#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan

Rabu, Jun 22, 2011

Q&A : Sistem pertahanan badan

Saya kerap mendapat demam dan selsema berbanding rakan-rakan lain. Kawan mencadangkan saya agar mengambil vitamin C untuk membantu saya menguatkan sistem imun. Adakah ia memadai atau perlukah saya mengambil bersama vitamin lain untuk memperkuatkan sistem pertahanan tubuh?

Jawapan: Sistem imun yang lemah bukan sahaja meningkatkan risiko mendapat demam, selsema tetapi juga pelbagai jangkitan serta masalah kesihatan. Proses penyembuhan daripada masalah kesihatan juga akan lebih perlahan. Demam, selsema, mudah jatuh sakit dan jangkitan, sering kelesuan, merupakan beberapa contoh lazim yang mungkin berkaitan kelemahan fungsi imun.

Sistem imun adalah kompleks dan penting untuk kesejahteraan hidup. Sistem imun yang kuat dan seimbang diperlukan untuk pengekalan kesihatan. Kemerosotan sistem imun boleh disabitkan oleh pelbagai faktor termasuk tekanan emosi dan fizikal, persekitaran, pendedahan terhadap radiasi dan pelbagai lagi. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang juga turut memberi impak ke atas sistem imun.

Antara nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada sistem imun adalah beta-karoten, vitamin C, E dan beberapa mineral seperti selenium dan zink. Tidak dapat dinafikan cara terbaik memperolehi nutrien-nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan. Makanan berkhasiat seperti sayuran segar dan buah-buahan, bijirin penuh serta jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk memperolehi tubuh yang sihat. Namun akibat pengambilan makanan proses yang banyak serta tabiat pemakanan yang seringkali diabaikan dan ditambah pula dengan gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu dan boleh dijadikan alternatif.

Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling banyak difahami. Fungsi asasnya adalah untuk membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan tisu serta mengekalkan gusi, tulang dan gigi yang sihat. Ia penting untuk fungsi sistem imun yang optimum dan membantu tubuh melawan jangkitan.

Vitamin C merupakan salah satu nutrien radikal bebas yang utama. Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpan dalam tubuh dan mudah termusnah oleh haba semasa memasak. Kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C setiap hari untuk memperolehi bekalan yang berterusan.

Vitamin E pula perlu untuk mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan. Ia juga memainkan peranan dalam melambatkan masalah degeneratif seperti penuaan pramatang. Zink dikenali sebagai nutrien mikro kerana diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Ia disahkan sebagai nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi imun yang optimum, kesihatan kulit dan penyembuhan luka.

Mineral seperti selenium juga diperlukan untuk pembentukan enzim glutathione peroxidase, di mana enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan daripada radikal bebas. Selain itu, selenium mengekalkan hati berfungsi secara optimal, merangsang sistem imun, selain untuk mata, kulit, rambut dan jantung.

Selain daripada menggalakkan sistem imun yang lebih baik, nutrien-

nutrien ini juga merupakan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Dalam tubuh, radikal bebas ini terbentuk hasil daripada pengoksidaan. Bahaya akan timbul apabila lambakan berlebihan radikal bebas berada dalam tubuh. Dengan sebab itulah vitamin dan nutrien seringkali digabungkan bersama dalam satu formulasi untuk kesan sinergistik.

Dalam usaha memperkuatkan sistem imun, jangan abaikan aspek emosi iaitu tangani stres dengan baik serta sentiasa amalkan pemakanan seimbang dan sihat serta tekankan amalan gaya hidup sihat.

Rabu, Januari 19, 2011

Panduan pemakanan untuk kanak-kanak

■ Penuhi waktu makan bersama anak-anak dengan membaca doa makan, bercerita berkenaan perihal makanan yang telah disajikan bersama trivia dan cerita sejarah para nabi, para sahabat atau kisah teladan yang pendek namun diolah dalam bentuk ceria.

■ Guna alatan masakan yang bersesuaian untuk peringkat umur anak dan hidangkan dalam pinggan, mangkuk, sudu dan garfu yang memikat hatinya agar selesa menggunakannya dan tidak jemu belajar untuk menghargai makanan. Gunakan peralatan pinggan mangkuk dan kutleri yang diperbuat daripada bahan yang selamat dan berwarna-warni, alas meja makan yang menarik, kerusi dan meja yang selesa mengikut saiz badan anak.

■ Bahan masakan perlu semula jadi segar, mengandungi vitamin, serat, kalsium dan galakkan anak kecil untuk minum minuman mineral, susu soya dan susu segar serta jus dalam menu harian.

■ Tabiat makan yang baik perlu diasuh daripada usia muda dan ibu bapa perlu menjadi model utama untuk tujuan ikhlas ini. Jangan beri komen negatif berkenaan makanan yang dihidangkan dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas rezeki yang dikurniakan

■ Beri peringatan melalui penceritaan tentang kesukaran mendapatkan makanan bagi insan lain dan di kala keperitan di waktu peperangan sebelum merdeka agar si kecil tidak suka membazir makanan.

■ Bimbing anak kecil untuk membantu memasak bersama, membasuh pinggan, mengemas meja makan dan menghidangkan makanan. Nyatakan pada si anak bahawa dahulukan yang kecil, warga tua dan ibu yang sedang me�ngandung sewaktu mengagih�kan makanan.

■ Kurangkan penggunaan gula, garam, bahan berlemak, makanan ringan, snek segera atau mengumpan kejayaan anak dengan gula-gula kerana ia amat berbahaya dan adalah jalan singkat saja. Elakkan obesiti pada usia muda.

■ Ciptakan situasi yang menggembirakan buat anak kecil setiap kali tibanya waktu makan dengan bercerita kepada anak dan gunakan bahasa yang penuh kasih sayang serta memperuntukkan sejumlah masa yang secukupnya buat si comel. Berbual dengan mesra, mimik muka yang ceria dan gaya bahasa badan yang bersungguh-sungguh dalam penyampaian cerita. Kongsi fakta menarik tentang makanan yang dimakan oleh anak.

■ Beri peluang, ruang, masa dan pujian kepada anak setiap kali pada waktu makan. Elakkan daripada memberi tekanan atau membuat sebarang kenyataan yang boleh mematahkan selera makan si comel. Ingatlah bahawa segala galakan yang datang daripada ibu bapa amat bermakna buat anak dan akan diingati sepanjang hayatnya

Rabu, Julai 28, 2010

Umat Islam ambil mudah isu makanan halal

Oleh Tuan Musa Awang
Berita harian
2010/07/28


Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN

PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.

Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai. Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?

Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?

Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.

Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.

Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.

Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.

Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?

Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?

Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com atau laya

Isnin, April 26, 2010

Serlahkan kecantikan

25/04/2010
Kesihatan
Utusan Malaysia

DOKTOR minggu pertama saya kurangkan kalori dengan berpuasa berat mula menurun. Tapi kenapa selepas itu berat tak turun bahkan semakin meningkat. Ini yang membuat saya hilang semangat untuk berdiet.

''Kenapa sukar benar untuk kurus,'' keluh Puan Sal sambil menyuarakan rasa putus asa dan tidak percaya lagi bahawa dirinya mampu kurus.

Saya memberikan penerangan jelas bagaimana tubuh kita memecahkan lemak. Kini setelah menjalani rawatan beliau sudah pun mampu tersenyum semula. Beliau tampak muda dan jelita setelah tubuh menjadi langsing.

Obesiti bermaksud keadaan berat badan berlebihan atau overweight.

Maafkan saya kerana tidak menyokong obesiti. Bagi saya obesiti adalah satu masalah fizikal yang menyebabkan seorang yang cantik tertutup kecantikannya.

Meskipun kata-kata saya menghiris hati golongan gemuk namun anggaplah ia satu cabaran untuk menguruskan badan. Kata pepatah Melayu sayang anak tangan-tangankan. Sayang seorang doktor kepada pesakitnya adalah untuk merubah keadaan anda agar menjadi kurus, cantik dan sihat.

Kecantikan bagi seorang wanita merupakan aset yang sangat penting. Setiap wanita mahu mengekalkan kejelitaannya untuk sepanjang hayat namun ramai tidak dapat berbuat demikian kerana dilanda obesiti.

Seseorang yang terlalu gemuk sudah tentu tidak dapat menggayakan pakaian yang cantik. Apa sahaja yang dipakai akan tampak kurang menarik kerana faktor tubuh badan yang besar. Mereka juga sering kecewa apabila membeli-belah kerana tidak banyak pakaian yang dijual bersaiz besar. Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk shopping dan lebih suka memakai baju besar dan longgar bagi menutupi kekurangan.

Wajah orang yang gemuk juga kurang cantik kerana bentuk muka yang sebenar dilitupi oleh lapisan lemak yang menutup kecantikan sebenar. Sudah tentu apabila sudah berjaya menjadi kurus mereka akan kelihatan sangat berbeza dan bertambah cantik.

Realiti kehidupan menunjukkan yang cantik disenangi justeru marilah kita mengubah penampilan diri menjadi lebih baik lagi. Lagi pun tidak rugi jika menjadi bertambah langsing cantik dan sihat.

Tidak salah jika saya katakan obesiti adalah raja segala penyakit lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini merosakkan sistem tubuh kita. Lalu ramai yang mengeluh kesal kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Potongan tubuh yang langsing dan wajah yang cantik kini hanya tinggal kenangan belaka. Bolehkah ia dipulihkan semula? Sudah tentu boleh jika anda memulakan langkah yang betul.

Apakah punca overweight?

Overweight berpunca daripada lebihan lemak yang terhasil akibat ketidakseimbangan antara kalori yang diambil dengan kalori yang digunakan.

Maknanya seseorang makan makanan yang lebih banyak kalori daripada kalori yang digunakan. Lebihan kalori akan ditukar oleh badan dalam bentuk lemak yang tersimpan sedikit demi sedikit sehingga menjadi berbukit-bukit dan dan empunya badan menjadi gemuk gedempol.

Memahami konsep kalori

Kalori iaitu tenaga yang tersimpan dalam makanan ditukar menjadi lemak dan lemak sebegini sukar digunakan semula menjadi tenaga. Lemak tersimpan hanya akan digunakan apabila tubuh mengalami kurang kalori. Jika kalori yang diambil sudah cukup, tubuh kita akan menggunakan tenaga segera itu tanpa menjejaskan jumlah tenaga tersimpan.

Oleh kerana gaya hidup masa kini, amat mudah kita hanya melakukan aktiviti ringan dianggarkan kita mengenyahkan 2,100 kalori setiap hari.

Anda boleh menggunakan senarai di atas untuk membuat anggaran jumlah kalori yang anda gunakan setiap hari.

Kelebihan menggunakan carta adalah anda boleh membuat menu sendiri berdasarkan jumlah kalori yang tertera. Contohnya jika anda bermain tenis pada Isnin, maka anda boleh memilih makanan dalam jumlah kalori yang agak tinggi pada hari tersebut. Manakala jika anda tiada aktiviti yang menggunakan tenaga, maka anda harus mengurangkan jumlah kalori yang diambil.

Anda boleh makan apa sahaja asalkan tidak melebihi jumlah kalori yang diperlukan. Tidak perlu hanya makan salad kerana banyak lagi makanan lain yang rendah kalori.

Pastikan diet anda mengandungi semua kelas makanan seperti sayur, roti, nasi, ikan, daging dan ikan. Elakkan gula dalam minuman kerana ia mengandungi kalori semata-mata tanpa zat makanan yang lain. Anda perlu kreatif dalam menentukan sajian agar waktu makan menjadi indah meskipun makanan yang dinikmati rendah kalorinya.

Panduan

Jika anda menggunakan 4,000 kalori bagi aktiviti harian maka ambillah makanan sebanyak 2,000 kalori. Ketidakseimbangan begini akan menyebabkan berat badan anda menurun.

Begitu juga jika anda perlu menaikkan sedikit berat badan. Nilai kalori haruslah dinaikkan jika anda berhasrat meningkatkan lagi berat badan anda.

Pada minggu hadapan saya akan tampil dengan pelbagai konsep menarik untuk menangani obesiti. Bagi penerangan lanjut atau program menguruskan badan secara saintifik atau kaunseling menurunkan berat badan hubungi marissa aesthetic 013-2448484 atau 03-87234808. Kami menyokong usaha anda menurunkan berat badan.

Selasa, Mac 16, 2010

Perlunya makan secara berhemah

Tabiat pemakanan menentukan tahap kesihatan masyarakat di negara ini. - Gambar hiasan

BILA mengajak anak-anak makan di luar, sering kali anda mungkin terpaksa mengalah kepada pilihan mereka iaitu tidak lain dan tidak bukan, makanan segera.

Siapa yang perlu dipersalah dalam hal ini sedangkan mereka disajikan dengan makanan ini sejak mula pandai memanggil "ibu" atau "ayah" malahan mungkin sebelum mereka mula berjalan lagi!

Di samping kos makan yang kadang kala tinggi, sering kali ibu bapa terpaksa menelan perasaan bersalah kerana tidak berlaku tegas dan menggalakkan anak-anak makan makanan yang sihat.

"Anak-anak saya lebih gemar makanan segera. Bagilah mereka burger, ayam goreng, kentang goreng, macam pijak semut tak mati, aman satu hari," keluh Yani, ibu kepada tiga orang anak.

Sebagai ibu yang bekerja, Yani mengakui bahawa dia sering membeli makanan segera sebagai jalan mudah kerana kesuntukan masa untuk memasak.

Dia juga kerap menjadikan makanan segera sebagai makanan tengah hari kerana waktu rehat yang pendek, justeru gagal memenuhi azam tahun barunya yang dibuat setiap tahun.

Malahan bila membawa anak-anak keluar membeli belah, Yani sering mengumpan anak-anaknya dengan makanan ringan atau junk food dengan membiarkan mereka memilih paket kentang goreng dan snek kegemaran agar mereka tidak menimbulkan banyak kerenah.

MENANGANI OBESITI

Memandangkan begitu banyak laporan mengenai penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes yang melanda rakyat Malaysia akhir-akhir ini, sudah tentu secara logiknya pilihan yang tepat ialah mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Ini bermakna berhemah dalam memilih makanan terutama bila berdepan dengan makanan segera atau makanan ringan.

Malangnya rasa menyesal dengan bidalan, "anda adalah apa yang anda makan" hanya akan terngiang-ngiang di telinga apabila kaki memijak alat penimbang berat dan melihat tambahan kilo yang sesungguhnya bagai "tetamu yang tidak diundang."

Bagi mereka yang terlebih makan atau "hidup untuk makan" dengan menjadikan makanan segera atau makanan ringan sebagai pilihan utama, amalan ini boleh menjurus kepada obesiti yang akan hanya mendatangkan padah pelbagai komplikasi kesihatan.

Pada hakikatnya, obesiti hari ini bukan sahaja isu melibatkan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak jika ibu bapa tidak berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak mereka.

Ada pihak yang pantas menuding jari kepada iklan atau kempen besar-besaran yang dijalankan oleh sesetengah rangkaian makanan segera.

Namun bukankah kita mempunyai kawalan penuh ke atas dompet kita dan perlu bertanggungjawab atas tindakan kita dan tidak cepat menyalahkan orang lain.

Makanan ringan, makanan segera, bagi sesetengah orang, kedua-dua kategori makanan ini mungkin telah sebati dalam kehidupan mereka dan secara tidak sedar, amalan ini diwarisi anak-anak mereka.

Restoran makanan segera semakin mendapat tempat di hati pelanggan apabila menyediakan khidmat bungkus atau bawa balik (take-away atau take-out) dan ada juga yang menawarkan khidmat pandu lalu.

Menu lazim yang dihidangkan di restoran makanan segera termasuk burger, sandwic, ayam goreng, kentang goreng, hot dog, nuget ayam, kentang lecek, salad dan milkshakes di samping minuman berkabonat.

KUANTITI KECIL

"Makanan yang rendah nilai nutrisi dengan nilai kalori yang agak tinggi," kata Mary Easaw-John, Pengurus Kanan Dietetik dan Khidmat Makanan, Institut Jantung Negara (IJN) apabila ditanya mengenai makanan ringan.

Ramai juga yang cuba mengelak atau mengehadkan makanan ringan dalam diet mereka kerana kebimbangan makanan itu tidak sihat.

Menurut beliau, pakar diet dan penganjur kesihatan yang lain sering berusaha untuk mendidik masyarakat mengenai makanan ringan, menggalakkan mereka mengamalkan diet yang seimbang dengan kandungan makanan sihat yang tinggi.

"Jika anda boleh hidup tanpa makanan ringan, ia memang bagus untuk anda. Sekiranya anda perlu memakannya, nikmatilah ia dalam jumlah yang kecil," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya meluangkan masa untuk membaca label bukan sahaja untuk tarikh luput tetapi untuk memahami nilai nutrisi makanan dan mengelakkan daripada membeli makanan ringan yang mengandungi nilai nutrisi yang rendah tetapi tinggi dengan lemak, gula dan garam.

Easaw juga dengan pantas berkata, makanan ringan pastinya bukan untuk mereka yang mengalami lebihan berat badan atau menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes, keadaan di mana seseorang itu mempunyai paras gula (glukos) yang tinggi kerana badan bukan sahaja tidak boleh menghasilkan insulin yang mencukupi atau kerana sel badan tidak bertindak secara betul kepada insulin yang dihasilkan.

Mengenai makanan segera pula, Easaw menjelaskan bahawa satu hidangan memberikan nisbah yang tidak seimbang, kadang kala melebihi 100 peratus daripada pengambilan harian lemak, kolesterol, garam dan gula yang disyorkan.

"Jadi bacalah analisis nutrisi makanan segera yang disediakan oleh restoran makanan segera supaya sesuai dengan pelan makanan anda," katanya.

KEBIMBANGAN UTAMA

"Lebih tinggi daripada standard gula, garam dan kolesterol yang boleh diterima," demikian pandangan Datuk Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Sumber dan Penyelidikan Penguna (CRRC) Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengenai makanan segera dan makanan ringan.

Beliau berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini dilanda masalah lebihan berat badan dan obesiti.

Menurut statistik yang disediakan Selva Raj, kadar lebihan berat badan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah 29.1 peratus pada 2006 berbanding 16.6 peratus pada 1996.

Kenaikan yang tinggi juga dicatat untuk kadar obesiti, dari 4.4 peratus pada 1996 kepada 14.2 peratus pada 2006 (kenaikan 9.8 peratus).

Selva Raj berkata lebihan berat badan serta obesiti boleh mencetuskan masalah lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Bilangan rakyat Malaysia yang menderita diabetes meningkat dari 6.6 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006 sementara bilangan mereka yang menderita tekanan darah tinggi melonjak dari 12.7 peratus kepada 42.6 peratus pada 2006," katanya.

Menurut Selva Raj, pemakanan makanan segera atau makanan ringan beserta dengan gaya hidup yang tidak banyak bergerak hanya memburukkan keadaan kesihatan di Malaysia.

MUSLIHAT IKLAN

Selva Raj juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan perlu juga bertindak ke atas iklan makanan ringan serta makanan tidak sihat yang lain.

Katanya, pemasar dan pengiklan sering menggunakan pelbagai taktik untuk menarik perhatian pelanggan kanak-kanak.

"Pemasaran kepada kanak-kanak dieksploitasi secara meluas di mana-mana di Malaysia. Kerajaan perlu mengadakan kawalan menerusi perundangan, dasar dan program pendidikan bagi melindungi kepentingan kanak-kanak," tegasnya.

Selva Raj mengulangi bahawa makanan ringan tidak seharusnya dijual di kantin sekolah juga di luar sekolah (dalam jarak tertentu).

Dalam hal ini beliau menyarankan ibu bapa supaya memainkan peranam utama dalam mendidik serta membimbing anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau kantin sekolah serta memastikan makanan ringan bukan sahaja tidak dijual di kantin sekolah tetapi juga di luar pagar sekolah," katanya.

Sumber : BERNAMA
Utusan Malaysia

Jumaat, Mac 05, 2010

Mengatur tabiat makan anak

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Utusan Malaysia
ARKIB : 04/03/2010

KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

Jumaat, September 04, 2009

Orang Eropah berubah wajah kerana makanan

ARKIB : 02/09/2009
Sumber : Utusan Malaysia



Penduduk Eropah yang telah mengubah tabiat pemakanan mereka 5,500 tahun dahulu kerana masalah kekurangan makanan telah menyebabkan muka mereka menjadi pucat sehingga ke hari ini.

Ahli-ahli saintis percaya, perubahan wajah tersebut berpunca daripada kekurangan makanan ketika mereka berkebun di ladang sehingga menyebabkan kekurangan vitamin D serta menyebabkan perubahan tona warna pada kulit.

Semasa berkebun di ladang, mereka juga terdedah dengan pancaran sinaran matahari menyebabkan kulit bertambah gelap. Faktor makanan yang tidak betul dan kekurangan zat menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.

Ahli-ahli sains di Universiti di Oslo percaya bahawa perubahan dalam cara pemakanan yang betul dengan cara lebih mementing makanan yang kaya dengan vitamin D akan menjadikan kulit seseorang itu semakin cerah dan mempunyai tona muka lebih sekata.

Penyelidikan telah membuktikan susu dan beberapa makanan lain seperti ikan berlemak adalah diperkuatkan dengan vitamin D tetapi kebanyakan orang mendapat sangat sedikit melalui pemakanan mereka.

Kekurangan Vitamin D juga boleh membawa kepada masalah lain seperti mudah mendapat kanser, masalah tulang, kencing manis dan sklerosis.

Selasa, Ogos 11, 2009

Hidup tanpa ubat

Adakah anda antara yang cepat letih dan mengantuk walaupun anda sudah tidur lapan jam?

Mengapa ini berlaku? Hal ini mungkin disebabkan badan anda dipenuhi toksin. Ramai yang tidak dapat mengenal pasti kenapa badan seseorang itu terlalu letih atau penat.

Ia menyebabkan fizikal dan mental lemah untuk melakukan aktiviti harian.
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat, itulah ungkapan yang sering kita dengar.

Mungkin ada kebenarannya. Sebagai individu, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjamin kesejahteraan hidup.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Kesihatan, Datuk Dr. Sidiq Mohamed, mencegah lebih daripada merawat sesuatu penyakit. Aspek menjaga pemakanan amat penting kerana ia merupakan punca kandungan angin dan toksin dalam badan.

Hakikatnya, kita memang terdedah kepada toksin tanpa disedari melalui kehadiran bahan kimia dalam makanan dan minuman serta bahan pencemar dalam udara. Di samping itu, tekanan kerja juga boleh menambahkan pengumpulan toksin di dalam badan kita.

Pengumpulan toksin yang berlebihan memberikan tekanan kepada organ kita dan memaksanya bekerja lebih keras. Kejadian ini bukan saja akan melupuskannya nutrien penting, malahan ia akan menghakis tenaga, lalu melemahkan sistem imun kita terhadap jangkitan penyakit.

Berikutan itu, seseorang akan sentiasa menghadapi masalah hidung berair, demam, peluh berbau, sukar membuang air kecil, mengantuk, sakit badan dan sukar bernafas. Wanita pula lazimnya mengalami kitaran haid tidak tetap atau kesakitan ketika datang haid. Semua ini disebabkan toksin dalam badan yang tidak dapat disingkirkan.

Beliau memberitahu, keadaan ini berpunca daripada kawalan pemakanan yang tidak tepat. Jika seseorang mengubah tabiat pemakanan sebaik menyedari tanda-tanda jangkitan penyakit pada peringkat pertama lagi, mereka sebenarnya boleh mengelak daripada dijangkiti penyakit terbabit.

Datuk Dr. Sidiq mencadangkan agar setiap individu memperbanyakkan makanan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain memberi tenaga, makanan tersebut menggalakkan sistem perkumuhan di dalam badan berjalan lancar.

Mungkin ini berbeza dengan cara hidup mereka yang bergantung kepada ubat-ubatan. Cara semula jadi menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang sihat.

Proses nyahtoksin secara semula jadi ini amat penting untuk memastikan badan, terutama sistem perkumuhan dapat berfungsi dengan optimum. Bukan saja penyerapan nutrien akan menjadi lebih efektif dan proses pencernaan menjadi lebih baik, malahan kita akan mendapati bahawa badan kita akan berasa lebih cergas dan bertenaga.

Selain itu, ramai yang tidak menyedari kebaikan makanan semula jadi seperti kelapa dara atau muda.

Tidak seperti lain-lain minyak sayur yang akan menjadi toksik dengan cepat apabila dipanaskan (terutama jika digunakan berkali-kali), minyak kelapa dara berbeza kerana sifatnya tidak berubah walaupun dikenakan suhu tinggi.

Justeru, ia minyak paling selamat digunakan untuk menggoreng. Ini kerana walaupun dipanaskan, minyak kelapa dara masih mempunyai sifat antioksidan.

"Ia harus digunakan seperti minyak lain, sama ada dalam masakan atau tujuan kecantikan, bukan dimakan begitu saja.

"Di dalam badan, minyak kelapa dara tidak ditukarkan kepada lemak (seperti semua minyak sayur lain), sebaliknya terus sampai ke hati untuk diguna sebagai tenaga. Penggunaan minyak kelapa dara boleh mengurangkan kesan tindakan radikal bebas ini kerana ia mengandungi antioksidan," katanya.

Bagaimana kita tahu kandungan toksin di dalam darah? Menurut Datuk Dr. Sidiq pemeriksaan darah untuk memastikan apa yang terkandung di dalam darah perlu dilakukan.

Menerusi pemeriksaan darah Live Blood Cell Analysis dan Dried Blood Oxidation Test, seseorang boleh mengenal pasti tahap kesihatan mereka secara terperinci.


"Selalunya seseorang pesakit berjumpa doktor hanya apabila sakit untuk mendapatkan ubat. Ia tidak salah tetapi pesakit perlu diberi saranan tentang langkah pemakanan atau gaya hidup agar ia selalu sihat dan untuk mengelakkan daripada penyakit kronik yang merbahaya seperti kanser," jelasnya.

Misalnya, untuk mereka yang mengalami sakit darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan serangan jantung, magnesium adalah bahan galian amat diperlukan untuk memulihkannya. Ini ialah kerana kekurangan magnesium dalam badan adalah satu satu faktor penyebab timbulnya penyakit tersebut. Banyak kajian telah menunjukkan yang lebih 80 peratus manusia kekurangan magnesium terutama dalam sel-sel organ mereka

Mereka yang mengalami penyakit- penyakit itu juga disaran untuk melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia mengandungi banyak garam galian seperti magnesium, mangan dan zink yang sangat penting . Ini juga mustahak untuk seseorang mengelak daripada menghidapi penyakit tersebut.

"Magnesium daripada buah-buahan dan sayuran mempunyai penyerapan yang lebih baik daripada pil," jelasnya.

Magnesium ini pernah disebut sebagai The Missing Link in Health. Sebagai vitamin tambahan magnesium boleh diambil dalam bentuk magnesium klorida atau dipanggil magnesium oil. Inilah yang paling disyorkan kerana ia juga akan menguatkan sistem imun atau daya tahanan badan.

Kalau ditambah dengan vitamin C dan zink, mingkin boleh mengelak kita daripada serangan wabak selsema H1N1 yang merebak sekarang.

Selain itu, di kedai farmasi banyak terdapat pil magnesium oksida.
"Ia boleh diambil 800 miligram sehari tetapi 10 peratus sahaja magnesium jenis ini akan meresap masuk ke dalam badan kita dan 90 peratus keluar ikut najis. Untuk pengetahuan, memakan magnesium secara berlebihan tidak membahayakan kerana yang lebih itu akan keluar mengikut najis," katanya.

Ungkapan 'anda adalah apa yang dimakan'' jelas menggambarkan kepentingan makanan dalam hidup manusia. Nikmat menjamah makanan bukan sekadar memenuhi keperluan mengisi perut kosong, sebaliknya bahan yang dicerna menjadi penentu tahap kesihatan individu.

Berikanlah peluang untuk tubuh kita menerima makanan sepatutnya. Anda akan dapat merasai kesannya pada waktu singkat. Memang, perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi cubalah berubah peringkat demi peringkat demi kesihatan yang baik dan hidup berkualiti.


Green Tea/Teh Hijau

Perumpamaan Cina : "Lebih baik berlapar selama 3 hari dari sehari tidak minum Green Tea".

Green Tea telah diamalkan di Negeri Cina semenjak 4000 tahun dahulu. Orang cina telah menggunakan kebaikan Green Tea untuk merawat segala macam penyakit dari sakit kepala sehingga kemurungan.

Kesemua jenis teh adalah dari jenis pokok yang sama iaitu Camellia Sinensis. Kaedah pemprosesan membezakan jenis teh:
~ hijau
~ hitam
~ oolong

Daun teh yang baru dipetik diwapkan untuk satu tempoh pendek dan proses ini menghalang daun bertukar warna atau pun mengalami penapaian. Selepas pengwapan daun ini dikeringkan.
Kandungan polyphenols dalam teh hijau tidak terjejas berbanding dengan teh yang lain.

Kini kajian saintifik telah membongkarkan rahsia kebaikan Green Tea antaranya seperti di dalam Journal Of The National Cancer Institute, 1994, mengatakan satu kajian epidemiologi menunjukkan yang meminum Green Tea mengurangkan risiko barah esophagus dikalangan lelaki dan wanita Cina sebanyak 60%.

Secara umum Green Tea didapati menyihatkan apabila diminum semasa rawatan barah, arthritis rheumatoid, aras kolesterol tinggi, penyakit kardiovaskular, jangkitan dan penurunan fungsi imun.

Kenapa Green Tea Istimewa?

Rahsianya adalah paras catechin polyphenois yang tinggi khususnya epigallocatechin gallate (EGCG). EGCG adalah antioksidan yang hebat.
Antioksidan Green Tea 100 kali lebih berkesan berbanding vitamin C dan 25 kali lebih kuat dari Vitamin E dari segi perlindungan sel dan DNA daripada kerosakan oksidan ia juga dianggar 2 kali lebih baik dari resveratol yang terdapat dalam wine merah.

Antioksidan yang kuat telah dibuktikan berupaya melawan virus, melambatkan penuaan dan mempunyai kesan baik keatas kesihatan. Radikal bebas adalah molekul yang amat reaktif dan boleh mencederakan sel dalam badan dan seterusnya menjadikan badan terdedah kepada pembentukan barah, penyakit jantung dan penyakit degeneratif dan metabolik.

Catechin memusnahkan radikal bebas dan mempunyai kesan yang menakjubkan ke atas kesihatan seluruh badan.

Selain dari itu ia boleh membantu merencat pertumbuhan sel barah, pengawalan paras kolesterol LDL dan secara tidak langsung mengurangkan gumpalan darah tak normal yang menjadi penyebab utama serangan jantung dan strok.

Khasiat Kesihatan Green Tea / Teh Hijau

Banyak kajian telah dilakukan keatas green tea atau teh hijau dan di dapati banyak khasiat kesihatan yang boleh di manafaat kan. Antara kandungan khasiat teh hijau yang boleh diperolehi dengan minum secara berterusan produk yang mengandungi green tea adalah:
1. Membantu mengawal tekanan darah tinggi·
Green tea / teh hijau boleh membantu kesihatan dengan mengurangkan tekanan darah dengan merencat tindakan Angiotensin II.

2. Membantu mengawal paras gula darah·
Polyphenols dan Polysaccharides dapat memberi kesan manafaat kepada paras gula dalam darah.

3. Membantu dalam sesetengah penyakit barah·
Kandungan Catechins Green Tea dilihat memberi kesan perawatan kepada sesetengah barah.

4. Menguatkan sistem imun.
Kepekatan Polyphenols dan Flavenoids teh hijau yang tinggi boleh membantu kesihatan sistem imun tubuh.

5. Menurunkan aras kolesterol·
Paras antioksidan Green Tea yang tinggi boleh membantu mengurangkan paras kolesterol.

6. Menggalakkan pembakaran lemah·
Kehilangan lemak yang dilihat kepada peminum Green Tea lebih khusus kepada lemak di viscera (lemak di dalam kaviti abdomen, usus dan organ dalaman yang lebih dikaitkan dengan peningkatan risiko sindrom metabolik dan diabetes jenis 2). Tiga komponen utama perawatan yang penting adalah Catechins, Caffeine dan Theanine dengan cara merencat jus gastrik dan pankreas untuk penghadamam.