Selasa, November 17, 2009
Suami selalu hina melalui SMS
Utusan Malaysia
ADA orang beranggapan, poligami itu indah. Memang betul indah tetapi jika tidak kena caranya ia boleh mengundang padah. Memang mudah untuk berpoligami tetapi mampukah si suami dan isteri mengawal kehendak dan nafsu mereka dengan alasan mengikut tuntutan sunnah nabi?
Inilah yang ingin diceritakan oleh Linda, (bukan nama sebenar) mengenai sikap suami yang kuat nafsu tetapi kurang ilmu tentang erti tanggungjawab.
Kepada pasangan yang berpoligami, elok tatap nukilan ini buat teladan dalam mengharungi perkongsian hidup yang penuh cabaran.
"Nama saya Linda, berumur 40 tahun. Saya mempunyai perniagaan sendiri bagi menampung hidup saya.
"Saya adalah isteri ketiga seorang ahli perniagaan. Bagaimanapun saya telah dijatuhi talak tiga melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada November 2008 kerana bekas suami terlalu taksub dengan bekas isteri keduanya.
"Sebelum saya ditalak, bekas isteri keduanya telah terdahulu menerima nasib yang sama pada bulan Ramadan tahun lalu. Ketika itu saya masih tinggal bersama bekas suami. Bekas isteri keduanya juga masih tinggal sebumbung walaupun telah ditalak tiga.
"Setelah dicerai, saya keluar dari rumah kerana tidak mahu tinggal sebumbung bersama mereka.
"Perasaan saya hanya Allah SWT saja yang tahu. Pada mulanya saya tidak mengetahui tentang bekas suami saya telah kembali kepangkuan bekas isterinya tetapi Allah menggerakkan hati saya untuk mencari dan mengintai aktivitinya. Semua persoalan akhirnya terjawab.
"Setelah saya keluar dari rumah itu, satu kejadian berlaku di mana bekas suami cuba membunuh diri kerana telah ditipu oleh bekas isteri keduanya sebanyak RM180,000.00. Wang itu adalah wang persaraan bekas suami.
"Pada waktu itu pula tidak disangka, saya hamil dua bulan. Sayangnya rezeki tidak memihak kepada saya kerana keguguran. Saya menghubungi suami bagi memaklumkan kejadian itu tetapi tidak berhasil kerana dia telah menghilangkan diri.
"Namun atas usaha saya, khabar yang saya terima bahawa suami dan bekas isteri keduanya menetap di Cherating, Pahang.
"Sejak itu saya mendiamkan diri hingga ke saat ini. Terlalu banyak keraguan saya yang telah terjawab. Allah menunjukkan kebenarannya di hadapan mata saya sendiri.
"Tidak sanggup melihat mereka membuat maksiat, saya mengadu kepada beberapa badan berkaitan tetapi tidak ada tindakan sehingga hari ini.
"Paling saya sedih sebab bekas suami seorang yang bergelar haji dan alim orangnya. Saya terkilan dengan sikapnya itu. Sejak saya berdiam diri, dia cuba memujuk dan ingin kembali ke pangkuan saya.
"Bagaimanapun saya nekad tidak akan termakan pujuk rayunya lagi. SMS yang dia kirimkan cukup sebagai bukti talak telah jatuh. Saya telah membuat laporan ke pejabat agama dan kini menunggu masa untuk ke mahkamah.
"Saya amat sedih dan merasa tertipu dengan apa yang telah berlaku. Saya tidak tahu perasaan bekas suami yang hidup bergelumang dengan dosa. Perbuatan sumbang mereka diketahui kawan-kawan dan jiran tetapi tidak siapa berani mengambil tindakan.
"Lalu tertanya-tanya juga saya, adakah bekas suami gembira dan bahagia dengan apa yang dia jalani sekarang? Apakah dia sedang menyembunyikan perasaannya yang sebenar atau memang dia hidup gembira bersama bekas isteri keduanya itu?
"Saya amat sedih mengenangkan nasib isteri pertamanya yang ditinggalkan tanpa sebarang nafkah sejak 10 tahun lalu. Bekas suami langsung tidak menunaikan tanggungjawabnya terhadap isteri pertama.
Saya kini merasa bersalah dengan isteri pertama kerana merampas suaminya.
"Dahulu semasa sebelum berkahwin, saya terpukau dengan pelbagai cerita tidak baik yang dibawa oleh bekas suami tentang isteri pertama dan keduanya.
"Tentang bekas isteri kedua memang benar kerana dia seorang yang sombong dan pernah menghantar SMS menggunakan bahasa dan ayat-ayat yang tidak sedap dibaca kepada saya.
"Bagaimanapun, saya tidak ambil peduli akan SMSnya itu dan terus mendiamkan diri,'' cerita Linda.
Tambahnya, sepanjang menjadi isteri, susah mendapatkan nafkah zahir dan batin. Apabila diminta dia mengungkit tetapi jika isteri kedua yang meminta pasti didahulukan.
"Sejak itu hati saya tercalar yang amat sangat malah SMS yang dihantar oleh bekas suami juga agak tidak sopan dan menghiris perasaan saya.
"Saya lebih banyak bersabar dan bertahan malah kadang-kadang timbul penyesalan kerana bernikah dengan dia tetapi kerana sudah jodoh saya reda dan terima segala ketentuan-Nya.
Selalu menipu
"Saya sakit hati apabila membaca SMS daripada bekas suami yang menghina saya sebagai isteri seolah-olah saya macam perempuan jalanan, macam sampah di tepi jalan!
"Saya masih boleh berfikir yang mana dosa dan pahala, Jika dibandingkan taraf pendidikan saya lebih berkelulusan tinggi daripada bekas isterinya.
"Bahkan bekas suami menafikan telah menjatuhkan talak terhadap saya. Namun, Allah itu Maha Adil dan saya bersyukur kerana dapat melihat sendiri sikapnya yang jahat dan tidak ingat batas agama itu.
"Pada masa ini saya ingin melupakan semuanya. Mujur teman-teman dan ahli keluarga menyokong malah mereka reda atas apa yang berlaku ke atas saya.
"Insya-Allah, saya akan pulih dan akan terus hidup untuk masa depan saya. Nasihat saya kepada wanita di luar sana, elak daripada bernikah dengan suami orang.
"Tidak semua perkahwinan dengan suami orang itu indah malah sikap suami yang selalu menipu untuk menyelamatkan diri mereka dan mendapat apa yang mereka mahu amat ketara setelah pernikahan berlaku.
"Tidak dinafikan soal jodoh ketentuan Allah, tetapi sebagai manusia, kita juga berhak memilih apa yang terbaik untuk masa depan kita tanpa menghancurkan perasaan orang lain," Linda menutup ceritanya.
Masalah Linda bukan satu masalah baru dalam rumah tangga malah ia kini semakin menjadi virus dalam perkahwinan.
Ramai lelaki mahu berpoligami tetapi tidak menjalankan keadilan dalam rumah tangganya. Saya puji sikap berani Linda dalam membuat keputusan tentang masa depannya.
Para isteri lain yang bermasalah patut mencontohi sikap Linda.
Pesanan saya kepada Linda, teruskan hidup, jangan bersedih dengan apa yang berlaku, mungkin Tuhan akan mempertemukan anda dengan lelaki yang lebih baik pada masa depan.
Menutup catatan, senyuman itu tidak memberatkan tetapi ia mampu menceriakan jiwa yang kosong!
Salam
Khamis, November 12, 2009
Pendam gelodak batin 20 tahun
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmad
PUTRAJAYA: Malu diperli atau disindir mendorong segelintir isteri sanggup memendam gelodak batin lebih 20 tahun apabila suami yang sudah memiliki ‘pucuk muda’ langsung tidak menyentuh mereka walaupun tidak mengabaikan keperluan zahir, termasuk memberikan wang untuk keperluan harian.
Malah, ada lelaki yang mempunyai isteri baru sanggup memberikan pelbagai alasan termasuk menghidap penyakit kronik sehingga langsung tidak boleh tidur sekatil dengan isteri tua kerana kononnya boleh menimbulkan masalah kesihatan.
Ini menyebabkan isteri yang tidak tahan dengan gelodak batin terpaksa membawa masalah mereka ke mahkamah bagi menuntut cerai ‘tanpa rela’, tetapi menggunakan alasan lain bagi menjaga maruah diri supaya tidak dilabelkan sebagai wanita gila seks.
Bagaimanapun, ada wanita yang sanggup bertahan bertahun-tahun menanggung derita batin walaupun melakukan pelbagai usaha bagi menarik hati suami, tetapi pasangannya yang balik ke rumah lebih rela menonton dan terlelap di depan televisyen daripada melayani isteri.
Gejala tidak sihat di kalangan isteri menderita itu didedahkan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, yang mengaku menerima banyak aduan mengenai isteri tidak diberikan nafkah batin selama bertahun-tahun.Menurutnya, aduan itu bukan pelik, tetapi ia kenyataan yang perlu diterima apabila ada di kalangan suami sanggup menipu isteri dengan memberikan alasan tidak sihat atau menghidap penyakit kronik yang kononnya terpaksa membataskan perlakuan seks dan tidak boleh tidur sekatil dengan isteri.
“Alasan itu digunakan bertahun-tahun bagi mengelak tanggungjawab memberi nafkah batin kepada isteri. Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila si suami meninggal dunia dan suami didapati mempunyai isteri baru dan anak lain.
“Ketika hidupnya dia tidak melayan nafkah batin isteri dengan alasan tidak sihat, tetapi pada masa sama sanggup berada di depan televisyen berjam-jam,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, Wan Abdul Halim yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam persatuan ibu tunggal berkata, gejala tidak sihat itu membabitkan isteri berusia 18 hingga 50 tahun yang mengakui tidak diberikan layanan seks bertahun-tahun oleh suami.
Malah, katanya, ada lelaki tidak menyentuh isterinya bertahun-tahun walaupun mereka masih tinggal di rumah sama sehingga si isteri terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.
“Bagaimanapun, bagi menjaga maruah, isteri terpaksa menggunakan isu lain sebagai alasan walaupun nafkah batin isu utama yang sepatutnya diutarakan di mahkamah.
“Senario ini terlalu kerap berlaku dan seolah-olah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga ada isteri yang sanggup menyimpan gelodak jiwa mereka,” katanya.
Menurutnya, gejala ini sebenarnya satu penderaan terhadap golongan isteri yang sering menjadi sasaran apabila suami berkahwin lain secara sulit sehingga mengabaikan tanggungjawab batin terhadap isteri lain.
Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim menganggap golongan suami terbabit manusia yang tidak hiraukan dosa dan hanya tahu melayan nafsu sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap isteri yang sepatutnya dijaga sebaik-baiknya.
Ditanya sama ada wujud kes isteri yang terbabit dengan gejala tidak sihat apabila menghadapi masalah nafkah batin, Wan Abdul Halim tidak menafikannya, tetapi jumlahnya terlalu sedikit berdasarkan aduan diterima.
Menurutnya, kebanyakan aduan isteri yang menghadapi masalah itu lebih menjurus kepada menuntut perceraian di mahkamah tanpa mengaitkan diri dengan masalah nafkah diabaikan suami bertahun-tahun.
Lebih malang, katanya, ada wanita yang tidak mendapat galakan daripada keluarga dan rakan untuk mengetengahkan isu itu di mahkamah.
“Nasihat negatif kononnya tuntutan itu akan memalukan isteri dan golongan wanita mendorong isteri yang menderita tidak meneruskan hasrat ke mahkamah walaupun mereka mempunyai hak.
“Berdasarkan pemerhatian dan aduan, saya mahu gejala ini dibendung segera supaya tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, termasuk menghadapkan suami yang mengabaikan tanggungjawab batin kepada isteri ke mahkamah,” katanya.
Jumaat, September 04, 2009
Menangani kesedihan ditinggal suami
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
| |
| peserta dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta diiringi alunan muzik instrumental untuk memberi ketenangan. |
BERCERAI, ditinggalkan, berpisah dan teraniaya sama ada daripada aspek mental ataupun fizikal adalah antara beberapa terma yang amat digeruni wanita yang telah berkahwin.
Wanita yang berhadapan dengan situasi di atas lazimnya membiarkan diri terus tertekan, dihantui rasa takut dan bersalah yang bercampur baur dalam diri.
Tidak ramai daripada wanita yang ditinggalkan atau diceraikan mengetahui saluran yang betul untuk merujuk masalah mereka. Apabila perasaan negatif menyelubungi diri, pelbagai tindakan yang tidak masuk akal boleh terjadi.
Bagi wanita yang pernah berhadapan dengan situasi penceraian atau salah satu yang disebutkan di atas, jangan patah semangat kerana ada golongan ingin membantu.
Baru-baru ini bertempat di Pusat Konvensyen Swan, Pusat Perubatan Sunway, Selangor telah diadakan forum bertajuk 'Memperkasakan Wanita yang Ditinggal' yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Ch'ng Lin Ling serta Ketua Divisi Kesihatan Siemens Malaysia, Micheal Schmermer sebagai penaja forum.
Forum dua hari tersebut disertai oleh 30 wanita yang telah ditinggalkan. Forum yang lebih berbentuk kepada bengkel ini diketuai oleh Perunding Psikologi Klinikal Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.
Beliau yang juga merupakan pensyarah psikologi di Monash University, Sunway, berkata, wanita yang hadir dalam bengkel ini datang dari pelbagai latar belakang dan sejarah hidup.
Meluahkan
"Bukan itu sahaja, mereka turut diberitahu cara-cara untuk mengatasi kesunyian setelah ditinggalkan pasangan masing-masing," jelasnya yang pernah memberi rundingan kepada lebih 5,000 individu yang berhadapan dengan masalah kekeluargaan.
Menurut Paul, paling penting bagi wanita yang berhadapan situasi sebegini ialah kekuatan yang datang dalam diri mereka sendiri.
Antara jenis rawatan yang boleh diberikan kepada mereka ialah stimulasi dan rangsangan yang dilakukan secara individu dan dalam kumpulan.
Ketika satu sesi meluahkan perasaan, ramai peserta yang menitiskan air mata. Mereka dikehendaki berbaring, diberi bantal dan selimut, sambil diiringi kata-kata daripada moderator serta alunan muzik instrumental dipasang untuk memberi ketenangan kepada peserta.
Mereka kemudiannya dikehendaki menggunakan satu perkataan bagi menggambarkan keadaan diri mereka ketika itu.
Peserta kemudiannya dikehendaki berbaris dalam dua barisan dan bergilir-gilir mengambil tempat sambil membacakan emosi yang tercatat pada sekeping kertas yang ditampal pada bahagian depan baju masing-masing.
Pada forum tersebut, penulis berkesempatan menemuramah tiga peserta yang sudi berkongsi kisah rumah tangga mereka dan perasaan setelah menyertai bengkel memperkasakan wanita yang ditinggalkan.
Pengakuan eksklusif:
MASRIAH Abdullah, 54, seorang pekerja di klinik swasta. Ibu kepada lima anak berusia antara 21 hingga 31 tahun ini mengikut suaminya yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1993.
"Suami saya seorang yang panas baran. Sepanjang 19 tahun lamanya saya mengalami penganiayaan mental.
"Satu hari ketika dia hendak mengambil peperiksaan, suami telah menjatuhkan talak ke atas saya. Ketika itu saya merasakan pengorbanan saya sia-sia belaka, dia (suami) mendapat apa yang diingini, saya pula tidak berpeluang meneruskan cita-cita saya dalam bidang perubatan. Situasi tersebut benar-benar mengganggu fikiran dan emosi.
"Kekecewaan itu masih kekal hingga kini. Bagaimanapun dengan adanya bengkel seperti ini saya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi dan sedikit demi sedikit mengawal rasa marah dan kecewa yang selama ini membelenggu diri," ujarnya.
SABRINA Low, 45, ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Berasal dan menetap di Kuala Lumpur. Menurut Sabrina, perkahwinan dia dan suami memang bahagia hinggalah ketika dia hampir melahirkan anak kedua.
"Perkahwinan saya menjangkau empat tahun namun ketika usia kandungan kedua memasuki lapan bulan, suami membuat pengakuan bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain.
"Saya rasa seperti mahu mati. Dalam masa menunggu untuk bersalin saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan pun hinggalah rakan saya membawa saya berjumpa dengan kaunselor. Saya akhirnya bersalin tanpa suami di sisi dan selepas itu saya membawa diri dan anak-anak tinggal bersama ibu bapa.
"Bagaimanapun, setelah melibatkan diri dalam beberapa bengkel motivasi, barulah saya rasa bersyukur kerana bercerai. Tidak ada gunanya tinggal bersama suami yang kaki judi dan kaki perempuan.
"Kini kehidupan saya lebih baik dan saya juga telah sembuh daripada luka akibat ditinggalkan suami," ujarnya yang hingga kini masih belum berjumpa pengganti.
JOANNE Lim, 70, memang kelihatan lebih muda dari usianya. Jika orang mengatakan masalah membuatkan kita tampak lebih berusia dari umur sebenar tapi tidak bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Dia yang berasal dari Pulau Pinang berpisah dengan suami ketika berusia 36 tahun.
"Saya diceraikan sehari selepas melahirkan anak bongsu. Walaupun sudah bercerai, hati saya berkeras tetap mahukannya, saya akui rasa sayang terhadap suami amat kuat, dalam masa yang sama saya rasakan saya amat bodoh kerana menyayangi orang yang membenci saya.
"Selepas bercerai, saya mudah jatuh hati kepada mana-mana lelaki yang mendekati saya. Saya ada menerangkan kepada pakar psikologi tentang keadaan tersebut dan mereka mengatakan bahawa saya masih mahukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang suami. Tetapi hingga kini saya masih sendiri kerana belum bertemu dengan yang sesuai.
"Melibatkan diri dalam bengkel seperti yang dianjurkan pada hari ini amat membantu perasaan sedih yang saya alami. Ia sekali gus membuatkan saya tabah dalam meneruskan kehidupan bersendiri," ujarnya yang telah bercerai selama lebih 30 tahun.
Suami berubah bila dah kaya
Sumber : Utusan Malaysia
SEBELUM saya berbicara lebih lanjut saya ingin bertanya kepada pembaca wanita khususnya, adakah anda mencari suami yang taraf pendidikannya sama dengan anda atau anda menerima seadanya? Jika anda belum berkahwin, fikirkan sepuluh kali. Biasanya wanita menerima suami seadanya, tetapi suami zaman sekarang memilih isteri yang boleh memberi keuntungan dan memberi faedah kepadanya. Bukan mereka sahaja, malah keluarga mereka juga berpandangan demikian.
''Kalau boleh mereka mahukan menantu perempuan yang ada segala-galanya yang boleh memberikan kesenangan dan tidak menyusahkan anak lelaki mereka, misalnya ada kereta, rumah dan pekerjaan yang baik.'' Demikian cerita Khalida dalam e-melnya.
''Saya katakan demikian berdasarkan pengalaman sendiri dan melihat di kalangan kawan-kawan wanita sepejabat dengan saya. Mereka juga mempunyai pandangan yang sama. Kalau boleh suami mahu melepaskan semua tugas hakikinya kepada isteri untuk laksanakan, sementara dia bebas menyenangkan dirinya sendiri.
''Dulu masa mula berkahwin saya tahu taraf pendidikan dan pendapatan suami saya Zainoor, cuma seorang kerani, sementara saya walaupun seorang guru tetapi berijazah. Biarpun saya tahu kedudukannya, tetapi saya yakin kebaikan, dedikasi dia dalam bekerja di samping pandai menjalankan perniagaan sambilan boleh bahagiakan kami.
''Saya lihat dia cukup rajin berusaha, kerana itu saya yakin dia boleh menjadi ayah yang baik kepada anak-anak kami nanti. Hasrat saya tercapai hinggalah usia perkahwinan kami mencecah 12 tahun dan kami mempunyai 4 orang anak.
''Syukur kepada Allah kerana hidup kami cukup bahagia. Tambahan pula ketika itu Zainoor telah berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan atas dorongan saya, sementara saya sendiri telah naik pangkat menjadi guru besar.
''Berkat usaha dan persefahaman kami suami isteri, kami berjaya memiliki 3 buah rumah dan dua buah kereta untuk memudahkan kami bekerja.
''Sebenarnya bukan mudah memimpin suami menjadi berjaya, saya mengeluarkan wang simpanan yang banyak sebagai modal untuk menggalakan dia berniaga pada awalnya. Malangnya ketika itu kerana sayangkan suami dan ikhlas untuk membantunya, saya tidak pernah meminta balik duit yang dijadikan modal dia berniaga.
''Sebaliknya saya nasihatkan dia supaya menambah modal lebih banyak lagi supaya perniagaan dapat berjalan lancar tanpa tertangguh kerana ketiadaan modal. Pendek kata sejak lima tahun melihatkan diri dalam perniagaan sepenuh masa, hidup kami memang boleh dikatakan senang juga.
''Malangnya, saya terlupa melihat perubahan suami saya, setiap kali keluar malam saya yakin bila dia kata jumpa kontek dan rakan perniagaan. Katanya berniaga mesti banyak kontek, barulah berjaya, kalau boleh ikut cara orang Cina berniaga mereka ramai kawan, yang boleh bertukar fikiran dan meminta nasihat kalau perlu.
''Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, dia sudah mula pandai balik rumah hingga subuh. Saya dek kerana terlalu sayang dan percaya, tidak pernah terfikir dia boleh memusnahkan harapan saya dengan bercinta lagi.
''Satu malam dia balik awal lepas makan malam dia meluahkan hasrat hatinya ingin berkahwin lagi. Nak pengsan saya. Hancur semua harapan, hilang sudah kepercayaan saya terhadapnya selama ini. Sebulan kami berperang, habis tu saya lancarkan perang dingin, harapan saya supaya dia ingat kepada janji kami dan segala pertolongan saya kepadanya selama ini, dan menjadikan dia dirinya sekarang.
Bercinta
''Tapi orang tengah bercinta segala nasihat tidak didengar lagi, dia tetap ingin berkahwin dengan kekasihnya seorang wanita bekas pelayan kelab malam, berstatus janda anak tiga lima tahun lebih tua daripada saya.
''Saya rasa tidak ramai isteri yang sanggup bermadu dengan rela. Saya minta pendapat keluarga, memang tidak ada yang setuju, ibu saya yang tua dan uzur menyerahkan segalanya kepada saya, dan dia tidak menghalang kalau saya bercerai. Kerana ibu tahu besarnya pengorbanan saya menjadikan suami saya dengan kedudukannya hari ini. Dan ibu amat kesal kerana pengorbanan saya selama ini tidak dihargai.
''Kerana permintaannya di bantah, dia jadi seorang peminum dan jarang-jarang balik ke rumah. Dia bukan lagi suami saya yang saya kenal dulu. Akhirnya saya terpaksa memberi kata dua kepada suami saya untuk melepaskan saya. Dua bulan lamanya dia membuat keputusan dan seterusnya dia meninggalkan rumah dan pindah ke rumah baru dengan wanita tersebut bersama anak-anaknya.
''Apa yang saya kesalkan sudahlah suami buat saya sedemikian rumah, adik beradiknya ikut memfitnah suami saya bahawa saya tidak hebat dirajang, terlalu sibuk bekerja, selalu berkursus dan paling menyakitkan hati bila dia menuduh saya membodohkan dirinya selama ini kerana mengikut cakap saya.
''Pada saya tuduhan membomohkan dia memang fitnah, siapa dia? Dia cuma kerani asalnya, kalau saya pandai cari bomoh lebih baik saya bomohkan jutawan atau pegawai tinggi kerajaan supaya kahwin dengan saya bukan dia! Kejayaan dia dalam perniagaan sekarang pun hasil modal saya kalau tidak hingga kini dia masih kerani lagi. Memang dasar tak sedar diri!
''Lebih pelik mengapa selepas 13 tahun berkahwin baru timbul isu bomoh? Sepatutnya saya tuduh suami saya yang bomohkan saya, kerana mahu berkahwin dengan dia cuma seorang kerani sedangkan saya ada izajah.
''Sesungguhnya Allah Maha Besar. Baru setahun berkahwin, hidupnya mula berantakan, sudahlah duitnya dikongkong oleh isteri barunya, nak jumpa anak-anak sendiri pun disekat. Sehinggakan telefon bimbitnya pun dikawal rapi.
''Namun saya tidak kisah saya mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak saya. Syukur kepada Allah anak-anak saya dapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan tahunan mereka. Hakikatnya perceraian kami sedikit pun tidak mengganggu pelajaran mereka, malah saya lihat hidup mereka lebih ceria lagi. Dengar cerita belum sampai dua tahun berkahwin bekas suami saya sudah jadi kaki hutang.
''Kini hidup saya lebih bahagia. Benarlah kata orang, kekayaan belum tentu menjadikan kita bahagia. Kini hati dan fikiran saya lebih tenang, tak perlu melihat jam pukul berapa suami balik. Tak perlu terkejar-kejar siapkan makanan bila suami balik, kini saya lebih bahagia hidup bersama anak-anak. Biarlah dia bahagia bersama anak-anak tiri dan isteri barunya, di situ mungkin dia lebih bahagia daripada dengan anak-anaknya sendiri.
''Bukan niat berdendam tetapi bila segala pergorbanan tidak dihargai, tiada gunanya bertahan dan berpura-pura bahagia. Saya ambil langkah tepat untuk membahagiakan diri dan anak-anak saya. Bukan menderita menunggu suami yang sudah lupa diri.
''Kepada kaum hawa di luar sana, saya ingin berpesan, anda tidak perlu berasa lemah jika ditinggalkan suami kerana Allah yang mengatur segala kehidupan kita. Tentunya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik segala yang berlaku. Anda bukan perempuan malang. Tetapi anda terpilih untuk melalui ujian-Nya.'' Demikian cerita Khalida panjang lebar untuk menjadi teladan anda.
Yakinlah setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, Terpulang kepada anda mentafsirkan tetapi kalau tidak yakin anda boleh berdikari, sabar dan telanlah atas apa yang berlaku.
Isnin, Julai 27, 2009
Derita akibat suami berzina
DALAM kesibukan masing-masing, saya mengambil kesempatan berjumpa dengan Puan Nora di tempat yang dijanjikan, lantas membawanya ke Seremban, kebetulan untuk bertemu kawan. Kerana perjalanannya tidaklah begitu jauh, kami singgah di sebuah restoran untuk berbual panjang.
''Saya hairan dengan kelakuan sesetengah wanita, mereka langsung tak takut dosa dengan membuat maksiat dengan suami orang, sedangkan dia sendiri sudah bersuami dan berkeluarga,'' cerita Nora.
''Sudah lama saya tahu hubungan suami saya Farid dengan Zehan melalui cerita kawan-kawan, dan melalui SMS yang Farid terima. Tetapi bila ditanya, Farid tak mengaku. Sebaliknya mendakwa Zehan yang sering mengganggunya. Hubungan mereka sudah jadi cerita sepejabat. Akhirnya rahsia terbongkar, bila saya tahu dia tuduh Zehan yang menggodanya..
''Memikirkan Zehan yang suka menggoda Farid, satu hari saya pergi bersemuka dengan Zehan di gerai dia menjalankan perniagaan. Dia menafikan. Tapi bila Farid balik rumah saya pula kena marah. Farid mengamuk mendakwa saya pergi serang Zehan. Malah dia menggugut akan memukul saya kalau saya jumpa Zehan lagi. Peliknya kalau dia tak kenal Zehan kenapa marahkan saya jumpa Zehan.
''Sebenarnya ini bukan kali pertama Farid buat hubungan dengan isteri orang dan gadis-gadis, sudah banyak kali, tetapi semuanya saya sabar kerana memikirkan anak-anak masih kecil dan saya bimbang pelajaran mereka terganggu kalau kami bercerai. Oleh itu mengalah.
''Perangai buruknya bila dah bercinta, duit memanjang tak ada, kitalah tempat dia meminta bila 'sesak'. Bila tak dapat dia mengamuk dan akan berakhir dengan tabiat suka memukul. Sejak kecil anak-anak saya sudah biasa melihat saya kena pukul. Alasan Farid, saya jahat dan bodoh sebab itu kena pukul.
''Sejak peristiwa saya bersemuka dengan Zehan, hidup saya semakin terganggu, Zehan menghantar banyak SMS bukan sahaja kepada Farid, dengan pujuk rayu dan meminta simpatinya, malah lebih kerap kepada saya.
''Tetapi ayatnya bukan mohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya, sebaliknya dia memaki hamun saya di samping mendakwa dia akan bertindak supaya saya bercerai dengan Farid dan dia akan berkahwin dengan Farid.
''Demi anak-anak supaya saya tak bercerai, saya cari jalan hendak bertemu suami Zehan. Dengan bantuan kawan yang bersimpati saya berjaya menjejaki suami Zehan, Zul, sambil menceritakan apa yang berlaku di luar pengetahuannya.
''Malangnya Zul menafikan, tidak percaya apa yang saya ceritakan. Tetapi berjanji akan bertanya dengan Zehan. Oleh kerana saya sering dapat SMS maki hamun daripada Zehan, saya hantarkan kepada Zul biar dia tahu. Tetapi Zul mendapat cerita salah dari Zehan.
''Akibatnya, saya pula menjadi musuh Zul. Satu hari ketika saya ke kedai saya telah dipukul dari belakang oleh Zul. Kerana ketakutan, saya lari ke sebuah butik kecantikan berdekatan. Zul ikut masuk dan terus memukul saya. Bila saya bertanya, katanya saya jahat menganggu rumahtangganya. Saya melaporkan kejadian itu kepada polis. Bila saya mengadu hal ini kepada Farid, saya pula kena marah.
''Peristiwa itu masih dalam siasatan, sungguh saya tak sangka Zul berani memukul saya, sedangkan kebenarannya dia yang telah dipermainkan oleh isterinya yang membuat hubungan dengan suami orang. Malangnya Zul tak percaya.
''Satu hari saya dapat panggilan telefon daripada seorang wanita bersama ibu dan suaminya yang saya tidak kenali, mereka menasihatkan saya supaya segera berubat, kerana katanya kalau tidak rumah tangga saya akan hancur dan suami saya terus jadi bodoh seperti Zul suami Zehan. Saya terkejut dan bertanya lebih lanjut.
''Dalam perjumpaan dengan saya wanita ini menunjukkan gambar-gambar Zehan bersama keluarganya. Katanya gambar-gambar dirakamkan ketika mereka menjadi kawan baik. Mereka bersahabat lebih 20 tahun lamanya. Dia juga mengaku mereka anak beranak disuruh oleh Zehan mengganggu saya di telefon satu ketika dahulu.
''Katanya kini mereka sedar atas kesalahan yang dilakukan, kerana rumahtangganya juga hampir musnah. Setelah berubat kini baru dia insaf dan meminta maaf daripada saya.
''Daripada wanita ini saya mendapat alamat rumah ibu Zehan. Katanya saya patut cuba pergi meminta bantuan, mungkin ibunya boleh menasihatkan Zehan.
''Beberapa bulan kemudian saya pergi ke rumah ibu Zehan, tujuan saya supaya ibunya yang lebih matang itu boleh menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengganggu rumahtangga kami. Malangnya, belum sempat saya bercerita, ibu Zehan menghalau saya dengan sebatang paip plastik yang diketuk ke lantai dan ke dinding sekuat hati supaya saya tidak menghampirinya.
''Esoknya Zehan bawa ibunya buat laporan polis menuduh saya serang ibunya. Kepada ibunya saya katakan bahawa Zehan mengacau suami saya. Zehan pula dengan bangganya mengaku di depan ibu yang dipimpinnya, bahawa dia bukan sahaja mengacau tetapi dia memang selalu berzina dengan suami saya. Pengakuannya itu didengar oleh ibu dan adik lelakinya.
''Rentetan peristiwa itu hubungan saya dengan Farid jadi tak tenteram, dia tuduh saya menghasut anak-anak kami yang telah dewasa dan telah bekerja dan menuntut di universiti membencinya. Katanya, semakin hari anak-anak jadi kurang ajar tak mahu bercakap dengannya.
''Setelah diceraikan barulah saya sedar tidak ada gunanya dipertahankan perkahwinan ini, kerana selepas peristiwa itu barulah saya tahu banyak keburukan Farid,'' katanya.
Menurut Nora, jiwanya semakin tenang dan tenteram. Kata anak-anaknya, ayah mahu bercerai kerana tak lama dia akan bersara, akan dapat banyak duit, dan dia merasa dia cukup mewah dan tidak mahu hidupnya diganggu. Kepada kaum wanita semua ambillah iktibar. Sebaiknya kayakan diri sendiri.
Selasa, Julai 07, 2009
Isteri boleh tuntut cerai
Apakah hukum seorang isteri meminta cerai daripada suami yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya seperti tidak memberi nafkah, tidak pulang ke rumah dan memukul isteri?
Puan X Kuala Lumpur
Isteri boleh memohon cerai secara fasakh jika suami tidak memberi nafkah, tidak pulang ke rumah dan memukul isteri. Sehubungan itu, isteri perlu melaporkan perkara itu ke Mahkamah Syariah.
Fasakh boleh berlaku dengan beberapa sebab seperti berikut:
1. Suami cuai dari segi pemberian nafkah atau tidak memberi nafkah selama tiga bulan.
2. Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih dan hukuman itu menjadi muktamad.
3. Suami tidak melaksanakan kewajipan sebagai seorang suami terhadap isterinya selama satu tahun dengan tiada sebab munasabah.
4. Suami mati pucuk pada masa berkahwin dan keadaannya berterusan begitu.
5. Suami gila atau mengidap penyakit merana yang akan mengambil masa panjang untuk sembuh atau tiada harapan sembuh dan jika diteruskan perhubungan suami isteri akan menjejas kesihatan isteri.
6. Suami berlaku kejam terhadap isteri iaitu seperti:
a. Selalu memukul isteri atau menjadikan kehidupannya sengsara akibat kelakuannya yang kejam walaupun tanpa menggunakan kekerasan.
b. Bercampur gaul dengan perempuan lucah atau hidup dalam kehinaan.
c. Mencuba memaksa isteri supaya hidup lucah.
d. Menghalang isteri daripada melaksanakan perintah agama.
e. Tinggal dan bersekedudukan dengan perempuan lain yang bukan isterinya.
f. Jika suami mempunyai isteri lebih daripada satu, suami itu tidak melayannya dengan adil seperti dikehendaki mengikut hukum Islam.
7. Kerana sesuatu sebab lain yang diakui sah untuk cerai fasakh mengikut hukum Islam.
Isnin, Jun 01, 2009
Jodoh singkat
Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda
Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin. Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.
“Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta,” katanya.
Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.
“Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.
Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.
“Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.
Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama. Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka. Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.
“Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.
“Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka,”
“Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,”ujarnya.
Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit
HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.
Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.
“Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.
Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.
“Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.
Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.
“Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya.
Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.
“Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.
Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.
Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak
PERKAHWINAN hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.
“Mereka sebenarnya tidak memahami tujuan perkahwinan,” kata perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Katanya, ramai remaja dan pasangan muda mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan alasan tidak mahu bergelumang dosa, sedangkan ketika itu mereka tidak mempunyai ilmu perkahwinan.
“Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga,” kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin).
Malah, katanya, tempoh percintaan yang lama bukan penentu perkahwinan yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa. Tengku Asmadi berkata, sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.
“Dalam kehidupan sekarang, kita tidak nafikan sebelum berkahwin masing-masing bercinta dengan orang lain. Ada kes, ketika bersatu sebagai suami isteri barulah rahsia sebelum ini terbuka.
“Ada suami berasa tertipu apabila mendapati isteri yang disangka suci sudah tiada dara lagi pada malam pertama dan apabila suami tidak boleh menerima kenyataan, tercetuslah pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian,” katanya.
Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin.
“Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci.
“Ketika ini perlu ada kesediaan menerima pasangan seadanya kerana sebelum berkahwin kita melihat nilai positif di dalam diri pasangan, jadi kenapa selepas berkahwin kita tidak boleh menerima keburukan pasangan. Hargai kekurangan yang ada dan pada masa sama berseronoklah dengan persamaan yang wujud,” katanya.
Tengku Asmadi berkata, ketika awal pernikahan, cara berkomunikasi memainkan peranan utama dalam menentukan kerukunan rumah tangga berkekalan.
“Perlu diingat, setiap orang tidak suka jika sentiasa dipersalahkan dalam apa jua perkara. Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman.
“Bagaimanapun, ada pasangan yang tidak dapat menerima kekurangan ketara pada pasangan sehingga membawa kepada perceraian pada awal usia perkahwinan. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.
“Ketika itu, pasangan perlu bersikap rasional demi mengelakkan perceraian kerana kita tidak boleh berputus asa terhadap mahligai yang dibina kerana perceraian adalah perkara halal paling tidak disukai Allah,” katanya.
Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil.
“Pesan saya, perkataan pertama yang perlu dipadamkan terus daripada fikiran seorang suami ialah cerai kerana ia menandakan anda sememangnya ingin memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sesebuah perkahwinan.
“Pasangan muda sekarang tidak nampak impak perceraian kerana mereka tidak memikirkan soal tanggungjawab, selain tidak mendalami ilmu pernikahan sehinggakan mereka berani mempermainkan perkataan cerai itu sendiri,” katanya Tengku Asmadi berkata, modul kursus praperkahwinan yang ada untuk bakal pengantin diteliti semula dengan menekankan pelbagai elemen baru terutama yang membabitkan ilmu rumah tangga.
“Lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati,” katanya.
* Jahil ilmu rumah tangga
* Gaya hidup moden yang banyak menjurus kepada masalah sosial
* Belum bersedia menjadi suami isteri
* Gagal memahami dan menghargai pasangan
* Menyembunyikan sejarah silam
* Masalah komunikasi
* Kurang pemantauan daripada keluarga dan orang tua
* Kurang masa berkualiti bersama-sama
* Gagal memenuhi tuntutan batin pasangan.
Rabu, Mei 27, 2009
Suami curang, isteri enggan bermadu
bhnews@bharian.com.my
27 Mei 2009
KUALA LUMPUR: Tiada persefahaman, suami curang atau isteri enggan dimadukan serta campur tangan mentua dan ipar duai adalah antara punca utama menyebabkan pasangan suami isteri di negara ini bercerai.
Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, 42.3 peratus kes perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan (12 peratus), tidak bertanggungjawab (11.5 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus).
Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata punca lain disebabkan ketagih dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan faktor lain (12.6 peratus).
Perceraian disebabkan tiada persefahaman kebanyakannya membabitkan pasangan Cina, iaitu 45.8 peratus, diikuti Melayu (44.9 peratus) dan India (20 peratus).
"Punca perceraian pasangan India paling tinggi disebabkan campur tangan mentua dan ipar duai, iaitu sebanyak 30 peratus, Melayu (7.4 peratus), manakala Cina tiada kes," katanya dalam kertas kerja mengenai Profil Keluarga Di Malaysia dan Kesannya Kepada Masyarakat pada Seminar Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di sini, semalam.
Aminah berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat juga menunjukkan perceraian wanita Melayu dan Bumiputera lebih cenderung kepada kelompok berusia bawah 25 tahun serta pasangan berumur 40 tahun ke atas.
"Berbeza dengan tanggapan masyarakat bahawa institusi keluarga begitu rapuh dan perceraian kini berleluasa, sebenarnya data menunjukkan bahawa perceraian berlaku di kalangan segelintir penduduk (0.7 peratus) berdasarkan bancian tahun 2000," katanya.
Beliau berkata, pembangunan sosio-ekonomi turut memperlihatkan mereka yang berumur 20-30 tahun dan tidak pernah berkahwin terus meningkat di antara 1991-2000, iaitu daripada 43.2 kepada 48.1 peratus. Di kalangan wanita berumur 20-24 tahun pula, 68.5 peratus masih belum berkahwin pada tahun 2000 berbanding 60.2 peratus pada 1991 dan 51.3 peratus pada 1980.
Aminah berkata, kajian juga menunjukkan kadar minimum perkahwinan pertama lelaki meningkat daripada 28.2 tahun pada 1991 kepada 28.6 tahun pada 2000.
Katanya, umur perkahwinan pertama untuk wanita meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun.