-mata. Orang yang berjudi sudah pasti akan memasang angan-angan besar agar mendapat hadiah atau ganjaran besar.

Selain itu, kegiatan berjudi juga akan menyebabkan seseorang itu bersikap rakus, tamak haloba dan cintakan dunia. Semua sifat itu sangat keji dan dimurkai Allah. Apa tidak rakusnya, apabila seseorang itu memenangi sesuatu aktiviti judi, maka perasaan ingin kemenangan atau keuntungan akan membuak-buak dalam jiwa sekali gus lupa diri yang berkemungkinan membawa kepada kemuflisan. Inilah kesan psikologi negatif yang akan melanda seseorang yang gemar berjudi. Sebab itulah Allah melarang umat-Nya berjudi.

Kedua: Keburukan dari sudut sosial.

Aktiviti judi juga boleh menyebabkan permusuhan sesama manusia. Akibat kekalahan berjudi akan mencetuskan persengketaan dan pergaduhan. Ini kerana emosi kesan kekalahan berjudi sukar dikawal lantas membawa kepada saling bermusuhan dan mungkin juga sampai kepada tahap pembunuhan. Jika keadaan itu terjadi, sudah tentu hubungan dalam masyarakat menjadi tidak harmoni. Begitu juga perjudian boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga. Misalnya, jika suami seorang kaki judi dia akan bertindak mengabaikan rumah tangga. Keadaan anak isteri terabai dan situasi tersebut tidak mustahil menyebabkan perceraian. Bayangkan bagaimana rumah tangga yang selama ini bahagia, tiba-tiba runtuh lantaran judi. Anak-anak dan isteri juga menjadi mangsa.

Ketiga: Keburukan kepada ekonomi.

Memang judi memberikan impak negatif kepada sikap si pelakunya. Duit akan dihabiskan dengan kegunaan berjudi tanpa memikirkan hal lain. Hal itu mengakibatkan seseorang menuju kepada kepapaan.

Sepatutnya umat Islam terus memperkasakan diri dengan menjana sumber ekonomi secara halal dan memberikan manfaat kepada ummah dan bukan mencari harta kekayaan melalui cara haram. Allah melarang sama sekali umat-Nya mendapat kekayaan daripada sumber dan kaedah haram.

Sabda Rasulullah, ‘Sesungguhnya perkara halal itu nyata dan haram pun nyata, di antara kedua-duanya pula terdapat perkara syubhat yang tidak dapat dikesan kebanyakan manusia.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang memperoleh kekayaan daripada sumber perjudian dianggap mendapat sesuatu yang haram dan memakan hasil tersebut akan membawa kepada seksaan Allah di akhirat kelak.

Rasulullah sebagaimana diriwayatkan at-Tirmidzi, ‘Setiap daging yang tumbuh (dibina) daripada hasil haram, maka neraka adalah lebih utama baginya.’

Selain itu, berjudi juga menyebabkan jiwa dan fikiran si pelaku menjadi pasif dan lemah semangat untuk berusaha. Mereka tidak mempunyai semangat berdikari untuk mencari rezeki.

‘Sesungguhnya Allah mencela sikap lemah (pasif). Oleh itu, hendaklah kamu tangkas dan pantang menyerah kalah (sebelum berusaha dan mendapat kejayaan).’ (Hadis riwayat Abu Daud). Ini adalah kata-kata motivasi terbaik buat seluruh mukmin agar terus menjana semangat tinggi dalam mencari sumber pendapatan halal dengan sikap yang gigih.

Mangsa culik koma

Oleh Mohammad Ishak
Harian Metro
2010/07/30


JERTIH: Seorang pelajar perempuan terselamat daripada menjadi mangsa culik apabila kereta yang digunakan penjenayah terbabit terbabas ketika cuba melarikan remaja berkenaan di Kampung Limbongan, dekat sini, kelmarin.

Pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nur Zahirah (SMKNZ), Besut, itu diculik dua lelaki ketika berada di luar pagar sekolah berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang selepas pelajar itu yang baru keluar mengikuti kelas tambahan di sekolah berkenaan menunggu ibunya di luar pagar sekolah.

Bagaimanapun, tiba-tiba dua lelaki berusia 23 dan 15 tahun yang menaiki sebuah Perodua Kenari berhenti di hadapan pelajar itu sebelum mereka turun dan mengheret mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor, berkata penjenayah terbabit memecut dan niat mereka tidak berpanjangan apabila kereta dipandu seorang daripada suspek terbabas dan jatuh ke dalam parit kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, seorang guru yang melihat kejadian itu menelefon polis memaklumkan kejadian berkenaan dan sepasukan polis berkejar ke tempat kemalangan.

Menurutnya, guru berkenaan menemui beg sekolah pelajar itu yang terjatuh ketika bergelut dengan suspek serta menemui dokumen peribadi remaja itu sebelum menghubungi keluarganya.

Beliau berkata, ketika polis tiba di tempat kemalangan kira-kira 15 minit kemudian, suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan ditemui pengsan di dalam kereta itu.

Katanya, pelajar berkenaan yang parah di kepala dan leher dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, kira-kira jam 8.30 malam semalam.

“Sehingga kini, keadaan mangsa masih koma akibat parah selepas bergelut dengan dua lelaki terbabit,” katanya.

Berikutan kejadian itu, polis melancarkan gerakan mengesan suspek dan bertindak atas maklumat awam sebelum menangkap dua lelaki terbabit kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut. Menurut Nor Zainy, polis mendapat arahan tahanan reman tujuh hari mulai semalam dan kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah, Kampung Raja.

Pembahagian secara faraid pelihara ikatan keluarga

2010/07/30
Berita Harian - Agama


Semua waris simati layak kemuka permohonan tadbir harta pusaka

PAK Samad (bukan nama sebenar), seorang imam yang terkenal dan disegani di kampungnya meninggal dunia pada usia 65 tahun ketika menajak rumput di sawahnya. Beliau meninggalkan harta tidak alih berupa tanah sawah seluas 30 relung serta wang simpanan di Tabung Haji dan bank.

Pak Samad meninggalkan waris, balu, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Tidak lama selepas kematian bapanya, Idrus (bukan nama sebenar), anak lelaki sulung dan adiknya, Yaakob (bukan nama sebenar) yang tinggal dan bekerja di bandar pulang ke kampung untuk berbincang mengenai harta peninggalan bapa mereka. Persoalan pokok yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian tanah sawah milik simati yang kini terbiar. Sebagai anak lelaki sulung, Idrus melantik dirinya sebagai Pemegang Kuasa (Pentadbir Pusaka) untuk mengurus semua harta pusaka peninggalan bapanya. Idrus membuat keputusan membahagikan tanah itu mengikut hukum faraid dan memberi ibunya tanah sawah seluas lima relung (6/48 bahagian mengikut hukum faraid) yang terletak di pinggir hutan mengkuang, agak jauh dari rumah.

Dua adik perempuannya, Zainab dan Sapiah mendapat 7/48 bahagian setiap seorang iaitu tanah sawah seluas enam relung dan mereka berkongsi tanah di atas dua geran seluas 12 relung satu penjuru (satu penjuru bersamaan 0.1775 ekar).

Sementara Yaakob diberi dua keping tanah berkeluasan 11 relung satu penjuru. Idrus pula mengambil tanah dua relung yang sedang diusahakan ibunya dan tiga tanah sawah yang semuanya berjumlah 11 relung dua penjuru.

Ibu dan kedua adik perempuannya membantah cadangan pemberian tanah yang terlalu jauh dari tempat tinggal mereka dan sukar untuk diusahakan. Idrus marah dan bertindak mengambil semua geran tanah milik arwah tanpa memberi sekeping tanah kepada ibu dan adik perempuan.
Setelah dua tahun kematian Pak Samad, Idrus masih belum memohon Surat Kuasa Mentadbir. Semua tanah disewakan dan hasilnya dipungut Idrus tanpa diagihkan kepada waris yang lain.

Simpati dengan nasib tiga beranak itu, seorang jiran menasihatkan mereka ke AmanahRaya untuk menyelesaikan soal pembahagian harta pusaka. Zainab dan Sapiah mendapatkan khidmat nasihat daripada AmanahRaya.

Mereka diterangkan konsep Pemegang Kuasa hanyalah adat saja dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Pemegang Kuasa bukanlah wakil diri yang sah kepada arwah dari segi undang-undang kerana tiada pelantikan secara undang-undang bagi tujuan itu.

“Dari segi undang-undang, Pemegang Kuasa sebegini tidak diiktiraf. Abang puan tidak boleh selama-lamanya menguasai semua harta arwah tanpa dibuat pembahagian kepada waris lain yang berhak,” jelas pegawai AmanahRaya kepada Zainab dan Sapiah.

Mereka dinasihatkan untuk mengemukakan Permohonan Mentadbir Harta Pusaka bagi semua harta arwah termasuk simpanan wang di Tabung Haji dan bank. Zainab dan Sapiah risau akan dimarahi Idrus jika membuat permohonan itu nanti.

Pegawai AmanahRaya memberitahu semua waris yang berhak kepada harta pusaka layak menjadi pemohon.

Masalah geran tanah asal yang disimpan Idrus tidak menjadi halangan kerana AmanahRaya akan membuat carian rasmi tanah itu berdasarkan salinan geran yang ada dalam simpanan mereka.

Melalui carian itu, permohonan mendapatkan nilaian tanah dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta serta proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau perintah pembahagian harta pusaka arwah dari Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil dapat dilakukan.

Pada masa sama, Idrus bertemu dengan pegawai kes di AmanahRaya dan setelah diberi penerangan lengkap, faham bahawa tindakan beliau selama ini salah serta berjanji memberi sokongan kepada AmanahRaya dan akan menyelesaikan masalahnya dengan waris lain.

Perkembangan itu memudahkan usaha penyelesaian oleh AmanahRaya. Setelah semua siasatan lengkap dan pengesahan penilaian dibuat terhadap enam keping tanah serta jumlah wang simpanan di Tabung Haji dan bank diperoleh, permohonan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dikemukakan ke Pejabat Penyelesaian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian.

Tidak lama selepas itu, Pejabat Penyelesai Pusaka Kecil mengeluarkan Notis Petisyen Dan Pendengaran untuk perbicaraan Permohonan Surat Kuasa Mentadbir kepada AmanahRaya sebagai pemohon dan juga kepada semua waris.

Pada hari pendengaran permohonan, semua waris hadir. Mereka kelihatan gembira ketika menjejakkan kaki ke Pejabat Tanah untuk perbicaraan permohonan Surat Kuasa Mentadbir bagi harta pusaka arwah Pak Samad.

Ketika menunggu giliran, pegawai AmanahRaya meminta waris berbincang cara terbaik membahagikan harta pusaka itu.

Perbicaraan permohonan berjalan lancar kerana mereka bersetuju membahagikan tanah sawah seluas 30 relung mengikut faraid.

Sementara semua wang simpanan di Tabung Haji dan di bank diserahkan kepada ibu mereka dengan AmanahRaya dilantik sebagai Pentadbir Harta Pusaka yang sah. Begitu juga tanah setengah relung yang turut menempatkan tapak rumah diserahkan kepada ibu mereka.

Semua ahli keluarga berpuas hati apabila melangkah keluar dari bilik Mesyuarat Pejabat Tanah. Ibu mereka juga gembira kerana tanah dan tapak rumah didiaminya kembali menjadi miliknya sementara Zainab dan Sapiah mendapat bahagian tanah yang boleh mereka usahakan.

Semua mereka saling berpelukan antara satu sama lain sebelum membawa haluan masing-masing.

Rabu, Julai 28, 2010

Umat Islam ambil mudah isu makanan halal

Oleh Tuan Musa Awang
Berita harian
2010/07/28


Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN

PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.

Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai. Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?

Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?

Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.

Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.

Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.

Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.

Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?

Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?

Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com atau laya

Selasa, Julai 20, 2010

Muslim dituntut sentiasa istiqamah dalam beribadat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
2010/07/20


Amalan secara berterusan tingkat darjat, martabat umat Islam sebagai generasi terbaik

ANTARA sifat terpuji yang menjadi perhiasan wajib orang Mukmin yang bertakwa kepada Allah ialah beristiqamah dalam beramal soleh. Sehubungan itu, Allah Taala berfirman dalam surah Hud, ayat 112 yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Jelas daripada maksud ayat al-Quran itu, istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua. Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Yang penting baginya, pendiriannya untuk menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya juga akhirnya.

Perlu diinsafi bahawa beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh sesiapa pun jua biarpun lidah yang tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya ke seantero dunia. Ini kerana istiqamah sebenarnya sedikit sebanyak menuntut pengorbanan yang penuh tulus daripada seseorang Muslim dan kadangkala jasadnya, hartanya dan nyawanya sekali akan menjadi pertaruhan demi menjayakan cita-cita Islam. Situasi seumpama inilah yang telah ditunjukkan oleh generasi Rasulullah SAW iaitu para sahabat yang tetap teguh dalam perjuangan mereka menegakkan Islam ketika itu.

Selain daripada beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan yang bertakhta di jiwa sanubarinya, seorang Muslim juga dituntut supaya beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah dan juga menjauhi segala larangan-Nya. Beristiqamah dalam mengerjakan amalan soleh yang dianjurkan Islam adalah amalan amat afdal dan disukai di sisi Allah Taala. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)

Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitab Hidayah al-Mursyidin pula menegaskan bahawa istiqamah itu ialah satu keadaan konsisten atau beriltizam dalam menuruti sunnah yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah, berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah Taala dan sikapnya serta tindakannya jauh daripada pengaruh hawa nafsu. Sebab itulah orang yang dikuasai oleh hawa nafsu, mata hatinya akan menjadi buta. Akibatnya, dia tidak dapat membezakan antara yang sunnah dengan yang bidaah dan yang baik dengan yang buruk. Bahkan yang sering terjadi adalah sebaliknya, perkara bidaah dianggap sunnah, sunnah pula dikira sebagai bidaah, yang salah dikatakan benar dan yang benar dikira salah pula.

Yang paling menggerunkan lagi, apabila seseorang manusia kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana hawa nafsu mampu mengubah ibadat seseorang hamba itu kepada Allah Taala yang Maha Esa kepada ibadah hawa nafsu sentiasa cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan dan kebatilan.


Justeru, seorang Muslim bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya ialah seorang Muslim yang sentiasa menjunjung segala titah dan perintah Allah pada sepanjang masa dan ketika tanpa memilih untuk beramal pada bulan atau hari tertentu. Padanya, setiap detik, masa dan hari berlalu amat berharga baginya untuk memperbanyakkan amalan soleh sebagai bekalan dan persediaan sebelum menghadap Allah pada hari akhirat kelak.

Seorang Muslim yang beristiqamah akan merebut setiap peluang dan kesempatan mendatang tanpa berlengah-lengah kerana ingatannya sentiasa segar dengan hadis Rasulullah bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidup kamu sebelum datangnya masa mati kamu; masa sihat kamu sebelum datangnya masa sakit kamu; masa lapang kamu sebelum datangnya masa sibuk kamu; masa muda kamu sebelum datangnya masa tua kamu dan masa kaya kamu sebelum datangnya masa miskin kamu. (Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Sehubungan itu, seorang Muslim yang bertakwa sentiasa prihatin dan peka dalam segala pelaksanaan amalan soleh demi meraih ganjaran disediakan oleh Allah Taala, lebih-lebih lagi ganjaran berlipat ganda pada bulan tertentu seperti bulan Muharam, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Pada bulan berkenaan, seorang Muslim yang beristiqamah akan melipatgandakan amalannya berbanding pada hari-hari biasa dan berusaha untuk meraih kelebihan, keistimewaan dan ganjaran yang terhampar sepanjang bulan berkenaan.

Amat malang juga ada sebahagian umat Islam yang hanya beramal pada bulan yang istimewa saja dan tidak meneruskan pula amalan soleh itu pada bulan yang lain.


Apabila tiba Ramadan, dia akan berpuasa dan melakukan amalan yang dianjurkan sepanjang bulan berkenaan dengan penuh tekun, tetapi setelah berlalunya Ramadan, dia seolah-olah ‘merdeka’ daripada segala amalan soleh. Ini menunjukkan betapa iman dan amalnya adalah bermusim seperti musim buah-buahan pada bulan tertentu. Amalan seumpama ini tidak disukai oleh Allah dan juga bukan sifat seorang Muslimbertakwa dan beristiqamah.

Rasulullah adalah qudwah terbaik sebagai seorang hamba Allah yang bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya. Rasulullah sentiasa beramal soleh sepanjang masa dan ketika, hatinya tidak putus-putus mengingati Allah, lidahnya sentiasa basah dengan zikir kepada Allah dan segala tindak tanduk serta pergerakannya sentiasa memantulkan nilai kebajikan dan kebaikan. Begitu juga generasi para sahabat berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah muncul sebagai generasi terbaik dan contoh dalam segala lapangan hidup.

Pendek kata, sifat istiqamah adalah sifat terpuji di sisi Allah Taala sehingga ia mengangkat darjat ketakwaan seseorang Muslim dan martabat umat Islam sebagai generasi terbaik dan contoh kepada umat lain. Oleh itu, amatlah wajar sifat istiqamah menjadi suatu perhiasan wajib bagi setiap Muslim supaya dia beroleh kejayaan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Ibu bapa tidak boleh lepas tangan pantau akhlak anak di IPT

Oleh Mohamad A'sim Ismail

2010/07/20

MAHASISWA baru sibuk memunggah barang, membawa timba air dengan ditemani waris keluarga khasnya ibu bapa menjadi pemandangan lumrah sesi kemasukan pelajar baru ke institut pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini.

Terlihat juga ibu bapa yang sedih melepaskan anak tinggal di asrama. Sekitar 70-an dan 80-an, kesedihan ibu bapa mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya jarak jauh di antara kampung dan tempat pengajian anak. Keadaan sebaliknya berlaku pada zaman globalisasi ini.


Kecanggihan teknologi seperti internet mengandungi lambakan nilai buruk, pergaulan sosial lebih luas serta bebas pula akan membuka jalan kepada pelajar IPT terbabit dalam perlakuan dan eksperimen diperoleh di internet. Ibu bapa tidak boleh lagi ‘lepas tangan’ secara mutlak kepada pihak kedua memantau keselamatan akhlak anak mereka. Kelayakan memasuki IPT bukan penanda aras anak mereka benar-benar matang dan bersedia menghadapi cabaran.

Ini terbukti apabila ada kes pelajar IPT yang terbabit dalam salah laku akhlak khasnya hubungan seks luar nikah atau zina yang akhirnya boleh membawa kepada gejala kelahiran anak tidak sah taraf dan pembuangan bayi.

Soal selidik dilakukan Mazlin Mohamad Mokhtar dalam kajian mengenai pengetahuan, sikap serta amalan berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi di kalangan pelajar kolej dan universiti pada 2005 mendapati daripada 727 responden pelajar dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), seramai 50 peratus mengaku pernah melakukan hubungan seks, 80 peratus pula tidak menggunakan bahan pencegah kehamilan.

Laporan akhbar Berita Harian pada 21 Mac 2010 menyatakan, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bilangan anak tidak sah taraf dalam tempoh 2005 hingga 2009 ialah 214,033 orang. Daripada jumlah itu, 35 peratus adalah anak Melayu.
Jika dilihat statistik, berlaku peningkatan bilangan anak luar nikah bangsa Melayu iaitu daripada 16,100 pada 2007 meningkat kepada 16,541 pada 2008 dan 17,303 (2009). Situasi itu sepatutnya membimbangkan masyarakat khasnya ibu bapa remaja kalangan pelajar IPT.

Ibu bapa kekal menjadi ketua keluarga bertanggungjawab memimpin anak bertepatan kehendak syariah sesuai sabda Nabi SAW bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan setiap apa-apa yang kamu pimpin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun anak di IPT tidak lagi tinggal sebumbung, ibu bapa sebenarnya boleh terus melaksanakan tanggungjawab didikan akhlak kepada mereka. Selain menyalurkan dana kewangan dan keperluan pengajian mencukupi, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan hidup mereka.

Ini boleh dilakukan dengan sentiasa berhubungan dan bertanya khabar. Sekarang ini pelbagai kemudahan teknologi boleh digunakan untuk menghubungkan yang jauh termasuk sistem pengangkutan dengan kadar harga berpatutan.

Manusia secara tabiatnya akan mudah terpengaruh jika terdedah kepada sesuatu perkara dan ketiadaan pembimbing memudahkan pelajar tertarik dengan pergaulan bebas, gaya hidup materialistik dan budaya hedonisme.

Jika tidak ada pihak yang prihatin dalam soal akhlak dan moral, golongan belia yang asalnya terpilih untuk mengejar kecemerlangan akademik akhirnya boleh tersasar lalu terjebak mengejar keseronokan hawa nafsu.

Ini termasuk terbabit dengan pergaulan tiada batasan, seks rambang, seks luar nikah, salah guna dadah, alkohol, kehamilan remaja, pengguguran, jangkitan kelamin, HIV dan AIDS, keganasan seksual, menjual maruah diri demi duit.

Ibu bapa yang sentiasa mengambil tahu hal anak di IPT dan pada masa yang sama menghormati kebebasan mereka sebenarnya akan menimbulkan keinsafan dalam diri anak kerana terus dihargai, dibelai dengan pimpinan, teladan serta kasih sayang.

Isnin, Mei 31, 2010

Sembunyi dosa

SUDAH 10 tahun saya hidup berjauhan daripada suami. Suami di Kuala Lumpur dan saya pula di Utara. Suami akan pulang setiap dua minggu.

Saya mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan pertama. Suami saya seorang yang berharta tetapi kaki perempuan dan malangnya perangainya masih tak berubah walaupun usia sudah senja.

Pada awal perkahwinan saya tinggal bersama suami dan amat bahagia. Dia sering pulang ke kampung saya untuk menjenguk anak perempuan saya yang ketika itu berusia 16 tahun yang saya tinggalkan bersama arwah emak saya.

Akibat daripada tekanan tabiat buruk suami saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup berjauhan. Tekanan perasaan bertambah apabila anak saya mengadu dia dirogol tiap kali suami saya pulang ketika saya di Kuala Lumpur.

Saya bertanya suami mengenai perkara ini dan dia mengakuinya. Demi menjaga maruah keluarga saya mendiamkan perkara ini. Selepas tamat penggajian anak saya berkahwin tetapi dia sering mengalami trauma. Menantu saya pula berkali-kali menyatakan hasrat ingin membuat laporan polis.

Perasaan saya amat tertekan tiap kali teringatkan perkara ini dan memikirkan tabiat kaki perempuan dia yang sering diceritakan dengan bangga pada saya.

Saya sering mengingatkan dia hal dosa pahala, seksaan api neraka dan apa saja berkaitan agama dengan harapan dia mahu berubah. Namun dia semakin galak.

Soalan saya ialah daripada segi undang-undang adakah salah saya merahsiakan perkara ini dan adakah saya akan dipersoalkan di akhirat kerana merahsiakannya serta membiarkan anak saya menderita akibat tekanan perasaan, selain menghalang dia mengambil tindakan undang-undang?

Saya ada terfikir untuk meminta cerai tapi saya perlukan suami untuk menanggung keperluan hidup saya. Saya dalam dilema.

ELIA
Pulau Pinang


Jawapan :

Perkara maksiat dan kejahatan tidak wajar dilindungi sebaliknya wajib dibanteras. Dalam hal ini jika anak menjadi mangsa sumbang mahram sehingga rumah tangganya sekarang tergugat, wajib bagi ibu untuk memaklumkan pada pihak berkuasa yang dapat membantu menyelesaikannya.

Mereka yang berdosa tapi kemudiannya insaf dan mahu berubah wajar diberi peluang. Namun tabiat suami puan mempamerkan bahawa dia tidak insaf bahkan berbangga menceritakan pada puan dosa yang dilakukannya.

Perasaan yang menghalang puan membawa dia ke muka keadilan ialah kerana kebimbangan sara hidup puan. Pernahkah puan terfikir bahawa menyembunyikan dosa membiarkan terus hanyut dibuai dosa lebih dahsyat daripada menagih rezeki orang begini.

Pihak kerajaan ada menyediakan bantuan secukupnya pada mereka yang bermasalah seperti puan dari kementerian wanita mahupun bantuan zakat.

Usah ragu-ragu lagi, insya-Allah atas nama amar makruf dan nahi mungkar, bantulah suami dan anak untuk berubah dan bukannya membiarkan mereka terus hanyut.

Rabu, Mei 26, 2010

Poligami ikut syarak, adil jamin bahagia

Berita Harian
Oleh Asyraf Ismail
2010/05/25

Tidak patuhi syarat ditetapkan Islam punca pandangan negatif masyarakat

POLIGAMI, adalah satu perkataan yang bila disebut akan membuatkan sesetengah manusia tersenyum manakala sesetengah yang lain berkerut dahi. Poligami adalah antara perkara yang disyariatkan harus dalam Islam. Poligami juga adalah larangan keras dalam ajaran agama lain. Poligami sudah menjadi amalan umat manusia sebelum kedatangan Islam lagi.

Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (Surah An-Nisa’, ayat 2)

Penulis tidak ingin membincangkan lebih lanjut syarat itu secara khusus, namun ingin membawa pembaca melihat kepada realiti semasa atau permasalahan semasa berkaitan poligami.

Poligami sering dilihat jijik, dipersalahkan dan dihina berdasarkan keadaan sekeliling yang memaksa masyarakat memandangnya begitu. Masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai adegan dan pemasalahan konflik poligami sama ada secara realiti atau lakonan di kaca televisyen.

Realitinya, masyarakat sering dihidangkan dengan keluarga poligami yang berpecah belah, tidak adil, isteri ditinggalkan, anak-anak terbiar dan sebagainya. Lakonan filem dan drama tidak kurang membuat paparan serupa malah lebih hina lagi apabila ia dijadikan bahan jenaka. Salahkah masyarakat berfikiran begitu? Mungkinkah jika mereka diberi hidangan yang lain mengenai poligami, maka mereka akan berubah fikiran?.

Pengamal poligami kebanyakannya bukanlah mereka yang layak seperti disyaratkan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 itu. Mereka mungkin bersedia dari sudut fizikal tetapi bagaimana pula dengan mentalnya (rohani)? Bersediakah mereka dengan ilmu? Bersediakah mereka dengan kesedaran bahawa Allah akan menyoal setiap amanah yang mereka pikul?

Sunnah Nabi SAW sering dijadikan alasan dan sandaran rapuh bagi golongan ini yang kononnya ingin mengamalkan sunnahnya. Kebanyakan mereka tidak menyedari sunnah ini disandarkan kepada hukum keharusan bersyarat yang Allah SWT nyatakan. Syarat-syarat ini sering dikesampingkan demi mencapai cita-cita berpoligami yang menjadi idaman sejak sekian lama.

Nafsu dan syahwat berlegar menguasai hati dan minda supaya terus menempuhnya tanpa perlu direnung lagi. Akibatnya, terjadilah poligami yang hina dan dihina. Wanita yang mengharapkan poligami dapat menyelamatkan mereka, terus hampa.

Namun, di sana ada begitu ramai kalangan wanita yang perlukan kasih sayang, perlukan suami, perlukan perlindungan daripada seorang lelaki. Bilangan wanita yang terus melebihi lelaki semakin bertambah saban tahun. Nisbah ini semakin ketara apabila dilihat secara lebih dekat di menara gading atau pusat pengajian lain.

Kebanyakan wanita yang berjaya sukar mendapatkan pasangan sesuai bagi mendirikan rumah tangga apatah lagi menginginkan pasangan yang baik. Lebih ketara lagi kepada janda (ibu tunggal) yang bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Ramai di kalangan mereka muda serta masih mengimpikan sebuah keluarga.

Namun hakikatnya, mendapat pasangan yang masih bujang ketika mereka sudah bergelar janda dengan sejumlah anak, impian ini semakin sukar. Apakah jawapannya? Tentulah poligami. Dilema ini semakin menjadi rumit apabila memikirkan hakikat poligami semasa serta pandangan serong masyarakat terutama kalangan wanita sendiri terhadap amalan ini.

Kemungkinan besar, derita ibu tunggal ini akan berterusan terpaksa dipendam tanpa sempat menikmati hidup berkeluarga atas halangan terbabit. Wanita ini terus hampa. Ke mana perginya lelaki yang baik? Ke mana perginya ustaz yang begitu lantang menyampaikan dakwah? Mengapa mereka tidak tampil dan mengamalkan poligami sebenar sebagai contoh seumpama sunnah Nabi SAW?

Persoalan ini kerap timbul dan dibahaskan, ditambah ingatan bahawa sesungguhnya dakwah Nabi SAW berjalan serentak antara bil hal dan bil lisan (dengan perbuatan dan dengan perkataan). Nabi SAW tidak hanya mengajak umatnya ke masjid berjemaah tanpa Baginda terlebih dulu menunjukkan contoh. Begitulah dalam hal poligami yang diharuskan Allah SWT, Rasulullah adalah contoh teladan yang patut diikuti sepanjang zaman.

Mungkin kebanyakan lelaki baik ini mempunyai seribu satu alasan yang munasabah mahupun yang direka-reka. Antara alasan munasabah yang paling kerap diutarakan ialah berkaitan dengan undang-undang mengenai poligami. Undang-undang dilihat terlalu sulit lagi menyulitkan bagi mereka yang ingin berpoligami.

Pemohon perlu membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Syariah yang namanya sudah menimbulkan gerun. Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia pula mempunyai bilangan hakim yang terhad sehinggakan kadangkala menunggu giliran perbicaraan, rumah tangga yang dibina sedia kala menjadi retak menunggu belah mahupun terus berderai.

Mahkamah pula akan memanggil isteri pemohon, di samping bakal isteri serta walinya. Perbicaraan biasanya dibuat dalam mahkamah terbuka yang sedikit sebanyak menyebabkan ramai yang terbantut memikirkan kemungkinan aib yang bakal didengari orang lain. Perbicaraan biasanya akan membabitkan keterangan isteri yang peratus menolaknya sangat tinggi.

Maka keterangan ini kebiasaannya akan membabitkan kelemahan atau kekurangan suami sebagai menguatkan hujah menolak permohonan itu, sama ada ia benar atau mungkin ditambah-tambah. Mana mungkin orang baik lagi terhormat sanggup menghadapi keadaan ini sedangkan mereka dihormati dan disanjung masyarakat.

Akhirnya, mereka hanya memendamkan hasrat poligami demi kerana baiknya mereka dan tidak sanggup menanggung malu. Wanita yang memerlukan pembelaan atau perlindungan lelaki yang layak dan baik, sekali lagi hampa.

Kesimpulannya, poligami adalah jalan penyelesaian yang disediakan Allah untuk hamba-Nya. Hamba-Nya sebagai khalifah, haruslah mengatur jalan ini supaya cantik dan sesuai. Semua syaratnya harus dipenuhi dan dipelihara tanpa dihujani tambahan perkara yang menyulitkan. Kekeluargaan adalah permulaan sebuah ketamadunan. Sistem Islam adalah penyelamat.

Jumaat, Mei 21, 2010

Pembahagian harta secara ijab kabul hak bapa

2010/05/21
Berita Harian
Soal Jawab Agama

BAPA saya pernah berkata, ketika dia sakit, dia telah membahagikan semua harta peninggalannya sama rata kepada semua anak. Katanya lagi, sejumlah wang dalam peti besi tidak boleh diganggu untuk pengurusan jenazah serta majlis tahlil selama 40 hari dan selebihnya untuk disedekahkan. Adakah pembahagian harta oleh bapa saya sah mengikut hukum syarak dan apakah kata-katanya itu boleh dianggap sebagai wasiat atau ada pilihan lain bagi waris.

Warga Indonesia.

AGAMA Islam mempunyai kaedah tersendiri menguruskan harta di mana waris lelaki dan wanita mempunyai bahagian masing-masing yang berbeza antara satu sama lain.

Firman Allah bermaksud: “Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai wasiat buat anak-anakmu di mana bahagian seorang anak lelaki adalah menyamai dua bahagian anak perempuan.” (Surah An-Nisa’. Ayat 11)

Oleh demikian, perkara perlu diperhatikan waris ialah pembahagian harta mengikut syariat Islam selepas wasiat dan hutang si mati sudah selesai.

Bagaimanapun, jika pembahagian sudah diputuskan oleh bapa ketika hidup, diteliti dan disaksikan sebilangan ahli keluarga, maka ia adalah diharuskan kerana boleh dikira sebagai hibah atau hadiah melalui ijab dan kabul (serah terima).

Cara ini juga diterima kerana tuan punya harta masih hidup dan menepati syarat hadiah iaitu serah terima serta kewujudan saksi. (Fatwa Syeikh Muhammad Sulaiman As-Syafie)
Oleh itu, waris tiada apa-apa tuntutan lagi setelah bapa meninggal dunia kerana hadiah itu menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak kepada harta berkenaan.

Sabda Rasul bermaksud: “Adalah benar bagi seseorang Muslim tidur pada malam harinya dalam keadaan wasiat sudah tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Majah)

Namun demikian, wasiat si mati untuk ahli waris selepas kematiannya adalah dilarang kerana sabda Rasul yang bermaksud: “Tiada wasiat untuk waris kepada simati.” (Hadis riwayat Nasai)

Berkenaan persediaan sejumlah wang untuk pengurusan jenazah adalah dikira harta warisan yang perlu dibahagikan antara waris mengikut pandangan Syeikh Ibnu Hajar dalam fatwanya. Syekh Ibnu Solah (ulama’ Mazhab Syafie) berpendapat, apa yang diperlukan si mati ialah sekadar urusan kafan dan pengebumian saja kerana mereka yang hidup lebih memerlukan kepada harta itu.

Mengikut pendapat, keperluan untuk si mati ialah urusan kafan dan pengebumian yang menjadi kewajipan dan perkara lain seperti penyelenggaraan dan lain-lain adalah harus bagi waris dan boleh diabaikan. (Syarah Al-Manhaj)

Sebahagian ulama Syafiiyyah (Mazhab Syafie) juga berpendapat, jika apa yang disimpan untuk si mati tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya maka ia dikira wasiat yang perlu ditunaikan. Selebihnya akan disedekahkan untuk kebajikan si mati.

Daripada Amar Bin Saad daripada ayahnya, beliau diziarahi Nabi ketika sakit lalu diminta Nabi mendoakannya. Beliau juga menyatakan cadangan mewasiatkan separuh hartanya. Jawab Baginda: “Separuh terlalu banyak.” Lalu diturunkan 1/3 dan dibenarkan baginda. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum ini juga tertakluk kepada uruf (kebiasaan) sesuatu tempat. Contohnya jika majlis doa dan tahlil menjadi kebiasaan penduduk setempat, maka ia akan ditunaikan kerana adat juga boleh dijadikan penilaian dalam hal ini.

Jika ada harta yang berbaki maka disedekahkan juga untuk kebajikan pahala kepada simati. Nabi ketika ditanya mengenai pahala sedekah seorang anak untuk ayahnya yang sudah meninggal tanpa meninggalkan wasiat, jawab Nabi: “Ya”. (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Adalah lebih baik ahli waris menyediakan sejumlah wang tertentu untuk pengurusan jenazah si mati sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Jumaat, Mac 26, 2010

Utama kebajikan anak selepas berpisah

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
2010/03/26
Agama - Berita Harian

Ibu bapa bercerai wajar patuhi perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan, lawatan

KISAH perebutan hak penjagaan anak selalu menjadi isu besar antara pasangan yang bercerai. Apabila ibu diberikan hak jagaan ke atas anak, selalunya ayah mendapat hak lawatan. Begitulah sebaliknya.

Dalam amalan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah biasa, apabila berlaku perceraian antara pasangan yang mempunyai anak, perkara besar yang diselesaikan adalah siapa mendapat hak jagaan ke atas anak-anak dan bagaimana urusan nafkah mereka selepas ini. Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

Ia sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu.

Walaupun salah seorang ibu bapa menang dalam pertikaian merebut hak jagaan, sebenarnya anak-anak terbabit menjadi mangsa dan kehilangan keindahan hidup seperti yang mereka gambarkan di bawah bumbung rumah tangga bahagia. Kebajikan anak adalah faktor terpenting dan diiktiraf oleh semua mahkamah membabitkan urusan perceraian. Seksyen 86(2) Akta Undang-undang Keluarga Wilayah Persekutuan contohnya menyatakan, ‘untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu tertakluk kepada pertimbangan berkenaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahuan kanak-kanak itu jika dia sudah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri’.

Apabila pada pendapat mahkamah kebajikan anak akan lebih terjaga apabila berada bersama ibu, maka mahkamah akan memutuskan sedemikian. Namun jika anak sudah mencapai tahap umur mampu memberitahu isi hatinya dengan baik dengan siapa dia ingin tinggal, mahkamah akan meneliti perkara ini sebelum memutuskan siapakah yang mendapat hak jagaan itu.

Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan mahkamah sama ada keputusan Mahkamah Syariah bagi ibu bapa Muslim atau keputusan mahkamah biasa bagi yang bukan Muslim. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian.

Kes melarikan anak daripada tangan pihak yang mendapat hak jagaan juga bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang bertikai seharusnya cuba menilai kebajikan anak mereka dan kesan negatif perebutan yang berlaku.

Dalam satu kajian di California oleh pakar psikologi, Judith Wallerstein selama 25 tahun terhadap 131 kanak-kanak yang menjadi mangsa cerai mendapati anak-anak ini mengalami tekanan jiwa yang hebat. Daripada 131 kanak-kanak yang diikuti sehingga mereka menjadi dewasa, sebilangan besar terbabit dengan arak, dadah, melakukan zina/seks bebas di awal usia kerana tekanan dialami. Separuh daripadanya membesar dengan jiwa bermasalah dan berakhir dengan melakukan keganasan rumah tangga, bercerai dengan pasangan dan tidak mempunyai hala tuju hidup yang baik. Kesimpulan kajian itu, beliau mendapati kanak-kanak ini menghadapi masalah komunikasi dan berakhir dengan mereka sendiri melakukan pusingan sama, iaitu tidak bahagia dalam perkahwinan dan melalui hidup bercerai yang hampir sama dengan apa dilalui oleh ibu bapa mereka.

Bayangkanlah bagi anak-anak yang menjadi mangsa perebutan, dilarikan kerana perebutan hak jagaan yang tidak berkesudahan. Sudahlah ibu bapa bercerai, perebutan seolah-olah mereka adalah barang dagangan akan menyebabkan kesan dalam jiwa yang lebih besar kepada anak-anak.

Akhbar di Australia pada 24 Februari lalu, menyiarkan satu berita menggemparkan mengenai perebutan anak antara pasangan selepas cerai. Seorang ibu disabitkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Brisbane kerana membunuh anak mereka berumur enam tahun dan 10 tahun.

Ini berikutan Mahkamah Keluarga mengeluarkan perintah bahawa anak-anak diberikan hak lawatan menyambut hari Krismas bersama ayah mereka. Tidak dapat menerima keputusan itu dan sebagai membalas dendam kepada bekas suami, si ibu mengambil tindakan nekad membunuh anak-anak mereka.

Kisah pembunuhan pada November 2002 itu menjadi tajuk hangat sehingga hakim kes terbabit menyebut: “Perbalahan hak jagaan ke atas anak tidak boleh menjadi alasan untuk mengambil dua nyawa yang masih muda. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan sebarang serangan ke atas kanak-kanak, apatah lagi membunuh mereka.”

Berkaitan dengan melarikan anak daripada penjaga yang sah, mahkamah di Australia sekarang sudah menukar pendekatan apabila membenarkan gambar anak-anak yang dilarikan daripada ibu atau bapa yang diberikan hak jagaan disiarkan di dada akhbar dan laman web mahkamah.

Akhbar The Sunday Herald Sun pada 14 Mac lalu membuat laporan khusus mengenai kes sebegini menyatakan bahawa, ia adalah keputusan baru sebagai langkah terakhir mencari anak yang dilarikan terutama selepas berlaku perceraian. Alasan diberikan oleh pihak mahkamah dan juga polis adalah demi menjaga kebajikan anak.

Apakah pendekatan itu boleh dibawa ke Malaysia? Islam mengiktiraf bahawa hubungan perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan boleh diakhiri dengan perceraian. Walaupun ia tidak disukai Allah tetapi tetap dibenarkan dalam situasi tertentu.

Apa yang penting adalah perceraian di antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak. Alangkah baik sekiranya hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik di antara ibu dan bapa mereka.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, seharusnya jalan pintas bukan melarikan anak tetapi menggunakan saluran mahkamah juga untuk mendapat penghakiman yang lain.

Penulis ialah Prof Madya di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam, sedang melanjutkan PhD bidang Undang-undang Keluarga di Melbourne


Ahad, September 06, 2009

Angkara internet

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook


IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka. Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci' Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

Selasa, September 01, 2009

Mencukur bulu ari-ari sunat, rambut boleh diinai

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

SAYA ingin tahu apakah hukum mencukur bulu dan mewarna rambut baik bagi wanita mahu pun lelaki?

Iela
Lenggong, Perak.


Hukum mencukur bulu bergantung kepada keadaan. Dalam Islam, membersihkan bulu ari-ari adalah suatu perkara sunat yang amat dituntut.

Demikian juga mencabut bulu ketiak. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Malik dalam al-Muwatta, al-Nasaei, Ibn Hibban, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang termasuk dalam fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menipiskan misai dan memotong kuku.

Perbuatan mencukur bulu pada anggota lain makruh atau haram sekiranya dilakukan dengan niat menyerupai jantina yang lain. Ini termasuk usaha lelaki yang mencukur bulu roma dengan tujuan menyerupai perempuan.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan lain-lain bahawa Nabi melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah seperti kesakitan atau alahan pada kulit, harus baginya mencukur bulu roma itu.

Mewarna rambut pula diharuskan malah Nabi pernah mengarahkan sahabat yang mempunyai banyak uban agar mewarnakan rambut agar hilang warna putih itu. Sebagai contohnya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya, Nabi menegur Abi Quhafah pada hari pembukaan Kota Makkah dengan kata baginda : "Ubahlah warna rambutmu ini, tetapi jauhilah warna hitam."

Berdasarkan arahan Nabi ini, kalangan ulama hadis contohnya al-Syaukani dalam Naiulul Awtar, menetapkan galakan memakai inai pada rambut dan janggut dengan warna kemerahan dan kekuningan. Tetapi bersandarkan hadis ini juga, jelas Nabi mengharamkan mewarnakan rambut dengan warna hitam.

Selasa, Ogos 18, 2009

Kesengsaraan, musibah dorong insan gigih perbaiki hidup

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH menciptakan alam ini sarat dengan ujian sebagai kelayakan untuk melahirkan insan paling baik amal, tinggi nilai kesabaran, jitu darjat keimanan dan yang terpuji akhlak. Neraca piawaian yang menjadi pertimbangan di sisi Allah ialah kualiti bukan kuantiti amal.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang bertaubat)”. (Surah al-Mulk, ayat 2)

Kehidupan dunia pada umumnya dihiasi pelbagai rentak dan ragam manusia. Ada wajah ceria yang penuh tawa ria dan ada pula wajah muram yang penuh tangisan dan duka. Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah wajah dunia yang menjadi impian setiap insan, manakala musibah dan kesengsaraan amat digeruni setiap makhluk. Yang pasti setiap makhluk pasti melaluinya berdasarkan ketentuan Ilahi yang Maha Berkuasa. Kedua-duanya ujian Allah untuk menguji, menapis dan memilih di kalangan manusia yang beriman, beramal dan bertakwa ke hadrat Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal berkenaan tidak terdapat pada orang lain. Orang mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga kebaikan baginya. (Hadis riwayat Ahmad)

Perlu diinsafi ujian Allah ke atas makhluk-Nya pelbagai jenis sama ada berbentuk nikmat atau musibah. Kenyataan ini menolak tanggapan dan pemahaman umat Islam yang menyempitkan skop ujian Allah kepada musibah dan bala.

Kurniaan nikmat, kesenangan, kesihatan dan kemewahan harta termasuk senarai ujian Allah terhadap makhluk-Nya. Kehidupan yang dilalui setiap manusia tidak terlepas daripada pasang dan surut, senang dan susah, sukses dan gagal serta gembira dan sedih.

Oleh itu, manusia dibekalkan Allah kemampuan fizikal, kecerdasan akal dan hati nurani untuk menyesuaikan diri mendepani kesulitan dan musibah yang dihadapi. Kadangkala timbul persoalan di fikiran apakah makna hakikat kesulitan dan musibah yang menimpa manusia dalam kehidupan.

Jika direnung secara mendalam realiti kesulitan dan musibah, ternyata ia menjadikan manusia semakin kuat dan tabah menghadapi kehidupan. Tanpa kesulitan dan musibah tidak wujud istilah kemajuan dalam kehidupan manusia.

Perlu diingat manusia ialah makhluk berilmu dan terpelajar kerana mampu belajar daripada kesulitan dan seterusnya mencetuskan inspirasi menjadi lebih kuat serta maju kerana berjaya melepasi halangan sepanjang hidupnya.

Tanpa kesulitan, tidak ada erti kekuatan intelek manusia berbanding makhluk lain, malah tanpa musibah, keupayaan intelek mati dan akhirnya menghilangkan identiti manusia dalam kehidupan penuh dinamik dan inovasi.

Kesulitan hidup jika dilihat daripada sumber kehidupan sebenarnya adalah jalan pendakian menuju ke puncak keredaan Ilahi dan kebahagiaan sejati.

Oleh itu, setiap insan jangan mengeluh dan berputus asa, apatah lagi mencaci maki segala musibah. Sikap mengeluh dan berputus asa hanya menghancurkan kemampuan manusia sedia ada, malah setiap keluhan hanya menyebabkan kesulitan terasa semakin berat dan payah untuk dihadapinya.

Justeru, musibah dan kesulitan hidup dihadapinya dengan penuh kesabaran sebagai langkah menuju keredaan Allah.

Khamis, Julai 16, 2009

Sepuluh pedoman, panduan layari alam perkahwinan

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
salidasuhaila99@yahoo.com


RUMAH tangga yang bahagia dan aman tenteram menjadi impian suami isteri. Ikatan kasih sayang dua insan dipadukan dengan harapan semoga berkekalan sepanjang hayat. Namun, dalam kehidupan berumah tangga pasti tidak lekang daripada dugaan dan pancaroba yang boleh menggugat kesejahteraan.

Oleh itu, beberapa petua untuk renungan bersama supaya rumah tangga yang terbina kekal aman serta dilimpahi kasih sayang sepanjang masa. Ini perlu bagi mengelak berlaku perceraian yang semakin meningkat.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yaman, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

Demikianlah 10 petua yang diperturunkan kepada anaknya dan sangat relevan buat kita pada zaman ini, iaitu panduan buat wanita yang akan mendirikan rumah tangga supaya bahtera dilayari bersama suami berada dalam landasan yang betul lagi diredai Allah.

Seperti yang diketahui, pelbagai masalah keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi dan tidak menampakkan susutnya. Jadi sewajarnya petua Umamah dijadikan sebagai teladan dan peringatan buat muslimah.

Rumah tangga aman bahagia akan membawa keberkatan hidup dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Apa yang mustahak, kedua-dua suami dan isteri mesti memiliki sikap saling hormati-menghormati dan nilai toleransi tinggi.

Tidak dinafikan wanita menjadi tunjang kepada terbentuknya suasana bahagia dan harmoni. Imam Hasan Al-Banna berkata: “Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia.

“Perempuan yang menggoyang hayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya. Ketenteraman, ketenangan dan perlindungan, itulah kata tepat untuk menggambarkan antara lelaki dan perempuan.

“Seorang perempuan, wahai saudaraku, berlindung pada suaminya untuk memperoleh kekuatan dan kehidupan, sedangkan lelaki berlindung kepada isterinya untuk memperoleh kecintaan dan kehidupan.”

Andainya sikap saling memahami dan bertolak ansur diterap antara suami isteri, fenomena cemburu buta yang berakhir dengan perceraian dapat ditangani. Ini tidak, hal remeh temeh mencetuskan polemik, sehingga membesar menjadi punca keretakan hingga meruntuhkan rumah tangga.

Kehidupan berumah tangga yang sentiasa berpayung pada cahaya keimanan kukuh tidak akan mudah digoncang, malah sentiasa mendapat berkat Allah. Ingatlah, keluarga yang aman bahagia akan melahirkan anak cemerlang.

Anak yang dilahirkan dalam ruang lingkup keluarga harmoni akan memacu landasan hidup sempurna. Wujudlah rumahku, syurgaku, yang menjadi impian semua pasangan. Semua inginkan kebahagiaan melalui gerbang perkahwinan dan Islam menggalakkan perkahwinan untuk mencari ketenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumahmu sebagai tempat tinggal (untuk ketenangan).” - (Surah An-Nahl, ayat 80)

Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga




Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

salidasuhaila99@yahoo.com


Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentuk keluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma' binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki" (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya." (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: "Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga."

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar."

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.