#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Komen Pakar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komen Pakar. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 18, 2011

Dibuai alam fantasi

KUALA LUMPUR: Kurangnya pengisian emosi dan kerapuhan spiritual menjadi faktor penyebab wanita terutama pelajar semakin mudah terpedaya janji manis dan godaan ‘lelaki hidung belang’ hingga sanggup menghabiskan wang ringgit dan menjadi hamba cinta.

Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata kebanyakan wanita berjaya menguruskan daya pemikiran dengan baik, namun gagal mengawal godaan emosi yang membuatkan mereka hanyut di alam fantasi.

“Tidak dinafikan wanita kini semakin cemerlang dalam pelajaran, tetapi dalam masa sama jumlah siswi yang menjadi mangsa cinta semakin meningkat,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam.

Laporan itu menyebut seorang siswi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar ibu kota yang sanggup menghabiskan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya untuk berseronok bersama teman lelakinya berusia 40-an dan beristeri dua.

Siswi itu yang kini menyesal atas kesalahannya mengakui pernah berhutang keliling pinggang dengan rakan selain menipu kedua ibu bapanya dengan alasan perlu membeli buku dan barangan keperluan lain semata-mata untuk mendapatkan wang.

Selepas hampir setahun menjalinkan hubungan dan mengikis wang siswi itu, lelaki terbabit menghilangkan diri.

Isnin, Januari 31, 2011

Lelaki pukul isteri miliki emosi tidak stabil

KUALA LUMPUR: Suami suka memukul isteri disifatkan sebagai lelaki tidak ‘gentleman’ malah dikategorikan seorang yang gagal mengawal emosi kerana tindakan ganasnya yang tidak mengenal belas kasihan.

Moderator Halaqah di TV9, Ahmad Shukri Yusoff berkata, banyak perkara tidak kena apabila berlaku kes pukul memukul kerana seorang suami sepatutnya melindungi isteri sebaik yang boleh.

“Dalam institusi perkahwinan memanglah ada pertelingkahan, tetapi tidak sampai ke tahap memukul dan mencederakan isteri kerana apabila sampai tahap mencederakan dan mendera ini boleh dikategorikan golongan yang mempunyai emosi tidak stabil.

“Bagi seorang isteri, apabila mendapati ada sesuatu yang boleh memudaratkan diri, janganlah didiamkan saja. Menjadi isteri solehah tidak bermakna membenarkan kezaliman berlaku pada diri sendiri,” katanya.

Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan seorang isteri muda berusia 23 tahun menjadi mangsa keganasan suaminya berusia 27 tahun sehingga lebam dan cedera di badan kerana kerap dipukul dan ditendang, malah digigit.

Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi, namun suaminya dikatakan pandai berlakon bagi menutup kesalahannya dengan meminta maaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, sehingga berguling di hadapan mentua. Dalam waktu sama si suami mengugut membelasah isterinya dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Pasangan itu berkahwin di selatan Thailand pertengahan tahun lalu dan belum mendaftarkan perkahwinan kerana setiap kali si isteri mahu berbuat demikian, si suami berdolak dalih dengan pelbagai alasan.

Ahmad Shukri berkata, dari sudut perkahwinan pasangan itu di Thailand dan keengganan mendaftarkan pernikahan di negara ini juga jelas menunjukkan suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab dan mahu lari dari sebarang komitmen.

“Sebab itu perangainya boleh bertukar sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, malah boleh berlakon baik di depan mentua dan secara umumnya lelaki seperti ini boleh disimpulkan bukan lelaki baik.

“Lelaki yang berwatak jahat, penuh kepura-puraan dan hanya tahu berseronok memang ada. Bagi wanita, kenalah berhati-hati sebelum memutuskan untuk berkahwin, lebih-lebih kepada yang bercadang untuk berkahwin di luar negara,” katanya.

Jumaat, Disember 10, 2010

Pelihara amanah

Harian Metro
10 Dis 2010

KUALA LUMPUR: “Si suami perlu ingat bahawa isteri mereka adalah amanah Allah untuk dididik dan diasuh...bukannya barang untuk dipukul, diherdik dan dikasari,” demikian kata bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Beliau mengulas mengenai seorang lelaki yang dilaporkan mendera isterinya dengan membelasah dan memijak kepala isterinya di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.

Katanya, dalam Islam ada pelbagai cara baik bagi si suami untuk menasihati atau menegur isterinya jika didapati derhaka, termasuk memberikan nasihat dan memulaukan.

“Bukanlah cara untuk suami yang tidak berpuas hati dan ingin mengajar isterinya untuk melakukan keganasan sehingga mendatangkan kecederaan pada isterinya,” katanya.

Menurutnya, si isteri juga sebenarnya mempunyai hak untuk mengadu hal berkenaan selain membuat laporan polis dan tidak hanya mendiamkan diri semata-mata.

“Keganasan rumah tangga dilakukan suami tidak boleh disorok kerana berkemungkinan menjadi lebih teruk, termasuk membabitkan kematian,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki yang bengang selepas ditegur isterinya kerana sering pulang lewat mengamuk dan memijak kepala wanita itu di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, 1 Disember lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 20-an dan bekerja sebagai kerani sedang menonton televisyen bersama anak perempuannya sebelum sebaik suaminya pulang, mangsa terus menegur lelaki itu.

Bagaimanapun, si suami yang tidak tahan mendengar leteran isterinya itu terus naik angin dan memarahi wanita berkenaan sebelum mereka bertengkar dan keadaan mula menjadi tidak terkawal apabila si suami tiba-tiba mengamuk dan membelasah isterinya tanpa belas kasihan.

Isnin, Julai 26, 2010

Tindakan tiada perasaan

Harian Metro
2010/07/26

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang kontraktor yang mempunyai empat isteri, tetapi masih tergamak menjadikan anak kandungnya tempat untuk melampias nafsunya jelas menunjukkan dia sedang mengalami masalah psikologi.

Ahli Lembaga Kaunselor yang dilantik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim (gambar) berkata, perbuatan sebegitu menunjukkan pelakunya seorang yang tidak normal serta menjadi individu tidak mempunyai perasaan.

Menurutnya, kemungkinan individu ini tidak ada pengetahuan mengenai batasan dalam hubungan kekeluargaan hingga tergamak memuaskan nafsunya dengan anak sendiri.

Katanya, terdapat juga kemungkinan pelakunya mempunyai masalah dalam pergaulan bersama masyarakat hingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keluarganya.

“Selalunya, jika seseorang itu mempunyai nafsu seks yang kuat, tetapi mempunyai pegangan agama dan menjadi ahli masyarakat yang baik...dia tidak tergamak untuk berbuat demikian kepada ahli keluarganya sendiri,” katanya.

Kahwin 4 bukan cara kawal nafsu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/07/26


KUALA LUMPUR: “Poligami tak semestinya boleh menyelesaikan masalah nafsu seorang lelaki,” ulas Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, Islam tidak menetapkan syariat yang mengatakan poligami penyelesaian kepada kesukaran golongan Adam mengawal nafsu, sebaliknya masalah terbabit diatasi dengan amalan tertentu.

Katanya, lelaki yang berdepan masalah itu perlu berbalik kepada hukum yang menetapkan supaya semua umatnya berpuasa, mengamalkan zikir dan memperbanyakkan amalan kerana cara terbabit mampu melemahkan nafsu serakah selain godaan syaitan yang menjurus kepada sebaran air mani. “Kejadian merogol anak kandung sendiri meskipun sudah mempunyai empat isteri sepatutnya tak berlaku dan ini secara tidak langsung menunjukkan suami memang tidak boleh mengawal nafsunya.

“Kalau begitu, kita kena periksa pula latar belakangnya dari segi solat, amalannya yang menyebabkan dia (suami) buat demikian. Kalau dia memang tergamak merogol anak kandung sendiri yang sepatutnya dilindungi, maknanya dia berkahwin itu semata-mata memuaskan nafsu.

“Sepatutnya, apabila sudah mempunyai empat isteri, dia kena juga berpuasa, buat amalan lebih banyak dan berzikir kerana ini yang mampu melemahkan sedikit nafsu, tidak kiralah sama ada seorang lelaki itu orang tua atau muda. Kita kena berbalik kepada hukum,” katanya.

Noor Aziah berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang kontraktor beristeri empat layak digelar ‘bapa setan’ apabila tergamak menjadikan anak kandung hasil perkahwinan dengan isteri keduanya sebagai tempat memuaskan nafsu apabila memperkosa mangsa sejak berusia sembilan tahun di Kerambit, Kuala Lipis. Lebih keji, lelaki berusia 49 tahun itu merakamkan perbuatan terkutuknya merogol anak yang kini berusia 14 tahun dengan telefon bimbitnya sebelum menyimpan rakaman berkenaan.

Peluang hidup bebas

Harian Metro
2010/07/25

KUALA LUMPUR: “Gejala sosial membabitkan penuntut pengajian tinggi bukan perkara baru, malah menular sejak 1970-an,” kata Pakar Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Hussain Habil.

“Tidak kurang juga yang ambil kesempatan atas tiket belajar dan bebas daripada perhatian keluarga. Kesempatan itu membuatkan mereka leka menjelajah dunia luar yang sebelum ini sukar dijejaki,” katanya.

Dr Hussain berkata, meskipun gejala sosial membabitkan pelajar universiti semakin menjadi-jadi, ia belum mencapai tahap membimbangkan.

Namun, katanya, ia harus dibendung melalui pendekatan sesuai untuk pelajar iaitu sesi kaunseling dan kuliah agama.

“Biasanya, pelajar yang ditangkap melakukan pelbagai kesalahan sosial akan dibuang. Namun, pada pendapat saya, cara itu tidak menyelesaikan masalah.

“Mungkin dengan cara berkenaan, pelajar itu tetap meneruskan perbuatan mereka, lebih-lebih lagi apabila menerima pelbagai tekanan dan kecewa kerana dibuang universiti.

“Sebaik-baiknya mereka mendapatkan khidmat pakar kaunseling, diikuti sesi pemulihan secara spiritual. Namun, mereka masih harus dihukum atas kesalahan itu tetapi bukan dengan pembuangan,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas, Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, punca berlakunya masalah itu disebabkan pengaruh hiburan yang melampau-lampau.

Katanya, masalah itu bagai satu fenomena iaitu semakin menjadi-jadi dan menunjukkan peningkatan.

“Cara terbaik menanganinya ialah memperketatkan sistem kawalan pelajar dan tenaga pengajar di IPT harus membentuk keperibadian akhlak baik kepada pelajar,” katanya.

Rabu, Julai 07, 2010

Hanya lelaki berwibawa berhak berpoligami

Sumber : Utusan Malaysia
4/1/2010

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Beberapa tokoh agama terkenal negara sependapat menyatakan bahawa hanya lelaki yang benar-benar berwibawa dan mampu berlaku adil sahaja boleh berpoligami. Selain itu, mereka juga berpendapat, lelaki yang mahu berpoligami juga seharusnya mengambil keputusan itu bukan hanya didorong nafsu semata-mata.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, sebelum berpoligami, seorang lelaki itu perlu memikirkan sama ada mereka mampu atau tidak untuk membimbing isteri masing-masing.

"Jika lelaki tersebut tidak mampu membimbing seorang isteri yang sedia ada, bagaimana pula dia boleh membimbing isteri-isteri barunya yang lain?

"Ciri-ciri untuk berpoligami bukan sekadar hanya mampu dari sudut kewangan tetapi ia perlu dipertimbangkan dalam banyak perkara," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat yang membidas sikap lelaki dari negeri itu yang suka berpoligami semata-mata mahu memeras keringat dan harta isteri tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar sebagai seorang suami.

Nik Abdul Aziz berkata, kejahilan tentang poligami menyebabkan ramai lelaki Melayu dari Kelantan beristeri lebih dari seorang dan isteri- isteri berkenaan terpaksa bekerja mencari rezeki untuk suami.

Dalam pada itu, Dr. Asri turut mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menghukum lelaki yang menipu mana-mana wanita untuk kepentingan diri.

"Ini kerana ada juga lelaki yang menipu bakal isteri dengan menyatakan dia mempunyai kerja dan sumber kewangan yang kukuh.

"Mahkamah perlu memainkan peranan dengan menilai semula status perkahwinan mereka sekali gus menjatuhkan hukuman ke atas suami yang didapati menipu isteri dalam soal ini,'' tegasnya.

Mengulas perkara yang sama, pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah berkata, Islam hanya membenarkan poligami jika seseorang lelaki itu benar-benar boleh berlaku adil.

"Islam menyuruh lelaki yang mahu berpoligami agar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.

"Agama kita sama sekali tidak membenarkan seseorang lelaki berkahwin hanya kerana mahu mengaut keuntungan daripada wanita yang dikahwininya," jelasnya.

Sehubungan itu Md. Daud berkata, lelaki yang berpoligami seharusnya mampu memberi nafkah zahir dan batin serta prihatin terhadap isteri dan anak-anak.

"Jika seseorang lelaki mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak, mereka sebenarnya bergelumang dengan dosa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah pula berkata, lelaki yang berniat untuk berpoligami harus melihatnya dari sudut agama dan bukannya nafsu semata-mata.

"Sebelum berpoligami, mereka perlu melihatnya dari cermin syariah dan sunah bagi mencari sebab mengapa mereka mahu dan dibolehkan berpoligami.

"Matlamat murni konsep poligami itu tidak akan dapat dicapai jika lelaki hanya melihat poligami dari sudut nafsu semata-mata," ujarnya.

Jumaat, Julai 02, 2010

Anak hilang kepercayaan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Harian Metro
2010/07/02


KUALA LUMPUR: “Anak ini akan hilang kepercayaan pada sesiapa pun kerana lelaki yang paling dipercayai dan sepatutnya menjadi pelindung adalah orang sama yang merosakkan hidupnya,” kata Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata demikian ketika mengulas perbuatan jijik duda berusia 40-an yang merogol tiga anaknya secara bergilir-gilir.

Menurut Dr Noor Aziah, hilang kepercayaan antara kesan psikologi paling teruk dialami anak perempuan yang menjadi mangsa sumbang mahram sama ada oleh bapa kandung, bapa tiri, abang mahupun ahli keluarga lain.

Katanya, hanya dengan kaunseling yang menjamin kerahsiaan terhadap semua cerita akan membuatkan mangsa meluahkan rasa amarah atau apa saja perasaan yang terpendam dalam hati akibat perbuatan keji anggota keluarga sendiri.

“Itu pun bukan senang kita melihat mangsa membuka mulut kerana kes rogol yang ada kaitan dengan mahram sendiri tidak sama dengan rogol biasa, apatah lagi membabitkan orang yang sepatutnya memberi perlindungan kepada anak-anaknya.

“Jadi kita tak boleh salahkan mangsa jika dia mendiamkan diri, rahsiakan perkara sebenar kerana biasanya mereka takut hendak membuat laporan, tambahan sekiranya berdepan ugutan selain tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Kalau ikutkan kes begini banyak berlaku dalam masyarakat, tetapi sangat kurang dilaporkan kerana mangsa masih berada dalam pengaruh pelaku. Jadi dia (mangsa) takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan kisah seorang bapa yang luarannya dianggap bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu sebenarnya menyimpan rahsia besar.

Lelaki berusia 40-an itu menjadikan tiga anaknya berusia 11, 13 dan 14 tahun sebagai pemuas nafsu sejak lebih enam bulan lalu dan rahsianya terbongkar Selasa lalu apabila seorang anak perempuannya mendedahkan episod hitam dihadapi.

Lebih mengaibkan tiga beradik yang bersekolah di Kota Kinabalu itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam, sebelum perkara itu diketahui ibu saudara mangsa yang tinggal berdekatan. Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut meminta masyarakat tidak meminggirkan mangsa rogolsebaliknya, memberi sepenuh sokongan untuk mereka memulakan kehidupan dengan lebih baik.

Khamis, Julai 01, 2010

Ramai ‘ibu’ tak tahu

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/07/01


KUALA LUMPUR: Cetek pengetahuan mengenai isu semasa dan tiada maklumat berkaitan proses penempatan bayi tidak dikehendaki, menyebabkan masih ada kes ibu muda yang tidak berkahwin tergamak membuang anak yang baru dilahirkan.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkata, berdasarkan pengalamannya menguruskan kira-kira 3,000 gadis terlanjur di pusat berkenaan, ketiadaan maklumat menjadi penyebab utama ibu muda membuang bayi mereka.

Katanya, kebanyakan gadis terlanjur yang datang mahu mencari maklumat dengan bertanya di mana tempat untuk berlindung dan serahkan bayi, bukan sekadar menunggu masa untuk bersalin.

“Sepanjang menguruskan gadis terlanjur mereka berasa malu dan takut dikenakan hukuman jika ada menyebabkan mereka mengambil jalan mudah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau merujuk laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kejadian di Seremban dan Rawang apabila dua bayi lelaki ditinggalkan oleh ibu mereka berhampiran tong sampah dan belakang sebuah rumah, walaupun sebuah pusat perlindungan bayi, Orphan Care ditubuhkan 25 April tahun lalu. Dalam dua kejadian itu, bayi berkenaan ditemui penduduk dalam keadaan kesejukan tetapi sihat. Kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Yahya berkata, beliau sendiri berusaha menghebahkan mengenai fungsi Kewaja dengan cara mengadakan ceramah di pusat pengajian tinggi dan sekolah bagi memberi kesedaran kepada remaja, selain mereka yang terdesak boleh menghubunginya di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, ia bagi membantu gadis terlanjur daripada terus melakukan dosa dengan membuang bayi mereka tetapi pada masa sama usaha untuk memerangi gejala maksiat dan zina harus digiatkan kerajaan serta pelbagai badan bukan kerajaan.

“Ketika ini kami mempunyai 438 pasangan berdaftar yang menunggu giliran untuk mengambil anak angkat daripada penghuni yang tidak mahukan bayi mereka dan semua pasangan berdaftar itu sudah berkahwin lebih lima tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan diberikan kepada gadis terlanjur juga harus disusuli dengan usaha memberi kesedaran kepada anggota masyarakat baik melalui bimbingan ataupun hukuman undang-undang.

Isnin, Mei 31, 2010

Tindakan luar fitrah

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/05/31


KUALA LUMPUR: Fitrah seorang wanita hanya boleh menyayangi seorang lelaki hingga tahap rela menyerahkan ‘mahkota’ dirinya kepada lelaki itu tetapi jika sebaliknya, ia mengalami masalah jiwa rosak dan perlu dibantu segera oleh segenap lapisan masyarakat tanpa prejudis.

Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata perbuatan wanita yang sanggup merelakan dirinya melakukan seks dengan sebarang lelaki atau ramai lelaki menunjukkan tindakan luar fitrah, sekali gus membuktikan dia mengalami masalah jiwa yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, secara fitrahnya, seseorang wanita hanya rela melakukan hubungan seks dengan seorang saja lelaki yang sangat disayanginya dan selalunya ia suaminya, bukan sekadar untuk berseronok tetapi bertujuan menzahirkan rasa cinta yang ada dalam hati kepada lelaki berkenaan.

“Tetapi ada kemungkinan seseorang wanita sanggup melakukan hubungan seks dengan lelaki lain disebabkan sudah hilang rasa cinta terhadap suami yang zalim, tidak bertanggungjawab hingga menyebabkannya menagih kasih orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau merujuk kepada laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang wanita yang mengaku pernah diperkosa bergilir-gilir sekumpulan 15 lelaki pada tujuh tahun lalu, mendakwa kini ketagih seks dengan menjadikan suami orang sebagai sasaran memuaskan nafsunya.

Lebih mengejutkan, wanita kemaruk seks itu hanya memburu suami orang yang gemar ‘makan luar’ untuk mencurahkan perasaan dan mendapatkan belaian kasih sayang sebelum meninggalkan ‘mangsanya’ selepas apa dihajati tercapai.


Dr Mohd Fadzilah berkata, masyarakat secara amnya dan keluarga secara khusus perlu menghulurkan bantuan termasuk sokongan dari segi psikologi kerana wanita seperti itu dalam kategori ‘sakit’ secara rohaniah dan mereka perlu diberi bimbingan langkah demi langkah supaya dapat kembali ke pangkal jalan.

“Kita perlu mencari punca masalah terlebih dulu dan berikan apa yang kekurangan contohnya belaian kasih sayang kemudian membimbingnya dengan cara mengajaknya menunaikan solat, sembahyang taubat dan mendengar tazkirah.

“Masyarakat perlu benci perbuatannya tetapi jangan membenci atau menghinanya dan bawalah dia ke pangkal jalan dengan membimbingnya dan memujuk secara kaunseling,” katanya.

Beliau berkata, tiga pendekatan boleh diambil bagi menangani masalah jiwa rosak di kalangan wanita sedemikian iaitu merawat mereka yang sudah terjebak, mencegah sebelum mereka sempat terbabit dalam kancah maksiat dan mencegah daripada awal perkara maksiat terus berlaku.

Katanya, cara terbaik menangani perbuatan maksiat yang makin menjadi-jadi di kalangan umat Islam ialah kembali semula kepada ajaran Islam iaitu mengukuhkan asas agama yang rapuh sebelum ini dengan cara menjaga ibadat solat.

Rabu, Mei 26, 2010

Usah binasa hidup anak

Harian Metro
2010/05/26


KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang hanya tahu menggunakan kuasa ‘veto’, tapi tidak pernah mengambil kira kemampuan, keperluan dan kehendak anak termasuk soal perkahwinan hanya menyebabkan anak lebih menderita.

Penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Dr Rubiah K Hamzah, berkata walaupun tugas ibu bapa membimbing dan anak perlu patuh arahan, tidak bermakna mereka berhak membuat keputusan yang boleh membinasakan hidup zuriat sendiri.

Katanya, lebih teruk jika keputusan diambil tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mencalit luka lebih parah hingga mengakibatkan anaknya terseksa, sekali gus menyimpan kebencian mendalam terhadap keluarga.

“Kes ibu bapa mengahwinkan anak gadis dengan perogol wajar dijadikan iktibar kerana ini tanda ibu bapa yang hanya pandai menggunakan paksaan dan faktor menakutkan, tapi tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

“Tindakan begini tidak teliti, tak juga melihat daripada sudut kemanusiaan dan berdosa ibu bapa itu apabila membiarkan anak derita serta didera emosinya kerana berkahwin dengan orang yang pernah memusnahkan hidupnya.

“Ibu bapa kena tanggung masalah ini, apatah lagi anaknya sendiri sudah derita mengandung terpaksa pula menanggung malu kerana dirogol dan tidak dihormati sebagai gadis,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai sebuah keluarga di Kuala Terengganu sanggup mengahwinkan anak gadisnya dengan perogol yang menyebabkannya mengandung anak luar nikah semata-mata mahu menutup malu.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah berkenaan, malah menyebabkan mangsa fobia dan trauma akibat dirogol selain terpaksa berdepan perogol yang juga suaminya. Dr Rubiah yang juga Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah atau dirogol supaya mencari penyelesaian terbaik mengikut pertimbangan yang seimbang.

“Saya sarankan ibu bapa supaya dapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang pakar atau lebih berpengalaman sekiranya tidak mampu menyelesaikan masalah anak secara sendirian berikutan ini lebih baik daripada menggunakan paksaan,” katanya.

Selasa, September 01, 2009

‘Tunggu balasan akhirat’

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: “Dia mungkin terlepas risiko dunia tapi risiko akhirat belum tentu lagi....kena tanggung balasan apa yang dibuatnya di dunia,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Mohd Fauzi Mustaffa.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pemuda berusia 24 tahun sanggup meninggalkan isterinya yang berusia 40 tahun selepas menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), baru-baru ini.

Lelaki terbabit bukan saja meninggalkan isterinya begitu saja malah tidak menghargai pengorbanan wanita berkenaan yang menanggung perbelanjaan pengajiannya sepanjang empat tahun menuntut di IPTA.

Mohd Fauzi berkata, tindakan pemuda itu menggambarkan dirinya bukan saja tidak berhati perut malah contoh generasi muda yang terpengaruh dengan niat songsang ingin cepat ‘senang’ ketika masih menuntut.

“Orang begini dari awal dia berkahwin bukan kerana tanggungjawab dan kasih sayang sebaliknya dipengaruhi niat buruk yang ingin berada dalam kesenangan ketika sedang melanjutkan pengajian.

“Malah berdasarkan pengamatan dan apa yang diberitahu remaja kepada saya, penuntut institut pengajian tinggi suka mencari pasangan yang berumur tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana boleh menanggung mereka.

“Bagi pemuda ini pula dia mungkin mengikut trend mencari pasangan berusia tetapi akhirnya terjebak dalam perkahwinan...dia berpura-pura cinta tetapi kemudian mengikis harta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengamal Perubatan Islam Darussyifa' itu turut menjelaskan ilmu yang diperoleh secara mengikis harta orang lain tidak berkat sekali gus dikeji Islam.

Beliau menasihati wanita yang berdepan masalah sebegitu supaya melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan pejabat agama bagi membela nasib selain membawa suami ke muka pengadilan.

“Lebih-lebih lagi suami yang meninggalkan isteri melebihi tiga bulan dan membawa bersama harta si isteri, berhak membuat laporan polis kerana dia dianggap pencuri atau perompak terhormat,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Emy Mayshta, 40, tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah IPTA di ibu negara, baru-baru ini.

Emy mendakwa suaminya berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu, bersama tujuh gelang, rantai dan cincin emas miliknya dianggar bernilai lebih RM10,000 yang kononnya diambil sebagai simpanan.

Difahamkan sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan diri bersama beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.

Isnin, Julai 27, 2009

Penderaan seksual

Oleh Maiamalina Mohamed Amin maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tindakan suami yang mendesak isteri memuaskan nafsu luar biasanya sehingga mahukan persetubuhan belasan kali sehari, disifatkan penderaan seksual yang tidak ubah seperti rogol.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata meskipun menjadi tanggungjawab isteri memenuhi tuntutan batin suami, namun tidak pada tahap yang melampau.

Menurut beliau, si isteri boleh memohon fasakh sekiranya mendapati nafsu berlebihan suami boleh memudaratkan dirinya atau mungkin membawa kepada perkara lebih buruk termasuk kematian sekiranya berlaku seks ganas.

“Isteri memang boleh mohon fasakh dalam kes ini tetapi jika mohon bercerai atas alasan lain, tidak boleh kerana (memenuhi nafsu suami) adalah sebahagian tanggungjawab isteri dari segi batinnya, dia wajib jalankan.

“Jika tidak mampu (melayan suami) itu yang Islam benarkan poligami supaya keinginan batin suami boleh dipenuhi isterinya yang lain, namun tidak ramai wanita yang sanggup pula,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai dua wanita yang baru berkahwin tidak sampai setahun terpaksa mengemukakan permohonan fasakh di mahkamah syariah berikutan tidak mampu melayani nafsu suami.

Kedua-duanya mendakwa menderita kerana terpaksa melayani tuntutan batin luar biasa suami yang mahu melakukan hubungan seks hingga 17 kali sehari termasuk percaya suami berdamping dengan makhluk halus bagi mendapatkan kekuatan berkenaan.

Noor Aziah yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata wanita yang menderita keganasan seksual akibat nafsu berlebihan suami berisiko menghadapi gangguan psikologi.

“Tidak dinafikan wanita yang menerima layanan suami begini mungkin akan terganggu dari sudut psikologinya, apatah lagi apabila bersabit keganasan seksual, cuma apabila kes ke mahkamah, sukarlah kumpul bukti sebab dera seksual,” katanya.

Bersabit suami yang dipercayai berdamping syaitan untuk mendapatkan kebolehan luar biasa begitu, Noor Aziah berkata, jarang mendengar kes perceraian akibat perbuatan terbabit tetapi tidak menafikan ia wujud.

Syaitan tiduri isteri

KUALA LUMPUR: Mengadakan hubungan seks dua atau tiga kali sehari di kalangan pasangan suami isteri adalah normal, tetapi jika belasan kali dalam satu malam pastinya bukan dilakukan oleh lelaki biasa.

Tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, berkata jika seseorang bersahabat dengan syaitan, tidak mustahil mereka mampu melakukan hubungan batin hingga belasan kali dalam semalaman saja.

“Amalan bersahabat dengan syaitan masih berlaku dan tidak mustahil jika makhluk dilaknat Allah SWT itu turut melakukan hubungan tubuh dengan isteri kepada lelaki yang menjadi sahabatnya.

“Ini boleh berlaku kerana syaitan mampu menjelma menyerupai lelaki terbabit dan mengambil kesempatan untuk melakukan hubungan tubuh dengan si isteri,” katanya.

Menurut beliau, kerana itu, bersahabat dengan syaitan adalah dosa besar dan ditegah sama sekali daripada melakukannya.

Ini kerana hanya keburukan yang bakal diterima manusia, sedangkan makhluk laknat itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan iman individu berkaitan.

“Jika setakat dua atau tiga kali sehari, ia adalah biasa bagi seseorang suami yang mempunyai keinginan batin tinggi.

“Bagaimanapun, jika sudah terlampau, memang bukan suami yang mahukannya, sebaliknya syaitan yang dijadikan sahabat,” katanya.

Beliau berkata, si isteri dibolehkan menuntut fasakh jika tidak tahan diperlakukan sedemikian.

“Ia bagi memastikan keadilan untuk si isteri, selain menghilangkan kemudaratan daripada ditimpa musibah,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga kes suami mempunyai keinginan batin yang kuat tetapi tidak terlampau hingga belasan kali sehari.

Jika ini berlaku, katanya, si isteri perlu melayan kehendak suami tetapi jika tidak sanggup lagi, diharuskan untuk berpoligami.

Ini satu daripada sebab kenapa perlu berpoligami. Isteri tahu mana satu keinginan batin yang kuat atau kekuatan batin luar biasa.

Beliau turut menasihatkan umat Islam yang masih bersahabat dengan syaitan supaya segera meninggalkannya kerana ia bukan saja ditegah agama, malah mendatangkan dosa besar.

“Yakinlah kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang berkuasa dan bukan syaitan,” katanya.

Umpama lacur isteri

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB mohdazam@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Perbuatan itu memang hukumnya haram kerana umpama melacur isterinya sendiri,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, mengenai tindakan seorang lelaki yang memaksa isteri melayan nafsu seks rakannya yang dibawa pulang ke rumah.

Harussani berkata, wanita terbabit berhak mendapatkan perceraian daripada suaminya berikutan sikap melampau lelaki terbabit yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung kepada isteri.

“Jika seseorang wanita itu dipaksa sedemikian rupa iaitu dipaksa melakukan hubungan seks dengan lelaki lain oleh suaminya, memang dia berhak meminta cerai.

“Ini kerana seorang suami sepatutnya melindungi isterinya dan cara sepatutnya untuk mengelak perkara ini daripada berulang adalah dengan berpisah, termasuk tempat tinggal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak perlu berlembut dengan mana-mana lelaki yang menjadikan isterinya sebagai mangsa, termasuk situasi dialami wanita terbabit.

“Ini lebih kepada perbuatan menganiaya, dan terpulang kepada wanita itu untuk meminta cerai kerana kita ada pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan perceraian, namun ia mesti dengan alasan serta bukti kukuh.

“Jika perkara itu betul, mana-mana wanita sekalipun boleh memohon perceraian menerusi undang-undang syariah negara ini,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai seorang wanita yang menjadi mangsa pelik nafsu seks suami yang memaksanya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain yang sengaja dibawa ke rumah sejak empat tahun lalu, selain mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki serentak iaitu dengan suami serta rakan suaminya.

Dalam insiden terbaru, si suami mengarahkan isterinya melakukan hubungan seks dengan rakannya sambil dia bertindak sebagai penonton.

Tidak tahan dengan perlakuan suaminya, wanita terbabit nekad melarikan diri dengan memberi alasan mahu ke kedai sebelum melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis.

Beri pengajaran bukan dera

Oleh Zaitie Satibi am@hmetro.com.my

KUANTAN: Hukuman sebat dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, terhadap model sambilan yang didapati bersalah minum arak tidak wajar dipertikaikan kerana ia bukan suatu penderaan, malah lebih kepada pengajaran terhadap pesalah.

Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata pada zaman sekarang ini banyak kes pelanggaran hukum Islam dilakukan terang-terangan.

Menurutnya, hukuman denda dan penjara tidak akan memberi kesedaran kepada pesalah jenayah syariah berikutan denda boleh dibayar, tetapi rotan pasti meninggalkan kesan.

Katanya, orang ramai tidak perlu melatah dan mempersoalkan kewajaran hukuman itu dikenakan walaupun pesalahnya seorang wanita kerana cara sebatan antara sivil dan syariah berbeza termasuk dari segi rotan yang digunakan dan tinggi rotan terbabit perlu diangkat sebelum merotan pesalah.

“Tujuan hukuman ini bukan untuk menyakitkan pesalah, tetapi memberi kesedaran dan keinsafan supaya mereka tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

“Sebab itu dalam hukum syariah pesalah boleh dikenakan sehingga 40 kali sebatan bagi kesalahan minum arak. Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman 80 sebatan kepada pesalah minum arak,” katanya.

Beliau mengulas hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Isnin lalu, selepas mengaku salah minum arak.

Dia dikenakan hukuman itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987).

Kartika Sari Dewi dari Sungai Siput, Perak dan sudah berumahtangga dengan seorang warga Singapura serta mempunyai dua cahaya mata juga didenda RM5,000 oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus.

Mengikut seksyen itu, kesalahan meminum/menjual/membeli minuman yang memabukkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan tidak melebihi enam kali sebatan.

Abdul Rahman berkata, apa yang penting model berkenaan sudah insaf selain mengakui kesalahannya dan reda dengan hukuman dikenakan ke atasnya.

“Tindakan model berkenaan yang terang-terangan mengakui kesalahannya dan sedia menerima hukuman sebat wajar dipuji kerana menunjukkan dia sudah dapat pengajaran daripada kesilapan yang pernah dilakukan.

“Hal ini diharap dapat dijadikan iktibar kepada pihak lain supaya tidak memandang remeh hukum-hakam agama dan memberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan yang melanggar syariah,” katanya.

Sementara itu, keputusan menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap Kartika Sari Dewi mencetuskan kontroversi membabitkan beberapa pihak.

Akhbar kelmarin melaporkan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras.

‘Contohi sikap Kartika’

IPOH: “Contohilah sikap Kartika yang berani mengaku kesilapan diri walaupun pengakuannya itu dilihat seolah-olah memalukan diri sendiri,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) mengulas keputusan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang mahu mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan terhadapnya atas kesalahan meminum arak.

Beliau berkata, keputusan Kartika itu tepat kerana ia berdasarkan undang-undang syariah yang ditetapkan.

“Keputusan dijatuhkan kepadanya (Kartika) mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987). Oleh itu, tiada pihak yang berhak untuk mempertikaikannya.

“Saya sedar ada sesetengah orang mempertikaikan hukuman tu kerana mereka beranggapan hukuman itu terlalu ‘keras’, namun mereka perlu tahu ia membabitkan soal agama,” katanya.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada Isnin lalu kerana didapati minum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan, pada jam 11.40 malam 11 Julai tahun lalu.

Akhbar ini semalam melaporkan pengakuan Kartika yang mahu hukuman dikenakan terhadapnya dijalankan secepat mungkin kerana rasa bersalah terhadap diri sendiri dan keluarga.

Harussani berkata, tindakan Kartika perlu dicontohi mereka yang masih lagi ‘bersahabat’ dengan minuman haram itu dan segera bertaubat selagi pintu keampunan Allah s.w.t masih terbuka.

“Golongan muda yang masih bergelumang dosa dinasihatkan menginsafi kekhilafan diri dan kembali ke jalan-Nya kerana masih belum terlambat memohon keampunan daripada-Nya,” katanya.

‘Contohi sikap Kartika’

IPOH: “Contohilah sikap Kartika yang berani mengaku kesilapan diri walaupun pengakuannya itu dilihat seolah-olah memalukan diri sendiri,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) mengulas keputusan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang mahu mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan terhadapnya atas kesalahan meminum arak.

Beliau berkata, keputusan Kartika itu tepat kerana ia berdasarkan undang-undang syariah yang ditetapkan.

“Keputusan dijatuhkan kepadanya (Kartika) mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987). Oleh itu, tiada pihak yang berhak untuk mempertikaikannya.

“Saya sedar ada sesetengah orang mempertikaikan hukuman tu kerana mereka beranggapan hukuman itu terlalu ‘keras’, namun mereka perlu tahu ia membabitkan soal agama,” katanya.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada Isnin lalu kerana didapati minum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan, pada jam 11.40 malam 11 Julai tahun lalu.

Akhbar ini semalam melaporkan pengakuan Kartika yang mahu hukuman dikenakan terhadapnya dijalankan secepat mungkin kerana rasa bersalah terhadap diri sendiri dan keluarga.

Harussani berkata, tindakan Kartika perlu dicontohi mereka yang masih lagi ‘bersahabat’ dengan minuman haram itu dan segera bertaubat selagi pintu keampunan Allah s.w.t masih terbuka.

“Golongan muda yang masih bergelumang dosa dinasihatkan menginsafi kekhilafan diri dan kembali ke jalan-Nya kerana masih belum terlambat memohon keampunan daripada-Nya,” katanya.

Bertentangan agama, budaya

KUALA LUMPUR: “Memang perlakuan menaikkan syahwat dan ghairah seperti ini menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat Barat, namun sebagai orang Melayu dan beragama Islam, ia jelas bertentangan dengan budaya dan agama kita,” kata Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Tambi.

Katanya, kebiasaan pelaku seks seperti ini menjadikan pihak ketiga untuk bersama atau bersetubuh dengan pasangannya sebelum aktiviti seksnya bermula.

“Ini satu perilaku seksual sumbang yang berlaku dalam konteks masyarakat kita. Aspek perhubungan suami isteri tidak sepatutnya dilakukan dengan cara ini.

“Ia terjadi apabila pelaku mengalami keghairahan yang bertambah apabila mengetahui pasangan itu diminati dan disetubuhi lelaki lain.

“Ada pasangan yang rela dengan aktiviti seks sebegini, namun ada yang mengalami penderaan seksual dan mental untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atau mengadu kepada sesiapa. Apatah lagi pelaku seks itu adalah suami sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Dr Ismail, dia sendiri berpengalaman menangani kes begini dan ia bergantung kepada pendirian dan persepsi pelaku itu sendiri untuk mengubah tabiat buruknya itu.

Beliau mengulas pengakuan seorang isteri yang mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks dengan rakan suaminya sejak empat tahun lalu.