Isnin, Mac 07, 2011
'Bermadu' anak sendiri
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.
Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.
Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.
Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.
“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.
Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.
“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.
“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.
Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.
“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.
“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.
“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.
“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.
Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.
“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.
“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.
“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.
“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.
“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.
“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.
Selasa, Julai 20, 2010
Ibu tiri idola
2010/07/18
Isteri baru perlu dorong suami prihatin anak perkahwinan lalu
KISAH Ifa melalui liku-liku hidup sebagai ibu tunggal, berkahwin dengan duda dan 'bermadu' pula dengan bekas isteri pertama suami menarik perhatian Kak Ani untuk dibincangkan dalam ruangan Kongsi Rasa kali ini. Pertama sekali, Kak Ani kagum dengan sikap Ifa berdepan kerenah keluarga dan masyarakat sekeliling ketika mengandung dan melahirkan anak tak sah taraf. Pengalaman yang diharungi ibu tunggal tanpa melalui ikatan perkahwinan tentu lebih sulit berbanding mereka yang menjadi ibu tunggal selepas bercerai.
Kehidupan penuh ranjau ini jika silap pertimbangan boleh mendatangkan banyak keburukan seperti kes buang bayi yang menjadi isu hangat sekarang.
Ketabahan Ifa membesarkan anak tunggalnya patut dicontohi mereka yang pernah melalui detik hitam dalam hidup.
Walaupun pernah kecewa dengan sikap teman lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap anaknya, Ifa masih percaya kepada ikatan perkahwinan selepas dipertemukan jodoh dengan duda anak dua yang pernah bercerai dua kali.
Pernikahan adalah ikatan suci sama ada berkahwin sesama teruna dan dara atau duda, menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat. Dalam Islam tiada perbezaan antara isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat. Seseorang suami yang amanah dan tahu tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga seharusnya memberi layanan sama rata terhadap isteri-isterinya. Bagaimanapun si suami juga perlu ada pertimbangan tersendiri mengikut keadaan. Takkanlah isteri pertama yang mempunyai enam anak sama belanjanya dengan isteri kedua yang mempunyai seorang anak?
Begitu juga jika pasangan itu sudah bercerai dan jatuh talak tiga pula, hubungan pasangan suami isteri itu sudah tentu terlerai. Hubungan pasangan bercerai sama seperti hubungan bukan mahram lain yang kena jaga auratnya. Walaupun bercerai, ikatan hubungan ayah dan anak tidak putus dan nafkah anak hendaklah ditanggung oleh bapa. Begitu juga hubungan bekas isteri dengan ibu mentua juga tidak akan putus.
Bagi pasangan bercerai, jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk memutuskan hubungan bapa atau ibu dengan anak. Seseorang ibu tidak harus mendidik anak membenci bapa selepas bercerai.
Malah, mereka yang berkahwin duda pula, kena ingatkan tanggungjawab suami membantu anak bekas isteri. Jangan rosakkan hubungan baik suami dengan bekas isteri selagi mengikut batas-batas yang ditetapkan agama. Sebagai isteri yang beriman dan mempunyai kelebihan dari segi pendapatan atau harta, Kak Ani rasa tidak salah isteri itu menghulurkan bantuan perlu kepada anak tiri.
Mungkin sikap ini dapat mengikis pandangan buruk masyarakat kepada ibu tiri yang sering dianggap jahat dan mengongkong pergerakan suami.
Pemberian nafkah zahir sering dinilai berdasarkan harta benda. Memang tidak dinafikan wang ringgit memang diperlukan dalam hidup, tetapi jika suami tidak berkeupayaan memberi kemewahan, seseorang isteri kena terima hakikat kekurangan itu.
Sebelum berkahwin, tentu setiap pasangan sudah mengetahui latar belakang pasangan masing-masing. Kalau kekurangan dianggap beban, mengapa memberikan komitmen untuk hidup bersama?
Penilaian seorang isteri terhadap suami sepatutnya bukan dilihat berdasarkan sumber kewangan saja, tetapi hendaklah dilihat dari pelbagai sudut termasuk memiliki nilai peribadi baik, beriman dan mampu mengharmonikan rumah tangga dengan sikap penyayang dan bertanggungjawab.
Isteri baru makan hati
SAYA tertarik dengan isu yang di ketengahkan dalam Kolum Kongsi Rasa -Trauma gelaran janda Bersama Kak Ani, minggu lalu. Saya berumur 30 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga dengan duda beranak dua berusia 42 tahun. Untuk pengetahuan Kak Ani, saya mempunyai seorang anak perempuan berumur tujuh tahun berstatus tidak sah taraf. Semasa kami mendirikan rumah tangga (anak saya bersama bekas teman lelaki saya yang berasal dari USA). Saya bekerja sebagai Pengurus Kewangan di salah sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur.
Untuk pengetahuan Kak Ani, bekas teman lelaki saya meninggalkan saya semasa saya mengandungkan anak saya. Dan seperti yang Kak Ani sedia maklum lumrah masyarakat kita, memandang hina wanita seperti ini termasuk keluarga saya sendiri. Tapi Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang, hidup saya bertambah senang selepas kehadiran anak saya. Enam tahun saya mengharungi susah senang kehidupan ini sendirian bersama anak sebagai ibu tunggal.
Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan suami sekarang. Suami saya memang tidak pernah mengambil tahu perihal anak saya. Semua perbelanjaan sara hidup anak saya tanggung sendiri.
Di sini saya ingin bertanyakan pendapat Kak Ani, adilkah untuk diri saya yang sudah bergelar isteri yang sah tidak mendapat nafkah bulanan daripada suami saya? Sepanjang perkahwinan kami, saya tidak pernah meminta walau sesen duit suami untuk dibelanjakan untuk diri saya dan anak saya.
Suami saya pernah dua kali bercerai. Hasil perkahwinan pertama dia dikurniakan dua anak manakala perkahwinan kedua dia tidak mempunyai anak. Bekas isteri pertama dicerai talak tiga tetapi untuk pengetahuan Kak Ani dia masih tinggal bersama mentua saya sekarang. Adakah dalam Islam membenarkan perbuatan begini? Bekas isteri pertama banyak meracuni fikiran mentua sehinggakan saya tidak diterima keluarga suami. Untuk pengetahuan Kak Ani, keluarga suami tidak mengetahui latar belakang saya dan anak.
Bekas isteri pertama suami tidak bekerja. Suami memberi wang bulanan kepadanya dan anak-anak. Adakah ini adil untuk saya yang berstatus isteri yang sah?
Jika dibandingkan gaji, pendapatan saya melebihi suami. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud saya harus menanggung segala-galanya menggunakan pendapatan saya. Apa yang saya lihat pada zaman sekarang, kebanyakan ibu tunggal lebih gembira memburukkan bekas suami mereka kepada anak sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan. Mereka sepatutnya memahami keadaan bekas suami. Adakah bapa anak mereka mampu untuk memenuhi setiap permintaan dengan gaji yang ada.
Jangan cuba menyalahkan isteri baru, kononnya mengongkong segala-galanya. Kadangkala hidup isteri baru tidak seindah yang mereka sangkakan.
IFA
Isnin, Mei 31, 2010
Sembunyi dosa
Saya mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan pertama. Suami saya seorang yang berharta tetapi kaki perempuan dan malangnya perangainya masih tak berubah walaupun usia sudah senja.
Pada awal perkahwinan saya tinggal bersama suami dan amat bahagia. Dia sering pulang ke kampung saya untuk menjenguk anak perempuan saya yang ketika itu berusia 16 tahun yang saya tinggalkan bersama arwah emak saya.
Akibat daripada tekanan tabiat buruk suami saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup berjauhan. Tekanan perasaan bertambah apabila anak saya mengadu dia dirogol tiap kali suami saya pulang ketika saya di Kuala Lumpur.
Saya bertanya suami mengenai perkara ini dan dia mengakuinya. Demi menjaga maruah keluarga saya mendiamkan perkara ini. Selepas tamat penggajian anak saya berkahwin tetapi dia sering mengalami trauma. Menantu saya pula berkali-kali menyatakan hasrat ingin membuat laporan polis.
Perasaan saya amat tertekan tiap kali teringatkan perkara ini dan memikirkan tabiat kaki perempuan dia yang sering diceritakan dengan bangga pada saya.
Saya sering mengingatkan dia hal dosa pahala, seksaan api neraka dan apa saja berkaitan agama dengan harapan dia mahu berubah. Namun dia semakin galak.
Soalan saya ialah daripada segi undang-undang adakah salah saya merahsiakan perkara ini dan adakah saya akan dipersoalkan di akhirat kerana merahsiakannya serta membiarkan anak saya menderita akibat tekanan perasaan, selain menghalang dia mengambil tindakan undang-undang?
Saya ada terfikir untuk meminta cerai tapi saya perlukan suami untuk menanggung keperluan hidup saya. Saya dalam dilema.
ELIA
Pulau Pinang
Jawapan :
Perkara maksiat dan kejahatan tidak wajar dilindungi sebaliknya wajib dibanteras. Dalam hal ini jika anak menjadi mangsa sumbang mahram sehingga rumah tangganya sekarang tergugat, wajib bagi ibu untuk memaklumkan pada pihak berkuasa yang dapat membantu menyelesaikannya.
Mereka yang berdosa tapi kemudiannya insaf dan mahu berubah wajar diberi peluang. Namun tabiat suami puan mempamerkan bahawa dia tidak insaf bahkan berbangga menceritakan pada puan dosa yang dilakukannya.
Perasaan yang menghalang puan membawa dia ke muka keadilan ialah kerana kebimbangan sara hidup puan. Pernahkah puan terfikir bahawa menyembunyikan dosa membiarkan terus hanyut dibuai dosa lebih dahsyat daripada menagih rezeki orang begini.
Pihak kerajaan ada menyediakan bantuan secukupnya pada mereka yang bermasalah seperti puan dari kementerian wanita mahupun bantuan zakat.
Usah ragu-ragu lagi, insya-Allah atas nama amar makruf dan nahi mungkar, bantulah suami dan anak untuk berubah dan bukannya membiarkan mereka terus hanyut.
Sabtu, November 28, 2009
Derita mangsa deraan seksual
rosmaliana@hmetro.com.my
MEREKA terpaksa menanggung derita yang bukan sedikit lantaran serangan seksual secara ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Dalam sesetengah keadaan, mangsa dera yang masih hingusan itu ada kalanya harus menjalani pembedahan untuk proses pembetulan di bahagian anggota sulit mereka.
Biasanya dalam kebanyakan kes penderaan seksual, pembedahan dijalankan untuk membaiki rahim serta anggota sulit yang rosak akibat proses persetubuhan yang dilakukan secara paksa.
Malah keadaan fizikal kanak-kanak berkenaan turut memainkan peranan kerana dalam usia sedemikian, perlakuan seumpama itu bukan sesuatu yang boleh diterima akal.
Ketua Jabatan Pakar Perunding Kanak-kanak dan Pakar Paru-paru Kanak-kanak, Hospital Serdang, Dr Norrashidah Abd Wahab, berkata masa depan kanak-kanak mangsa dera sama ada secara fizikal dan seksual akan berubah sama sekali terutama dari segi sosial serta emosi.
Bagi mangsa dera seksual, kanak-kanak akan bertindak memencilkan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat kerana menganggap diri kotor atas perlakuan tidak sepatutnya yang dilakukan ke atas mereka.
Dalam sesetengah kes, ada yang membunuh diri akibat tekanan yang dialami daripada keluarga sendiri, masyarakat dan rakan.
Norrashidah berkata, dalam usia yang begitu muda, kanak-kanak seharusnya dilindungi serta bebas bergaul dengan rakan sebaya tetapi akhirnya terbabit dengan masalah di luar kawalan mereka.
"Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan perhatian kepada anak. Apabila mereka mengadu mengenai sesuatu perkara, jangan pandang ringan sebaliknya selidik perkara itu.
"Hanya disebabkan mereka masih kanak-kanak, segala pandangan, rungutan serta luahan biasanya kurang diberi perhatian dan ia sedikit sebanyak menjadi penyebab kemelaratan kejadian seperti ini.
"Malah ibu juga perlu menjadi teman kepada anak mereka. Jangan hanya menjadi pemerhati tetapi tidak memberikan sebarang bantuan pada masa diperlukan. Ia sesuatu yang amat mengecewakan," katanya ketika di temui di Hospital Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Sepanjang berkhidmat di Jabatan Pediatrik, Norrashidah berkata, pelbagai bentuk kes penderaan ditanganinya dan ia sesuatu yang amat menyayat hati terutama bagi seorang ibu.
Katanya, kes membabitkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan teruk di bahagian kemaluannya hingga terpaksa menjalani pembedahan paling tidak dapat dilupai.
"Bayangkan bagaimana kanak-kanak sekecil itu terpaksa menanggung derita atas perbuatan individu tidak berperikemanusiaan yang terlalu mengikut nafsu.
"Apa dosa anak itu hingga diperlakukan sedemikian rupa? Saya cukup tersentuh hingga menitiskan air mata ketika mengendalikan kes itu," katanya.
Tidak dapat dinafikan pengawasan terhadap anak itu penting dan Norrashidah mengakui amat tegas dalam perkara itu.
"Saya memiliki anak gadis berusia 18 tahun dan hingga kini masih tidak mempercayainya untuk tinggal berseorangan di rumah. Biarlah saya dianggap sebagai kolot tetapi asalkan anak selamat, itu paling penting.
"Oleh itu, saya akan pastikan sekurang-kurangnya ada orang dewasa yang boleh dipercayai seperti ibu saudaranya untuk ada bersama," katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam kenyataannya pada 11 Ogos lalu menggesa Peguam Negara supaya mengambil tindakan lebih tegas berhubung masalah penderaan kanak-kanak.
Menurutnya, saban tahun kes penderaan kanak-kanak dilaporkan semakin meningkat, seolah-olah perbuatan itu perkara biasa dan menjadi ikutan ramai.
Sebanyak 2,279 kes penderaan dilaporkan pada 2007 dan meningkat kepada 2,780 tahun berikutnya, manakala penderaan oleh ibu bapa serta penjaga turut meningkat daripada 992 kes pada 2007 kepada 1,266 pada 2008.
Selain itu Norrashidah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan masalah berkenaan ditangani tanpa perlu menuding jari menyalahkan satu sama lain.
"Sekiranya berterusan, ia mungkin boleh menjadi wabak yang merosakkan anak bangsa kerana dibiarkan tanpa sebarang pengawasan serta tindakan sewajarnya," katanya.
Antara kes penderaan kanak-kanak sepanjang 2008 dan 2009:
Kuantan - Seorang murid perempuan berusia 11 tahun dan adik lelakinya bukan saja didera oleh ibu tiri mereka, tetapi mangsa dipaksa menjadi hamba seks seorang lelaki sejak setahun lalu dengan upah antara RM5 hingga RM10. Mangsa dan adik lelaki berusia sembilan tahun yang didera di seluruh badan, termasuk digigit di bahu sejak empat tahun lalu, Kuala Lumpur - Hanya disebabkan terpaksa mencuri RM3 wang bapanya untuk membeli makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera teruk dibelasah bapa kandungnya menggunakan batang penyapu. Dalam kejadian 12 Oktober lalu, mangsa turut mengalami trauma dan terpaksa menjalani rawatan pemulihan seminggu di Hospital Ampang. Kajang - Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal. Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun itu tergamak bersubahat dengan warga asing dan sanggup berbohong konon anaknya mati akibat didera pembantu rumah. Kuala Lumpur - Akibat tidak tahan didera ibu tirinya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bertinju dan melepaskan tumbukan ke arah wanita terbabit yang terlebih dulu menendang perutnya sekuat hati. Dalam kejadian itu, murid tahun lima berkenaan `naik angin' kerana ibu tirinya yang berusia 36 tahun kerap memarahi dan menderanya hanya kerana perkara kecil. Georgetown - Seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga mati sebelum ditanam di kawasan padang, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Kampung Pisang, Air Itam di sini, tiga tahun lalu akhirnya terbongkar selepas didedahkan seorang kakak mangsa. Kakak mangsa serta dua lagi adik-beradiknya juga mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka, yang dikatakan tidak bekerja serta mempunyai tiga isteri dan 10 anak. Anak dibunuh itu adalah hasil perkahwinannya dengan isteri kedua. Melaka - Seorang murid lelaki sekolah rendah di Alai yang 'melepak' sehingga malam di sekolahnya dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya. Murid tahun empat itu dipercayai didera hingga cedera dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka. Kuala Lumpur - Bayi perempuan malang berusia setahun dikatakan menjadi mangsa cabul serta penderaan secara seksual selepas dia ditinggalkan oleh ibunya di rumah pengasuhnya. Kuala Lumpur - Seorang lelaki yang dipercayai terbabit mendera seorang kanak-kanak berusia empat tahun hingga mati di Taman Perdana, Kepong. Difahamkan, kematian kanak-kanak terbabit disebabkan kesan penderaan selain mengalami kecederaan dalaman. Subang Jaya - Seorang kanak-kanak perempuan disyaki menjadi mangsa penderaan dibiarkan bersendirian di rumahnya di sebuah flet di Puchong. Kanak-kanak malang itu dipercayai menjadi mangsa penderaan berdasarkan beberapa kesan kecederaan pada badannya. Tangan mangsa bengkak dan bernanah dipercayai kesan terkena benda panas selain calar pada bahagian badan. Nusajaya - Sepasang suami isteri dipercayai mendera anak lelaki bongsu mereka berusia kira-kira setahun sehingga mati, di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya. Kota Tinggi - Murid tahun sebuah sekolah di Pengerang menjadi mangsa dera ibu tirinya. Dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kemaluan. Johor Bahru - Seorang pemandu teksi dituduh mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mendatangkan kecederaan fizikal dan kematian.
|
Pendam rahsia takut ibu dicerai
hadzlihady@hmetro.com.my
AMPANG: Betapa mulianya hati seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun apabila sanggup menyembunyikan rahsia besar menjadi mangsa rogol kerana tidak mahu berlakunya perceraian antara ibu dan bapa tirinya.
Malah, rahsia itu dipendam kanak-kanak terbabit sejak dia berusia tujuh tahun sebelum akhirnya menceritakan kejadian berkenaan kepada datuknya, baru-baru ini.
Mendengar pengakuan cucunya itu, datuknya kemudian membawa cucunya itu ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu, Selasa lalu.
Menurut sumber polis, mangsa mendakwa dirogol bapa tirinya, namun merahsiakan kejadian itu kerana tidak mahu melihat keretakan rumah tangga antara ibu dan bapa tirinya selain bimbang dimarahi ibunya.
“Bagaimanapun, pasangan terbabit akhirnya bercerai juga tahun lalu dan mangsa mengambil kesempatan menceritakan semua kejadian malang yang berlaku kepada datuknya.
“Susulan laporan itu, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital dan laporan perubatan menunjukkan ada kesan koyak pada kemaluannya,” katanya.
Difahamkan, ibu mangsa sentiasa sibuk dengan kerjanya dan peluang itu diambil kesempatan bapa tirinya untuk merogol mangsa pada waktu malam.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat datuk mangsa itu.
“Berikutan laporan itu, kita menahan suspek pada hari sama laporan dibuat di tempat kerjanya di Plaza Idaman dan dia kini direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya.